Politik Pop

Thursday, January 08, 2009

Disclaimer

Arianna Huffington, pengasas laman Huffington Post yang terkenal dalam kalangan liberal di Amerika Syarikat menerima banyak kritikan baru-baru ini, disebabkan satu penafian yang panjang di permulaan artikel tulisan Mustafa Barghouti, ahli politik Palestin, yang tersiar dalam Huffington Post.

Tindakan meletakkan penafian itu mudah untuk dibaca, iaitu untuk menjarakkan diri dari Mustafa dan pandangannya yang mungkin dianggap ekstrem, atau mungkin anti-Semitik. Penafian itu tiba-tiba ada pada tulisan Mustafa, menyebut beliau sebagai seorang politikus sekular Palestin, menunjukkan pengendali laman itu dengan bersungguh-sungguh menekankan pandangan itu tidak mencerminkan pendirian Huffington Post, walaupun hal itu sedia difahami dalam media.

Di Malaysia, hal yang sama berlaku, apabila Malaysian Insider, meletakkan penafian pada akhir artikel seorang kolumnisnya, Muaz Omar, menjelaskan artikel itu ialah pandangan peribadi penulis, walaupun jelas sekali artikel itu diterbitkan dalam ruangan pendapat.

Biasanya, di akhir artikel diletakkan penerangan seperti pengenalan penulis. Tetapi pada artikel Muaz, Malaysian Insider meletakkan satu permohonan maaf, walaupun tulisan beliau masih jauh lebih lunak daripada ramai golongan liberal di Amerika Syarikat sendiri. Mungkin, Malaysian Insider berkongsi sebab yang sama dengan Huffington Post dalam hal ini.

Ini menunjukkan isu Palestin masih lagi satu isu yang sangat polarizing, memperlihatkan perbezaan politik kelompok-kelompok berbeza di negara kita. Isu Palestin dihambat dengan wacana terorisme dan sebagainya, sehingga sering mendorong perhatian berlebihan kepada "keperluan" untuk "bersikap seimbang."

Labels: , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home