Politik Pop

Monday, March 12, 2007

Senjata Ekonomi untuk Lemahkan Iran



Persoalan kemungkinan Amerika Syarikat melancarkan perang terhadap Iran sedang hangat dibincangkan. Sekiranya diperhatikan daripada retorik pemimpin AS Presiden George W Bush dan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dari Iran, perang akan tercetus tidak lama lagi.

Retorik Bush tentang Iran - yang menyamai amarannya tentang bahaya senjata pemusnah Iraq, halangan urusan perbankan dengan Iran, pergerakan kapal perang AS ke kawasan sekitar Iran dan latihan perang diketuai AS beberapa bulan lalu menunjukkan persediaan Bush untuk melancarkan serangan terhadap Iran. Semua ini dilaksanakan sejak sekitar setahun lalu.

Negara-negara Arab seperti Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait telah pun memberikan sokongan kepada agenda Washington dengan menyertai latihan tentera dan membenarkan wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Iran.

Media arus perdana AS telah ternyata sekali lagi menjadi penyokong perang dan tidak memainkan peranannya sebagai pengkritik kuasa. Kes dakwaan Bush bahawa kerajaan Iran terlibat membekalkan senjata kepada pejuang di Iraq menguatkan kepercayaan sokongan media arus perdana Barat kepada agenda memerangi Iran.

Pentadbiran Bush membocorkan maklumat-maklumat terpilih kepada media yang tidak kritikal. Maklumat-maklumat itu semua menunjukkan apa yang ingin dibuktikan pentadbiran Bush iaitu Iran mengancam keselamatan dunia.

Ketika hendak menyerang Iraq, bukti palsu senjata pemusnah besar-besaran dan hubungan rejim Saddam Hussein dengan al-Qaeda dimainkan dan diterima dengan tidak kritikal oleh media. Persamaan dengan pembinaan kes terhadap Iran dapat dilihat jelas semua pihak.

Hari ini peranan kumpulan pejuang Syiah dimainkan oleh Bush. Mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan Iran, walaupun di Iraq, serangan paling banyak terhadap tentera AS dilakukan oleh pejuang Sunni, tetapi hanya serangan kumpulan Syiah diperbesarkan.

AS juga melakukan tindakan provokasi terhadap Iran di Iraq, kemungkinan dengan harapan mendorong Iran bertindak dan memberikan alasan untuk AS bertindak balas.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak dikemukakan bukti jelas apa yang dikatakan program senjata nuklear Iran atau pun hubungan Iran dengan militan di Iraq. Seorang pakar dari New America Foundation ketika muncul dalam televisyen al-Jazeera menyatakan sukar untuk dipercayai hubungan kerajaan Iran dengan pembekalan senjata tersebut. Menurutnya Iran tidak terlibat dengan setiap perincian operasi menentang AS di Iraq.

Rundingan

Walaupun Tehran secara konsisten menyatakan kesediaan bersemuka dan mencari jalan penyelesaian diplomatik yang rasional, pelawaan itu ditolak Washington. Rundingan dengan Korea Utara yang telah pun mempunyai teknologi senjata nuklear telah pun berjaya mendesak Pyongyang menghentikan ujian senjata nuklearnya. Ini menunjukkan jalan diplomatik boleh diambil, tetapi AS enggan berbuat demikian.

Menurut anggaran perisikan nasional AS, Iran hanya akan dapat membina senjata nuklear menjelang 2015. Tetapi, di Iran sendiri berlangsung debat hangat sama ada senjata nuklear diperlukan.

Isu sebenar bukan senjata nuklear Iran kerana Iran tidak memiliki senjata nuklear. Iran juga mematuhi peruntukan Perjanjian Mencegah Percambahan Nuklear atau NPT. Keenganan Iran menghentikan program nuklear bukan menunjukkan penentangan terhadap rejim kawalan nuklear antarabangsa tetapi sekadar meneruskan program yang dibenarkan di bawah NPT.

Iran pernah pada 2003 menghentikan aktiviti nuklearnya ketika berunding dengan Britain, Jerman dan Perancis tetapi kemudian memutuskan untuk meneruskannya selepas melihat tidak ada perkembangan yang membawa ke mana-mana.

Terbaru, Iran sekali lagi menegaskan tidak akan menghentikan aktiviti program nuklear, tetapi mengalu-alukan rundingan tanpa sebarang syarat.

Menteri luar Iran, Manuchehr Mottaki berkata demikian selepas AS dan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan Jerman menimbangkan untuk meningkatkan sekatan ke atas Iran selepas satu mesyuarat.

Bagaimanapun Rusia dan China telah menghalang tindakan lebih keras terhadap Iran, tetapi sekiranya AS bertindak menyerang Iran, kedua-dua negara pemegang veto dalam Majlis Keselamatan ini tidak mampu menghalang.

Majlis Keselamatan mengenakan sekatan terhad terhadap Iran Disember lalu dan memberikan tempoh 60 hari untuk menghentikan program nuklear. Tempoh itu berakhir Rabu minggu lalu.

Hakikatnya, rejim kawalan nuklear antarabangsa tidak berfungsi seperti sepatutnya kerana tidak ada cara untuk menghalang mana-mana negara mendapatkan senjata nuklear dan kuasa-kuasa besar sendiri mencabuli peraturan ini untuk kepentingan masing-masing, seperti AS yang memberi bantuan nuklear kepada India dan melindungi Israel.

Iran tahu bahawa hasil minyak hanya sementara kerana produksinya semakin merosot kerana penyusutan sumber itu dan kekurangan pelaburan asing yang membawa teknologi untuk mencari dan mengekstrak dengan lebih berkesan.

Pendirian Bush enggan berunding dengan Iran yang masih jauh daripada memiliki senjata nuklear menunjukkan pendirian tentang Iran telah pun dibuat.

Isu-isu seperti sokongan kepada terorisme, senjata nuklear dan sebagainya hanya untuk mengelirukan.

Sejak beberapa tahun lalu, AS tidak menyertai usaha diplomatik berunding dengan Iran berhubung program nuklearnya. Malah, AS menggunakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengenakan sekatan terhadap Iran. Sekatan ini memberi kesan kepada ekonomi Iran.

Sekatan ekonomi

Dalam menekan Iran, AS menggunakan sepenuhnya senjata ekonomi melalui sekatan PBB dan pelbagai cara lain.

Januari lalu, pentadbiran Bush mengharamkan urusniaga bank AS dengan sebuah bank milik negara Iran, Bank Sepah. Sebelum itu, tindakan sama dikenakan ke atas sebuah lagi bank milik kerajaan Iran, Bank Saderat.

Mei tahun lalu, empat bank Eropah, UBS, Credit Suisse, ABN Amro dan HSBC menghadkan aktiviti mereka di Iran ekoran tekanan Washington. Bank-bank tersebut diberi amaran agar tidak “terlibat dengan kerajaan yang menyokong terorisme.”

UBS dan ABN Amro pernah didenda pihak berkuasa AS kerana berurusniaga dengan negara-negara yang ingin dipinggirkan AS.

Walaupun ada pihak mendakwa Iran boleh bertahan disebabkan harga minyak tinggi yang membawa pendapatan, sekatan ini mampu menghalang aktiviti ekonomi Iran di peringkat antarabangsa dan menghalang pelaburan asing, terutama apabila AS meningkatkan tekanan terhadap negara lain.

Bagaimanapun, tindakan itu bukan senjata ekonomi paling keras terhadap Tehran. Arab Saudi, negara pengeluar minyak terbesar dunia yang juga pesaing Iran di rantau Timur Tengah bersedia meningkatkan produksi minyak untuk menjatuhkan harga komoditi itu di pasaran global. Ini akan memberi kesan kepada ekonomi Iran yang bergantung hampir sepenuhnya pada pendapatan minyak.

Peranan Arab Saudi menunjukkan isu penting persaingan untuk menjadi kuasa utama di Timur Tengah.

Peningkatan pengaruh Iran akan bermakna pengaruh Arab Saudi merosot. Sekarang Arab Saudi masih dilihat sebagai negara paling berpengaruh di Timur Tengah dan di kalangan negara-negara Muslim. Terbaru, rundingan damai melibatkan Hamas dan Fatah di Mekah meningkatkan lagi profil Arab Saudi sebagai kuasa Timur Tengah yang berpengaruh.

Dan tidak boleh dinafikan juga persaingan aliran Sunni dan Syiah di dunia Muslim. Sejarah telah menunjukkan persaingan politik dan ideologi antara Saudi dan Iran. Persaingan ini meningkat dengan mendadak ekoran kebangkitan yang menjatuhkan Shah Reza Pahlavi di Iran. Saudi bimbang penyebaran pengaruh Iran turut menyebarkan sekali aliran Syiah.

Israel

Selain Arab Saudi, Israel merupakan negara yang paling bimbang dengan perluasan pengaruh Iran. Iran menjadi salah satu sumber kekuatan Hizbullah dan turut memberi sokongan kepada Hamas.

Peningkatan harga minyak yang tinggi memberi pendapatan lebih kepada Iran dan ini membolehkannya memberi bantuan kepada Hizbullah dan Hamas.

Sekiranya Arab Saudi memainkan peranan seperti Iran ini, pengaruh Iran mungkin merosot. Arab Saudi mempunyai sumber kewangan yang lebih besar daripada Iran.

Israel sentiasa melihat Iran sebagai ancaman, terutama dengan peningkatan pengaruh dan keupayaan teknologi terkini. Retorik Presiden Ahmadinejad memberi peluang kepada Israel untuk memperbesarkan ancaman Iran.

Israel kini satu-satunya negara Timur Tengah mempunyai senjata nuklear. Walaupun jalan Iran masih jauh, Israel bimbang Iran akan mencabar hegemoni nuklearnya di Timur Tengah.

Iran yang lebih kuat bermakna Hizbullah dan Hamas yang lebih berupaya menghadapi Israel secara ketenteraan.

Arab Saudi kini dilaporkan bukan sahaja menggunakan sumber kewangan untuk melemahkan pengaruh Iran tetapi juga Syria, sebuah lagi negara yang membekalkan senjata kepada Hizbullah.

AS telah pun melemahkan pengaruh Syria di Lubnan apabila berjaya mendorong pengunduran tentera Syria dari negara itu.

Pengaruh Iran yang meningkat dirasakan oleh kuasa Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Israel. Peningkatan pengaruh Iran yang berlaku tanpa sekatan membimbangkan kuasa-kuasa lain di rantau ini. - 27 Februari, 2007

Labels: , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home