Implikasi Debat Hudud Husam-Khairy

Setelah beberapa tahun PAS meninggalkan wacana berhubung hudud, isu panas ini timbul kembali menghangatkan arena politik Malaysia dari individu yang sangat tidak dijangka, iaitu Datuk Husam Musa, pemimpin yang dilihat berada dalam barisan profesional PAS.
Husam menegaskan kembali agenda hudud yang telah disenyapkan, atau sekurang-kurangnya dilunakkan oleh kepimpinan PAS, menyatakan bahawa pelaksanaannya sebagai sesuatu yang sentral kepada komitmen Islam seorang Muslim.
Isu hudud yang disuarakan Husam menjadi satu fokus daripada forum politik yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan tidak lama dulu, menenggelamkan isu-isu lain termasuk kenyataan-kenyataan Khairy Jamaluddin.
Hudud telah tidak menjadi fokus dalam wacana PAS sejak beberapa tahun lalu, sebahagian besarnya ekoran respons negatif yang diterima daripada banyak pihak. Hal ini mudah difahami memandangkan PAS kini mahu dan memerlukan sokongan daripada masyarakat bukan Muslim, yang pada masa ini meningkat dengan penubuhan kelab-kelab penyokong.
PAS juga telah pun mengemukakan gagasan “negara berkebajikan,” yang boleh dilihat sebagai satu pakej baru negara Islam, satu lagi topik dalam wacana PAS yang telah dilunakkan untuk memenuhi keperluan politik semasa.
Kenyataan Husam berkenaan hudud dalam forum di Kota Bharu itu boleh dikatakan agak mengejutkan, kerana hudud telah pun wujud satu bentuk konsensus – walaupun tidak dinyatakan dengan jelas – untuk tidak memberi tumpuan pada isu itu lagi.
Hudud dapat dilihat sebagai satu wacana golongan ulama konservatif dalam PAS yang tidak menyumbang kepada penambahan pengundi dalam pilihan raya, lebih-lebih lagi ketika PAS semakin meluaskan kehadiran lebih kepada kawasan-kawasan tradisional.
PAS dalam pakej baru mengemukakan wacana baru yang disifatkan lebih inklusif dan tidak divisif. Disebabkan itu, kenyataan Husam tentang hudud itu perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas.
Husam didakwa sebagai orang kuat apa yang disifatkan sebagai kumpulan Erdogan dalam PAS, ekoran sokongannya untuk projek 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kehadirannya di sisi pemimpin de facto pakatan pembangkang itu.
Niat Husam membicarakan topik kontroversi itu tidak dapat diketahui, tetapi dapat dilihat kesan-kesan akibat kenyataan yang menjadi tumpuan media dan ahli-ahli politik itu.
Yang utama bagi kedua-dua ahli politik bercita-cita besar itu, kedua-dua Husam dan Khairy mendapat mileage politik masing-masing melalui forum itu.
Husam mendekatkan kembali dirinya dengan penyokong akar umbi PAS dan juga ulama konservatif parti, yang rata-rata memusuhi kumpulan Erdogan. Hal ini dapat dilihat apabila kenyataan Husam turut disokong Datuk Harun Taib.
Kenyataan Husam boleh mengembalikan Husam kepada arus perdana akar umbi PAS yang konservatif, dan menafikan dakwaan bahawa beliau seorang tokoh Erdogan.
Kenyataan Husam juga dikatakan menyatukan semula PAS di bawah isu penting parti, penyatuan yang dikatakan boleh menguatkan parti ini dalam menghadapi pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pertengahan Januari nanti.
Bagaimanapun, tentangan yang tercetus ekoran kenyataan Husam berupaya menggugat peluang PAS di Kuala Terengganu, memandangkan kontituensi ini mempunyai sejumlah pengundi Cina.
Tentangan keras DAP dan MCA pasti didengari pengundi-pengundi terbabit, walaupun tidak boleh disimpulkan undi mereka akan hanya berdasarkan isu itu.
Tetapi, akibat gambaran negatif yang dikaitkan dengan hudud, impak isu itu tidak boleh dipandang rendah. MCA yang kehilangan pengundi pada pilihan raya umum lalu dapat menggunakan isu hudud untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada mereka.
Bagaimanapun, banyak lagi yang boleh berlaku antara sekarang dengan hari pengundian nanti. Isu besar dan panas itu boleh tenggelam dengan isu lain apabila keadaan menentukan. Kenyataan Husam itu sekurang-kurangnya memaksa PAS berdepan dengan isu-isu penting dengan lebih matang, dan memaksa PAS bekerja lebih keras dalam usaha merampas kembali Parlimen Kuala Terengganu.



