Politik Pop

Friday, November 28, 2008

Plus ça change...

Politik baru

Kebelakangan ini, atau sejak beberapa tahun lalu, sering disebut-sebut Malaysia mula mengalami "politik baru." Politik baru ini dimaknakan dengan paling utama, politik yang berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional. Politik baru kononnya lebih bijak dan tinggi.

Malangnya, politik tetap politik. Sangat naif sekiranya kita mendakwa atau merasakan ada politik yang lebih tinggi dari politik seperti yang kita lihat hari ini.

Buktinya, negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat tidak jauh berubah dalam banyak perkara. Sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat pula mendakwa ada banyak anasir BN dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Pengunaan BN di sini menyimpulkan bahawa segala yang buruk itu perlu dikaitkan dengan BN, walaupun hakikatnya tidak seperti itu.

Selain politikus, aktivis dan penyokong pakatan pembangkang juga masih memperlihatkan gaya politik yang selalu disebut sebagai bersifat BN itu, seperti menyerang karekter dan mengkritik tanpa asas yang betul.

Sebuah blog, sebagai contoh, mengecam dengan sangat keras dan tidak bermoral seorang wartawan hanya kerana melaporkan satu perkara yang tidak dipersetujui penulis blog itu.

Malah dalam kalangan pemimpin tertinggi juga, politik berpuak-puak, kesetiaan tidak berbelah bagi kepada kumpulan masing-masing tanpa pertimbangan rasional, terus berleluasa.

Sentimen seperti ini yang melahirkan tindakan-tindakan yang tidak rasional, seperti kritikan keras mursyidul am PAS terhadap Mustafa Ali ekoran kenyataan mengkritik rancangan 16 September Anwar Ibrahim.

Pemimpin hebat

Dalam politik, biasanya tentangan hebat hanya diterima oleh pemimpin hebat, pemimpin yang dilihat berpotensi untuk mengatasi yang lain.

Seorang pemimpin baru PKR, Mohamad Fairus Khairuddin, yang baru menjawat jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang (perlantikan yang mengejutkan bekas-bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa yang mengenalinya), telahpun mempunyai blog antinya sendiri.

Kalau blog anti menjadi indikator, Fairus kini telah setaraf dengan pemimpin seperti Anwar Ibrahim dan Husam Musa.

Labels: , ,

Saturday, November 15, 2008

Tiru Macam Obama


Pada masa kini, hampir tidak ada politikus yang mendapat status rock star peringkat antarabangsa seperti Barack Obama.

Seperti Bono, Obama pada masa ini disebut-sebut untuk mendapatkan tempias imej progresif, untuk mengasosiasikan diri dengan sesuatu yang dilihat cool.

Dilaporkan di akhbar New York Times hari ini, seorang politikus Israel parti Likud yang berhaluan kanan, Benjamin Netanyahu meniru laman web Obama.

Walaupun berbeza pandangan dengan Obama, hal itu tidak menjadi halangan bagi Netanyahu.

Peniruan ini berlau di mana-mana, menurut pereka laman web Obama seperti dipetik laporan itu.

Di negara kita, seorang ahli politik sudah pun meniru logo Obama, bulatan dengan sebahagian bendera di bawahnya. Hanya warna bulatan yang membezakan logo beliau dengan logo Obama.

Labels: , ,

Thursday, November 13, 2008

Tunggu Giliran




"Tracy took advantage of my white guilt, which is supposed to be used only for good, like overtipping and supporting Barack Obama." - Liz Lemon

Budaya popular sering menjadi barometer sosial sesebuah negara, ataupun mencetuskan perubahan sosial, seperti meningkatkan lagi gejala sosial.

Kemenangan Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat ke-44 baru-baru ini juga sebahagiannya dibantu oleh budaya popular, yang membiasakan rakyat AS dengan wajah presiden berkulit hitam, seperti 24 (oleh rangkaian Fox) dan filem Deep Impact.

Presiden wanita, yang ditunjukkan dalam rancangan Commander in Chief, yang telah pun memenangi anugerah, telah pun menunjukkan pula wajah presiden wanita. Mungkin masanya akan tiba nanti, selepas beberapa tahun.

Tetapi ada yang berpendapat ini telah berlaku semasa pentadbiran Presiden Bill Clinton.

Labels: , ,

Freaky Deakies Need Love Too (2)

Walaupun liberal seluruh Amerika Syarikat (dan seluruh dunia) menyambut kemenangan Barack Obama, kemenangan Obama juga disertai dengan satu kekalahan bagi golongan liberal, iaitu kemenangan Proposition 8, yang mengharamkan perkahwinan sama jantina di negeri itu.

Menurut rekod, 61 peratus pengundi California mengundi Obama, tetapi 51 peratus mengundi menyokong Proposition 8.

Ekoran keputusan mahkamah agung negeri, selama beberapa bulan, golongan gay California boleh berkahwin. Amalan itu kini haram di California.

Ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan bagi Republikan penyokong nilai konservatif, apabila pengharaman itu mendapat sokongan majoriti di salah sebuah negeri paling liberal di AS, dan sebuah negeri biru, walaupun gabenornya seorang Republikan.

Artis gay terkenal, Elton John dilaporkan berkata Proposition 8 silap kerana mengemukakan perkahwinan. Katanya, gay sepatutnya memilih ikatan sivil dan bukan perkahwinan.

Nampaknya masih ada harapan untuk nilai-nilai konservatif di AS. Kemenangan Obama bukan kemuncak yang sempurna untuk liberal di negara itu.

Labels: , ,

Saturday, November 08, 2008

Kemenangan Barack Obama: Apa yang Berubah?

Kemenangan Barack Hussein Obama dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat 4 November lalu mempunyai banyak simbol dan makna, kepada kedua-dua politik AS dan seluruh dunia.

Menurut laman Real Clear Politics, gandingan Obama dan Joseph Biden memperolehi 52 peratus undi popular dan memdapat 349 undi kolej elektoral, meninggalkan gandingan John McCain dan Sarah Palin yang hanya mendapat 47 peratus dan 163 undi.

Kejayaan Parti Demokratik merampas negeri-negeri medan pertarungan seperti Ohio dan Florida daripada Parti Republikan dan menguasai Senat dan Dewan Perwakilan menunjukkan perubahan besar dalam pengundian rakyat AS.

Jelas sekali, sentimen terhadap Obama kekal sejak kempen bermula hampir dua tahun lalu hingga pada hari pengundian. Pemilihan presiden berkulit hitam dan naib presiden Roman Katolik menunjukkan berlaku perubahan di negara itu.

Di banyak negara termasuk Malaysia, kemenangan Obama yang bakal dilantik menjadi presiden ke-44 republik AS itu dibaca sebagai kejayaan politik liberal dan berakhirnya apa yang disifatkan sebagai politik berasaskan kaum.

Walaupun hal ini ada benarnya, ia tidak sepatutnya dibaca sebagai satu-satunya makna daripada pilihan raya di AS itu.

AS masih lagi sebuah negara yang sejumlah besar penduduknya konservatif dari segi politik dan sosial, walaupun pada tahap yang berbeza-beza.

Kemenangan Obama tidak bermakna kesimpulan boleh dibuat bahawa AS akan terus berubah dengan dramatik, malah mungkin perubahan akan lebih sukar kerana tindak balas pihak konservatif dan pelbagai pihak yang berkepentingan.

Tema perubahan yang digunakan menjadikan harapan lebih besar diletakkan untuk beliau melakukan perubahan.

Memang harapan yang besar disandarkan pada Obama oleh pengundi-pengundinya untuk membawa perubahan, tetapi sistem yang perlu dihadapi sangat besar, contohnya pelobi-pelobi yang berleluasa di Washington.

Harapan bagaimanapun bukan hanya dijanjikan kepada rakyat AS, tetapi juga seluruh dunia. Muslim di seluruh dunia berharap dasar luar pentadbiran Obama nanti akan lebih mesra dengan negara-negara Islam, dan akan mengamalkan pendekatan dialog.

Harapan ini, bagaimanapun dicetuskan oleh pandangan yang sebahagiannya didasarkan pada fahaman bahawa kuasa eksekutif presiden mampu menguasai semua hal dalam pentadbiran dan dasar luar.

Muslim sebenarnya memberi perhatian pada perkara yang salah apabila menumpukan pada presiden, sedangkan kekuatan yang lebih mampu memberi kesan kepada dasar kerajaan ialah aktiviti rakyat negara itu.

Di AS, dasar luarnya banyak menerima kesan daripada pengundi, pelobi dan kumpulan pendesak, seperti komuniti Yahudi, Armenia, kumpulan anti-China, anti-Rusia dan lain-lain. Aktiviti ini dapat memberi lebih kesan berbanding seorang presiden.

Penduduk Muslim di AS tidaklah jauh lebih kecil berbanding warga keturunan Yahudi dan beberapa minoriti lain.

Bagaimanapun, sekiranya pendekatan dialog yang disuarakan semasa kempen itu diteruskan, harapan untuk melihat dasar luar AS yang jauh lebih baik berbanding pemerintahan Republikan amat cerah.

Bagi dunia dan sejumlah besar rakyat AS, menamatkan pemerintahan Republikan sahaja sudah dianggap sebagai satu kejayaan besar.

Di Eropah, harapan untuk perubahan yang lebih baik dalam hubungan trans-Atlantik juga dapat dilihat. Pemimpin-pemimpin Eropah seperti Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy dalam kenyataan awal mereka memberikan gambaran harapan untuk kerjasama yang lebih baik, demi kebaikan kedua-dua pihak.

Daripada apa yang dilihat hari ini, jelas sekali imej AS akan pulih dengan agak dramatik di mata dunia, setelah dunia menghadapi pemerintahan George W Bush yang bersikap unilateral.

Imej inilah yang dapat diperhatikan di seluruh dunia. Di Kuala Lumpur sendiri, pada majlis menonton keputusan pilihan raya AS yang diadakan di sebuah hotel 5 November lalu, rakyat Malaysia turut sama meraikan kemenangan Obama.

Hal yang sama berlaku di ibu negara seluruh dunia. Tinjauan pendapat mendapati sokongan besar kepada Obama, dengan harapan yang tidak kurang besar.

Dengan kemenangan ini, Obama diharapkan untuk “membetulkan” segala masalah yang ditinggalkan pentadbiran Bush, termasuk tugas berat memulihkan keadaan ekonomi AS yang dilanda kemerosotan.

Apapun yang bakal dilaksanakan pentadbiran Obama, beliau kini tercatat dalam sejarah AS sebagai pemimpin yang telah menggerakkan satu perubahan dalam politik negara itu, sekaligus mewujudkan satu pencapaian baru dalam perubahan rakyat AS berdepan cabaran perkauman.

Dengan kemenangan bersejarah dan berprofil tinggi ini, kesannya pasti akan dirasai di seluruh dunia, meningkatkan lagi tekanan kepada politik konservatif berasaskan kaum di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, perlu ditegaskan sekali lagi, perubahan yang berlaku tidak wajar dibaca lebih daripada yang sepatutnya. Jalan yang perlu ditempoh Obama dan seluruh AS masih jauh lagi.


Labels: ,

Friday, November 07, 2008

Obama's Karl Rove?

1. Emanuel in Congresspedia

2. Emanuel in Wikipedia

3. Infamous Rahmbo moments

4. Emanuel's appointment in Haaretz

Labels: ,