Politik Pop

Monday, February 13, 2012

Bahrain, Iran dan politik GCC

Ketika dunia menyambut dan mengaitkan 14 Februari dengan "hari cinta," kedatangan tarikh ini di Bahrain esok ditunggu-tunggu dengan kebimbangan tercetus keganasan

Setahun lalu, kempen pembangkang dan pelbagai kumpulan lain bermula pada 14 Februari, dan berlangsung selama sebulan sebelum dipatahkan dengan keras oleh pasukan keselamatan tempatan dan pasukan tentera Majlis Kerjasama Teluk, GCC, diketuai Arab Saudi yang memasuki Bahrain pada 14 Mac, 2011.

Dalam protes yang melanda dunia Arab, Bahrain menjadi salah satu medan persaingan kuasa-kuasa serantau mengukuhkan pengaruh, membentuk respons mereka terhadap kebangkitan yang tercetus.

Pelbagai isu, termasuk persaingan Syiah-Sunni dan pengaruh kuasa asing menjadi tajuk-tajuk besar dalam protes di Bahrain yang semakin kurang mendapat perhatian ekoran tumpuan yang dihalakan ke Syria pada masa ini.

Tajuk persaingan Syiah-Sunni (dan Wahhabi), menjadi satu topik yang menarik ramai pihak, dan membentuk respons pihak-pihak tertentu terhadap isu kebangkitan rakyat di dunia Arab.

Perhatian terhadap isu perbezaan mazhab mendapat perhatian yang lebih daripada yang sewajarnya, antaranya disebabkan nilai sensasi dan sensitiviti ramai terhadap isu ini.

Warga Syiah (daripada aliran dominan Imamiah 12 Imam) ialah majoriti (melebihi 60 peratus) di Bahrain, dan tidak dapat dielakkan peranan besar mereka dalam sebarang aksi massa dan aktiviti politik.

Dominasi keluarga al-Khalifah dan politik GCC yang sentiasa bimbang terhadap elemen Syiah dan Iran menyebabkan isu Syiah dimainkan dan dikemukakan sebagai satu elemen ancaman.

Di wilayah yang aliran Wahhabi berpengaruh, elemen Syiah dilihat dengan sangat negatif dan mudah dikaitkan dengan kuasa asing Iran yang bukan sahaja Syiah tetapi juga bukan Arab.

Hakikatnya, pelbagai pihak lain turut menuntut peranan yang lebih dalam politik Bahrain, dan juga negara-negara monarki Arab di Teluk Parsi yang lain.

Penguasaan satu keluarga, dan satu kumpulan dalam keluarga tersebut seperti di Arab Saudi, mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai kumpulan lain.

Pertambahan ahli keluarga raja dan perkembangan politik semasa yang semakin terbuka semakin menguji kemampuan sistem sedia ada untuk mengekalkan penguasaan pihak dominan. 

Setakat ini, perubahan kelihatan boleh berlaku di Bahrain melalui reformasi politik yang akan menjadikan parti-parti politik lebih berfungsi berbanding pada masa kini.

Sejarah telah menunjukkan kesediaan pemerintah Bahrain berubah. Selepas Kuwait, Bahrain ialah negara Arab Teluk Parsi yang paling bebas dari segi politik, membuka ruang kepada pemain politik selain keluarga monarki untuk terlibat.

Perubahan ini, walau bagaimanapun setakat ini masih kelihatan bergantung kepada kekuatan kebangkitan rakyat, yang tuntutan warga Syiah menjadi satu elemen utamanya. 

Wefaq juga telah menunjukkan sikap pragmatik dan kesediaan bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berbeza, termasuk mendapatkan latihan daripada Institut Demokratik Nasional (NDI) dari Amerika Syarikat.

Warga Syiah di dunia Arab - termasuk Bahrain - juga menunjukkan sikap nasionalistik yang tidak memudahkan sebarang pengaruh asing menguasai, walaupun Bahrain yang dikuasai parti Syiah dijangka akan mengekalkan hubungan lebih rapat dengan Iran.

Peranan Iran tidak boleh dinafikan sepenuhnya, tetapi tidak wajar diberi perhatian berlebihan seperti dilakukan rejim serantau untuk kepentingan politik.

Syiah Kuwait (sebuah lagi negara Arab Teluk yang mempunyai warga Syiah yang aktif politik) sebagai contoh menunjukkan kesetiaan kepada pemerintah negara itu.

Kepimpinan Wefaq juga tidak menampakkan agenda yang hampir dengan Iran, yang lebih diperlihatkan oleh gerakan Haq. Gerakan Haq juga terlibat dalam kempen lebih radikal menuntut penubuhan sebuah republik.

Pemimpin Haq, Hasan Mushaima menetap di Iran dan kembali selepas kebangkitan di Bahrain bermula, dan menunjukkan kecondongan kepada republik itu. 

Wefaq terlibat dalam sistem politik pilihan raya Bahrain dan telah menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan pemerintah monarki.

Kesediaan kompromi Wefaq inilah yang dijadikan sebab berlaku perpecahan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Haq yang lebih radikal.

Perkembangan sejak setahun lalu, terutama tekanan kuat pemerintah walau bagaimanapun telah mendorong Wefaq menjadi lebih kritikal.

Isu pangkalan tentera laut AS juga mendapat perhatian ekoran kaitannya dengan persaingan AS dan Iran.

Pangkalan tentera laut AS di Bahrain yang menjadi perhatian ekoran kebangkitan itu juga tidak dapat dijangka akan berakhir sekiranya Syiah menguasai Bahrain, kerana pragmatisme yang dijangka menjadi faktor.

Kepentingan politik serantau menjadi faktor yang menyukarkan sebarang perubahan di Bahrain, kerana perubahan akan memberi tekanan kepada negara serantau lain.

Ekoran protes di Bahrain, sentimen yang sama kelihatan merebak ke timur Arab Saudi sehingga mencetuskan respons keras pihak berkuasa.

Menurut laporan media, dua orang terbunuh dalam protes terbaharu di Qatif, salah satu kawasan didiami ramai warga Syiah di timur Arab Saudi.   

Faktor Syiah tetap menjadi elemen utama dalam tuntutan rakyat di Bahrain, sesuatu yang tidak dapat dinafikan disebabkan kedudukan majoriti mereka yang tidak sepadan dengan penglibatan dalam politik.

Walaupun pemerintah al-Khalifah telah menunjukkan kesediaan berubah, perubahan yang lebih luas untuk memberikan perwakilan yang sepadan kepada rakyat negara itu masih perlu dilaksanakan.

Perkembangan selepas ini, termasuk kemungkinan protes baharu rakyat Bahrain dan proses rundingan selepas itu, akan menyediakan lagi peluang dan cabaran terhadap perubahan di negara kecil GCC itu.

Bahrain, antara negara terawal menyaksikan rakyat menuntut hak demokratik tidak mendapat layanan sewajarnya daripada negara serantau dan juga dunia Islam, tidak seperti halnya Libya dan Syria yang diperjuangkan negara serantau seperti Qatar dan Arab Saudi.

Perkembangan sejak setahun lalu telah membuktikan bagaimana persaingan kuasa serantau dan global memberi kesan kepada kebangkitan rakyat di dunia Arab. - 13 Februari, 2012

Labels: , , ,

Friday, December 30, 2011

Politik dunia Islam 2011: 10 isu utama


Tahun 2011 ialah tahun yang padat dengan peristiwa politik yang menjadi pencetus perubahan. Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, dunia Islam terus rancak dengan pelbagai peristiwa politik yang memperlihatkan kepentingannya dalam politik dunia, terutama kepada kuasa-kuasa besar. Berikut 10 isu politik utama sepanjang 2011.
10. Muslim di Amerika Syarikat
Menurut Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR), 2011 - 10 tahun selepas peristiwa 11 September, 2001 - menyaksikan peningkatan mendadak serangan retorik dan fizikal ke atas Muslim di Amerika Syarikat. Di televisyen, rancangan All-American Muslim, tentang komuniti Muslim di Michigan, menjadi perhatian ekoran protes sekumpulan konservatif Kristian yang mendakwa rancangan itu sebagai propaganda Islam, dan mengajak pengiklan memboikot rancangan itu. Seorang pesaing calon presiden Republikan, Newt Gingrich pula menyifatkan bangsa Palestin sebagai "bangsa yang dicipta," dalam usaha membina sokongan kelompok pro-Zionis. Islam menjadi isu dipergunakan dalam kempen pilihan raya oleh pesaing-pesaing Republikan untuk menarik sokongan konservatif terutama di negeri-negeri selatan.
9. Pengiktirafan Palestin
Menjelang hujung tahun 2011, lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia telah mengiktiraf Palestin. Terbaharu, Iceland menjadi negara Eropah Barat pertama mengiktiraf Palestin, berdasarkan sempadan 1967 sebelum perang. Pada September, Presiden Mahmoud Abbas memohon keahlian penuh sebagai sebuah negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Palestin diberi keahlian penuh dalam agensi kebudayaan PBB, Unesco pada Oktober, mencetuskan reaksi keras daripada AS dan Israel. Pengiktirafan walau bagaimanapun melibatkan peranan wakil yang diiktiraf Barat, dan berdepan halangan daripada Washington, walaupun Presiden Barack Obama pernah memperlihatkan pendirian pro-Palestin.
8. Hubungan Pakistan-AS dan Afghanistan
Awal Mei 2011, AS mengumumkan berjaya membunuh Osama bin Laden di sebuah kawasan persembunyiannya di Pakistan, tanpa pengetahuan pihak berkuasa Islamabad. Pada masa sama, serangan dron di negara Asia Selatan ini diteruskan. Di negara bersebelahan, Afghanistan, kumpulan dinamakan Jaringan Haqqani meningkatkan serangan ke atas kehadiran asing, termasuk bangunan kedutaan AS di Kabul. AS mendakwa Haqqani mendapat sokongan Pakistan. Pada November, 24 tentera Pakistan mati akibat serangan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dekat sempadan Pakistan-Afghanistan. Hubungan Pakistan-AS merosot dengan teruk, menyaksikan ujian paling getir kedua-dua sekutu dalam "perang menentang terorisme."
7. Kebangkitan rakyat Tunisia
Pada 17 Disember, 2010, Mohamed Bouazizi dilapor membakar dirinya sebagai protes kekejaman dilakukan oleh kakitangan kerajaan terhadapnya. Tindakannya dikaitkan sebagai pencetus kebangkitan di Tunisia dan seluruh dunia Arab yang berterusan hingga menuju ke tahun 2012. Kebangkitan rakyat Tunisia menjatuhkan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali pada 14 Januari, 2011. Selepas kebangkitan di Tunisia, sejarah baharu mula dicatatkan di seluruh dunia Arab. Parti Islam al-Nahdah pimpinan tokoh popular Rachid Ghannouchi mengetuai pembentukan kerajaan selepas menang dalam pilihan raya pada Oktober, memenangi lebih 40 peratus undi.
6. Iran menghadapi tekanan
Tentera Iran menamatkan tahun 2011 dengan latihan ketenteraan dinamakan Velayat 90 sekitar Selat Hormuz, dan pada masa sama mengugut untuk menutup laluan sempit eksport minyak itu sekiranya negara itu dikenakan sekatan menjual minyak dan sebagai reaksi sekatan antarabangsa yang meningkat terhadap republik itu. Eksesais ketenteraan itu juga satu reaksi kepada retorik menyerang Iran yang kembali berleluasa di AS dan Israel, dengan alasan menyekat usaha Iran membina senjata nuklear. AS juga pada masa sama merancang meningkat kehadiran tentera di kawasan Teluk Parsi, sambil meningkatkan jualan senjata canggih kepada sekutu di kawasan terbabit, terutama Arab Saudi.
5. Kejatuhan Hosni Mubarak
Penghujung Januari 2011, ratusan ribu rakyat Mesir berkumpul di Medan Tahrir di tengah-tengah bandar Kaherah menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur. Selepas harapan demokrasi pudar ekoran kemenangan besar parti Mubarak dalam pilihan raya terakhir. Mubarak juga kelihatan mengukuhkan pengaruh keluarganya melalui anaknya Jamal Mubarak yang disebut-sebut bakal menggantikannya. Pada 11 Februari, Mubarak berundur, dan perjuangan untuk melihat Mesir yang lebih baik masih diteruskan. Kejatuhan Mubarak meningkatkan lagi sentimen perubahan di seluruh dunia Arab. Kejatuhan rejim Mubarak juga bermakna Arab Saudi yang menguasai politik Arab kehilangan sekutu penting.
4. Peningkatan pengaruh Turki
Selepas jatuh pemimpin-pemimpin diktator Tunisia dan Mesir, dan kelihatan prospek perubahan di negara-negara serantau, nama Turki dan parti pemerintah Turki menjadi sebutan. Turki disebut-sebut sebagai model baharu bagi demokrasi dan gerakan Islam, yang kini dikatakan perlu memasuki fasa pasca-Islamisme, iaitu tidak lagi dibelenggu bahasa dan simbol lama gerakan Islam yang menuntut banyak tenaga. Pada masa sama, populariti Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meningkat. Dengan keadaan dunia Arab yang menguasai suara dunia Islam masih tidak stabil dan pusat kuasa yang tergugat, Turki mendapat peluang melebarkan lagi pengaruh, mengulangi satu aspek era Uthmaniyyah dahulu.
3. Dasar luar Qatar dan politik GCC
Qatar menjadi pemain aktif dalam politik serantau pada 2011. Dengan stesen berita satelit al-Jazeera – dalam dua bahasa; Arab dan Inggeris - dan ilmuan Islam dihormati Dr Yusuf al-Qaradawi, pemerintah Qatar menggerakkan agenda dasar luarnya dengan yakin, meningkatkan kepentingannya kepada kuasa besar. Pemulihan hubungan Qatar dengan negara dominan serantau, Arab Saudi dan pengukuhan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), memudahkan negara-terbabit melindungi diri masing-masing - termasuk mengekang dengan keras kebangkitan di Bahrain tetapi menyokong kumpulan antikerajaan di Libya dan Syria - daripada gelombang kebangkitan rakyat, dan buat masa ini, berjaya meningkatkan pengaruh serantau.
2. Konflik Syria
Selepas usaha Washington menjarakkan hubungan Damsyik dengan Tehran tidak mendatangkan hasil diharapkan, Syria mula berdepan tekanan perubahan rejim. Pemerintahan kuku besi rejim Presiden Bashar al-Assad menjadi perhatian dunia ekoran kematian ribuan penentang kerajaan di tangan pasukan keselamatan Syria. Kuasa dominan dunia Arab melalui Liga Arab paling lantang dan agresif menekan rejim al-Assad. Syria walau bagaimanapun masih menerima sokongan Rusia, sekutu utamanya dalam kalangan kuasa besar, dan China dalam menolak sekatan dan tindakan lebih keras dikenakan. Selepas Libya, Syria paling banyak diberi perhatian oleh kuasa-kuasa Barat dan Arab, dan berpotensi menjadi sasaran seterusnya.
1. Serangan ke atas Libya dan pembunuhan Gaddafi
Selepas Tunisia dan Mesir, Libya menjadi negara seterusnya menyaksikan perubahan rejim. Tetapi, tidak seperti negara lain, Libya menyaksikan penglibatan kuasa asing secara langsung di wilayahnya. Libya memperlihatkan dengan jelas agenda kuasa-kuasa besar dan dalam kalangan dunia Arab, dengan menjadikan kebangkitan rakyat dan demokrasi sebagai alasan. Salah satunya, Qatar, mengambil peluang dengan menyokong dan menyertai usaha Nato menyerang Libya, termasuk dengan memberi bantuan senjata kepada pemberontak yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Muammar Gaddafi. Libya menjadi negara majoriti Muslim terbaharu menerima kemasukan pasukan tentera asing di wilayahnya.

Labels: , , , , ,

Wednesday, September 28, 2011

Charlie Sheen, Two and a Half Men dan 911

Pada 1986, Charlie Sheen muncul dalam filem Platoon, mendedahkan politik dalaman tentera Amerika Syarikat dalam operasi tentera di Vietnam.

Tahun 1987, Sheen dalam Wall Street mendedahkan bagaimana sifat tamak menguasai aktiviti di pusat kewangan dan pasaran saham AS itu.

Kemudian, bermula 2006, Sheen menangani satu lagi isu politik yang besar, kali ini dalam kehidupan sebenar, iaitu isu serangan 11 September, 2001 di New York dan Washington.

Sheen dengan terbuka dan lantang mula mempersoalkan versi kerajaan tentang peristiwa yang mengubah politik AS itu.

Pelakon yang popular dengan siri sitkom Two and a Half Men itu mendakwa wujud usaha kerajaan AS menutup cerita sebenar peristiwa itu.

Sheen menimbulkan pelbagai persoalan, daripada kemampuan mereka yang didakwa terlibat merampas pesawat dan berjaya menepati sebahagian besar sasaran hingga kepada runtuhan bangunan yang dilihat sukar diterima akal ekoran dakwaan pergerakan api ke bawah dan meruntuhkan menara tinggi terbabit.

Pendirian politik Sheen mencetus kontroversi berpanjangan di AS, tetapi jauh kurang mendapat liputan media berbanding, misalnya, pertembungan kumpulan muzik country Dixie Chicks dengan golongan konservatif akibat komen berhubung tindakan George W Bush.

Malah, dapat diperhatikan bahawa episod pertembungan politik dan budaya popular melibatkan Sheen merupakan paling kurang mendapat liputan walaupun siri Two and a Half Men ialah salah satu sitkom paling popular.

Sheen terus berpegang dengan pandangannya yang kontroversi di AS itu, dan pada masa sama muncul setiap minggu di televisyen dalam siri popular itu.

Menurutnya dalam satu wawancara, beliau bukan pembawa teori konspirasi, tetapi mereka yang membawa versi rasmi peristiwa itu sebenarnya pembawa teori konspirasi.

Beliau malah menyampaikan satu mesej kepada Presiden Barack Obama melalui video menuntut siasatan baharu untuk peristiwa itu.

Berita berkaitan Sheen di media AS walau bagaimanapun lebih tertumpu pada isu peribadinya, sehingga tercetus masalah dengan studio Warner Bros dan pencipta bersama siri itu, Chuck Lorre, sehingga menyebabkan Sheen dipecat (Sheen, Warner Bros dan Lorre dilapor menyelesaikan pertikaian mereka berikutan pemecatan pelakon itu baru-baru ini).

Sheen dikenali sebagai pelakon yang selalu berdepan masalah peribadi, dan sering muncul dalam laporan berita hiburan berhubung skandalnya.

Dalam laporan-laporan melibatkan pertikaian Sheen dengan studio dan Lorre, serta laporan perkembangan siri Two and a Half Men hingga ulasan episod pertama musim baharu siri itu bersama pelakon baharu Ashton Kucher, cerita pandangan politik Sheen berhubung 911 hampir pasti tidak disebut.

Hal ini demikian sehingga timbul kritikan bahawa wujud usaha untuk menutup perhatian ramai daripada pandangan kontroversi Sheen itu, dengan cara menggelapkan isu itu.

Wujud kebimbangan bahawa populariti Sheen yang membintangi sitkom popular Two and a Half Men ditonton jutaan audiens itu boleh memberi impak kepada orang ramai.

Bersama Kucher, Two and a Half Men kembali untuk musim kesembilan 20 September lalu, sekitar masa yang sama sambutan 10 tahun peristiwa serangan 11 September, 2001.

Musim baharu sitkom itu dengan Kucher mendapat ulasan bercampur-campur, dengan tumpuan pada Kucher yang menggantikan Sheen yang dimatikan wataknya.

Kematian watak Sheen dalam sitkom Two and a Half Men, sebagai menamatkan peranannya dalam siri popular itu mungkin berjaya mengurangkan perhatian kepada pelakon kontroversi dengan pandangan politik yang kontroversi itu.

Sheen walau bagaimanapun telah meningkatkan lagi perhatian terhadap isu kontroversi peristiwa 11 September, 2001, sebahagiannya disebabkan populariti beliau, mencatat satu lagi episod penting dalam hubungan politik dengan budaya popular.

Labels: , ,

Thursday, August 11, 2011

Kebangkitan dunia Arab: Kuasa besar dan kepentingan serantau kini faktor utama


Kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat kini telah memasuki bulan ke lapan, dengan momentum yang semakin lemah dan permainan politik untuk kepentingan tertentu memberi kesan kepada perkembangan yang berlaku.

Perubahan rejim di Mesir yang menjadi tumpuan utama media global tidak menyaksikan perubahan bermakna seperti yang diharapkan, dan pada masa sama, tentera sebagai pemegang kuasa utama mula kehilangan sentimen sokongan yang disaksikan pada awal kebangkitan.

Negara-negara Arab lain juga menyaksikan usaha menggerak perubahan rejim dihentikan dengan keras oleh pemerintah, seperti yang berlaku di Bahrain, kebangkitan yang paling sedikit mendapat perhatian masyarakat dunia.

Selepas memasuki separuh kedua tahun 2011, dapat diperhatikan beberapa isu yang diabaikan selama ini mula muncul di permukaan.

Sentimen sokongan terhadap kebangkitan di Libya mula dinilai semula, selepas operasi tentera yang dipimpin Barat semakin menyaksikan ketidakupayaannya mencapai matlamat awalnya menjatuhkan Muammar Gaddafi dengan segera.

Malah, agenda Barat dalam hal Libya semakin menjadi persoalan, ekoran sokongan kuat kerajaan Inggeris, terutama William Hague, menteri luar negara itu terhadap penentang Gaddafi.

Inggeris juga, dalam kes Lockerbie terutamanya, kelihatan mempunyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Libya, yang boleh menjadi faktor dalam mendorong tindakan dasar luarnya kini.

Operasi tentera di Libya yang kini berlangsung lebih lama berbanding yang dijangkakan pada masa resolusi membenarkannya diluluskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan korban yang semakin meningkat membuka isu Libya untuk dinilai dengan lebih kritikal.

Fokus awal yang diberikan pada rakyat kini teralih pada kuasa-kuasa serantau dan dunia, termasuk bekas kuasa penjajah, Inggeris dan kuasa serantau negara monarki Arab.

Kes Libya mengundang persoalan terhadap agenda kuasa-kuasa asing, ekoran tumpuan yang diberikan khusus pada negara Afrika Utara itu dan tidak pada kebangkitan lain yang juga mendapat sokongan rakyat.

Tanpa menafikan kekejaman rejim seperti Tripoli dan Damsyik, dapat diperhatikan bahawa tindakan dijalankan secara selektif dan berdasarkan kepentingan tertentu.

Di Bahrain, kekejaman meluas terhadap rakyat negara itu kini semakin dilupakan oleh dunia, termasuk oleh dunia Islam sendiri.

Bahrain ialah satu contoh bagaimana kepentingan kuasa serantau terutama Arab Saudi dan Qatar berjaya mengatasi kebangkitan rakyat di negara kecil Teluk Parsi itu.

Kepentingan politik yang mendasari sikap dan tindakan berhubung negara-negara terbabit telah saya tulis April lalu:

“Qatar menjadi negara Arab pertama mengiktiraf pemberontak Libya dan menyertai misi ketenteraan pimpinan Barat di ruang udara Libya, dan pada masa sama menyokong bantuan Saudi dan GCC [Majlis Kerjasama Teluk] mempertahankan rejim Bahrain.

“Sikap pemerintah Qatar ini turut mendapat sokongan ilmuan Islam berpengaruh yang menetap di negara itu, Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dilapor berkata kebangkitan di Bahrain bersifat sektarian dan sebelum itu membenarkan Kolonel Muammar Gaddafi dibunuh.

“Pendirian tokoh agama ini berhubung Syria juga menimbulkan persoalan tentang konteks politiknya.

“Beliau baru-baru ini dilapor mengecam pemerintah Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad kerana tindakannya terhadap protes rakyat di negara itu.

“Syria, bersama Algeria ialah dua negara ahli Liga Arab yang menentang dalam undian untuk zon larangan terbang di Libya. (Hanya 11 daripada 22 negara ahli hadir dalam undian itu).

“Pendirian itu bertentangan dengan sikap GCC, termasuk Qatar yang menyokong serangan ke atas Libya.”

Syria kini berdepan potensi tindakan yang hampir sama seperti yang dikenakan ke atas Libya, tindakan yang matlamat utamanya bukan kepentingan rakyat negara terbabit.

Tempoh agak panjang selepas euphoria awal kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sewajarnya telah memberi peluang kepada masyarakat dunia menilai dengan lebih kritikal apa yang berlaku.- 11 Ogos, 2011

Artikel berkaitan:


Labels: , , ,

Friday, June 17, 2011

My president is stronger than your president



Nota: Artikel ini ditulis sekitar enam bulan lalu, untuk sebuah penerbitan terkenal di kawasan Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa (?). Siri politik dan budaya popular seperti ini bakal kembali di blog ini.

Horse riding. Setting up tents. Cathing fish. Lighting up wood fire. The image that these items would collectively create in most people’s minds would be a macho one, a life in the wild.

Enter Vladimir Putin. A shirtless Vladimir Putin wearing military fatigue and boots.  Now that is one hell of a macho image, and one hell of a PR campaign.

Russia’s president until a couple of years back, Putin, embraced and utilized the mass media to the fullest since learning of its immeasureable power.

Not unlike his colleague in the West, he used that campaign tool effectively, and looking a bit more cool than others.

The macho, ex-KGB, man vs wild vacation cum photo op took place in 2009. He appeared shirtless, flaunting his tough body for the world to see (although originally the target was the Russian people, for domestic political purposes), appealing to both straight women and gay men, indeed a huge vote bank througout the political spectrum.

The photo op cannot help but felt and looked properly and meticulously arranged, to give the best impact for Putin and the psyche of Russia.

It was a convervative-themed PR campaign but its appeal was not limited to conservatives. It presented an image of tough guy that played to the feeling of a strong and resurgent Russia. And at the same time offered a relatable ordinary guy image who caught his own fish and made his own fire.

The timing of the campaign explains everything perfectly. It was a time when Russia was in a resurgent mood (it is still now), more than ever. The vacation in the wild photos served to reinforce that feeling further.

It was, at that time, a new thing for Russia. Since at least Bill Clinton prsidential campaign, pop culture imagery has served many presidents and presidential candidates very well. From playing the saxophone in a talk show to announcing candidacy in a popular talk show, the line between pop culture and politics has been blurred for some time now.

In the United States, politicians appear increasingly more eager to go to Oprah or David Letterman for the important messages than the more “serious” shows on CNN or NBC.

There, pop culture in politics has been part of the game that many if not all, should take into account seriously.

Sure, you know how to explain universal health care and have a great idea of getting the troops out of Iraq or Afghanistan, but how well can you talk to Jon Stewart? Would you look good on Saturday Night Live?

For Putin, the tough guy, shirtless images in one way or another reinforced his image as Russia’s tough guy. They tell the Russian people that this is the guy that sould lead us through this trying time, who will stand up to the United States (it was way before the reset), and who will kick Georgia’s ass.

The photos practically set the standard for tough guy images. Both US President Barack Obama and France’s Nicolas Sarkozy have been seen vacationing shirtless, but they in no way neared Putin’s tough guy standard. Plus Sarkozy’s photos was doctored to remove an unsightly element, to put it nicely. For many world leaders, vacation has never been the same ever since. They are also now PR campaign’s photo sessions.

Obama’s and Sarkozy’s photos on the other hand, show regular Joe images, of powerful people vacationing and enjoying themselves with their families. Unlike Putin’s, their photos served to attach a more human (not that they weren’t), regular dimension to their larger than life images.

Obama, with the Rolling Stones covers and everything, ia already a rock star, as if being the president of the most powerful country in the world is not enough. The family-themed beach vacation photos served well in attaching a regular Joe element to Obama.

We, here in Malaysia, are also witnessing an increasing number of politicians (or first lady even) working hard to conjure up certain images (with YouTube music videos and stuff). 

We see them appearing in public being nice to children, visiting Puduraya, buying kuih at Ramadan stalls, carrying guns to shoot squirrels and many more that they manage to set up.

Why? Because it is important, in an age where images play increasingly important roles in politics, an age where people with not enough time to really process the loads of information available have to make decisions on who to vote. 

And increasingly, people rely on bits and pieces of information seen and heard on talk shows and other popular culture space. In the age of the "Like" button dominates all sphere of our lives, this is where popular culture plays a critical role.

This is why getting on social media, getting lots of friends and organizing meetups is important to politicians, especially when your government is in danger of losing the next general elections.

Popular culture is one channel that the most number of people can access, as opposed to articles in newspapers, journals, and discussions on TV that need more time to process. Through pop culture, the messages reach more people, and may be the only bits of politics that reach them, without appearing as naked propaganda to most.

Getting back to Putin, it is no doubt an achievement for the Russian prime minister, who before never cared to smile for the camera, looking as cold as Russian winter everytime. The tough guy images reassure the Russian people that they have a strong leader leading a resurgent Russia back to where it belongs (which is equal to the United States, if you ask them).

Labels: , , , , ,

Thursday, June 16, 2011

Makna kemenangan AKP dan beberapa pengajaran demokratik

Parti Keadilan dan Pembangunan Turki, dikenali dengan singkatan popularnya AKP, memenangi pilihan raya parlimen negara itu dengan majoriti 49.9 peratus, mengatasi peratusan tahun 2007 dan 2002.

Kemenangan tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding 46 peratus pada 2007 dan 34 peratus pada 2002, walaupun dengan jumlah kerusi yang semakin merosot disebabkan perubahan dilakukan pihak berkuasa pilihan raya.

Dalam era demokratik republik itu, Recep Tayyip Erdogan dan AKP kini menjadi pemimpin dan parti politik paling berjaya, dari segi memenangi pilihan raya dan rekod membawa perubahan, terutama dalam ekonomi.

Peratusan hampir 50 peratus itu menyumbang kepada 326 kerusi - daripada parlimen dengan 550 kerusi - jauh daripada sasaran 367 untuk membolehkannya meminda perlembagaan secara unilateral, projek utama yang dibayangkan parti yang semakin dinilai dengan kritikal itu.

Rekod cemerlang AKP itu walau bagaimanapun disertai dengan cabaran-cabaran besar mengemudi sebuah negara yang kompleks, di sebuah rantau yang semakin berubah dan pada masa yang kritikal dalam pembinaan kedudukan dalam pentas dunia.

Walaupun mengekalkan kemenangan kali ketiga dengan peratusan undi yang meningkat, pencabar terdekat, Parti Rakyat Republikan (CHP) memperolehi keputusan terbaik dalam tempoh 30 tahun, mendapat 25.9 peratus undi.

Parti berhaluan kanan yang dilanda skandal video seks, Parti Tindakan Nasionalis (MHP), mendapat 13 peratus undi.

Calon-calon Kurdis sebahagian besarnya disokong Parti Keamanan dan Demokratik (BDP) yang bertanding sebagai bebas berjaya mendapat 36 kerusi di parlimen.

Dalam politik domestik Turki, AKP kini berdepan cabaran dalam membuktikan kredibilitinya sebagai sebuah kumpulan demokrat, walaupun kelayakan dari segi haluan sederhana dan ekonomi pasaran bebas tidak dipertikaikan.


AKP ialah parti berhaluan sederhana, dengan dasar ekonomi propasaran bebas tetapi masih berpendirian konservatif dalam isu-isu sosial, walaupun tidak mencapai konservatisme Islamis seperti Saadet.

Pemerintahan AKP terpaksa mengimbangi pelbagai tuntutan dalaman masyarakat Turki yang pelbagai, meliputi kumpulan berhaluan kanan yang tegar memperjuangkan identiti Kamalis Turki yang sekular dan nasionalistik hingga kepada Kurdis yang menuntut hak kebebasan dan pengiktirafan dalam negara Turki.


Turki menduduki satu posisi menarik tetapi mencabar, ekoran hubungan sejarah yang sentral dengan Islam, persaingan berzaman dengan Arab dan Parsi, dan beban sejarah berkait dengan Armenia dan Kurdis.

Sebagai parti yang telah berkuasa selama sedekad, Perdana Menteri Erdogan dan AKP tidak dapat mengelak daripada menjadi semakin asertif dan keras, sehingga menghampiri kecenderungan autoritarian.

Erdogan semakin dikritik sebagai kurang sabar dengan kritikan, dan kerajaan Turki kini tidak menunjukkan ciri demokrat yang diharapkan ramai pihak apabila memenjarakan 60 orang wartawan tanpa tuduhan yang jelas, jumlah yang lebih berbanding di China dan Iran, rujukan popular Barat dan demokrat untuk menjelaskan autoritarianisme.

Namun, ucapan kemenangan Erdogan yang mengajak konsensus mungkin memperlihatkan satu kesedaran pemimpin itu akan keperluan kerjasama dengan pelbagai parti, berbeza dengan pendirianya sebelum itu.


Walaupun masih dilihat sebagai retorik populis, Erdogan memperlihatkan hasrat untuk mendapat konsensus ramai dalam pembinaan perlembagaan baharu.


Konsensus mungkin bermakna agenda-agenda Erdogan dan AKP akan terpaksa dikompromi. Sejauh mana kenyataan konsensus itu akan dilaksanakan masih awal untuk dinilai.

Keputusan yang tidak memberikan parti pasca-Islamis itu majoriti sehingga boleh bertindak sendirian dalam banyak perkara boleh meredakan sedikit kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai kecenderungan autoritarian AKP.

Isu Kurdis juga menjadi cabaran besar dalam politik Turki kini, dengan usaha memulihkan hubungan dan mengiktiraf kumpulan etnik itu kelihatan tersekat-sekat dan tidak tertunai.


Etnik Kurdis masih berdepan kekangan-kekangan besar dalam isu hak asasi dan kebudayaan, walaupun AKP kelihatan bersungguh-sungguh untuk menangani masalah ini pada satu masa.

Isu Kurdis turut dipergunakan oleh AKP untuk tujuan-tujuan politik tempatan dan antarabangsa. 

Menggunakan populariti selepas memenangi pilihan raya pada 2007, AKP melancarkan operasi tentera terhadap kedudukan pemberontak Kurdis di sempadan Turki-Iraq, dan mendapat sokongan presiden Amerika Syarikatpada masa itu, George W Bush. Parti Pekerja Kurdistan, PKK dikategori sebagai teroris oleh AS.

Nasionalis terus menuntut tindakan yang lebih tegas terhadap Kurdis, dengan tidak berkompromi dalam sebarang hal melibatkan identiti negara Turki.

Tetapi, dunia politik yang semakin liberal pada masa ini menjadikan sebarang usaha seperti itu tidak popular, atau bertentangan dengan norma yang dipersetujui masyarakat antarabangsa, sesuatu yang disedari AKP.

Isu-isu hak asasi seperti itu penting bagi Turki untuk imej antarabangsanya, termasuk dalam usaha menyertai Kesatuan Eropah yang kini tersekat.

Dengan ekonomi yang terus meningkat, mencapai 8 peratus pada masa ini, Erdogan dan AKP mempunyai sandaran yang baik untuk mengekalkan populariti.

Sebahagian kempen AKP kali ini ialah projek mega termasuk terusan laluan air baharu menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Marmara, sebagai laluan kedua selain Selat Bosphorus yang sesak.

Projek ini dilihat sebagai satu usaha membina legasi oleh Erdogan. Ini terkait dengan dakwaan beliau mahu melakukan perubahan ke arah sistem presiden, jawatan yang dikatakan menjadi matlamatnya selepas ini.

Untuk meletakkannya dalam konteks, Turki akan menyambut ulangtahun republik itu yang ke-100 pada 2023. Erdogan dikatakan mahu masih berada dalam kepimpinan negara pada masa itu, untuk meraikan kejayaan-kejayaannya.

Di peringkat antarabangsa, peranan Turki di Asia Barat sebagai kuasa diplomasi menerima respons yang pelbagai, yang terkait dengan populariti dan penerimaan rakyat terhadapnya.


Turki di bawah AKP kini menikmati imej antarabangsa yang positif, terutama di dunia Islam.

Satu bahan kempen AKP ialah pertengkaran Erdogan dengan Shimon Peres, pemimpin Israel di Davos, Switzerland pada Januari 2009.

Tindakan populis itu walau bagaimanapun tidak dapat dielakkan daripada menjadi salah satu bahan kempen untuk pilihan raya kerajaan tempatan pada Mac tahun itu, masa yang menyaksikan kemerosotan sokongan untuk calon-calon AKP.

AKP memenangi 38.8 peratus undi dalam pilihan raya itu, merosot berbanding 41.7 pada pilihan raya sebelumnya tahun 2004.

Insiden debat di Davos itu walau bagaimanapun kini terpahat dalam memori kedua-dua rakyat Turki dan masyarakat Muslim dunia terutamanya, dan membina imej positif untuk AKP melaksanakan dasar luarnya.

Dalam agenda yang disebut neo-Uthmaniyah dalam dasar luar Turki, aksi mewakili pembelaan terhadap umat Muslim Palestin itu menduduki satu tempat yang istimewa.

Neo-Uthmaniyah yang mempunyai kaitan dengan masa silam Turki sebagai pelindung umat Muslim kini kelihatan dihidupkan kembali melalui satu agenda dalam dasar luar Turki.

Aksi Erdogan itu menegaskan kedudukan Turki sebagai pembela umat, aksi yang hanya diatasi kemudian oleh serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara awal 2010.

Hasilnya, Turki muncul di dunia Islam sebagai pembela utama Palestin, imej yang terus diperkukuhkan melalui pelbagai kenyataan dan tindakan.

Kemenangan kali ketiga AKP ini memberikannya mandat untuk meneruskan dasar luar yang telah dimulakan dengan agresif di bawah menteri luar lantikan Erdogan, Ahmet Davutoglu.

Kedudukan yang agak selesa ini terus membenarkan Turki memberi tumpuan kepada agenda dasar luarnya membina pengaruh di Asia Barat, untuk muncul sebagai kuasa dominan rantau itu dan mengulangi kegemilangan era Uthmaniyah.

Perkembangan di Asia Barat dan Afrika Utara telah menjadikan Turki sebagai model di wilayah itu, disebabkan keupayaannya melaksanakan demokrasi dengan lebih matang, walaupun dengan keterbatasan tertentu.

Rejim-rejim dunia Arab yang semakin tidak popular dan dijadikan rujukan autoritarian sejak bermula kebangkitan telah menonjolkan Turki, sama ada benar atau salah, sebagai model terbaik.

Walaupun komentar-komentar Barat semakin kritikal dengan Erdogan dan parti pimpinannya disebabkan dasar luar yang semakin bebas dan beberapa isu dalaman lain, Barat terus memberi sokongan kepada Turki sebagai model di wilayah terbabit.

Dalam wacana media popular Barat, Turki terus disebut sebagai model politik untuk negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara yang sedang menyaksikan perubahan, walaupun tindakannya berhubung Israel semakin dikecam.

AKP kini terus popular berdasarkan keputusan pilihan raya parlimen terbaharu, tetapi kejayaannya kekal popular turut mengundang reaksi bertentangan yang agak setara.

Kes AKP telah menunjukkan dalam politik yang mempunyai pelbagai polar – nasionalis kanan sekular, Islamis dan kumpulan etnik Kurdis – sesebuah parti, walaupun popular tetap mampu menjadi divisif dalam beberapa isu.


Populariti yang tinggi juga mampu mendorong sesebuah kerajaan menjadi semakin tidak toleran dengan kritikan, terutama dalam hal-hal menyentuh dasar parti pemerintah tersebut.

Tuntutan pelbagai kumpulan mudah untuk menghambat sesebuah kerajaan, tidak kira di kedudukan mana ia berada dalam spektrum ideologi politik.

Dalam kes AKP, isu Kurdis menjadi satu isu yang terbukti sangat mencabar, sehingga menjejaskan kredibiliti parti itu sebagai demokrat.

Hal ini juga memperlihatkan tidak ada satu parti yang mampu memonopoli semua nilai-nilai baik yang menjadi tuntutan, menjelaskan keperluan penting kemampuan pembangkang dan media untuk melakukan semak dan imbang.

Usaha membina perlembagaan baharu yang lebih memenuhi tuntutan zaman juga memperlihatkan cabaran besar yang terpaksa dilalui AKP, yang kini dituntut membina konsensus untuk mencapai apa yang menjadi matlamat ramai pada masa ini.

Harapan-harapan dan retorik populis mudah untuk disuarakan semasa kempen tetapi akan segera berdepan halangan dalam politik dan pentadbiran yang jauh lebih kompleks.

Labels: , , ,