Avril Lavigne
"It seems that everything's gone wrong since Canada came along!"
- Blame Canada
Bagi ramai rakyat Kanada, kejayaan Avril Lavigne mungkin sesuatu yang boleh dibanggakan. Setelah semakin ramai konsumer budaya popular (yang bersumberkan Amerika) mula "muak" dengan Britney Spears, kemunculan Avril Lavigne (artis yang boleh disifatkan sebagai anti-Britney) dengan album Let Go mengubat kerinduan pendengar untuk sesuatu yang berbeza. Bagi sejumlah rakyat Kanada yang memiliki fanatisme tersendiri dalam hal budaya, kejayaan Avril boleh dilihat sebagai kejayaan Kanada menewaskan pengaruh meluas Britney, seorang rakyat Amerika.
Cerita di media mengenai Avril, yang setakat ini hampir semuanya positif, juga seringkali membandingkannya dengan beberapa artis wanita dari Amerika, termasuk Mandy Moore dan Christina Aguilera, seperti di majalah Rolling Stone tidak lama dulu yang melaporkan: "An icon … who wears baggy pants, plastic bracelets and a scowl -- not the skimpy threads and Ultra brite smiles of Britney and Mandy and Beyonce and pre-‘Dirrty’ Christina."

Tetapi, hubungan budaya Amerika-Kanada sentiasa, seperti dinyanyikan Avril, agak "complicated." Avril, artis berketurunan Perancis-Kanada (dua negara musuh ketat budaya Amerika) dari sebuah keluarga Kristian yang patuh ini, lebih mudah untuk dilihat sebagai ikon budaya popular global, dan menjadi bukti bahawa budaya popular Amerika bukan milik Amerika tetapi milik dunia.
Kanada, walau kelihatan tidak ada beza dengan jirannya di selatan itu, adalah antara negara yang paling kuat mewujudkan pelbagai bentuk peraturan yang dikatakan bertujuan melindungi budaya Kanada yang semakin terpinggir. Beliau juga membawa bersama nama keluarga Perancis (negara yang paling kuat berperang budaya dengan Amerika) yang seringkali disalah sebut. "People mispronounce my name all the time," katanya.
"Cheese-eating surrender monkey"
"You know what they call a Quarter-Pounder with Cheese in Paris?"
"They don't call it a Quarter-Pounder with Cheese?"
"They got the metric system. They wouldn't know what the fuck a Quarter-Pounder is."
"What do they call it?"
"A Royale with Cheese."
- Pulp Fiction
Sejak dulu lagi, Perancis, yang kaya budayanya, menganggap budaya dan citarasa Perancis sebagai yang terbaik, sebagai kayu pengukur bagi budaya lain. Hari ini, Perancis melaksanakan pelbagai peraturan untuk cuba menyekat dan menghadkan kemasukan produk-produk budaya popular Amerika.

Negara ini, yang melahirkan aktivis antikorporat José Bové (dikenali melalui tindakannya melaku musnah sebuah restoran McDonald's di Perancis), juga cuba mengheret Kesatuan Eropah (EU) dalam perang budayanya. Ia pernah menggesa EU agar mengeluarkan dikri untuk menghadkan kemunculan produk budaya "bukan Eropah" (sebenarnya bukan-Perancis) di media negara anggota EU. "Europeans must love Europe," kata François Mitterand, bekas Presiden Perancis di parlimen Eropah.
Di Perancis sendiri, kuota diwujudkan oleh pihak berkuasa untuk menyekat penggunaan produk budaya Amerika, terutama di kalangan anak muda yang semakin biasa dengan MTV, McDonald's, Coca-Cola dan lebih mengenali William Shakespeare dan Avril dari Molière serta semakin mudah menuturkan "fuck" dan "cool." Cukai dari jualan tiket filem asing disalurkan kepada industri filem Perancis, yang semakin tidak mendapat tempat di kalangan generasi baru negara itu.
Bagaimanapun, di Amerika, Perancis menerima layanan yang tidak lebih baik. Akibat percaturan dasar luar Amerika hari ini dan keengganan Perancis menyertai dan menyokong kempen ketenteraan kuasa besar dunia itu di Teluk Parsi, prejudis dan stereotaip rakyat Amerika terzahir dengan berleluasa. Ungkapan "cheese-eating surrender-monkey" disebut dengan meluas akibat kemarahan Amerika terhadap Perancis yang menolak untuk menyokong perang.
Ungkapan stereotaip ini pula asalnya dari komedi The Simpsons, hasil karya Matt Groening yang dikatakan sarat dengan stereotaip perkauman. Watak yang pertama kali mengucapkannya ialah Groundskeeper Willie, pekerja sekolah berketurunan Scotland. Walaupun beberapa watak dalam The Simpsons boleh dilihat sebagai mempamekan stereotaip perkauman terhadap bangsa bukan kulit putih seperti pengusaha kedai runcit Kwik-E-Mart, Apu Nhasapeemapetilon, bangsa kulit putih juga dipersembahkan dengan stereotaip tersendiri seperti Homer yang malas dan kurang bijak dan jirannya Ned Flanders, seorang nerd dan Kristian yang taat.
"Blame America""For Canada and other countries, globalization has been a phenomenon within which their distinct, non-American cultures must struggle to survive."
- Bekas Perdana Menteri Kanada, Kim Campbell
Suatu ketika dulu, lagu nyanyian Lenny Kravitz, American Woman berjaya memperoleh kedudukan sebagai satu karya Kanada dan boleh dimainkan untuk mengisi kuota karya tempatan yang diperintahkan oleh kerajaan. Perkara ini mungkin mengelirukan, memandangkan penyanyinya ialah seorang rakyat Amerika. Tetapi, menurut peraturan budaya Kanada, lagu itu memenuhi syarat yang ditetapkan, kerana ia dihasilkan oleh artis 1970'an yang berasal dari negara itu, The Guess Who.
Peraturan ini meletakkan empat perkara yang perlu dipenuhi oleh sesebuah karya, iaitu muzik, artis, produksi dan lirik (MAPL). Sekurang-kurangnya dua kategori perlu dipenuhi (dengan penglibatan utama rakyat Kanada) untuk dianggap sebagai karya Kanada, dan American Woman bukan sahaja berjaya memenuhi dua syarat itu, tetapi juga menggambarkan sikap sejumlah warga Kanada yang kurang senang dengan Amerika.
Peraturan ini sememangnya mengelirukan, dan boleh juga merugikan. Lagu artis popular dari Kanada, Celine Dion yang menjadi lagu tema filem Titanic (1997), My Heart Will Go On hanya berjaya memenuhi satu syarat; artis Kanada, dan diketepikan dari kuota karya Kanada. Sikap Kanada ini menerima sindiran tajam dalam filem antisensor South Park (1999).

Filem ini mengisahkan sikap gopoh sekumpulan ibu di sebuah bandar kecil di Amerika yang berjuang mengharamkan apa-apa yang berasal dari Kanada, sehingga membawa kepada peperangan antara dua negara jiran itu, ekoran pengaruh filem dari negara itu, Asses of Fire karya Terrance dan Phillip yang menyebabkan anak-anak kecil mereka mengucapkan kata-kata seperti "fuck," "ass," "donkey-raping shit-eater" dan menyanyikan lagu "Shut Your Fucking Face Uncle Fucker."
Karya Matt Stone dan Trey Parker ini merupakan kritikan terhadap penapisan (satu watak dalam filem ini berkata: "Men, when you're out there in the battlefield … and people are dying all around you, just remember what the MPAA (Motion Picture Association of America) says, 'Horrific, deplorable violence is okay as long as people don't say any naughty words.'") dan sikap simplistik penentang budaya popular Amerika, terutamanya Kanada. Lagu Blame Canada menggambarkan pandangan simplistik pemelihara budaya Kanada yang menyalahkan Amerika sepenuhnya.
"Don't play-play"
"Traditional Asian ideas of morality, duty and society which have sustained us in the past are giving way to a more Westernized, individualistic, and self-centered outlook on life."
- Bekas Presiden Singapure, Wee Kim Wee
Pensejagatan budaya yang rancak berlangsung hari ini seolah-olah menyatukan seluruh dunia dengan satu budaya. Di Singapura, negara tuan rumah anugerah MTV Asia -- yang menyaksikan kemenangan besar dan sambutan luar biasa terhadap Avril baru-baru ini -- satu contoh yang unik dapat dilihat.
Di negara yang diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang paling banyak menerima pensejagatan ini, wujud produk budaya popular yang diterima baik dan menggambarkan rakyat biasa kota kosmopolitan itu. Di tengah-tengah kegilaan terhadap American Idol -- yang hampir menyamai fenomena rancangan ini di Amerika sendiri -- dan cara hidup ala-Amerika pelajar-pelajar sekolah Moulmein High, sit-com Phua Chu Kang (PCK) kekal sebagai rancangan tempatan paling digemari.
Rancangan ini, dan juga Under One Roof, kelihatan lebih realistik dan menggambarkan kehidupan sejumlah besar rakyat Singapura, terutama dengan nilai-nilai tempatan dan penggunaan Singlishnya. Dan tidak kurang yang berpendapat rancangan berkenaan lebih menarik sebelum kempen bertutur dengan Bahasa Inggeris dengan betul oleh kerajaan.
Phua Chu Kang, watak lakonan Gurmit Singh ini diperlihatkan sebagai seorang yang "biasa," seorang kontraktor yang tidak berpendidikan tinggi. Watak beliau dipersembahkan sebagai seorang yang menyangka Arsenal (Arsenal FC) ialah sebuah bandar di Britain, seperti juga Manchester dan Liverpool, dan menganggap pemindahan hati artis Pierre Png (melakonkan Phua Chu Beng dalam PCK) kepada kekasihnya Andrea De Cruz sebagai satu "compiracy" (conspiracy). Mungkin watak beliau yang mudah itu menyebabkan komedi itu terus diminati, setanding dengan produk Amerika yang membanjiri televisyen Singapura.
Perang budaya, seiring dengan integrasi budaya, akan terus menjadi satu ciri penting pensejagatan hari ini, kerana mereka yang mempertahankan budaya masing-masing mempunyai sebab tersendiri. Menurut pakar sosiologi dan sains politik Universiti Harvard, Theda Skocpol, "In an era of global capitalism, cultural distinctiveness can become more important, not less important. Because it's sort of what people have left." Tidak mustahil satu hari nanti Avril Lavigne juga akan menjadi mangsa sikap dan peraturan budaya negaranya sendiri, memandangkan beliau kini merupakan ikon budaya popular, yang boleh dilihat sebagai sebahagian imperialisme budaya Amerika oleh sebahagian masyarakat dan kerajaan Kanada. - April 2003