Politik Pop

Monday, August 20, 2007

Pertubuhan Kerjasama Shanghai 2007


Pengukuhan SCO dan Persaingan Rusia-China



Sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan baru-baru ini berlangsung ketika berlaku pelbagai perkembangan dramatik negara anggotanya, terutama melibatkan hubungan Rusia dan Iran dengan Barat.

Pertemuan itu juga diadakan berlatarkan latihan perang besar-besaran dinamakan Peace Mission 2007, kali pertama melibatkan kesemua negara anggotanya, menandakan dimensi keselamatan kolektif pertubuhan yang digelar "Nato Timur" itu semakin ditekankan, lebih-lebih lagi oleh Moscow yang berang dengan rancangan Washington menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah Timur sehingga menarik diri daripada perjanjian melibatkan penempatan tentera dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.

Apa yang menarik untuk diperhatikan ialah Rusia di bawah Presiden Vladimir Putin semakin agresif membawa SCO untuk memenuhi agendanya, seperti mewujudkan kelab tenaga di kalangan negara-negara Asia Tengah dan meningkatkan peranan pertahanan SCO. Rusia telah berjaya merapatkan hubungan SCO dengan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) badan pertahanan kolektif pimpinan Moscow yang disertai semua ahli SCO kecuali China. CSTO juga turut melibatkan Armenia dan Belarus. Pembinaan hubungan CSTO dengan SCO ini dibuat ketika Rusia sedang menentang dengan keras perluasan operasi Nato ke timur.

Latihan perang Peace Mission 2007 juga, yang melibatkan 6,500 anggota tentera, boleh dilihat sebagai isyarat SCO kepada Nato tentang kepimpinannya di rantau Asia Tengah. Pembinaan hubungan SCO dengan CSTO memberi isyarat kepada Nato bahawa pengaruh dan kemampuan pakatan baru pimpinan China dan Rusia ini tidak boleh dipandang ringan oleh Nato yang masih tidak mengiktiraf CSTO.

Sejarah ringkas CSTO menerangkan persaingan Rusia dengan Barat di Kaukasus dan Asia Tengah. Azerbaijan, Georgia dan Uzbekistan menarik diri dari CSTO pada 1999. Ketiga-tiga negara tersebut ketika itu mula cenderung kepada Barat. Pada penghujung 2003, kebangkitan rakyat di Georgia mengubah kecenderungan politik negara bekas Soviet itu ke Barat.

Georgia kini menganggotai Pertubuhan bagi Demokrasi dan Pembangunan Ekonomi GUAM, pertubuhan anti-Rusia terdiri daripada Georgia, Ukraine, Azerbaijan dan Moldova. Uzbekistan menyertai GUAM - dan menjadikan namanya GUUAM buat seketika - setelah keluar dari CSTO tetapi berikutan peralihan dasar luarnya berikutan peristiwa Andijan, negara pimpinan Presiden Islam Karimov itu kembali menyertai CSTO pada 2006 selepas meninggalkan GUUAM pada tahun sebelumnya. Sejak itu, CSTO mula menunjukkan kesepakatan dan kepimpinan Rusia kembali ditegaskan.

Pada masa sama, China kelihatan lebih berhati-hati, antaranya untuk tidak memburukkan lagi hubungannya dengan Amerika Syarikat, rakan perdagangan yang penting. Tetapi China juga sedang melalui hubungan dingin dengan AS ketika ini. AS baru sahaja menyempurnakan perjanjian kerjasama nuklear dengan India, negara berstatus pemerhati dalam SCO tetapi juga pesaing utama China di rantau Asia.

Dan pada masa sama juga, AS sedang mengukuhkan pakatan pertahanan melibatkan Jepun dan Australia dan cuba membawa India untuk menyertai pakatan ini. Bagi China, jelas sekali pakatan ini ditujukan terhadapnya, lebih-lebih lagi negara yang paling agresif mahu mengukuhkan pakatan ini ialah Jepun, yang juga sedang menuju pindaan perlembagaan untuk menamatkan era "perlembagaan aman" yang menghadkan peranan tenteranya.

China lebih mengutamakan dimensi ekonomi dan politik SCO berbanding pertahanan. Hal ini menunjukkan satu persaingan China dengan Rusia. China yang sedang pesat membangun memerlukan sumber minyak dan gas yang semakin meningkat dan negara-negara Asia Tengah dalam SCO ialah sumber bagi China. Dalam hal pertahanan, jelas sekali China agak terkebelakang berbanding Rusia dan penekanan dalam hal pertahanan akan memberikan Rusia peranan kepimpinan yang lebih besar.

Sejak penubuhannya sebagai kumpulan Lima Shanghai pada 1996, pertubuhan ini telah menunjukkan pengukuhannya dalam pelbagai bidang, walaupun berdepan banyak halangan melibatkan perbezaan agenda. Pakatan ini wujud ekoran daripada usaha penyelesaian pertikaian sempadan China dan Rusia.

Pada mulanya kumpulan Lima Shanghai melibatkan China dan Rusia dan tiga negara Asia Tengah, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Kemasukan Uzbekistan dan penukaran nama kepada Pertubuhan Kerjasama Shanghai pada 2001 menjadi petanda penting kepada SCO. Tahun 2001 ialah tahun bermulanya AS memasuki kawasan Asia Tengah yang penting bagi kedua-dua China dan Rusia.

Pada mulanya, pertubuhan ini dilihat sebagai tidak lebih daripada sebuah "kelab diktator." Kemudian, ekoran peristiwa 11 September, 2001, AS mula menempatkan tenteranya di Asia Tengah yang dilihat oleh Rusia sebagai ruang pengaruhnya. Negara terbabit menerima kehadiran tentera AS dan membina hubungan politik yang rapat dengan Washington.

Tetapi kemudian penempatan tentera AS dan penyebaran demokrasi oleh Barat di sana semakin menimbulkan keresahan Rusia dan China. Pada 2005, sidang kemuncak SCO memutuskan untuk menghadkan penempatan tentera AS di Asia Tengah. Pada tahun yang sama, musuh AS, Iran diterima sebagai ahli pemerhati.

Walaupun berbeza ideologi, SCO berpotensi untuk memainkan peranan politiknya dengan berkesan, dengan adanya kepimpinan China dan Rusia. Kepentingan bersama negara terbabit sudah cukup untuk membina pakatan yang mampu mengimbangi pengaruh AS. Hal ini merupakan satu ancaman kepada kepentingan AS.

Bekas penasihat keselamatan nasional AS, Zbigniew Brzezinski memberi amaran tentang potensi ini dalam bukunya The Grand Chessboard: American Primacy and its Geostrategic Imperatives yang diterbitkan pada 1997.

"Senario paling berbahaya adalah pakatan besar China, Rusia dan mungkin Iran, satu pakatan 'antihegemonik' yang disatukan bukan oleh ideologi tetapi rasa tidak puas hati masing-masing." Menurut Brzezinski, pakatan ini akan mengingatkan kembali kepada cabaran blok China dan Soviet terhadap Barat semasa Perang Dingin.

Peranan pakatan antihegemonik ini telah pun terbukti mampu dibawa oleh SCO, walaupun perbezaan mampu menjejaskan kesatuan pertubuhan ini. Peranan sebagai pengimbang AS, dan untuk mewujudkan dunia yang tidak dikuasai oleh satu kuasa sahaja sering ditegaskan oleh pemimpin-pemimpin negara SCO, terutama Rusia, China dan Iran.

Negara-negara lain, yang tidak memiliki kekuatan seperti kuasa tersebut, terpaksa memilih untuk bersama pakatan ini, untuk mengambil manfaat daripada kumpulan tersebut dan mengelakkan daripada kerugian akibat dipinggirkan.

Ini kemungkinan matlamat yang paling dapat dipersetujui ahli-ahli. Semua negara pasti mahu hubungan dengan jiran sekitarnya terus berjalan dengan baik, tetapi tidak mahu kepentingan mereka tergadai untuk memenuhi agenda kuasa lain tanpa mereka mendapat pulangan yang setimpal.

Walaupun mengiktiraf kepimpinan China, seperti yang dilakukan malah oleh Rusia sendiri, negara ahli lain tidak mahu kehilangan terus kebebasan membuat keputusan. Rusia telah menunjukkan kekuatannya sendiri yang perlu dihormati oleh China, iaitu kekuatan tentera dan kemajuan teknologi senjata yang melebihi apa yang mampu dibangunkan China. Apa yang dilakukan Moscow ialah menegaskan bahawa ia adalah negara paling kuat dari segi ketenteraan dalam SCO dan oleh itu perlu memimpin dalam soal ketenteraan. Rusia juga menjadi sumber bekalan senjata canggih China.

Negara kaya minyak dan gas Kazakhstan pula tidak mahu terus menolak hubungan baik dengan AS dan syarikat tenaga Barat kerana potensi untuk mendapatkan keuntungan daripada kedudukannya sebagai salah sebuah gergasi tenaga dunia. Kazakhstan memiliki tiga medan minyak besar yang menjadi perhatian semua pihak, iaitu medan minyak Tengiz, Kashagan dan medan minyak dan gas Karachaganak.

Kazakhstan memerlukan modal dan teknologi untuk membangunkan potensi itu, tanpa mengira politik. Medan minyak dan gas Kazakhstan kini dibangunkan syarikat utama dunia seperti Exxon Mobil, Chevron Texaco, Royal Dutch Shell dan juga syarikat dari Rusia.

Tetapi respons baik dari negara ahli menunjukkan minat negara-negara ahli terhadap SCO semakin kukuh dan pertubuhan ini menjadi semakin kohesif sebagai sebuah pertubuhan serantau.

Bagaimanapun, sifat tidak demokratik rejim-rejim negara ahli SCO berpotensi untuk mewujudkan ketidakstabilan dalaman negara terbabit. Alasan memerangi "terorisme, fundamentalisme dan ekstremisme" ditujukan kepada minoriti yang bagi kes Rusia dan China - dan juga negara Asia Tengah - ialah warga beragama Islam.

Tekanan ke atas pembangkang dan minoriti yang menjadi asas pembinaan SCO ini menjadikan pakatan ini sukar untuk melaksanakan diplomasi awam bagi membina imej yang diterima ramai. Kelemahan ini antara faktor yang boleh membuka negara-negara SCO kepada kecaman antarabangsa dan memberi peluang kepada aktiviti kumpulan masyarakat sivil Barat yang boleh menyumbang kepada perubahan politik negara terbabit.

SCO juga mampu berperanan sebagai pakatan pelbagai negara untuk kepentingan perdagangan tenaga. Rusia, Iran dan Kazakhstan ialah negara kaya minyak dan gas manakala China kini sentiasa memerlukan bekalan tenaga untuk memacu pembangunan. China kini menduduki tangga kedua pengguna minyak terbesar dunia. Kedudukan geografi negara terbabit juga memudahkan urusniaga dan kerjasama dalam sektor ini dilaksanakan.

Dalam sidang kemuncak kali ini, Turkmenistan akan diwakili Presiden Gurbanguly Berdymukhammedov, menunjukkan hubungan semakin rapat Turkmenistan - sebuah lagi negara kaya minyak Asia Tengah - dengan SCO. Sebelum ini, di bawah pimpinan Presiden Saparmurat Niyazov, Turkmenistan cuba mengekalkan dasar neutral dan tidak mahu melibatkan diri dengan SCO. Perubahan sikap Turkmenistan ini mampu membawa manfaat kepada Rusia dan China, antaranya dalam konteks perebutan sumber minyak dan gas Asia Tengah antara negara rantau tersebut dengan AS dan Eropah.

Baru-baru ini, Turkmenistan menjalin kerjasama sektor tenaga dengan ekstensif dengan Rusia, China dan Iran, mengukuhkan kerjasama tenaga negara SCO dan memberi pukulan kepada usaha AS dan Eropah merebut sumber tersebut dan mengangkutnya melalui saluran yang dipersetujui pihak mereka. Perkembangan ini yang menguatkan hubungan Turkmenistan dengan SCO membuka kemungkinan untuk negara ini diterima sebagai ahli.

Bagaimanapun, setiap negara menyedari kuasa masing-masing dalam hal ini dan akan menggunakannya untuk memelihara kepentingan masing-masing. Kedua-dua Rusia dan China terlibat dalam usaha mendapatkan sumber tenaga di negara-negara Asia Tengah dan persaingan ini mampu membawa kepada pertembungan antara kedua-dua negara itu.

Pengkaji Asia Tengah dari AS, Martha Brill Olcott, penulis buku Central Asia's Second Chance meramalkan kedua-dua Rusia dan China yang mengejar sumber terhad yang sama akan bertembung. Sekiranya ini berlaku, kedua-dua negara tersebut perlu bertindak bijak untuk memelihara pakatan ini.

Persaingan Rusia dan China juga dapat dilihat dalam penentuan ahli tetap SCO. Kemasukan Iran sebagai ahli tetap membimbangkan China yang tidak mahu menjejaskan lagi hubungan dengan AS, manakala Rusia bersikap menerima Iran, walaupun hubungan kedua-dua negara sedikit terjejas akibat isu nuklear Iran.

Iran sebagai ahli tetap akan menimbulkan perhatian berlebihan terhadap SCO dan pengaruh Iran sebagai negara kaya tenaga akan membolehkannya melebarkan pengaruh dalam pertubuhan ini. Iran ialah salah sebuah negara yang berhasrat mengukuhkan dan melebarkan pengaruh di Asia Tengah, seperti juga Rusia, China dan India.

Iran kini sedang berunding dengan Pakistan dan India untuk membina saluran paip gas dari Iran melalui Pakistan ke India. Projek ini sekiranya terlaksana memberikan satu kelebihan kepada Iran dalam hubungannya dengan Pakistan dan India. Projek ini ditentang pentadbiran Bush, walaupun sekutunya India mahu ia diteruskan.

Dalam sidang kemuncak di Bishkek, pemimpin Iran Presiden Mahmud Ahmadinejad dalam ucapannya menimbulkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai ancaman program pertahanan peluru berpandu AS, pandangan yang selari dengan sikap Moscow. Tindakan ini jelas menunjukkan usaha Tehran menjaga hubungan baiknya dengan pentadbiran Putin. Di sidang kemuncak tahun lalu di Shanghai, Ahmadinejad juga menarik perhatian Washington melalui kenyataan provokatif.

Dua lagi negara nuklear berstatus pemerhati, India dan Pakistan juga memperlihatkan persaingan Rusia dengan China. India ialah sekutu penting Rusia manakala Pakistan sekutu China. Kemasukan kedua-dua negara musuh tradisi itu juga akan membawa masalah dari sudut perpaduan SCO dan penerimaan kepimpinan China dan Rusia. Dua negara terkuat SCO, China dan Rusia pasti tidak mahu SCO yang ahli tetapnya terlalu bebas memilih haluan sendiri, terutama sekiranya kerjasama dua hala dengan AS dan kuasa Barat.

SCO telah membuktikan kemampuannya menjadi pengimbang kepada AS seperti yang menjadi matlamat China dan Rusia. Bagaimanapun, persaingan dua kuasa utamanya, China dan Rusia untuk menegaskan agenda masing-masing yang adakalanya tidak sehaluan mampu menjejaskan pertubuhan ini sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.

SCO telah berkembang maju sejak penubuhannya, dengan agenda baru untuk mengukuhkan kerjasama pertubuhan ini ditegaskan setiap tahun. Apa pun cabaran dihadapinya, disebabkan pimpinan kuasa besar China dan Rusia, kepentingan bersama, saiz wilayah, populasi dan sumber minyak dan gas negara-negara SCO, pertubuhan ini mempunyai segala kemungkinan untuk menjadi sebuah pertubuhan yang semakin penting dan perlu diberi perhatian. - 16 Ogos, 2007

Link ke artikel-artikel berkaitan

Labels: , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home