Pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun 2000 boleh dikatakan drama paling hebat pemilihan pemimpin AS, yang hanya disaingi oleh persaingan Barack Obama dengan Hillary Clinton ketika ini.
Filem Recount dari HBO, lakonan Kevin Spacey sebagai Ron Klain, peguam dan orang kuat Al Gore cuba mengimbau semula drama panjang itu selama dua jam.
Seperti biasa, terutama disebabkan fokus dan paparan Katherine Harris, setiausaha negeri Florida yang berperanan besar membawa kemenangan kepada George W Bush pada masa itu, bias liberal Hollywood tidak dapat diabaikan.
Sejak awal, Recount memberi tanda-tanda menunjukkan kesilapan pada reka bentuk kertas undi menyebabkan kesilapan memilih calon.
Ini cukup untuk memberitahu penonton satu punca masalah di Florida pada masa itu, dan mungkin menyebabkan apa-apa selepas itu tidak diberi perhatian lagi.
Harris dikemukakan sebagai orang jahat dalam filem ini. Salah satu watak utama Recount selain Klain lakonan Spacey.
Setiausaha negeri itu dipersembahkan sebagai seorang yang berkelakuan tidak budiman.
Semua tanda menunjukkan kualitinya yang dilihat sebagai tipikal Republikan. Beliau menyebut tentang membaca Injil, dan satu tulisan In God We Trust yang dibingkaikan tergantung dalam biliknya.
Dan untuk menyempurnakan petanda negatif beliau, dalam satu adegan, beliau membiarkan air paip tidak ditutup semasa tidak digunakan, sesuatu yang sangat tidak mesra alam.
Bagaimanapun, menurut koresponden ABC di Washington, DC, Jake Tapper, paparan negatif itu tidak jauh dari realiti.
“Sometimes you can't make this stuff up. In Harris' case, at least, to paraphrase Stephen Colbert, even many Republicans might agree that reality has a well-known liberal bias,” tulisnya.
Sebagai sebuah filem, Recount bersikap adil kepada kedua-dua pihak, walaupun disebabkan sifatnya sebagai sebuah filem, ia terpaksa menunjukkan dua pihak, “baik” dan “jahat.”
Watak-watak Demokrat pula semuanya dipaparkan sebagai under dog, yang berusaha against all odds menentang pasukan Bush, walaupun Gore pada masa itu seorang timbalan presiden.
Kontroversi pilihan raya itu melibatkan sebahagian besar persaingan peguam-peguam kedua-dua pihak, menjadikan pemilihan pemimpin terpaksa diputuskan di mahkamah, tanpa suara rakyat diambil kira.
Recount berjaya mempersembahkan isu-isu penting dalam kontroversi pilihan raya presiden tahun 2000 itu dengan lebih jelas.
Satu perkara penting yang perlu dinilai dalam episod tahun 2000 itu, terutama oleh media, ialah sandaran agak berlebihan kepada tinjauan, sebahagiannya untuk menjadi yang paling awal melaporkan keputusan.
Dalam konteks yang lebih luas, sangat penting kewartawanan lebih merapatkan diri dengan sains sosial, untuk dapat menjelaskan dengan lebih baik proses politik, tanpa terlalu memberikan fokus pada sepak terajang dan isu-isu sensasi.
Labels: Amerika, Filem, Politik, Pop