Politik Pop

Saturday, May 03, 2008

Buku dan Kuasa Politik





Satu masa dulu, dalam satu pertemuan saya dan kawan-kawan dengan seorang tokoh (yang sudah meninggal dunia), dia memberitahu pesannya kepada seorang yang belajar di Iran.

Katanya, kalau tepat ingatan saya, lebih kurang, kalau hendak berwacana, pergilah dengan orang kiri. Kalau hendak pergi bercuti, pergi dengan orang sekular. Kalau hendak cari tempat tinggal, tinggallah dengan Islamis.

Pada permukaan, nasihat ini agak menstereotaipkan, tetapi perkembangan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu menunjukkan kebenaran nasihat tokoh itu.

Sejak beberapa minggu lalu, saya telah menghadiri tiga pelancaran buku. Ketiga-tiganya buku yang ditulis orang berhaluan kiri, iaitu Rustam A Sani, Hishamuddin Rais, dan Kassim Ahmad.

Kesemua buku mereka, apapun kelemahannya, menawarkan wacana yang mendalam atau sekurang-kurangnya provokatif dan menarik untuk dibaca.

Mana buku “tokoh” Islamis dan ethno-nasionalis berhaluan kanan?

Pandangan saya, bahasa kumpulan-kumpulan terbabit menjadi dasar kepada apa yang dilihat ini.

Kumpulan yang bercakap dengan bahasa kuasa sukar untuk berwacana, kerana penyelesaian pada mereka, sebahagian besarnya ada pada kuasa. Bahasa mereka ialah bahasa kuasa.

Sebahagian besar mereka menganggap wacana dan falsafah sebagai sesuatu yang tidak berpijak di bumi dan tidak praktikal serta tidak membantu dalam hal-hal praktikal, walaupun pada masa sama sering melaungkan slogan seperti “penyatuan Melayu,” atau “penyelesaian hanya pada Islam.”

Selepas tercetusnya lebih keterbukaan dan ruang debat yang lebih demokratik, dan selepas apa yang disifatkan sebagai “kuasa rakyat” dimanifestasikan pada pilihan raya lalu, sewajarnya semua pihak, terutama parti-parti politik terlibat dalam usaha meningkatkan standard wacana negara kita, dan tidak hanya tertumpu pada isu-isu hot-button dan menganggap politik sebagai penyelesaian kepada segalanya.

Sangat malang sekiranya semangat kemenangan “golongan yang baik” ini menguasai sehingga sebarang kritikan dilihat sebagai sabotaj.

Kini telah dapat dilihat bagaimana banyak di kalangan parti pembangkang bercakap dengan bahasa kuasa, dan melihat politik sebagai segala-galanya. Wujud satu fahaman bahawa “kita di pihak yang benar, maka semua yang kita lakukan benar” tanpa perlu diperdebatkan.

Rakyat, termasuk media massa, penulis blog dan masyarakat sivil perlu sentiasa memberi ingatan kepada parti-parti pembangkang yang sedang bergembira dengan kemenangan mereka, bahawa janji-janji mereka kepada rakyat – termasuk janji ke arah Malaysia yang baru – perlu dilaksanakan. Semak dan imbang tidak hanya perlu untuk parti pemerintah negara.

Labels: , , ,

4 Comments:

  • Salam, Rindu benar tentang aktiviti semacam ini... apakan daya berada jauh di Dungun...

    By Blogger Mede, at 9:02 AM  

  • Haris: Orang yang analitis memang sangat diperlukan dalam dunia wacana tanah air. Walaubagaimanapun, aku berpandangan, sebelum seseorang itu masuk ke dalam isu yang mahu disentuh dan 'direvolusikannya', orang itu haruslah memahami kaedah dan method, serta faham dunia yang ingin di kaji dan diperkatakan. Dalam hal ini, aku rasa Kassim bermasalah. Beliau terjun ke dalam dunia sosialis, kemudian, tiba-tiba kecintaannya pada Islam terbina. Itu satu perkembangan yang menarik, malah, satu kebiasaan sebenarnya dalam diri seorang intelektual muslim. Tetapi, apabila beliau mahu menyentuh hadis, yang merupakan sumber kedua selepas al-Quran, beliau seolah-olah lupa dan ghairah dengan perubahan yang mahu dilakukannya, dan mahu melakukan perubahan; beliau lupa tentang autoriti hadis khasnya dalam Islam. Aku rasa, dia harus mendalami bidang hadis, mendalami cara pengumpulan hadis oleh para perawi terkenal. Malah, mungkin lebih bijak beliau bertemu dengan pakar hadis, mengadakan wacana intelektual secara bersemuka, sebelum terus menghantar ideanya tentang hadis ke dalam dunia masayrakat awam. Apapun, tentang buku memoirnya, beliau harus dipuji. Seorang penulis, dan intelektual, sepatutnya menulis memoir dan biografinya - kerana, hanya dia sendirilah yang memahami apa yang bermain dalam fikirannya, jadi, tentulah lebih ikhlas dan jelas - apa seseorang itu menulis kisah hidupnya. Salam

    By Blogger lutfi, at 8:51 PM  

  • Saya lebih suka sosok Kassim Ahmad sebagai seorang politikus.

    By Blogger Jiwa Rasa, at 2:11 AM  

  • Seorang lagi penulis berhaluan kiri, Farish A Noor khabarnya akan melancarkan bukunya terbitan syarikat Zaid Ibrahim Jun nanti. Bertambah lagi buku oleh orang kiri.

    By Blogger Haris Zalkapli, at 1:22 PM  

Post a Comment

<< Home