Implikasi Senjata Anti-satelit China

China dihujani kritikan Amerika Syarikat dan sekutunya selepas mengadakan ujian memusnahkan satelit 11 Januari lalu. Selepas berakhirnya era Perang Dingin dengan Rusia, ujian oleh China itu menjadi petanda satu permulaan perlumbaan untuk menguasai ruang angkasa oleh kuasa-kuasa besar dunia, walaupun ujian China itu masih di peringkat permulaan.
Bagi kumpulan konservatif yang menguasai wacana anti-China yang sering berhujah tentang ancaman kuasa Asia itu, ujian China itu dikemukakan sebagai ancaman kepada AS. Bagi kumpulan yang lebih moderat pula, tindakan China itu hanya satu usaha diplomasi untuk menyampaikan mesej agar ruang angkasa lepas tidak dipersenjatakan.
Apa pun hujah yang dikemukakan, AS pasti melihat tindakan China itu sebagai ancaman terhadap penguasaannya di angkasa lepas. Kemampuan China itu bermakna satelit-satelit AS dan sekutunya akan terdedah kepada bahaya, sama ada yang dibayangkan atau yang benar-benar wujud.
AS sangat bergantung kepada satelit untuk komunikasi, fungsi yang sangat penting terutama ketika perlaksanaan tindakan ketenteraan. Satu contoh bahaya yang dikemukakan berhubung China ialah sekiranya berlaku perang di Selat Taiwan.
Kemampuan China menembak satelit AS bermakna satu kelebihan kritikal ketenteraan AS dapat dijejaskan oleh China. Ini pasti sangat membimbangkan AS sekiranya berlaku pada skala yang lebih besar. Ketika perang, pergantungan pada satelit sangat besar, termasuk untuk komunikasi dan memandu senjata melalui teknologi GPS.
Kemampuan teknologi China ini bererti hegemoni AS dalam persenjataan angkasa lepas digugat oleh China. AS pertama kali melakukan ujian senjata anti-satelit 22 tahun lalu. Kelebihan yang dimiliki AS kini bukan lagi miliknya seorang. Maka wujud juga kemungkinan teknologi ini akan sampai kepada tangan pihak lain yang tidak sehaluan dengan Washington. Ini akan lebih menyukarkan hal ini untuk diuruskan AS.
China pada awal 2006 lalu pernah melakukan satu serangan terhadap satelit menggunakan laser. Teknologi ini juga, sekiranya dibangunkan lagi akan mendatangkan ancaman kepada satelit AS. Hal ini tidak dilaporkan secara meluas di media antarabangsa dan tidak mengundang respons seperti yang dilihat hari ini. Ujian China Januari lalu benar-benar mencabar AS kerana secara tidak langsung menunjukkan cabaran Beijing terhadap Washington.
Pihak yang tidak mahu memperbesarkan cerita ini melihat tindakan China itu sebagai satu usaha diplomasi mendesak AS menyetujui perjanjian mencegah perlumbaan senjata di angkasa. Potensi yang ditunjukkan China itu diharap akan mendorong AS bersetuju untuk tidak mempersenjatakan ruang angkasa.
AS menolak sebarang perjanjian yang mengekang kebebasannya di angkasa. Salah satu sebabnya ialah ruang angkasa lepas dikuasai AS dan perjanjian seperti ini bermakna usahanya akan terhalang. Selain itu, persepsi ancaman China juga sebahagian usaha kelompok anti-China untuk mempengaruhi dasar luar berhubung China.
Bagi kumpulan yang tidak mesra China di Washington, AS dilihat sebagai terlalu berlembut dengan China.
Hal ini terjadi kerana hubungan dagangan yang sangat rapat antara AS dan China, walaupun kedua-dua kuasa besar ini sering tidak sehaluan dalam hubungan antarabangsa. Sebab perdagangan ini merupakan satu sebab penting mengapa kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan yang agak baik.
Apa pun, China telah memulakan sesuatu yang berpotensi mencabar dominasi angkasa oleh AS. China mustahil akan berhenti di situ. Yang pasti, usaha penyelidikan ke arah memiliki senjata anti-satelit akan terus bergerak ke hadapan. Masa akan menentukan bila China akan mempunyai kebolehan sebenar untuk memusnahkan satelit. Sebahagian besar satelit yang mengelilingi bumi dimiliki atau diuruskan AS, iaitu sebanyak 443 daripada 845 buah satelit.
Sekutu rapat AS yang berasa terancam dengan China turut bersuara mengkritik tindakan China itu. Menurut Tokyo, sikap tidak telus China itu mengukuhkan tanggapan bahawa pesaingnya itu mempunyai motif yang bertentangan dengan keamanan yang disuarakan. Sekutu lain AS turut menyertai kritikan ini. Britain dan Australia, negara yang mempunyai peranan yang tidak kurang penting dalam menangani kebangkitan China, juga melemparkan kritikan kepada Beijing. Rusia, bagaimanapun tidak mengkritik tindakan China itu.
Bagaimanapun, cerita senjata anti-satelit China ini perlu dibaca dengan rasional. Ancaman seperti yang dikemukakan kelompok konservatif di AS yang sentiasa memperbesarkan potensi ancaman China kemungkinan besar hanya hujah untuk menjustifikasikan tuntutan belanja yang lebih besar untuk pembangunan persenjataan angkasa serta meningkatkan perbelanjaan pertahanan yang sudah sedia tinggi.
Kompleks industri-militer AS sentiasa menagih belanja mega untuk mengekalkan keuntungan dan menegaskan kepentingangnya. Tanpa ancaman, kontrak-kontrak berbilion dolar tidak akan wujud dan diteruskan. Penerusan wacana anti-China dan juga ancaman-ancaman lain akan terus mengukuhkan industri berbilion dolar ini.
Usaha persenjataan angkasa lepas menjadi satu bahagian penting pertahanan AS, atau lebih tepat lagi, usaha mengekalkan kelebihan dalam bidang persenjataan.
Presiden Ronald Reagan pada 1983 dalam satu ucapannya menyeru pembangunan satu sistem pertahanan angkasa untuk mempertahankan AS daripada serangan peluru berpandu balistik. Pada awal pembangunannya - malah sehingga hari ini - projek yang bermula sebagai Inisiatif Pertahanan Strategik (SDI) yang digelar "Star Wars" ini dikecam sebagai tidak realistik dan sekadar menyuap belanja besar untuk industri pertahanan. Pengurusan program ini wujud sebagai satu bahagian dalam jabatan pertahanan AS.
Kesatuan Soviet ketika itu juga memulakan satu program yang sama. Projek besar AS ini masih diteruskan pada hari ini. Dengan bermulanya pentadbiran George W Bush, projek ini ditingkatkan lagi dan sekutu seperti Britain dan pesaing China di Asia, Jepun turut terlibat dalam pembangunannya.
Program ini kemudian disusun sebagai Organisasi Pertahanan Peluru Berpandu Balistik (BMDO) pada 1993, yang kemudian dinamakan Agensi Pertahanan Peluru Berpandu, di bawah sistem yang lebih kecil daripada dibayangkan SDI. Sistem pertahanan baru program ini dinamakan Pertahanan Peluru Berpandu Nasional (NMD). Pertahanan peluru berpandu ini bertujuan memintas serangan peluru berpandu di angkasa atau sebelum senjata tersebut menghampiri sasaran di AS atau negara sekutu.
Ujian-ujian sistem pertahanan ini tidak mencapai kejayaan yang ingin didedahkan, dan berdepan kritikan daripada banyak pihak, terutama kumpulan yang mengecam kompleks industri-militer dan ramai saintis.
Keupayaan persenjataan angkasa lepas AS juga masih dibangunkan tetapi usaha ini dijalankan dengan berterusan. Tahun ini, Jabatan pertahanan AS menuntut AS$74 juta untuk kajian dan pembangunan pertahanan di angkasa. Jumlah ini mungkin akan meningkat memandangkan cabaran yang kini dihadapi AS. Apa yang dilakukan China menunjukkan potensi negara itu mencabar dominasi ruang angkasa lepas oleh AS.



