Politik Pop

Wednesday, February 25, 2009

Sebelum Hantar Kereta Kebal


Sebelum berperang dengan Georgia, Rusia memberikan pasport kepada ramai rakyat negara itu, menjadikan mereka "rakyat Rusia," alasan yang membolehkan Rusia menyerang Georgia.

Amalan Rusia ini telah membina jumlah rakyat Rusia yang besar di negara-negara bekas Soviet, termasuk Ukraine, yang ramai penduduk Crimea menerima pasport Rusia.

Di Republik Transdniestr, yang masih sebahagian Moldova, Rusia turut memberikan pasport kepada warga negara bekas Soviet itu.

Bagaimanapun, mungkin responsnya tidak seperti yang dilihat di Ukraine dan Georgia, yang konsensus media Barat memutuskan sebagai mangsa Rusia yang perlu mendapat pembelaan, walaupun mereka juga menzalimi minoriti.

Tempat yang berkemungkinan menyaksikan tindakan ketenteraan Rusia semakin banyak, memberikan petunjuk kesungguhan Rusia menyusun kembali CSTO, Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif.

Pemerhati menjangkakan akan berlaku perang lagi antara Rusia dengan Georgia. Dan memandangkan kepentingan Crimea, yang menjadi lokasi pangkalan tentera laut Rusia dan menempatkan ramai etnik Rusia, wilayah itu akan menjadi tumpuan dalam hubungan Rusia dengan Ukraine dan Barat.

Labels: , ,

Tuesday, February 24, 2009

Talk to Me

"Talk to me
Tell me your sign
You're switching sides like a Gemini
You're playing games and now you're hittin' my
heart
Like a drum
Yeah, baby." - Ricky Martin, She Bangs


Kedua-dua pemimpin telah menyuarakan kemungkinan dialog. Malah, Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapan sempena Hari Revolusi mengajak Obama memulakan dialog Amerika Syarikat dengan Iran.

Menurut seorang wartawan, Mahmoud ialah tokoh yang tepat untuk diadakan rundingan. Tetapi, perkembangan lain, seperti perlantikan Dennis Ross sebagai wakil khas ke Teluk, yang melibatkan Iran, mungkin membawa kepada kemungkinan lain.

Labels: ,

Monday, February 23, 2009

George W Obama

Seorang penganalisis, Christian Brose, dalam artikelnya yang diterbitkan sebelum Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat, menyatakan dasar luar Obama tidak akan berbeza dengan George W Bush, terutama pada penggal pertama.

"Obama most likely—and correctly—will not refer to a 'war on terror' as the organizing principle of U.S. foreign policy, but that doesn’t mean he won’t approach terrorism in much the same way," tulisnya.

Dasar paling jelas Obama yang sama dengan Bush dapat dilihat di Afghanistan dan Pakistan, seperti berhubung tahanan perang dan pengeboman teroris bersama orang awam di Pakistan.

Labels: , ,

Agenda Asia Obama

Tindakan pertama pentadbiran Presiden Barack Obama telah menolak tanggapan sesetengah pemerhati yang menjangka Amerika Syarikat bakal mengabaikan negara-negara Asia dan rantau Asia Pasifik, terutama Jepun.

Pemilihan lawatan ke Asia Timur oleh diplomat tertinggi AS, Hillary Rodham Clinton – yang dicadangkan oleh kakitangan pentadbiran sebelum ini – ialah pilihan yang tepat untuk menangani salah satu masalah yang dihadapi AS ketika ini, iaitu masalah ekonomi global dan pada masa sama menangguhkan dan mengalih tumpuan daripada satu lagi masalah besar; konflik Israel-Palestin.

Pentadbiran Obama kelihatan mengikut pandangan-pandangan yang meletakkan China sebagai salah satu jawapan kepada masalah ekonomi yang dihadapi AS, disebabkan saling bergantungan kedua-dua ekonomi AS dan China. China juga negara yang diperlukan kerjasamanya dalam menangani isu Korea Utara yang bakal menjadi agenda penting pentadbiran Obama.

Isu peluru berpandu Korea Utara menjadi satu sebab Korea Selatan menjadi salah satu destinasi lawatan pertama Clinton.

Pada masa sama, Washington memberi petunjuk bahawa hubungannya dengan Tokyo sangat penting, meredakan keresahan Jepun yang berasa bakal dipinggirkan demi menjaga hubungan dengan China, kuasa ekonomi yang semakin meningkat.

Lawatan ke Indonesia pula - negara dengan penduduk Muslim terbesar dunia – memberi petanda bahawa AS bersungguh-sungguh untuk berbaik-baik dengan dunia Muslim, walaupun isu Israel dan Palestin juga penting untuk ditangani pentadbiran Obama. Indonesia dalam hal ini dijadikan negara Muslim tumpuan, mengalihkan dan menangguhkan perhatian daripada konflik Gaza yang sukar.

Indonesia ialah pusat aktiviti Islam liberal yang aktif, mendapat sokongan daripada AS dan dilihat sebagai negara Muslim moderat. Hal ini boleh dijadikan modal untuk menunjukkan hubungan yang baik dengan dunia Islam, walaupun ekstremis Muslim juga menjadi satu masalah besar kepada negara itu.

Ini boleh dijadikan bukti oleh Obama bahawa hasratnya berbaik-baik dengan dunia Islam bukan janji kosong, disebabkan kedudukan Indonesia sebagai negara Muslim terbesar dunia dan dapat dikaitkan dengan Obama sendiri.

Dalam lawatan pertama, ke Jepun, Clinton mengutarakan hasrat AS untuk menjalankan dasar luar yang “seimbang dan harmoni” dan mengiktiraf kepentingan hubungan AS dengan Asia Pasifik dalam menghadapi cabaran era ini.

Keseimbangan dan harmoni akan berdepan pelbagai halangan untuk dicapai, ekoran hubungan AS-Jepun-China yang kompleks, terutama pada masa Washington memerlukan kerjasama kedua-dua China dan Jepun, dalam hal ekonomi dan kerjasama dalam operasi keselamatan.

Clinton akan terpaksa menghadapi China yang pasti belum melupakan kenyataan Setiausaha Perbendaharaan Timothy Geithner yang memberitahu Kongres AS bahawa China memanipulasi matawangnya, untuk mendapat kelebihan dalam perdagangan antarabangsa, menjadikan barangannya murah sekaligus mengekalkan eksport yang tinggi.

Manipulasi matawang oleh China menjadi isu sejak pentadbiran George W Bush lagi. Hakikatnya, China juga rakan dagang penting AS, dan menjadi pemegang rizab dolar AS terbesar. China juga destinasi pelaburan penting bagi AS, sesuatu yang membolehkan rakyat AS menikmati barangan murah di pasaraya seperti Wal Mart.

China juga semakin menyedari peningkatan kepentinganya dalam ekonomi global, menjadikannya semakin bersedia berbaik-baik dan merapatkan lagi hubungan dengan Barat dan komuniti dunia, sesuatu yang ditunjukkan melalui penganjuran Olimpik tahun lalu.

Seperti yang diharapkan sesetengah penganalisis hubungan antarabangsa AS, tindak-tanduk China semakin dapat dikawal selari dengan sahamnya yang semakin meningkat dalam sistem global.

Kedudukan China yang semakin penting kepada AS inilah yang membimbangkan Jepun. Tokyo merasakan China yang semakin mempunyai bahagian penting dalam komuniti global, beserta pengaruhnya yang meningkat di Asia bakal menenggelamkan peranan Jepun, ditambah lagi dengan peningkatan kuasa tenteranya.

Hanya beberapa bulan lalu, pengumuman membina kapal pengangkut pesawat dibuat oleh pemimpin tentera China, pada masa sama rondaan armada tentera laut China meningkat.

Peningkatan pengaruh China ini bukan seperti yang pernah disaksikan sebelum ini, mengatasi pengaruh Jepun pada tahun-tahun 1980-an terhadap Asia. China pada hari ini mempunyai peralatan yang cukup, terutama kedudukan sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain usaha gigih merapatkan hubungan politik dan ekonomi dengan Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

Bagaimanapun, kemungkinan pentadbiran Obama mengaktifkan semula “inisiatif quadrilateral” – pakatan AS, Jepun, Australia dan India yang jelas menampakkan ditujukan untuk mengepung China - yang dipersetujui pemerintah-pemerintah konservatif AS dan Jepun sebelum ini sangat kecil, memandangkan keperluan memulihkan hubungan dengan China dalam menghadapi krisis ekonomi.

Jepun bagaimanapun diperlukan, terutama dalam hal ehwal keselamatan melibatkan Asia Pasifik. Malah Jepun juga telah memberi sumbangan besar kepada operasi ketenteraan diketuai AS di Afghanistan dengan menyumbang kepada keperluan logistik. Jepun tetap sekutu ketenteraan terpenting bagi AS di Asia Pasifik.

Jepun telah menunjukkan keresahan terhadap sikap AS berhubung kelunakan Washington di bawah pentadbiran Bush kepada Korea Utara. Jepun melihat Korea Utara tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dalam meyakinkan Jepun bahawa senjata nuklearnya bukan ancaman kepada keselamatan Asia Timur.

China pula menjadi semakin diperlukan oleh AS dalam rundingan melibatkan Korea Utara, disebabkan pengaruh Beijing terhadap Pyongyang. Kedua-dua China dan Jepun terlibat dalam persaingan untuk menguasai rantau itu.

Ketiga-tiga AS, China dan Jepun bagaimanapun saling memerlukan untuk menangani satu sama lain. Jepun memerlukan AS dalam usahanya menangani China yang masih dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan Asia ekoran peningkatan ketenteraannya.

Isu Taiwan tetap menjadi isu besar dalam hubungan China dengan AS, dengan kumpulan berhaluan kanan sentiasa memperbesarkan ancaman China terhadap Taiwan dan seluruh rantau Asia.

Kedua-dua Beijing dan Tokyo menggunakan hubungan masing-masing dengan Washington untuk mengelakkan satu pihak memperolehi pengaruh yang besar sehingga menjejaskan pengaruh mereka.

Dalam hal ini, China mempunyai pengaruh tersendiri ekoran kepentingannya kepada ekonomi AS yang sedang berdepan krisis hari ini. Apapun yang dikatakan Geithner, berdasarkan realiti terkini – dan berdasarkan nasihat yang diterima Obama - China boleh berharap pendekatan yang lebih berbentuk kerjasama daripada AS. – 18 Februari, 2009





Labels: , , ,

Friday, February 20, 2009

Politik, Budaya Popular dan Kapitalisme

Bermula kejatuhan komunisme pada tahun-tahun 1990-an, kapitalisme dimunculkan sebagai pemenang dalam persaingan puluhan tahun untuk memimpin fahaman manusia tentang ekonomi dan segala hal yang berkaitan.

Sekitar masa yang sama selepas kapitalisme diisytiharkan sebagai pemenang, tanda-tanda kejayaan itu mula dapat dilihat di mana-mana.

Salah satu simbol paling jelas menunjukkan kejayaan ini ialah satu iklan cetak Louis Vuitton, memaparkan bekas presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev dalam kenderaannya, melepasi Tembok Berlin, salah satu simbol utama pemisahan blok kapitalis dengan komunis, dunia demokratik dengan dunia kuku besi.

Mesej paling jelas yang tidak dapat dielakkan dalam iklan itu ialah Gorbachev meninggalkan masa lalu, memerhatikan saki baki Tembok Berlin, dengan disebelahnya satu simbol kapitalisme, beg Louis Vuitton.

Walaupun imej Che Guevara kini lebih popular menjadi eksploitasi kapitalis sehingga boleh dijadikan ikon kapitalisme hari ini, kemunculan Gorbachev itu juga menunjukkan realiti baru yang menyaksikan dunia politik dan budaya popular yang semakin mesra, sehingga mungkin menyaingi dan mengatasi pemain-pemain budaya popular.

Suatu masa dulu, dunia lebih mengenali selebriti yang menjadi politikus, seperti Ronald Reagan. Kini, ahli politik sendiri menjadi selebriti, seperti Barack Obama yang menghiasa kulit depan pelbagai majalah, dari Time hingga Rolling Stone. Obama malah mendapat status rock star, sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Artis-artis mungkin akan perlu bersaing pula dengan politikus selebriti untuk dipilih menjadi model iklan. Bagi politikus, budaya popular menjadi instrumen yang lebih penting kepada kerjaya mereka, hampir menyamai kepentinganya kepada artis sendiri.

Isterinya, Michelle Obama pula muncul di majalah fesyen Vogue. Kedua-dua mereka kini, dengan pakej pop yang sempurna, meletakkan standard baru untuk ahli-ahli politik, terutama di Amerika Syarikat, dan terutama yang mengidamkan kedudukan di Rumah Putih.

Jelas bahawa media tidak pernah lagi bertemu dengan pakej sesempurna keluarga Obama, lebih-lebih lagi media pada zaman ini yang lebih menuntut wajah yang sempurna.

Tugas politikus menjadi semakin sukar. Mereka perlu muncul di talk show, bermain alat muzik, berpura-pura menjadi orang biasa dan pada masa sama cuba menjadi superman.

Kerana mereka pasti tidak akan dapat menjadi Obama.

Labels: , , , ,

Thursday, February 19, 2009

Ke Mana Liberal Malaysia?


Liberal Malaysia, yang satu perkumpulannya paling jelas dilihat pada Parti Keadilan Rakyat, PKR, menghadapi satu masalah yang besar apabila timbulnya kekecohan ekoran penyebaran gambar "bogel" dan "separuh bogel" Elizabeth Wong, wakil rakyat bagi kawasan Bukit Lanjan.

Masalahnya bukan - seperti yang menjadi pegangan sesetengah pihak - kesukaran untuk menangani "masalah moral" itu, tetapi lebih kepada cabarannya menangani identiti sebagai sebuah parti liberal.

PKR ialah parti yang mendakwa mahu mencetuskan "politik baru" yang lebih inklusif dan menerima pluralisme masyarakat Malaysia, menentang sekatan-sekatan kaum dan agama "politik lama." Ini bermakna, ia juga sebuah parti yang membezakan ruang peribadi dengan ruang awam, terutama jika hal peribadi itu tidak melibatkan moral yang buruk, seperti yang berlaku pada Wong.

PKR dalam menangani isu gambar bogel Wong kelihatan teragak-agak untuk menegaskan sifat liberalnya, dengan turut tertarik ke dalam permainan politik moral seperti yang biasa dilihat di Malaysia.

Parti ini pasti sedar pendirian liberal sosial Wong sejak sebelum dipilih mewakili parti bertanding di Bukit Lanjan, serta pendirian liberal sosial dan politik ramai tokoh lain dalam parti itu, termasuk ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR dalam kes Wong masih teragak-agak, dalam dilema sama ada untuk menjaga kepentingan parti - kerana isu ini mudah dieksploitdan memakan kos politik - dan mempertahankan politik liberal yang dipegangnya. Dalam hal ini, PKR kelihatan agak bermuka-muka, dengan cuba melayan sentimen konservatif walaupun menyedari berleluasanya penerimaan gaya hidup dan politik liberal dalam partinya.

PKR jelas sekali bukan seperti PAS dan Umno yang menerima nilai-nilai konservatif yang adakalanya terlalu jumud dan sering memberi reaksi emosional dan dikuasai sentimen terhadap isu-isu yang dilihat melibatkan moral.

Ketiadaan respons seragam dan jelas terhadap kes Wong, sehingga menggalakkan beliau bercuti menunjukkan tiadanya sikap yang bulat dalam kalangan kepimpinan PKR. PKR kelihatan masih mahu bermain menurut sentimen orang ramai yang secara mudah menuntutnya meletak jawatan kerana didakwa melakukan kesalahan moral, menyamakan gambar Wong dengan skandal seks seorang pemimpin politik Cina tidak lama dulu.

Kelihatan PKR mahu berhati-hati agar tidak melakukan tindakan yang tidak popular, yang dalam hal ini ialah membela hak peribadi Wong. Setiap individu berhak mempunyai ruang peribadinya yang tidak boleh didedahkan kepada umum, sama ada seorang itu selebriti, ahli politik – atau ahli politik selebriti – atau rakyat biasa. Tidak ada siapa yang mahu segala yang berlaku dalam ruang peribadinya didedahkan.

Sewajarnya PKR sejak awal lagi mempertahankan kedudukan Wong dan menghalangnya daripada meletak jawatan, serta memberi sokongan yang rasmi daripada parti. Beliau ialah wanita yang menjadi mangsa. Pesalahnya ialah individu yang menyebarkan gambar-gambar tersebut. Mereka yang mengeksploitnya untuk tujuan politik juga berkongsi kesalahan itu, kerana meletakkan mangsa di kandang tertuduh, malah ada yang sudah pun menjatuhkan hukuman.

Dalam hal Wong, setakat gambar-gambar bogelnya ketika tidur, tidak menjadikannya seorang yang tidak bermoral menurut fahaman liberalnya dan menurut kayu ukur PKR, terutama sekiranya konstituensinya sendiri tidak mempersoalkan moraliti beliau. Wong sebenarnya berada dalam parti yang betul menurut pegangannya.

PKR bagaimanapun, terutama ketuanya Anwar lambat bertindak membela Wong, tidak seperti pembelaan dan tuduhan konspirasi yang bersepadu dan seragam ketika laporan polis dakwaan meliwat dibuat oleh seorang pembantunya tidak lama dulu.

Beliau mungkin perlu meletakkan jawatan untuk mengelakkan parti menerima serangan-serangan daripada pihak musuh, seperti dinyatakan, beliau sanggup berkorban demi parti. Tetapi parti tidak menunjukkan sokongan yang sewajarnya, seolah-olah beliau seorang individu yang boleh dikorbankan begitu sahaja.

Pada masa itu, dapat dilihat seluruh anggota parti, terutama tokoh-tokoh kanan, berkumpul mengatur strategi untuk menjawab tuduhan itu, dan dengan segera meuar-uarkan “konspirasi” pihak musuh untuk menjatuhkan Anwar.

PKR dapat dilihat masih belum bersedia menjadi liberal seperti mana didakwa, realiti politik Malaysia masih menghambat pergerakan politiknya. PKR masih bercakap dalam bahasa yang berbeza kepada audiens yang berbeza.

Walaupun banyak nilai liberalnya tidak dapat diterima ramai dan bertentangan dengan kehendak masyarakat negara ini, kes melibatkan Wong ialah sesuatu yang jelas, iaitu seorang ahli politik, seorang wanita menjadi mangsa pencerobohan dan pencabulan terhadap ruang privatnya.

Tetapi PKR jelas teragak-agak dalam membela seorang ahli yang menjadi mangsa pencerobohan ruang peribadinya, sesuatu yang hakikatnya sangat mudah untuk dijelaskan.

Labels: , , ,

Wednesday, February 18, 2009

Genghis Khan dan PPSMI

"Ini daging!" kata Temudjin kepada anaknya, dalam bahasa Mongol. Temudjin, pada masa itu belum menjadi Genghis Khan, tetapi adegan dalam filem Mongol arahan Sergei Bodrov itu menjelaskan sesuatu tentang kenapa puak Mongol berjaya menjajah satu bahagian besar dunia pada masa itu.

Temudjin, ketika menyebut daging itu terus merasakan indahnya sebutan "daging" dalam bahasa Mongol. Katanya, satu hari nanti, seluruh dunia akan bercakap dalam bahasa Mongol.

Tidak lama selepas itu, Temudjin menyatukan puak-puak di kawasan dataran yang kini dikenali Mongolia, dan kawasan sekitarnya. Mongol ialah bangsa dari Asia yang menjajah kuasa-kuasa di sebelah baratnya, termasuk Rusia yang kemudian menjadi empayar itu, dan sedang kembali bangkit untuk menjadi empayar sekali lagi.

Kumpulan kaum yang sama juga pernah menakluk Kiev, empayar Rusia pertama yang didirikan hasil kedatangan peneroka dari Skandinavia.

Labels: , , ,

Afghanistan Temukan Kepentingan AS, Rusia dan Iran




Rusia telah meningkatkan permainannya dalam percaturan di Asia Tengah apabila menggunakan pengaruhnya terhadap Kyrgyzstan untuk menutup pangkalan udara Amerika Syarikat di Manas, tidak jauh dari Bishkek, ibu negara Kyrgyzstan. Pangkalan udara itu penting bagi AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, yang sedang meningkatkan operasi di Afghanistan.

Sekitar masa yang sama, saluran bekalan Nato melalui Laluan Khyber di barat Peshawar, Pakistan diancam serangan Taliban. Taliban tidak lama dulu meletupkan sebuah jambatan di laluan itu, menjejaskan logistik Nato melalui Kyhber.

Perkembangan itu telah memaksa Nato mengambil pendekatan berbeza, termasuk kemungkinan berurusan dengan Iran untuk laluan bekalan bukan ketenteraan. Penutupan itu telah memaksa AS mencari pangkalan baru untuk membekalkan tentera AS dan Nato di Afghanistan, medan operasi yang dijadual menjadi fokus di bawah Presiden Barack Obama, dengan peningkatan anggota tentera sehingga 30,000 ke medan itu.

Bagaimanapun, peningkatan itu dinilai semula Obama yang menimbangkan untuk memberi fokus pada memenangi hati dan minda rakyat Afghanistan dan mewujudkan demokrasi.

Tetapi, Laksamana Mike Mullen, pengerusi ketua turus bersama tentera AS dilapor berkata keselamatan perlu menjadi dasar dalam sebarang usaha menstabilkan Afghanistan, dan menegaskan tambahan tentera itu, yang diminta komander Nato di Afghanistan, Jeneral David McKiernan perlu dilaksanakan.

Kemudian, pada 4 Februari lalu, negara-negara Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO yang diketuai Rusia bersetuju menubuhkan pasukan tentera gerak cepat baru, yang dirancang berada terus di bawah kawalan pusat CSTO dengan pangkalan tetap, tidak seperti pasukan lama yang menurut presiden Rusia, Dmitri Medvedev, hanya wujud di atas kertas.

Rusia dengan tidak langsung telah mendesak AS mengiktiraf Asia Tengah sebagai ruang pengaruh Moscow, dan memaksa AS menerima peranan Rusia dalam operasinya di Afghanistan yang telah diakui sebagai lebih sukar daripada Iraq dan berpotensi menjadi seperti bencana Vietnam.

Rancangan penutupan pangkalan itu menambahkan lagi kesukaran bagi Nato, walaupun apa yang dicaturkan Rusia ini mempunyai kemungkinan tidak akan bertahan lama, bergantung kepada perubahan kecenderungan Kyrgyzstan (dan negara-negara Asia Tengah lain) terhadap kedua-dua AS dan Rusia.

Pada masa yang sama pangkalan Manas diisytiharkan ditutup, menteri luar Rusia, Sergei Lavrov berkata Rusia sedia memberi kebenaran untuk membuka wilayah Rusia untuk laluan bekalan bukan ketenteraan Nato ke Afghanistan.

Rusia mempunyai kepentingan di Afghanistan, melibatkan usaha melawan perdagangan dadah yang semakin berleluasa yang dibimbangi memasuki wilayahnya. Rusia juga semakin bimbang dengan kehadiran ketenteraan AS yang bermula dengan responsnya terhadap serangan 11 September, 2001.

Semua kenyataan rasmi dari Bishkek menunjukkan keputusan penutupan Manas tidak boleh dirunding lagi, tetapi sejarah menunjukkan negara-negara Asia Tengah tidak mahu bernaung sepenuhnya di bawah Rusia, disebabkan kepentingan seperti perdagangan dan pelaburan dari AS yang diperlukan.


Terbaru, ahli-ahli Parlimen Kyrgyzstan dilapor tidak akan mengundi menyokong penyingkiran itu sehingga Rusia membayar pendahuluan pinjaman dan bantuan sebanyak AS$450 juta yang dijanjikan.

Uzbekistan menutup pangkalan Karshi-Khanabad pada akhir 2005 tetapi kemudian kembali membenarkan AS kembali walaupun tidak seperti skala sebelumnya. Negara-negara terbabit sedar nilai mereka perlu ditingkatkan dengan mengimbangi kedua-dua Washington dan Moscow.

Bagaimanapun, peningkatan kerjasama melalui CSTO yang disertai dengan pengumuman penutupan pangkalan penting bagi AS dan Nato itu menunjukkan kelebihan pada masa ini berada di pihak Rusia, yang telah lama berusaha mendesak Nato menerima CSTO sebagai organisasi yang tidak boleh diabaikan, sekurang-kurangnya melibatkan Asia Tengah.

Rusia juga mahu tindakannya itu mendapat respons sewajarnya daripada AS, melibatkan penempatan peluru berpandu di Eropah Timur dan perluasan Nato, selain penerimaan Rusia sebagai pemilik ruang pengaruh di Asia Tengah dan Kaukasus.

Cabaran terhadap AS dan Nato meningkat lagi dengan kesukaran berurusan dengan Pakistan yang didakwa membantu pihak Taliban di Afghanistan. Pakistan didakwa mempunyai hubungan baik dengan Taliban untuk digunakan sebagai proksi di Afghanistan.

Wilayah Baluchistan bersempadan Afghanistan juga digunakan oleh Taliban untuk operasinya, terutama bandar Quetta yang kini dilaporkan menjadi perhatian tentera AS. Pemimpin Taliban, Mullah Muhammad Omar dilapor mengunakan Quetta sebagai tapak operasi, termasuk mengumpul bantuan kewangan dan menghantar bekalan senjata ke medan perang di Afghanistan.

Bagi Iran pula, yang memusuhi Taliban di Afghanistan, bekerjasama dengan AS dilihat menjadi pilihan yang rasional, memandangkan kestabilan Afghanistan juga menjadi kepentingan Tehran.

Bagaimanapun, walaupun Iran bersedia untuk berunding, AS di bawah Obama menunjukkan isyarat bercampur-campur: memberikan ucapan penuh harapan tetapi pada masa sama tidak menunjukkan kesediaan menghentikan sekatan dan menghentikan retorik amaran melibatkan program nuklear Iran.

Di Persidangan Keselamatan Munich di Jerman tidak lama dulu, naib presiden AS, Joe Biden telah menunjukkan tanda-tanda untuk memulakan hubungan baru dengan Iran, walaupun dalam bahasa yang masih agak keras.

Hubungan baru ini, sekiranya dimulakan, mampu menunjukkan hasil awalnya di Afghanistan, tempat yang kedua-dua Washington dan Tehran mempunyai kepentingan.

Iran telah menunjukkan kesediaan itu melalui Ali Larijani, speaker Parlimen Iran yang turut hadir di Munich. Ali bercakap tentang “membina kembali jambatan yang runtuh” sambil menyambut baik pilihan Obama, George Mitchell sebagai wakil khas AS ke Asia Barat.

Bagi Rusia, AS menunjukkan kesediaan untuk berbaik-baik, memandangkan kepentingan Rusia dalam operasinya di Afghanistan. Rusia juga pada masa sama menunjukkan hasrat yang sama apabila Lavrov berkata di Munich bahawa peluru berpandu Iskander tidak akan diletakkan di Kalinigrad sekiranya AS tidak menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu di Republik Czech dan Poland. AS menolak tawaran ini, tetapi bersedia bekerjasama dalam hal lain.

Kesemua isyarat itu bakal disaksikan hasilnya di Afghanistan. Afghanistan, satu medan penting persaingan kuasa-kuasa besar kini menjadi semakin penting, dan menjadi salah satu faktor utama hubungan baru AS dengan Rusia, Iran dan Pakistan. – 11 Februari, 2009

Labels: , , , ,

Tuesday, February 17, 2009

Iran, Israel dan Obama



Dua peristiwa penting dalam politik Asia Barat berlaku pada 10 Februari lalu: Israel mengadakan pilihan raya yang berpotensi menyaksikan kumpulan berhaluan keras menguasai kerajaan dan Republik Islam Iran menyambut ulangtahun Revolusi Islam Iran yang ke-30, pada masa kerajaan negara itu mengharapkan hubungan yang lebih baik dengan musuhnya sejak 30 tahun lalu, Amerika Syarikat.

Di tanah Yahudi, parti-parti politik yang bakal menubuhkan kerajaan menegaskan lagi ancaman luar kepada mereka, seperti Hamas dan Hizbullah yang dibiayai Iran dan apa yang disifatkan ancaman senjata nuklear Iran. Presiden AS, Barack Obama dituntut melaksanakan dasar yang dipegang pentadbiran negara itu selama ini, iaitu memelihara hubungan isitmewa dengan Israel.

Pada masa sama, pemimpin konservatif Iran, Presiden Mahmoud Ahmadinejad menuntut janji Obama untuk berdialog dengan Iran, menamatkan tindakan-tindakan menyalahi undang-undang dan norma antarabangsa oleh pentadbiran sebelumnya.

Kedua-dua Zionis Israel dan Tehran akan terus menuntut harapan yang dijanjikan oleh pentadbiran Obama, yang kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden AS akhir tahun lalu disambut dengan sangat positif oleh penduduk dunia.

Israel akan mengenakan tekanan kuat ke atas Obama untuk bertindak lebih keras terhadap Iran, walau siapa pun menerajui pemerintahannya. Tekanan akan lebih kuat sekiranya pakatan garis keras Likud dan Yisrael Beiteinu tertubuh, menjadikan janji-janji Obama selama ini sebagai hanya janji-janji manis.

Dalam pilihan raya Israel baru-baru ini, Kadima memperolehi kerusi terbanyak, 28 daripada 120 kerusi Parlimen Israel. Parti berhaluan kanan Likud mendapat 27 manakala parti yang paling ekstrem, Yisrael Beiteinu memperolehi 15 kerusi, mendahului Parti Buruh pimpinan Menteri Pertahanan Ehud Barak yang hanya mendapat 13 kerusi.

Parti Kadima paling layak untuk menubuhkan kerajaan melalui pakatan dengan parti lain kerana jumlah kerusi yang paling banyak diterima. Tetapi blok berhaluan kanan mempunyai kerusi yang lebih banyak. Politik Israel bakal menyaksikan percaturan sebenar dalam menubuhkan kerajaan dengan pecahan yang sukar ini.

Apapun kesudahannya, warga Israel telah menunjukkan sokongan meningkat kepada parti garis keras yang berpendirian keras dalam semua hal termasuk proses damai dan Iran. “Ancaman Iran” pasti akan menjadi tema kesukaan ahli-ahli politik Israel, terutama dalam hubungannya dengan kerajaan AS pimpinan Obama.

Sekiranya beliau berhasrat melaksanakan kata-katanya, Obama kini berdepan cabaran sukar ekoran janjinya untuk berdialog dengan Iran dan pada masa sama kekal sebagai sekutu rapat negara Zionis itu. Mustahil beliau akan mengabaikan tekanan dari Israel dalam usaha membian hubungan dengan Iran. – 11 Februari, 2009

Labels: , , ,

Wednesday, February 11, 2009

Hubungan Iran-AS Selepas 30 Tahun


Ketika ini, Iran sedang menyambut ulangtahun ke-30 kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemimpin boneka Barat, dan memulakan era baru perjalanan negara itu sebagai sebuah kuasa disegani.

Selepas 30 tahun, banyak yang telah berubah dan telah dicapai Republik Islam Iran, walaupun masih banyak kekurangan yang perlu ditangani kerajaan negara itu. Sebagai menandakan kejayaan negara itu, Iran melancarkan satelit buatan sendirinya ke angkasa, menunjukkan kemajuan yang telah dicapai selepas 30 tahun revolusi.

Pelancaran satelit itu mengandungi dua simbol dan makna yang besar dalam kedudukan Iran di persada dunia dan hubungannya dengan Amerika Syarikat dan Barat. Iran menganggap satelit buatan sendiri itu sebagai tanda kejayaannya, tetapi Barat melihatnya sebagai potensi ancaman terbaru dari Iran.

Bagaimanapun, hubungannya dengan dunia Barat, terutama Amerika Syarikat dan Britain, masih menunjukkan isyarat berbeza-beza. Presiden terbaru AS, Barack Obama menunjukkan tanda-tanda untuk menangani Iran dengan berbeza berbanding kelompok neokonservatif yang menguasai Washington sebelum ini.

Setiausaha luar Inggeris, David Miliband mengatakan di Washington bahawa pelancaran satelit itu boleh meningkatkan ketegangan antara Iran dengan Barat. Teknologi satelit itu dikatakan mampu digunakan untuk membantu melancarkan peluru berpandu antara benua.

Pelancaran satelit itu juga, menurut setiausaha akhbar Rumah Putih, sesuatu yang menjadi perhatian serius pentadbiran Obama.

Pertemuan Miliband dengan rakan sejawatannya Hillary Clinton meletakkan Iran sebagai satu agenda penting, memberi isyarat bahawa kedua-dua negara yang mempunyai sejarah panjang bermusuh dengan Iran itu akan lebih tegas menangani Iran.

Clinton telah menunjukkan sikap lebih keras berbanding Obama terhadap Iran, apabila memberi amaran kepada Iran berhubung aktiviti penghayaan uranium oleh negara itu.

Kenyataan dua negara itu, AS dan Inggeris mengenai Iran dalam nada amaran itu telah menunjukkan tanda bertentangan dengan apa yang dinyatakan Presiden Obama, iaitu AS bukan musuh negara-negara Islam.

Sejak kempen pemilihan awal Parti Demokratik, Obama menunjukkan kesediaan berdialog dengan Iran, ketika itu mengulas isu nuklear Iran yang kontroversi bagi AS. Tetapi musim pemilihan dan realiti kuasa di Rumah Putih jauh berbeza.

Setiausaha pertahanan AS, Robert Gates tidak lama dulu juga bertindak bertentangan dengan hasrat yang disuarakan Obama bahawa AS sedia berbaik dengan Iran dan dunia Islam tidak perlu bermusuh dengan AS. Gates mengatakan Iran terlibat dalam membantu aktiviti subversif di Amerika Latin.

Hal ini memberikan gambaran apa yang bakal dilalui pentadbiran Obama – yang turut dialami pentadbiran-pentadbiran lain - iaitu perbezaan sikap dalam isu-isu hubungan luar, terutama isu-isu besar dalam agenda dasar luar negara kuasa besar itu.

Permulaan tempoh Obama sebagai presiden juga diiringi satu lagi isu besar dunia Islam: serangan tentera Israel terhadap orang awam Gaza yang dikutuk di seluruh dunia. Zionis Israel terus mengabaikan kecaman masyarakat dunia dan terus membunuh orang awam Palestin.

Kenyataan-kenyataan Obama memberi harapan untuk membina hubungan baru AS dengan Iran dan juga dunia Islam. Bagaimanapun, sekiranya Obama ingin melaksanakannya, beliau terpaksa melalui banyak halangan, bermula dengan individu-individu dalam pentadbirannya sendiri.

Kedudukan AS di belakang Israel dan Iran di belakang Palestin tentu sekali satu realiti yang tidak dapat diabaikan dan dipisahkan sekiranya berlaku dialog antara AS dengan Iran. Pemulihan hubungan dengan Iran bermakna isu-isu berkaitan, terutama berkaitan Israel, juga perlu ditangani. - 4 Februari, 2009

Labels: , , ,

Friday, February 06, 2009

Runtuhnya Moral Demokrasi


Beberapa hari lepas saya menerima mesej sms – dari seorang yang sering memberikan maklumat tentang pelbagai isu di Johor - mengumumkan satu majlis solat hajat dan qiamullail di Johor, bermatlamat “mempertahankan Islam di bumi Perak.”

Saya membalas dengan mengkritik penggunaan Islam yang digunakan itu, menjelaskan pembangkang sudah tidak ada autoriti moral untuk mengkritik tindakan balas Umno dan Barisan Nasional itu, kerana mereka sendiri pernah menghalalkan lompat parti untuk mendapatkan kuasa, dengan mengabaikan aspek moralnya.

Amat tidak wajar agama digunakan pada satu fasa yang menyaksikan kompas moral parti Islam itu bercelaru.

PAS sepatutnya tidak boleh menggunakan Islam dalam menangani isu realpolitik ini, kerana ia secara praktik telah meninggalkannya apabila bersama dalam agenda 16 September, 2008, walaupun ada yang kekal kritikal terhadap rancangan itu.

Pembangkang, termasuk PAS marah dengan apa yang berlaku di Perak, dan mengecam tindakan tidak bermoral BN mendapatkan wakil Pakatan Rakyat melompat menyokong BN. Tetapi kemarahan itu tumpul kerana mereka sudah tidak mempunyai autoriti moral lagi untuk bercakap seperti yang mereka lakukan sekarang (kecuali presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kelihatan konsisten dengan “moral demokrasi” sejak menjelang 16 September lalu lagi).

Episod di Perak tidak langsung menambah atau mengurang keruntuhan moral demokrasi yang dicetuskan kedua-dua pakatan kerajaan dan pembangkang. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bukahlah orang paling buruk dalam episod ini, walaupun perang propaganda pembangkang ingin menyampaikan mesej itu, dan kelihatan berjaya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak runtuh kerana sudah cukup semua ramuan kegagalannya, iaitu kegelojohan DAP, kelemahan PKR dan ketumpulan PAS. Umno hanya perlukan strategi yang betul dan masa yang tepat.

Dari segi kredibiliti parti-parti Pakatan, PKR menerima kesan paling buruk, kerana tuduhan rasuah dua wakilnya dan persepsi wakil PKR mudah dibeli diperkuatkan lagi dengan drama terbaru di Perak ini.

PAS walaupun kelihatan mengalami kehilangan besar, ia dapat menjarakkan diri dari DAP dan keputusan-keputusan di negeri Perak yang mengundang rasa kurang senang orang Melayu. Ini mungkin memberi kesan positif kepada bank undi Melayu PAS.

Episod ini juga memaksanya memikirkan dengan lebih mendalam strategi politiknya dan tidak tergesa-gesa seperti yang telah ditunjukkan melalui beberapa tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sehingga didakwa menjadi boneka kepada DAP, satu tuduhan yang bukanlah satu tuduhan liar semata-mata.

DAP pula mendapat manfaat jangka panjang paling besar, kerana apa yang berlaku menguatkan lagi sokongan pengundinya, walaupun sikap gelojohnya telah membuktikan ia sebuah parti cauvinis, walau apa yang dinyatakan dan dilakukan selepas ini, termasuk meletakkan lebih ramai calon berbangsa Melayu dalam pilihan raya.

Umno pula kemungkinan besar mendapat kerugian jangka panjang paling besar kerana persepsi negatif terhadap Umno yang telah berjaya ditanam oleh mesin propaganda pembangkang, walau apa pun realiti tentang prinsip dan moral pembangkang.

Episod ini bagaimanapun tidak boleh dianggap telah berakhir apabila menteri besar baru mengangkat sumpah dan memulakan kerajaan negeri baru. Politik negeri Perak kelihatan akan terus tidak stabil, dan di peringkat negeri dan juga nasional, cabaran semakin meningkat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelompoknya. Beliau sudah tentu tidak akan terus menyerah kalah.

Drama di Perak ini juga menunjukkan tanda semakin terpinggirnya pendidikan politik di negara kita, apabila semua pihak terus giat berpolitik dan bersikap selektif terhadap moral dan peraturan.

Bencana paling besar yang berpotensi dibawa oleh episod ini ialah semua pihak tidak mengambil pengajaran daripadanya, atau melupakannya selepas keadaan kembali selesa.



Labels: ,