Politik Pop

Thursday, January 22, 2009

Kemenangan Pulih Moral PAS





Kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut di pilihan raya kecil di Kuala Terengganu disepakati pemerhati politik sebagai petanda jelas kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijangka mengambilalih pemerintahan negara daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berdepan cabaran yang sukar.

Dalam konsensus parti-parti pembangkang, kepimpinan Najib diragui akan dapat memulihkan negara, malah kekalahan Umno/Barisan Nasional dibaca sebagai bukti Najib tidak layak menerajui kepimpinan negara.

Bagaimanapun, kekalahan Umno agak lebih mudah untuk dijangka, berdasarkan ketidaksepakatan Umno pada calonnya, bekas senator dan timbalan menteri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pembangkang menggunakan isu Wan Farid yang dilihat tidak popular itu sepenuhnya hingga ke saat akhir, menjadi isu pemecah-belah (wedge issue) yang sangat berkesan bagi pembangkang, lebih-lebih lagi dengan dibantu oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Menjelang keputusan diumumkan, satu lagi tanda jelas muncul apabila terbit berita bahawa Abdullah telah berangkat ke negara Arab Teluk untuk lawatan rasmi, tindakan yang dilihat meninggalkan masalah untuk dihadapi oleh Najib seorang diri.

Persepsi agenda PAS untuk melaksanakan hudud, isu pemecah Umno/BN bagaimanapun gagal menampung kemerosotan undi calon Umno dalam pilihan raya ini, apabila sejumlah besar pengundi Melayu memberikan undi mereka kepada PAS.

Ini bagaimanapun tidak bermakna hudud tidak memberi kesan kepada undi PAS melibatkan pengundi Cina, atau hudud telah difahami sejumlah besar rakyat dan bukan lagi isu seperti dinyatakan sesetengah pihak.

Walaupun PAS menang selesa dalam pilihan raya ini dengan peningkatan majoriti dan pertambahan sedikit undi, kawasan Cina masih kawasan sukar bagi PAS, dan isu hudud boleh dikatakan menjadi satu faktor.

MCA telah mengenal pasti potensi manfaat yang boleh diperolehi melalui kontroversi hudud sejak awal lagi, dan menggunakannya untuk berkempen di konstituensi Cina di Kuala Terengganu.

Walaupun pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng turut berkempen, usaha itu tidak berjaya menarik undi Cina yang cukup untuk PAS.

PAS juga tidak boleh membaca kemenangan ini sebagai endorsement untuk semua projek politik parti, termasuk hudud, kerana protes Umno menjadi penyumbang kepada kekalahan calon mereka.

Dari satu segi, hudud yang mula berleluasa dalam debat nasional sejak dimunculkan oleh Khairy Jamaluddin tidak lama dulu masih boleh dijadikan senjata oleh musuh politik PAS, dan juga sekutu dalam Pakatan Rakyat, untuk mengawal dan memberi tekanan kepadanya dalam menangani politik aliansi dalam Pakatan.

Isu ini masih boleh dijadikan isu pemecah-belah oleh BN terhadap Pakatan Rakyat pada masa depan. Ini kerana jelas sekali DAP terutamanya tidak berupaya menahan diri daripada terlibat dengan debat ini tanpa mengira masa, seperti ditunjukkan oleh Karpal Singh menjelang pengundian di Kuala Terengganu. Hudud masih satu isu panas (hot button issue) dalam kalangan DAP.

Sepanjang kempen pilihan raya, berlaku pula satu sideshow, pertembungan melibatkan Ezam Mohd Noor dan bekas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak ada kena-mengena dengan Kuala Terengganu.

Pertembungan peribadi itu berjalan sepanjang kempen, dengan Ezam mendedahkan usaha berdamai Anwar dengan Mahathir sejurus Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Pertembungan itu bagaimanapun mendapat perhatian media, walaupun kemudian ditenggelamkan oleh sambutan kemenangan PAS. Kehadiran Anwar berkempen digunakan Ezam untuk terus menyerang bekas bosnya itu.

Walaupun dikatakan Anwar semakin renggang dengan kepimpinan ulama PAS, dan kelompok pemimpin PAS penyokong Anwar tidak bersetuju dengan pemilihan calon, Anwar turut aktif berkempen di Kuala Terengganu.

Menurut perkiraan politik, Anwar perlu berada di Kuala Terengganu dan berkempen untuk mengekalkan persepsi dirinya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, walau apa pun sikapnya terhadap PAS, terutamanya melibatkan Kuala Terengganu.

Kesepakatan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini bagaimanapun berlangsung pada tahap yang agak baik, dengan ahli-ahli PKR turut sama bekerja membantu kempen PAS, walaupun dalam kalangan PAS, berlaku ketidaksepakatan ekoran pemilihan calon oleh presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ramai ahli akar umbi di Kuala Terengganu tertanya-tanya tentang penyertaan pemimpin-pemimpin PAS kumpulan Erdogan yang didakwa kurang memuaskan, atau sekurang-kurangnya tidak menyamai semangat yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh tahun lalu.

Pemerhati politik yang juga ketua pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar dalam satu catatan di blognya mengkritik dengan hebat kumpulan Erdogan yang didakwa tidak bersungguh membantu kempen dan menyumbang bantuan kewangan seperti yang dilakukan dalam pilihan raya kecil melibatkan PKR sebelum ini.

Walaupun hal ini secara rasmi dinafikan PAS, beberapa aktivis pemuda PAS Terengganu yang ditemui mengakui kesan negatif yang semakin dirasai ekoran perselisihan antara apa yang disifatkan golongan ulama dengan Erdogan dalam PAS.

Bagaimanapun, ada antara mereka mengakui kelebihan individu-individu Erdogan yang lebih cekap mengurus, mempunyai lebih banyak sumber dan lebih berstrategi dalam menangani isu-isu semasa. Mereka berpendapat PAS akan kerugian sekiranya meminggirkan terus kumpulan Erdogan.

Seorang aktivis pemuda menjelaskan Abdul Hadi semakin menyedari tekanan terhadapnya dan semakin berani bertindak menunjukkan kuasanya, seperti yang dilihat dalam pemilihan calon Parlimen Kuala Terengganu, walaupun beliau menafikan akan berlaku “pencantasan kumpulan Erdogan” seperti yang diperkatakan – dan diharapkan - sesetengah pihak.



Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terbaru dan reaksi pihak tertentu dalam PAS, tindakan terhadap kumpulan Erdogan dalam PAS - walaupun mungkin bukan secara terang-terangan - bukan lagi sama ada soal adakah perkara ini akan berlaku, tetapi bagaimana dan bila ia akan berlaku.

Katanya lagi, perkembangan terbaru, termasuk keputusan Abdul Hadi tidak memilih Dr Syed Azman Syed Ahmad untuk calon, juga memberikan gambaran tentang sikap presiden PAS itu terhadap bakal kepimpinan PAS Terengganu.

Ada yang berpendapat Mohd Abdul Wahid menjadi pilihan Abdul Hadi untuk menerajui PAS Terengganu nanti, manakala pendapat lain menyatakan tanggapan itu terlalu awal, ditambah dengan beban tugas Mohd Abdul Wahid sebagai wakil rakyat.

Apapun yang menjadi hasrat Abdul Hadi, kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu ini telah meningkatkan moral PAS yang berdepan banyak cabaran kebelakangan ini, dan satu kemenangan peribadi Abdul Hadi yang menanggung sejumlah besar cabaran itu.

Seperti juga Umno yang menggunakan kempen pilihan raya kecil itu untuk persediaan pemilihan, PAS juga telah memulakan langkah menuju pemilihan parti nanti di pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini. - 18 Januari, 2009



Gambar oleh Azrul Edham Amuniddin/Siasah

Labels: , ,

Realistik Menilai Obama


Barack Obama kini telah rasmi menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-44, mencatat beberapa sejarah tersendiri.

Obama yang muncul tepat pada masanya – ketika mengejar jawatan ke Senat dan kemudian presiden – menjadi seperti seorang penyelamat yang dinanti dunia. Beliau menjadi tokoh politik dan juga budaya popular paling menyerlah tahun lalu.

Beliau disebut sebagai “presiden dunia” oleh majalah Jerman, Der Spiegel. Beliau muncul dengan bergaya di muka depan majalah Rolling Stone. Seluruh dunia, dari Jakarta ke Kenya, berpesta meraikan pesta perlantikannya, ketika penduduk Palestin di Gaza menderita akibat serangan sekutu AS, Israel.

Pada minggu menjelang acara perlantikan Obama, wacana konsensus media AS dan Barat ialah kejayaan perjuangan kaum kulit hitam di AS, wacana yang turut mempengaruhi media di negara-negara lain termasuk Malaysia.

Media mewacanakan perjuangan menuntut hak-hak sivil di AS. Dan dengan latar Memorial Lincoln di majlis perayaan sebelum majlis perlantikan, simbol perjuangan kaum kulit hitam yang pernah menjadi hamba menjadi simbol yang paling jelas membayangi perlantikan Obama sebagai “presiden AS berkulit hitam pertama.”

Politik sememangnya satu permainan simbol, tetapi ia perlu ditangani dengan rasional, melihat dan menggali fakta untuk melihat sesuatu perkara itu dengan jelas.

Obama belum dilihat bertindak tegas terhadap tragedi kemanusiaan terbesar pada masa kini yang berlaku di Gaza, sesuatu yang memberikan gambaran kurang menjanjikan tentang dasar luarnya.

Seorang penganalisis politik, Christian Brose dalam tulisannya bertajuk The Making of George W Obama menjangkakan pentadbiran penggal pertama Obama mungkin akan meneruskan dasar-dasar luar penggal kedua Bush.

Manakala analisis pilihan raya presiden yang lalu telah awal-awal menunjukkan kejayaan bersejarah Obama agak terlalu diperbesarkan sesetengah pihak.

Dengan memerhatikan peta yang membahagikan negeri-negeri AS berdasarkan warna merah dan biru hasil pilihan raya lalu, sudah dapat dilihat bahawa negeri merah dan biru masih kekal, kecuali perubahan di beberapa negeri seperti New Mexico, Virginia, dan Carolina Selatan. Ini dapat dilihat dengan jelas dengan membandingkan peta keputusan tahun 2004 dengan 2008.

Sebahagian besarnya, iaitu negeri-negeri merah dan biru tradisional, kekal seperti biasa. Negeri-negeri seperti Texas, Louisiana, Alabama dan Carolina Selatan kekal sebagai kubu kuat Republikan, seperti juga California, New York dan negeri-negeri New England kekal menjadi kubu kuat Demokrat.

Disebabkan inilah, persaingan yang disaksikan dalam kempen pilihan raya presiden antara Obama dengan John McCain berlangsung dengan hebat sekali di negeri-negeri medan tempur utama yang menjadi penentu. Obama tidak berjaya mendapatkan sokongan ramai daripada pengundi-pengundi penyokong kuat Republikan.
Ini menunjukkan masih banyak yang kekal seperti biasa dalam politik AS, dan Obama telah menjadi simbol yang terlalu disalahtafsir, dengan diletakkan pelbagai makna yang lebih besar daripada yang sepatutnya dan tidak tepat.

Menurut profesor sains politik di Universiti George Washington di Washington, DC, John Sides, dalam tulisannya di blog themonkeycage.org, sebenarnya tidak banyak yang berubah. Jelasnya dalam satu tulisan tidak lama selepas pilihan raya, memang Obama memenangi beberapa negeri yang sudah lama tidak dimenangi Demokrat, tetapi perkembangan ini tidak menampakkan perubahan besar-besaran melibatkan parti.


Menurutnya lagi, ekonomi dan kelemahan pentadbiran Presiden George W Bush kelihatan menjadi sebab berlaku perubahan kali ini melibatkan semua kalangan pengundi.

Isu sokongan kepada Obama yang berkulit hitam juga memberi penekanan kepada warna kulit dengan agak berlebihan, sedangkan hal yang juga penting ialah sokongan kepada calon parti masing-masing, tanpa mengira aliran yang berbeza, walaupun dilaporkan juga sebahagian penyokong Clinton memberikan undi kepada McCain.

Jelas Sides, “Kesetiaan kepada parti kekal kuat seperti biasa. Di sebalik perbincangan berterusan tentang sama ada Obama mampu menarik Demokrat kelas pekerja, dan sama ada McCain boleh menarik sokongan Republikan konservatif, akhirnya didapati kesetiaan parti kekal pada tahap 2004 – iaitu sekitar 90 peratus. Obama juga mendapat 85 peratus undi Demokrat kulit putih.”

Obama telah pun memulakan tugas sebagai presiden AS, berdepan cabaran besar ekonomi global, Palestin-Israel, Iraq, Afghanistan dan banyak lagi, terutama yang ditinggalkan pentadbiran Bush.

Warga AS dan seluruh penduduk dunia kini perlu mula melihat dan menilai Obama dengan realistik, dan bukan berdasarkan retorik dan simbol kempen pilihan raya presiden.

Labels: , ,

Thursday, January 08, 2009

Disclaimer

Arianna Huffington, pengasas laman Huffington Post yang terkenal dalam kalangan liberal di Amerika Syarikat menerima banyak kritikan baru-baru ini, disebabkan satu penafian yang panjang di permulaan artikel tulisan Mustafa Barghouti, ahli politik Palestin, yang tersiar dalam Huffington Post.

Tindakan meletakkan penafian itu mudah untuk dibaca, iaitu untuk menjarakkan diri dari Mustafa dan pandangannya yang mungkin dianggap ekstrem, atau mungkin anti-Semitik. Penafian itu tiba-tiba ada pada tulisan Mustafa, menyebut beliau sebagai seorang politikus sekular Palestin, menunjukkan pengendali laman itu dengan bersungguh-sungguh menekankan pandangan itu tidak mencerminkan pendirian Huffington Post, walaupun hal itu sedia difahami dalam media.

Di Malaysia, hal yang sama berlaku, apabila Malaysian Insider, meletakkan penafian pada akhir artikel seorang kolumnisnya, Muaz Omar, menjelaskan artikel itu ialah pandangan peribadi penulis, walaupun jelas sekali artikel itu diterbitkan dalam ruangan pendapat.

Biasanya, di akhir artikel diletakkan penerangan seperti pengenalan penulis. Tetapi pada artikel Muaz, Malaysian Insider meletakkan satu permohonan maaf, walaupun tulisan beliau masih jauh lebih lunak daripada ramai golongan liberal di Amerika Syarikat sendiri. Mungkin, Malaysian Insider berkongsi sebab yang sama dengan Huffington Post dalam hal ini.

Ini menunjukkan isu Palestin masih lagi satu isu yang sangat polarizing, memperlihatkan perbezaan politik kelompok-kelompok berbeza di negara kita. Isu Palestin dihambat dengan wacana terorisme dan sebagainya, sehingga sering mendorong perhatian berlebihan kepada "keperluan" untuk "bersikap seimbang."

Labels: , , ,

Tuesday, January 06, 2009

Berlin






Rakyat kota Berlin kini berdepan perasaan berbelah bagi ketika projek membina sebuah istana penting dalam sejarah kota itu hampir bermula.

Perancangannya ialah membina semula istana yang pernah menduduki tempat itu - di tanah kosong yang ditunjukkan dalam gambar teratas - yang dimusnahkan pemerintah Komunis Jerman.

Apa yang baru siap diruntuhkan itu ialah Palast der Republik, satu bangunan penting sejarah Komunis Jerman, yang banyak dapat dilihat di Berlin.

Tiga gambar dari bawah menunjukkan Palast der Republik pada musim luruh 2006, ketika kerja-kerja meruntuhkan sedang berjalan.

Pada masa itu, bangunan itu ialah satu-satunya pemandangan tidak menarik sepanjang Unter der Linden, boulevard panjang penuh kesan sejarah yang paling dilawati di Berlin.

Jika apa yang dirancang untuk dibina itu siap nanti, kawasan Unter der Linden di situ mungkin jadi lebih menarik, tetapi mungkin juga merosakkan nilai sejarah kawasan itu, sesuatu yang dibimbangi ramai, bimbang ia akan menjadi seperti Postdamer Platz, yang kelihatan seperti mana-mana tempat komersil di dunia, tempat pelancong datang hanya untuk membeli-belah dan menonton Borat dalam bahasa Inggeris.

Paling utama, mungkin, bimbang ia akan menyalahi sifat Berlin yang "poor, but sexy."

Labels: , ,

Friday, January 02, 2009

Bagaimana Clinton Tangani Gaza


"All future aid to the Palestinian Authority must be contingent on strict compliance with their obligation to change all the textbooks in all grades--not just two at a time," kata Hillary Clinton pada 2000, lapor Jerusalem Post.

Sejak menjadi wanita pertama Amerika Syarikat, dan kemudian berkempen untuk jawatan Senat dan calon presiden Parti Demokratik, isu buku teks sekolah Palestin menjadi salah satu isu utama yang diperjuangkan.

Dakwa Clinton, buku teks yang digunakan memberikan gambaran negatif tidak seimbang tentang AS dan Israel.

Akibatnya, setelah namanya dikenali sebagai sahabat setia Israel, dia akan perlu menunjukkan sikap lebih seimbang untuk menangani konflik Israel-Palestin. Selain Rahm Immanuel, Clinton menjadi salah satu sebab Rumah Putih baru di bawah Barack Obama dilihat sesetengah pihak sebagai "dikuasai" sahabat Israel.

Labels: , ,