Rusia Pasca-Putin
Pada 2 Mac nanti, rakyat Rusia akan keluar mengundi memilih - atau hanya mengesahkan - presiden baru mereka menggantikan Vladimir Putin, yang telah membawa perubahan besar terhadap ekonomi dan politik negara besar itu.Calon yang dipilih menggantikan Putin, Dimitri Medvedev dijangka akan menang mudah, memastikan legasi Putin diteruskan dan haluan yang telah ditetapkannya dikekalkan pemerintahan selepasnya.
Dalam satu sidang media baru-baru ini, Putin memuji pemimpin pilihannya itu. "Saya yakin dia akan menjadi presiden yang baik dan pengurus yang berkesan. Tetapi selain hal-hal lain, wujud satu keserasian peribadi: saya mempercayai dia. Saya memang percayakan dia. Seperti yang saya katakan di kongres Rusia Bersatu, saya tidak malu dan tidak takut untuk memberi kelebihan kepada seseorang untuk menguruskan negara," katanya seperti dilapor Interfax.
Melainkan sesuatu yang sangat luar biasa berlaku, Medvedev akan menjadi presiden Rusia selepas pilihan raya Mac nanti. Sokongan kuat Putin itu mempastikan Medvedev akan dipilih. Menurut satu tinjauan pendapat, Medvedev akan mendapat lebih 80 peratus undi.
Hampir pasti Medvedev, yang terhutang budi kepada Putin yang meningkatkan kedudukannya dalam elit kuasa Rusia, dari St Petersburg ke Moscow, tidak akan membuat perubahan besar tanpa restu mentornya itu.
Terutamanya sejak penggal kedua pemerintahan Putin dan beberapa tahun kebelakangan ini, Putin telah semakin menegaskan kuasa Rusia di rantau berdekatan dan di peringkat antarabangsa.
Berdepan cabaran perluasan keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), serta kempen penyebaran demokrasi oleh Barat melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Putin bertindak semakin agresif dalam dasarnya terhadap apa yang dilihat sebagai menggugat kuasanya dan kedudukan Rusia.
Penggal kedua pemerintahan Putin menyaksikan pemimpin ini mula bersikap semakin konservatif dan sangat menyedari prestij Rusia di peringkat antarabangsa. Selain mengukuhkan kedudukan dan kuasanya di dalam negara, Rusia mengukuhkan hubungan dengan negara-negara yang penting kepada dasar luar Rusia, seperti China, negara-negara Asia Tengah dan Iran.
Parti pro-Putin terus mengukuhkan kuasa di dalam negara sehingga melenyapkan terus peluang pembangkang untuk memberi saingan yang bermakna kepada pemerintah.
Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dari Barat yang dilihat berupaya menggugat kuasanya juga dijadikan mangsa sehingga sangat sedikit ruang untuk bergerak diberikan.
Tindakan-tindakan Putin ini mempastikan kuasa yang luas akan terus berada di tangan elit Kremlin. Selepas Putin, presiden dan kelompoknya selepas ini juga akan mendapat manfaat daripada pengukuhan kuasa itu. Legasi Putin ini pasti akan dipertahankan, demi untuk memelihara kuasa.
Medvedev dan elit pembuat keputusan Moscow juga dijangka akan meneruskan dasar luar realis pragmatik yang dimulakan oleh Putin, dasar yang mengimbangkan kerjasama dengan Barat terutama kuasa besar AS dan tindakan keras seperti menyekat bekalan gas seperti yang pernah dilakukan terhadap Ukraine.
Sebelum meninggalkan pejabat presiden, Putin menamatkan tahun 2007 dengan kejayaan mengukuhkan dominasi Rusia ke atas bekalan dan jaringan eksport gas Laut Kaspia. Perjanjian yang dicapai dengan Kazakhstan dan Turkmenistan secara langsung mengancam keselamatan bekalan tenaga Eropah, yang berusaha mengurangkan dominasi Rusia ke atas jaringan eksport gas, komoditi yang sentiasa meningkat permintaannya dari Eropah.
Disebabkan bekalan gas menjadi elemen penting diplomasi Rusia pada masa ini, Putin dijangka akan terus berperanan memandu gergasi tenaga Rusia, Gazprom, terutama sekali dalam menguruskan hubungan dengan negara-negara terbabit seperti Eropah dan Asia Tengah.
Kedudukan Medvedev sebagai pengerusi Gazprom akan memudahkan Putin mengambil peranan ini. Hal ini sangat penting bagi Putin dalam perancangan dasar luarnya. Gazprom terlibat dalam hubungan Rusia dengan Eropah, negara-negara Kaukasus seperti Ukraine dan Georgia, dan negara-negara Asia Tengah.
Untuk mengekalkan peranan Gazprom dalam melaksanakan tindakan-tindakan dasar luar, Putin perlu mengekalkan pengaruhnya ke atas syarikat tenaga milik negara itu.
Tanda-tanda memang menunjukkan haluan dasar luar Rusia tidak akan berubah, sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat nanti, selepas Putin meninggalkan jawatan presiden.
Hubungan dengan China dan Iran, dua negara yang berkongsi banyak kepentingan dengan Rusia, juga diperkukuhkan Putin sebelum meninggalkan jawatannya. Walaupun hubungan dengan kedua-dua negara itu tidak sentiasa pada tahap yang terbaik, beberapa kepentingan bersama cukup untuk menuntut Rusia mengekalkan hubungan baik dengan negara terbabit.
Tindakan-tindakan terakhir pentadbiran Putin kebelakangan ini memberi gambaran agenda penting yang mahu diteruskan. Antaranya hubungan dengan EU, Nato (berhubung Kosovo dan juga Ukraine yang mendekatkan diri dengan pertubuhan itu) dan negara-negara sekitar.
Sentimen elit kuasa dan rakyat Rusia kini sememangnya lebih cenderung ke arah haluan konservatif, akibat dasar Yeltsin dahulu dan perkembangan-perkembangan terbaru melibatkan hubungan Rusia dengan Barat.
Elit kuasa Rusia juga mahu dasar sekarang dikekalkan. Dasar luar Rusia kini dikuasai golongan realis pragmatik yang berpendirian seperti Putin. Selepas dasar liberal pro-Barat di bawah Presiden Boris Yeltsin membawa Rusia kepada satu keadaan lemah dan memalukan, sangat kecil haluan itu akan diambil lagi. Golongan yang menguasai Kremlin selepas Putin nanti dijangka akan mempertahankan haluan seperti hari ini.
Labels: Ekonomi Politik, Eropah, Eurasia

0 Comments:
Post a Comment
<< Home