Politik Pop

Friday, April 25, 2008

Suara Rasional Wacana Politik Malaysia

RUSTAM A SANI 1944-2008

Pada awal pagi 23 April lalu, Malaysia kehilangan seorang tokoh pentingnya apabila Rustam A Sani, meninggal dunia. Rustam ialah seorang pemikir dan intelektual awam yang telah memainkan peranan besar dalam dunia wacana sosial dan politik negara kita. Rustam ialah salah satu suara rasional dalam wacana sosial dan politik negara kita.

Ketika negara kita masih rendah tahap wacananya, kehilangan Rustam ialah satu tragedi buat negara kita. Saya merasakan, negara kita masih belum sedar sepenuhnya akan kehilangan ini.

Rustam mendapat pendidikan dalam bidang sains sosial dengan mendalam sekali, bermula di Universiti Malaya pada lewat 1960-an hingga ke Universiti Yale di Connecticut, Amerika Syarikat, dan Universiti Uppsala di Sweden, pada akhir 1970-an dan awal 1990-an.

Tetapi, Rustam turut mendapat pendidikan dan pengalaman secara langsung daripada kehidupannya sendiri, sebagai anak kepada nasionalis pejuang kemerdekaan Ahmad Boestamam.

Sepanjang hidupnya, Rustam terlibat dengan aktif dalam dunia sains sosial, di kedua-dua medan akademia dan melalui tulisan-tulisan di akhbar dan majalah. Rustam sentiasa prihatin terhadap pembangunan ilmu dan dunia cendekiawan negara. Tanpa henti, Rustam menyuarakan kritikan dan saranan untuk mempertingkatkan standard dunia ilmu dan wacana awam negara kita.

Hasil pendidikan yang mendalam dalam bidang sains sosial, Rustam mengulas dengan mendalam hampir semua isu dalam masyarakat Malaysia, memberikan pandangan yang kritikal dan mendalam.

Dalam kolum beliau, Pandangan Rustam, di akhbar Siasah, dapat dilihat dengan jelas keprihatinan dan kefahaman beliau yang profound dalam segala bahagian kehidupan sosial dan politik negara kita.

Pernah berkhidmat sebagai editor di Oxford University Press, dunia buku sangat dekat dengan Rustam. Dan hasil tulisannya setiap kali yang dihantar untuk penerbitan cukup sempurna, tanpa perlu suntingan lagi.

Peranannya sebagai suara rasional diteruskan selepas beliau menyertai politik pembangkang, terutama ketika aktif di banyak forum dan diskusi berkenaan isu-isu sosial dan politik.

Dalam kolumnya, Rustam mengulas hal-hal berkaitan politik kepartian, wacana berhubung isu-isu nasional, kualiti pendidikan tinggi negara, budaya popular dan juga politik antarabangsa. Setiap ulasan Rustam memperlihatkan pemahaman dan sikap yang jelas berhubung isu-isu tersebut.

Walaupun begitu, Rustam bukan sama sekali seorang yang gemar berkhutbah dan memaksakan pandangannya ke atas orang lain. Pandangannya berkenaan isu-isu didasarkan ilmu sains sosial yang didalaminya, dan bukan pandangan dan sentimen.

Rustam, sejak menulis di akhbar-akhbar harian sebelum terlibat dengan aktif dalam politik pembangkang selepas 1998, sentiasa menjadi suara rasional di tengah-tengah wacana yang sering kali dikuasai emosi, sentimen dan diktat penguasa.

Rustam memberikan pandangan yang berbeza daripada pandangan yang berleluasa dalam wacana nasional pada masa-masa tersebut. Satu ketika, dalam debat nasional tentang isu “masalah moral remaja” Rustam melalui tulisannya mengemukakan pandangan yang jauh berbeza daripada pandangan simplistik sesetengah golongan agamawan dan pandangan autoritarian golongan penguasa.

Di kalangan pembangkang sendiri, Rustam mampu memberikan pandangan yang berbeza dan tidak dipengaruhi sentimen. Rustam pernah menyuarakan kritikan terhadap pemahaman ramai tentang reformasi yang tercetus pada 1998. Ketika semua pihak melihatnya sebagai sesuatu yang sempurna, Rustam muncul dengan pandangan yang berbeza, mengajak semua melihat fenomena itu dengan lebih kritikal, apapun sentimen terhadap kebangkitan rakyat yang mengubah landskap politik negara itu.

Dalam satu forum, Rustam memberikan pandangan berbeza ketika semua pihak mengkritik dengan keras Dewan Bahasa dan Pustaka, berdasarkan realiti politik hari ini semata-mata. Rustam menjelaskan bahawa DBP tetap mempunyai jasanya yang tersendiri dalam dunia ilmu dan pemikiran negara kita.

Rustam, sebagai seorang tokoh yang berhaluan kiri, memberi tumpuan khusus kepada politik kiri dalam kehidupan akademiknya. Satu karya terbarunya ialah Social Roots of the Malay Left yang tidak sempat beliau sertai pelancarannya Sabtu, 26 April ini.

Secara peribadi, Rustam seorang yang mudah mesra dan mudah bergaul dengan semua, tanpa mengira usia. Rustam ialah salah seorang daripada hanya beberapa orang yang saya kenali, yang tidak menggunakan kelebihan usianya dalam pergaulan. Berdasarkan pengalaman saya dengannya, Rustam tidak pernah bertindak sebagai “orang tua” yang tahu segalanya dan sentiasa perlu memberi nasihat dan jawapan kepada orang lain yang lebih muda.

Rustam juga seorang yang berbangga dengan latar belakang Minang dan memperlihatkannya dalam kehidupan. Walaupun sibuk dengan penulisannya, Rustam tidak meninggalkan beberapa tradisi yang sangat diminatinya. Pada majlis hari terbuka yang lalu, Rustam sempat menceritakan, beliau dan anaknya Ariani akan menganyam dan memasak ketupat pada hari raya setiap tahun.

Dalam blog keluarganya, Rustam juga ada menceritakan tentang budaya dan tradisi Minangkabau, dan merakamkan lawatan keluarganya ke tanah Minangkabau di Indonesia.

Semoga seluruh ahli keluarga Rustam, Puan Rohani Zainal Abidin, Azrani dan Ariani serta menantu dan cucunya diberikan kekuatan menghadapi detik-detik yang mencabar ini, dan semoga Allah SWT menerima segala sumbangannya sebagai amal soleh. Dan semoga segala sumbangan Rustam kepada dunia ilmu negara kita dihargai sewajarnya dan tidak dipersia-siakan.

Labels: , , , , ,

1 Comments:

  • Satu ulasan yang sangat menyentuh. Semoga, akan lahir Rustam-Rustam baru yang mengharubirukan dunia intelektual, bukan pada kiri atau kanan, tetapi sejatinya pada sikap istiqamah terhadap kebenaran dan tindakan.

    Salam kenal. Semoga di DC, Anda mendapatkan pencerahan.

    By Blogger Ahmad Sahidah, at 10:52 AM  

Post a Comment

<< Home