Politik Pop

Thursday, September 25, 2008

PAS Menangani Ancaman Perpecahan


Perbezaan pendapat dan pendekatan dalam PAS untuk menguruskan kedudukan dalam Pakatan Rakyat dan usaha menubuhkan kerajaan baru – dengan cara yang boleh didefinisikan sebagai menyalahi moral – semakin jelas dapat diperhatikan orang ramai.

Pertembungan di media massa melibatkan pemimpin tertinggi parti, terbaru melibatkan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Datuk Mustafa Ali, dibaca dengan pelbagai cara oleh ahli dan penyokong, yang sejumlah besar masih dalam penafian tentang apa yang melanda parti mereka.

Hal seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah terkini PAS, menunjukkan perkembangan terbaru ini sangat kritikal dan mampu menentukan kedudukan dan haluan parti pada masa akan datang.

Sejak beberapa bulan lalu, di peringkat bawah, sejumlah besar ahli membahagikan diri mereka kepada penyokong dua tokoh pimpinan parti, iaitu sama ada “penyokong presiden” atau “penyokong mursyidul am,” merujuk kepada secara umumnya, pihak yang menyokong satu bentuk rundingan dengan Umno dan menilai dengan lebih kritikal kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat dan kumpulan yang menyokong terus bersama Pakatan dan segala rancangannya, termasuk menubuhkan kerajaan pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persaingan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli, terutama yang tidak mendapat akses kepada berita dalaman tentang apa yang berlaku di peringkat pimpinan, salah satu punca wujudnya dua kumpulan besar itu.

Sebagai contoh, kritikan personal mursyidul am terhadap pesuruhjaya Terengganu mengejutkan banyak ahli, terutama yang tidak mengetahui latar belakang pertembungan tersebut. Kritikan yang diluahkan itu selain agak personal juga dilihat sebagai agak berlebihan oleh sesetengah ahli, sehingga menimbulkan dakwaan bahawa Nik Aziz dipengaruhi oleh kumpulan Erdogan yang rapat dengannya untuk mengeluarkan kenyataan keras itu.

Mustafa dalam wawancara yang disiarkan Harakah hanya mengulas kemungkinan gagal usaha mengubah kerajaan dalam tempoh sehari pada 16 September, 2008. Bagaimanapun, ulasan itu dibaca sebagai bercakap bagi pihak Umno, yang pada masa kini sering digunakan sebagai kata ganti kepada segala kejahatan politik. Kenyataan Mustafa itu dilihat sebagai menyalahi “semangat 16 September” yang diperjuangkan Pakatan.

Di peringkat lebih tinggi pula, perdebatan lebih terperinci berlaku, dengan kedua-dua kumpulan bersikap sangat kritikal terhadap satu sama lain. Kumpulan yang digelar Erdogan dengan cara yang agak simplistik menuduh kumpulan pesaingnya sebagai mahu bersama musuh (Umno), malah ada yang mendakwa kecenderungan kumpulan terbabit bermatlamatkan kuasa dan wang, sedangkan usaha berbincang dengan Umno bukan sesuatu yang hanya bermula selepas pilihan raya ke-12 lalu.

Bagaimanapun, argumen kumpulan penentang Erdogan juga agak simplistik dan tidak tersusun, seperti menimbulkan persoalan Islam dalam kerajaan baru tanpa memberikan penjelasan yang lebih spesifik dan jelas. Pada muktamar lalu, kenyataan-kenyataan kumpulan penentang Erdogan dikemukakan dengan keras, sehingga menunjukkan satu sikap berbeza dengan wajah baru PAS yang cuba dikemukakan kepada rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, agak jelas dapat dilihat bahawa kumpulan Erdogan agak mendominasi, terutama disebabkan kenyataan-kenyataan mursyidul am yang secara efektif menyebelahi mereka, sehingga usaha untuk bersikap kritikal terhadap “semangat 16 September” kelihatan dinafikan, seperti yang dilihat dalam kes Mustafa.

Kumpulan Erdogan juga menuduh pesaingnya bertindak membelakangi keputusan muktamar yang berlangsung di Ipoh Ogos lalu, iaitu mengukuhkan Pakatan Rakyat. Tindakan-tindakan kumpulan tersebut dikritik sebagai sekurang-kurangnya tidak membantu usaha Pakatan, dan ada yang menyifatkan sebagai “memberi talian hayat kepada Umno.”

Kumpulan yang menentang Erdogan sebahagian besarnya bersikap kritikal kepada Anwar, yang berdasarkan sejarah ialah musuh ketat PAS ketika beliau masih bersama kerajaan Barisan Nasional. Bagaimanapun, kumpulan ini tidak menjadikan hujah ini sebagai hujah utama untuk menilai semula Pakatan yang dipimpin Anwar.

Anwar menjadi satu figur yang sentral dalam persaingan ini, kerana hubungan rapat individu-individu kem Erdogan dengan beliau, sehingga dikatakan mereka lebih menerima kepimpinan Anwar.

Kumpulan ulama konservatif dalam PAS masih tidak menerima rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan pusat, dan dilaporkan PAS meminta senarai ahli-ahli parlimen yang disebut-sebut sebagai bersedia melompat untuk dinilai, sebelum membuat keputusan sama ada menyertai kerajaan baru nanti sekiranya berjaya ditubuhkan, atau tidak.

Berdasarkan realiti ini, PAS sememangnya menuju perpecahan, melainkan dan sehingga tindakan yang wajar diambil untuk menanganinya.

Berhubung penubuhan kerajaan pusat baru, semua pihak perlu bersikap realistik tentang potensi menubuhkan kerajaan, agar tidak hanya bergantung dan bertindak berdasarkan rancangan seorang ahli politik – sehingga menjejaskan perpaduan parti - yang sepatutnya dinilai dengan kritikal seperti juga ahli-ahli politik lain.



Labels: , ,

Tuesday, September 23, 2008

Lobi Armenia dan Hubungan Turki-AS

Turki kini berdepan tekanan dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan Rusia yang mahu menempatkan tentera laut mereka di Laut Hitam, lanjutan daripada serangan Rusia ke atas Georgia Ogos lalu.

Armenia dijangka memainkan peranan dengan mengambil kesempatan ke atas Turki yang ditekan dua kuasa besar tersebut, melalui lobi mereka di Capitol Hill.

Lobi Armenia ialah salah sebuah lobi dasar luar terkuat di AS, walaupun jauh sekiranya dibandingkan dengan lobi Israel. Salah satu kejayaan terbaru lobi Armenia, pada 2007, ialah penerimaan satu resolusi oleh Jawatankuasa Hubungan Luar Dewan Perwakilan AS melabelkan pembunuhan etnik Armenia oleh kerajaan empayar Turki pada 1915 sebagai genosid.

Menurut pihak Armenia, lebih sejuta etnik Armenia terbunuh, tetapi Turki menafikannya, menegaskan jumlahnya hanya sekitar 200,000 hingga 300,000. Turki bertegas mahu peristiwa itu dinilai oleh sejarawan dan bukan ahli politik.

Kelulusan resolusi itu mencetuskan ketegangan dalam hubungan Ankara-Washington yang biasanya dalam keadaan baik. Turki memanggil semula dutanya di Washington dan kemarahan di pihak Turki sangat jelas kelihatan, dalam kalangan ahli politik dan ulasan-ulasan di media.

Kerajaan Republikan bimbang dengan perkembangan itu, yang dicetuskan oleh kongres yang dikuasai Demokrat. Turki, sekutu AS ahli Nato itu turut mengancam untuk menilai semula sokongannya kepada agenda AS di Asia Barat.

Hingga hari ini, disebabkan pengaruh diaspora Armenia yang besar dan berkedudukan sosial agak baik di AS, lobi Armenia terus berperanan memperjuangkan agenda mereka, yang sehingga kini kelihatan lebih kepada agenda anti-Turki berbanding hal lain, sehingga berpotensi menjejaskan hubungan baik Ankara-Washington.

Lobi Armenia pasti akan berperanan lagi pada masa ini, untuk berusaha mempengaruhi AS dan menjejaskan pengaruh Turki, ketika AS dan Nato sedang berusaha menempatkan tentera di Laut Hitam yang dari segi sejarah dikuasai Turki. Tekanan mugkin ditingkatkan ketika Turki turut berdepan tekanan Washington dan Moscow berhubung Laut Hitam.

Walaupun presiden Turki, Abdullah Gul melawat Armenia tidak lama dulu, menandakan usaha pemulihan hubungan kedua-dua negara, sikap lobi Armenia dijangka tidak akan berubah dan akan terus bergerak untuk mengimbangi pengaruh Turki dalam hubunganya dengan AS.

Labels: , ,

Thursday, September 18, 2008

Rusia Dalam Dasar Luar McCain


Calon presiden Parti Republikan di Amerika Syarikat, John McCain, sejurus selepas tewasnya Georgia di tangan tentera Rusia, menulis dalam akhbar Wall Street Journal. Katanya, "We are all Georgians," menunjukkan sokongan kuat dan berlebihan pada Mikhail Saakashvili, presiden Georgia yang juga kenalan baiknya.

Mungkin tidak ada individu yang paling kuat menyokong Saakashvili di Washington berbanding McCain, yang sentiasa bersikap keras terhadap Rusia dan memperbesarkan segala tindakan Moscow yang dilihat sebagai ancaman.

Sikap McCain ini sekiranya berterusan dan beliau menjadi presiden AS bakal mendatangkan kesukaran pada AS dalam hubungannya dengan Rusia, yang apapun persepsi mengenai negara itu, diperlukan oleh AS dan lebih-lebih lagi Eropah, terutama melibatkan bekalan tenaga.

McCain telah mula berbaik-baik dengan Saakashvili lama sebelum Revolusi Ros pada 2003, yang pertubuhan dipengerusikan McCain, Institut Republikan Antarabangsa (International Republican Institute, IRI) berperanan penting menaikkan Saakashvili.

Apa yang berlaku itu mendedahkan lagi bagaimana pemimpin yang dibantu kumpulan-kumpulan penyebar demokrasi itu tidak dapat mengelakkan daripada bertindak selari dengan pihak yang menyokong pertubuhan prodemokrasi itu, walaupun pertubuhan terbabit bertegas peranannya ialah untuk menyebarkan demokrasi.

Saakashvili sejak awal menunjukkan sikap angkuh kepada Rusia, jauh melebihi apa yang mampu dilakukan, walaupun dengan bantuan AS. Undangan ke Rumah Putih dan hubungan baik dengan McCain dan Presiden George W Bush mungkin mendorong Saakashvili bersikap lebih yakin yang beliau akan dibantu Washington jika terjadi konflik.

McCain dalam tindakannya di Washington meletakkannya sebagai sebahagian lobi anti-Rusia. Salah seorang penasihatnya, Randy Scheunemann pernah melobi untuk Georgia menyertai Nato.

Pemilihan Sarah Palin, di negeri AS yang paling dekat dengan Rusia, mungkin bukan dilakukan kerana mengambil kira pertimbangan melibatkan Rusia, tetapi secara simbol telah menggambarkan kepentingan menangani Rusia kepada McCain.

Dalam satu sketsa rancangan hiburan Saturday Night Live, isu Rusia menjadi satu punchline paling menarik dalam memaparkan Palin, apabila Tina Fey, yang melakonkan watak Palin, berkata, "And I can see Russia from my house."




Labels: , , , ,

Australia dan Perlumbaan Senjata Asia Pasifik


Kenyataan Kevin Rudd, perdana menteri Australia 10 September lalu bahawa negara itu perlu bersedia menghadapi “perlumbaan senjata” di rantau Asia Pasifik memberi gambaran jelas tentang peranan dan dasar Canberra di rantau ini.

Kenyataan Rudd itu ialah sebahagian debat yang sedang berlangsung di Australia yang bakal menerbitkan kertas putih pertahanan terbaru hujung tahun ini.

“Apabila negara-negara membangun dan menjadi semakin berpengaruh, mereka akan turut meningkatkan keupayaan tentera mereka. Kita melihat ini sedang berlaku di rantau kita,” Rudd dilapor berkata.

“Kita perlu sedar akan perubahan yang sedang berlaku, dan perlu pastikan kita mempunyai kepelbagaian keupayaan untuk berdepan apa yang mungkin tercetus pada masa depan.”

Seperti yang pernah dijelaskan dalam kolum ini, Australia sentiasa berada pada satu kedudukan penting di rantau Asia Pasifik dan sentiasa terkesan oleh permainan kuasa-kuasa besar.

Kenyataan Rudd ini sama sekali tidak mengejutkan dan bertepatan dengan dasar yang memandu tindakan Australia selama ini, walaupun pemerintah Parti Buruh pimpinan beliau dilihat sebagai perubahan besar berbanding pentadbiran kerajaan konservatif John Howard sebelum ini.

Penegasan Rudd bahawa Australia perlu bersedia untuk “menjawab panggilan” nanti selari dengan sikap yang menetapkan peranan Australia bukan terhad kepada ruang tradisionalnya, tetapi lebih jauh daripada itu.

Australia semakin banyak terlibat dalam operasi di luar negara, terbaru di Afghanistan dan Iraq. Australia juga aktif berperanan di kawasan sekitarnya, seperti Timor, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. Indonesia juga negara yang diperhatikan disebabkan kebimbangan terhadap militan yang dicetuskan oleh pengeboman di Bali.

Rudd menegaskan, Australia perlu bersedia dengan kemampuan untuk menghadapi ancaman baru yang timbul daripada perkembangan ekonomi dan ketenteraan Asia.

Amaran Rudd ini dipersetujui seorang pakar pertahanan Australia, Paul Dibb. Katanya, perkembangan terbaru menunjukkan Australia perlu bersedia menghadapi ancaman tersebut. Kata Dibb, rantau Asia Timur kini membelanjakan jumlah yang lebih besar berbanding negara Nato Eropah.

Katanya lagi, Australia perlu pertama sekali memikirkan untuk bersedia mempertahankan diri dan menjadi kuasa paling dominan di rantau ini.

Rudd sendiri berkongsi pandangan tentang ancaman dari kawasan berhampiran Australia, yang disebut dalam satu ucapannya pada 2002 sebagai “arc of instability, arc of insecurity.” Istilah arc of instability ini mula popular dalam kalangan penganalisis menjelang akhir 1990-an. Ia menggambarkan kebimbangan baru Australia terhadap negara-negara jirannya yang tidak stabil dan berpotensi membawa kesan buruk kepada Australia.

Dengan kebangkitan China dan India serta negara-negara berhampiran, Rudd menyedari kepentingan Australia untuk melengkapkan persediaannya. Kawasan yang perlu diberi perhatian oleh Australia semakin luas.

Mac lalu, Ross Babbage, akademik yang menjadi penasihat kepada menteri pertahanan Australia Joel Fitzgibbon, menegaskan keperluan Australia meningkatkan keupayaan tentera untuk berdepan apa yang disifatkan sebagai ancaman kuasa-kuasa Asia.

Kuasa Asia yang dimaksudkan itu ialah China dan India, dengan kebimbangan lebih banyak tertumpu pada China, walaupun negara Asia Timur itu semakin penting sebagai rakan perdagangan Australia.

Australia kini sedang mengukuhkan peranannya di Asia Pasifik termasuk dengan mengukuhkan pakatan dengan negara sekutu, Jepun. Kedua-dua Canberra dan Tokyo kini perlu lebih bebas dan tidak terlalu bergantung pada kuasa besar Amerika Syarikat.

Peningkatan perbelanjaan pertahanan Australia sejak tujuh tahun lalu menunjukkan perkembangan ini. Menurut analisis Janes’s Industry Quaterly, sejak tujuh tahun lalu, perbelanjaan pertahanan Australia meningkat sebanyak sekitar 56 peratus kepada A$25.66 bilion, menjadikannya kini berada di tangga ke-13 dunia.

Persediaan Australia ini memberi tumpuan kepada kemampuan tentera laut, salah satu bahagian yang penting untuk berdepan kuasa China dan juga India, negara Asia yang semakin meningkatkan kemampuan tentera laut.

Dalam ucapannya itu, Rudd menegaskan keperluan meningkatkan dengan segera modernisasi tentera laut dan meluaskan peningkatan keupayaan tentera bernilai AS$48 bilion. Australia kini sedang menjalankan usaha pelan modernisasi pertahanan selama 10 tahun.

Kenyataan Rudd ini ialah kenyataan paling jelas perdana menteri baru Australia itu tentang keperluan pertahanan Australia, menguatkan lagi petunjuk bahawa kedudukan Australia di rantau Asia Pasifik dan pertahanan negara itu tidak berubah di bawah mana-mana kepimpinan, dan akan terus mengimbangi keperluan bekerjasama dengan kuasa Asia seperti China dengan persediaan menghadapi ancaman kuasa tersebut.

Menangani kebangkitan kuasa Asia dan meningkatkan dominasi di Asia Pasifik akan terus menjadi keperluan Australia, yang disebabkan kedudukannya sentiasa terdedah kepada politik kuasa-kuasa besar.

Australia akan berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan. Dari segi politik dan pertahanan, Australia sentiasa berkepentingan untuk AS terus terlibat di Asia Pasifik. Seperti yang pernah disebut Robert Menzies, bekas perdana menteri Australia semasa Perang Dingin, sekiranya berlaku perang, dasar luar negara itu perlu memastikan ia bersama-sama kuasa besar.

Pada masa sama, Australia juga akan meneruskan usaha mengurangkan pergantungan kepada kuasa besar AS, menyedari kemampuan negara kuasa besar itu untuk terlibat seperti yang dimahukan Australia semakin berkurangan, dan kemerosotan kuasa AS di Asia dan seluruh dunia secara relatif dengan kuasa-kuasa Asia seperti China dan India yang akan terus berperanan penting dan berpengaruh di Asia Pasifik. - 16 September, 2008





Labels: , ,

Wednesday, September 17, 2008

Israel dan Iran Dalam Konflik Georgia


Ekoran ketiadaan bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat kepada Georgia yang diserang Rusia, kelompok berhaluan kanan di AS mengecam dengan keras apa yang disifatkan sebagai kegagalan pentadbiran Presiden George W Bush itu.

Kumpulan konservatif berkenaan menegaskan respons ketenteraan ialah jawapan utama kepada tindakan Rusia menyerang Georgia. Kini, mereka mendesak AS meningkatkan bantuan ketenteraan kepada republik bekas Soviet itu, untuk menghadapi ancaman Rusia pada masa depan.

Bagaimanapun, kumpulan berhaluan kanan AS itu bukan satu-satunya yang marah kerana ketiadaan respons konkrit daripada pemerintah negara mereka. Di Israel, sentimen yang hampir sama dapat dilihat.

Banyak pihak kesal dengan ketiadaan bantuan dari Israel kepada Georgia, negara yang mempunyai hubungan baik dalam bidang ketenteraan.

Seorang akademik dari Universiti Haifa di Israel, Brenda Shaffer dalam tulisannya di akhbar Ha’aretz menegaskan Israel menjejaskan usaha menekan Iran apabila gagal memberi bantuan kepada Georgia.

Katanya, Presiden Mikhail Saakashvili ialah antara pemimpin dunia pertama menawarkan untuk terbang ke Tel Aviv dan menunjukkan sokongan kepada Israel yang ketika itu sedang berperang dengan Hizbullah.

Georgia dan Israel mempunyai hubungan yang sangat baik, melalui hubungan Yahudi Georgia yang berpindah ke Israel, selain hubungan keluarga menteri pertahanan Georgia, David Keserashvili, seorang bekas warga Israel dengan pedagang senjata di Israel. Keserashvili antara pengantara urusan jual beli senjata Israel dengan Georgia.

Menurut laporan berita, beberapa orang ahli politik dan pemimpin tentera Israel terlibat meningkatkan perniagaan peralatan tentera antara Israel dengan Georgia.

Georgia juga menerima latihan ketenteraan – termasuk komando Georgia - daripada pakar-pakar tentera dan perisikan Israel, sehingga ada pihak dalam Israel sendiri menyuarakan kebimbangan yang jualan senjata besar-besaran itu akan menimbulkan kemarahan Rusia.

Georgia boleh disifatkan sebagai lubuk emas bagi industri ketenteraan Israel. Kini, selepas berakhir konflik dengan Rusia, syarikat-syarikat senjata dari Israel dan juga AS, bakal mendapat peluang baru ekoran rancangan Georgia untuk memperkuatkan pasukan pertahanannya.

Sebagai contoh, pesawat-pesawat perisikan tanpa juruterbang Georgia yang ditembak jatuh oleh Rusia beberapa bulan lalu dibuat oleh syarikat Israel, Elbit Systems. Bekas datuk bandar Tel Aviv, Roni Milo, mewakili syarikat ii dalam berurusniaga dengan Georgia. Ini menjadi salah satu isu yang membangkitkan kemarahan Rusia terhadap Israel. Selain Rusia, pesawat ini juga membuat misi perisikan ke Iran.

Temur Iakobashvili, seorang menteri Georgia berbangsa Yahudi, pernah berkata Israel patut berbangga kerana merekalah yang membantu Georgia dalam apa yang disifatkannya sebagai perang menentang Rusia.

Saakashvili sendiri, dalam satu sidang media dengan jelas berkata bahawa senjata yang dibekalkan Israel sangat efektif.

Seorang pemimpin tentera Rusia, Jeneral Anatoly Nogovitsyn pernah menyuarakan kemarahannya terhadap Israel yang membekalkan banyak senjata kepada Georgia, yang pasti sasarannya ialah Rusia, selain Ossetia Selatan dan Abkhazia.

Komuniti Yahudi yang agak besar di Georgia mempunyai sejarah yang panjang dan merupakan antara komuniti Yahudi tertua di rantau Kaukasus dan dunia. Ini menjadikan Israel dan Georgia lebih mudah merapatkan dan mengukuhkan hubungan.

Akhbar Jerusalem Post melaporkan, perdana menteri Georgia, Vladimir Gurgenidze membuat panggilan ke Israel kepada seorang seorang pemimpin agama, Rabai Aaron Leib Steinman untuk memitanya berdoa untuk Georgia.

Selain itu, Georgia juga mempunyai kedudukan ekonomi dan politik yang penting sebagai negara laluan bekalan tenaga dari Laut Kaspia dan negara yang terletak berhampiran Iran, seteru Israel. Georgia dilaporkan bersedia menjadi salah satu pangkalan bagi Israel sekiranya tercetus perang dengan Iran.

Jualan peralatan ketenteraan yang besar kepada Georgia juga mengambil kira faktor Moscow sebagai pembekal penting peralatan ketenteraan kepada Iran. Rusia dikatakan akan meningkatkan jualan senjata kepada Iran sebagai respons sokongan ketenteran Israel kepada Georgia.

Hal ini menyebabkan Tehran berhati-hati dalam menangani isu serangan Rusia ke atas Georgia. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dalam sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai akhir Ogos lalu, menunjukkan satu bentuk persefahaman dengan Rusia dan mengelak daripada mengkritik Rusia, walaupun tidak secara jelas menyokong tindakan ketenteran Rusia.

Iran ialah negara yang berpotensi mendapat manfaat daripada konflik Georgia. Konflik itu boleh menjadikan Moscow bersikap lebih keras terhadap AS dan Israel, sesuatu yang boleh menguntungkan tehran dalam banyak isu, termasuk isu nuklear.

Selain ada kemungkinan Rusia akan membekalkan lebih banyak senjata kepada Iran, tindakan Rusia yang lebih keras terhadap perluasan pengaruh AS di rantau Asia Tengah dan Eropah Timur juga selari dengan kepentingan Iran.

Konflik Georgia telah menjejaskan kestabilan negara bekas Soviet itu sebagai laluan minyak dan gas dari Laut Kaspia ke Eropah, yang sebahagiannya turut dipasarkan di AS. Iran boleh menjadi lebih menarik sebagai laluan bekalan tenaga, tetapi hal ini memerlukan tawar-menawar (grand bargaining) dan perubahan yang sangat besar di pihak Barat.

Kedua-dua Israel dan Iran memerhatikan perkembangan di Georgia, dengan Israel cuba mengukuhkan keupayaan Georgia untuk berdepan Rusia dan juga untuk digunakan terhadap Iran, manakala Iran mahu pengaruh Israel di Georgia dikurangkan supaya tidak digunakan menentangnya.

Georgia, sebuah negara kecil di Kaukasus, kini menjadi semakin penting dalam persaingan kuasa-kuasa dunia.

Terbaru, naib presiden AS, Dick Cheney melawat Georgia, Ukraine dan Azerbaijan, sebagai respons kepada tindakan ketenteraan Rusia. Cheney menyampaikan mesej kepada negara terbabt untuk terus berpihak kepada AS, dan menegaskan kepentingan rautau Kaukasus kepada AS. – 4 September, 2008

Labels: , , ,

Thursday, September 04, 2008

Kejutan Pemilihan Calon Naib Presiden


Keputusan calon presiden Parti Republikan, John McCain memilih gabenor Alaska, Sarah Palin sebagai calon naib presiden membawa satu kejutan kepada pemilihan awal yang dramatik sejak awal tahun ini.

John McCain memilih seorang calon yang agak tercemar dengan isu yang sensitif kepada kelompok konservatif sosial di Amerika Syarikat. Tetapi, apabila diteliti dengan lebih mendalam, Palin menegaskan lagi elemen konservatif calon Parti Republikan.

Anak perempuan Palin berusia 17 tahun mengandung luar nikah, dan berhasrat menikahi teman lelakinya, bapa kepada kandungan itu.

Walaupun dikecam pihak liberal, hakikat bahawa mereka memilih untuk tidak menggugurkan kandungan itu dan kemudian berkahwin ialah satu pilihan konservatif (pro-life).

Pemilihan Palin, walau apapun harapan McCain, didapati tidak meningkatkan sokongan wanita, atau menarik penyokong-penyokong Hillary Clinton, kerana persaingan kedua-dua parti politik utama AS itu sangat jelas elemen ideologinya.

Tahun ini isu perbezaan melibatkan agama dan nilai-nilai hidup menjadi faktor yang penting, berikutan perhatian media dan ahli politik yang banyak tertumpu pada isu-isu tersebut, seperti elemen agama dalam pendidikan sains, perkahwinan sama jantina dan pengguguran kandungan.

McCain mungkin dapat membuktikan Republikan bukan lagi terhad kepada orang tua berkulit putih, tetapi kini turut melibatkan wanita. Seperti dinyatakan Palin, Clinton telah berjaya meretakkan siling kaca yang menghadkan jawatan yang boleh dipegang wanita, tetapi dia kini berazam untuk memecahkannya terus.

Bagaimanapun, Barack Obama masih ke hadapan dalam menerima sokongan minoriti dan golongan muda, disebabkan agenda perubahan yang menjadi slogan kempen presiden calon Demokrat itu.

Pemilihan Palin telah mengukuhkan sokongan daripada kalangan ahli Republikan, disebabkan pendirian konservatifnya berhubung pengguguran dan subjek kejadian manusia yang muncul sebagai satu isu kontroversi dalam pemerintahan Presiden George W Bush.

McCain dikenali sebagai Republikan yang berbeza, yang tidak terlalu mengikut garisan konservatif partinya. Pemilihan Palin melengkapkan McCain dengan memberikan elemen konservatif sosial dan agama kepada kempennya.

McCain dilihat bersifat lebih liberal dalam hal sosial, walaupun telah kembali menunjukkan konservatismenya ketika kempen pemilihan awal tahun ini.

Beliau pernah muncul dalam rancangan Ellen DeGeneres, membincangkan perkahwinan selebriti gay itu dengan seorang pelakon. Dalam rancangan itu, McCain menegaskan bahawa perkahwinan sepatutnya antara seorang lelaki dan wanita.

McCain dalam pemilihan awal tahun ini bersaing dengan dua calon kuat yang mewakili dua lagi tunggak Parti Republikan, iaitu Mitt Romney yang mewakili perniagaan dan Mike Huckabee mewakili golongan agama berhaluan kanan.

Pemilihan Palin menjadi sesuatu yang memberi jaminan kepada kelompok agama berhaluan kanan, satu konstituensi yang penting bagi Republikan, terutama di sebelah selatan, kawasan dikenali sebagai Bible Belt.

Calon Parti Demokratik pula dilihat sesetengah pihak sebagai bergerak ke kanan dalam pemilihan Joseph Biden sebagai gandingannya dalam pilihan raya presiden November nanti.

Biden, pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, berperanan dalam mendapatkan keluluskan kongres untuk menyerang Iraq, isu yang digunakan Obama dalam persaingannya dengan Clinton.

Dalam hal Iraq, Biden sebenarnya tidak berbeza, malah mungkin lebih properang berbanding Clinton, disebabkan peranannya dalam jawatankuasa hubungan luar.

Pemilihan Biden juga mengimbangi imej muda dan tidak berpengalaman Obama, seperti juga McCain mengimbangi imej tua dengan wanita yang lebih muda.

Nama Biden cukup dikenali di Kongres AS dan pengalamannya disegani. Pemilihan Biden mampu melengkapkan kekuatan gandingan Parti Demokratik, berdepan McCain yang dilihat berpengalaman dalam hubungan luar dan mempunyai agenda dasar luar yang hampir menyamai agenda pentadbiran Bush.

Biden mampu meredakan keresahan kumpulan establishment tentera di Washington yang kurang senang dengan sikap antiperang Obama, walaupun dalam beberapa hal, seperti yang melibatkan Israel sikap Obama tidak jauh beza dengan kumpulan berhaluan kanan.

Biden mampu menangani kumpulan konservatif politik dan berhaluan kanan dan pada masa sama, Obama boleh terus menonjolkan diri sebagai tokoh prokeamanan dan perubahan.

Obama dilihat mempunyai kelemahan dalam dasar luar dan Biden mampu menampung kelemahan itu. Dan dalam kemampuan untuk menggalas tugas presiden, Biden juga kelihatan lebih diyakini berbanding Palin.

Kedua-dua gandingan Republikan dan Demokrat kini cuba menguatkan sokongan dari dalam parti melalui pilihan masing-masing, dan mempersembahkan diri mereka sebagai pilihan terbaik untuk rakyat AS.

Labels: , ,