Memikul Harapan Baru Rakyat Malaysia
Kehadiran ribuan manusia membanjiri Institut Perguruan Tuanku Bainun di Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos lalu memberi gambaran jelas sokongan rakyat kepada pembangkang, sekaligus kemerosotan dramatik pengaruh dan tarikan Umno dan Barisan Nasional terhadap rakyat.Umno yang berkempen dengan pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu mendedahkan ketiadaan dayanya berdepan sentimen sokongan dan simpati orang ramai terhadap ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penggunaan seluruh kepimpinan parti Umno dan media yang dikuasainya hanya menunjukkan bahawa Umno masih tidak belajar dari kesilapan melakukan serangan berlebihan terhadap Anwar dan juga pembangkang.
Imej bersih Anwar tidak dapat dirosakkan oleh Umno dengan bantuan individu-individu yang pernah rapat dengan bekas timbalan perdana menteri itu, dan tuduhan liwat oleh bekas pembantunya juga tidak mendatangkan kesan negatif. Imej ini ialah halangan terbesar bagi Umno untuk menyampaikan mesej-mesejnya.
Umno yang berdepan krisis kredibiliti kelihatan masih tidak mampu memperbaiki masalah ini, menyebabkan segala kempennya tidak membawa kesan, ditambah lagi dengan sebahagian besar yang hadir ke ceramah Umno ialah ahli dan penyokong tradisional parti itu.
Krisis kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak membantu kempen Umno, malah terdapat ramai ahli Umno yang dijangka menggunakan kekalahan ini untuk mendesak beliau berundur segera. Kekalahan ini akan menambahkan lagi suhu dalam perhimpunan Umno nanti, disebabkan hal tersebut menjadi salah satu pengukur prestasi kepimpinan parti itu yang telahpun terjejas akibat kekalahan besar dalam pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, perang imej yang berlangsung itu pasti tidak akan berakhir di situ, dan masih banyak kemungkinan perlu dihadapi kedua-dua pihak. Permatang Pauh hanya sebuah kawasan parlimen - walaupun kepentingannya kepada politik nasional tidak dinafikan - dan pertarungan di medan lain masih berlangsung.
Bagi pihak Pakatan Rakyat, persaingan dalaman bakal menjadi lebih hebat, memandangkan jalan ke Putrajaya kelihatan semakin hampir dengan kemenangan Anwar yang diiktiraf ramai pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
Selepas menawan Permatang Pauh, Anwar kini berdepan tugas yang jauh lebih sukar untuk menangani perbezaan dalam Pakatan Rakyat dan sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan pusat nanti, menangani tuntutan-tuntutan parti-parti komponen - dan individu-individu tertentu - yang semuanya mempunyai saham masing-masing dalam pembinaan dan pengukuhan Pakatan Rakyat dalam menubuhkan kabinet.
Lebih utama, apa yang disifatkan kemenangan rakyat ini mesti dibuktikan milik seluruh rakyat Malaysia, tanpa mana-mana pihak memaksakan agenda sempit masing-masing sehingga mengabaikan atau mengorbankan kepentingan ramai. Rakyat tidak sepatutnya hanya disebut ketika diperlukan untuk undi. Bermula saat ini, rakyat perlu memastikan Pakatan Rakyat benar-benar milik rakyat dan bukan alat mana-mana individu atau parti mengesahkan agenda mereka. - 27 Ogos, 2008
Labels: Asia Pasifik, Politik


