“I don't really know much about it other than, I mean, it has fingernails, allegedly.” - Juno
Filem ini muncul pada masa yang tepat di Amerika Syarikat, ketika adik bintang pop terkenal Britney Spears, Jamie Lynn Spears yang berusia 16 tahun - dan, sudah pasti, belum berkahwin - hamil hasil hubungan seks dengan teman lelakinya.
Pada masa sama, negara itu juga sedang menyaksikan persaingan sengit dalam pemilihan awal Parti Demokrat dan Republikan memilih calon presiden mereka, masa yang debat tentang nilai moral menjadi perhatian seluruh rakyat.
Paling menarik ialah tahun ini, kes berprofil tinggi Roe lawan Wade - kes yang menghasilkan keputusan Mahkamah Agung AS pada 1973 yang menetapkan undang-undang menghalang wanita menggugurkan kandungan mencabuli hak perlembagaan untuk privasi - mendapat perhatian meluas sekali lagi. Pada tahun ini, tuntutan daripada pihak penentang Roe lawan Wade agar keputusan itu dibatalkan kedengaran semakin lantang.
Juno ialah sebuah filem komedi yang “selamat.” Filem ini mengambil sisi yang agak superfisial berhubung kehamilan remaja. Juno dihasilkan dengan berhati-hati. Ia cukup kritikal untuk khalayak yang menjadi sasaran pemasarannya: liberal dan berpendidikan, tetapi tidak terlalu sukar, mendalam dan realistik, serta cukup elemen simplistik budaya popular Hollywood untuk menarik khalayak lebih luas. Juno, walaupun mengemukakan sesuatu yang agak kritikal, cukup dengan perisa pop.
Tema, mood, warna, skrip dan watak-wataknya semua memenuhi formula filem komedi Hollywood tentang remaja yang mendapat audien luas. Dari sudut isi dan rupanya, Juno memenuhi kehendak Hollywood.
Selama lebih kurang 100 minit, Juno seolah-olah cuba mendamaikan persengketaan konservatif dengan liberal di AS. Filem ini dihasilkan oleh golongan liberal sosial (hasil tulisan Diablo Cody, seorang bekas penari bogel) untuk menyampaikan nilai-nilai sosial yang liberal, tetapi tidak secara mudah mengetepikan nilai-nilai konservatif - seperti hubungan keluarga - sepenuhnya. Filem ini bersikap agak adil kepada setiap wataknya, tanpa mengira konservatif atau liberal.
Filem ini mempunyai beberapa persamaan dengan siri televisyen Gilmore Girls, yang juga boleh disifatkan sebagai satu produk budaya popular kompromi. Dalam siri Gilmore Girls, watak utamanya, Lorelai Gilmore hamil ketika berusia belasan tahun. Kedua-dua ibu bapanya ialah Republikan tegar, manakala Lorelai berhaluan liberal.
Sesuai dengan pendirian konservatif kedua-dua ibu bapanya, mereka menentang pengguguran kandungan itu, dan akhirnya dia melahirkan kandungannya, yang juga diberi nama Lorelai, tetapi dipanggil Rory.
Sepanjang siri Gilmore Girls, pertembungan-pertembungan melibatkan Lorelai dan ibu bapanya diperlihatkan, tetapi Rory menjadi cucu kesayangan mereka yang bertindak seperti pendamai datuk dan neneknya yang konservatif dengan ibunya yang liberal.
Kedua-dua Juno dan Gilmore Girls, pada tahap tertentu, kelihatan cuba mengemukakan satu jalan ketiga di antara konservatisme dan liberalisme. Kedua-duanya bukan kisah moral hitam putih. Dalam kedua-dua cerita, pihak konservatif tidak dipersembahkan sebagai jahat.
Dalam Juno, watak utamanya, Juno, membatalkan hasrat untuk menggugurkan kandungan hasil kempen oleh seorang kenalannya di hadapan klinik pengguguran yang dikunjunginya. Watak itu, seorang gadis Asia Kristian konservatif bernama Su-Chin, ialah satu gambaran realiti dinamik agama di AS.
Gadis konservatif itu tidak diwarnakan hitam, sebagai seorang fundamentalis Kristian konservatif yang militan. Malah, wataknya, yang melakukan protes seorang diri di hadapan klinik pengguguran itu, dipersembahkan sebagai seorang yang mesra, yang nasihat sederhananya akhirnya diterima Juno.
Gilmore Girls turut memberi gambaran ini, iaitu peningkatan warga berasal dari Asia (terutama Korea Selatan) yang menganut agama Kristian dan bersikap konservatif.
Juno tidak menunjukkan pengguguran sebagai penyelesai masalah, tetapi cuba menunjukkan satu jalan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi. Juno memilih untuk tidak menggurkan kandungan - sesuatu yang dipersetujui konservatif - dan membuat keputusan menyerahkannya kepada pasangan yang tidak mempunyai anak, satu keputusan yang bersifat baik.
Dan dalam pertemuan dengan pasangan yang ingin mengambil anaknya sebagai anak angkat, Juno turut memperlihatkan sedikit keprihatinan terhadap sikap pasangan itu terhadap keibubapaan.
Juno dipakejkan sebagai sebuah komedi yang trendy - lengkap dengan lagu latar indie yang biasa melengkapi cerita-cerita dalam kategori khalayak penonton yang sama - cuba menghapuskan stereotaip bahawa gadis yang hamil ketika usia remaja hanya mereka yang liar dan tidak bermoral. Juno dipersembahkan sebagai seorang gadis yang baik, bijak, berpendidikan, mampu membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab.
Tetapi filem ini dalam usahanya menolak stereotaip juga telah mengabaikan realisme, iaitu realiti kehamilan remaja di AS. Sebahagian besar kehamilan remaja tidak berlaku dalam lingkungan sosio-ekonomi seperti keluarga Juno.
Realitinya lebih menakutkan dan tidak dapat digilap untuk dijadikan komedi pop seperti Juno. Kes-kes kehamilan remaja melibatkan golongan miskin dan etnik minoriti seperti kaum kulit hitam dan Latin menunjukkan cerita yang jauh berbeza daripada Juno.
Bagaimanapun, kes kehamilan remaja di AS, walaupun mungkin diberi gambaran sangat berleluasa ekoran publisiti Juno, sebenarnya menurun sejak beberapa tahun lalu.
Satu kajian dilakukan Institut Guttmacher mendapati beberapa tahun lalu, jumlah kes kehamilan remaja berumur 15 hingga 19 tahun di AS ialah sekitar 750,000, tetapi jumlah ini ialah yang terendah dalam tempoh 30 tahun.
Juno jelas telah mengemukakan kehamilan remaja sebagai sesuatu yang mengejutkan, tetapi sukar untuk diterima adegan penerimaan bapa dan ibu tirinya terhadap berita kehamilan yang disampaikannya. Walaupun agak terkejut, kedua-dua ibu bapanya sekejap selepas itu kembali bertenang dan menerima hakikat perkara itu.
Filem ini juga memberikan penyelesaian mudah untuk masalah yang dihadapi Juno, tanpa adegan-adegan menunjukkan kesukaran kehamilan, dan kesukaran kehamilan bagi seorang remaja 16 tahun yang masih bersekolah.
Juno dengan mudah dapat mencari pasangan kelas pertengahan berpendidikan untuk mengambil anaknya sebagai anak angkat. Dia juga dengan agak mudah menyerahkan anaknya, sesuatu yang dalam realiti, akan mendatangkan kos emosi yang besar.
Filem ini boleh dikatakan menjadi barometer suasana sosial AS, kerana produk budaya popular ialah satu cerminan realiti masyarakatnya. Suatu masa dahulu, ketika awal 1990-an, satu debat moral hangat berlaku, menemukan komuniti liberal Hollywood dengan konservatif Republikan ekoran cerita komedi Murphy Brown yang dianggap merosakkan moral.
Dalam komedi televisyen itu, watak utamanya memutuskan untuk melahirkan anak dikandungnya dan menjadi ibu tunggal, sesuatu yang tidak dipersetujui konservatif. Sekiranya Juno dihasilkan ketika itu, pasti debat lebih hangat tercetus.
Bagaimanapun, isu moral masih menjadi isu penting yang menjadi topik hangat di AS. Walaupun banyak kisah yang suatu masa dahulu tidak dapat diterima kini wujud dalam arus perdana, AS bukannya tidak mementingkan moral.
Awal tahun ini, dalam salah satu debat Parti Demokratik melibatkan Barack Obama dan Hillary Clinton yang diadakan di Teater Kodak di Los Angeles, di hadapan komuniti liberal Hollywood, isu penapisan telah ditimbulkan.
Obama, walaupun mengatakan menentang penapisan, menyuarakan hasrat agar komuniti budaya popular AS lebih bertanggungjawab demi memelihara kanak-kanak daripada terdedah dengan produk budaya popular yang tidak sesuai.
Kesimpulannya, Juno telah berjaya mengangkat satu isu penting kepada penonton, terutamanya di AS, walaupun mempakejkan masalah ini menjadi menarik dan pop, yang telah menenggelamkan bahagian gelap fenomena kehamilan remaja.
Juno ialah kisah kehamilan remaja yang berjaya. Kehidupan Juno tidak terkorban, keluarganya kekal normal dan memberi sokongan. Dia tidak perlu berhenti sekolah, bekerja menjadi pelayan di restoran dengan gaji rendah untuk membesarkan seorang anak seorang diri. Lingkungan sosial Juno memberikannya satu kelebihan besar.
Apapun, filem ini telah mencetuskan satu debat berkaitan satu isu sosial yang menyentuh jiwa rakyat AS. Filem ini ialah produk budaya popular AS yang lahir dari lubuk liberal, tetapi masalah yang dikemukakannya bukan hanya masalah masyarakat liberal. – 19 Februari, 2008
Labels: Agama, Amerika, Filem, Politik