Politik Pop

Saturday, June 13, 2009

Sejauh Mana Pengaruh Hizbullah?

Kumpulan 14 Mac, diketuai Saad al-Hariri, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Mesir mencapai kemenangan agak selesa dalam pilihan raya Parlimen Lubnan 7 Jun lalu.

Kumpulan 8 Mac yang mendapat sokongan Syria dan Iran tidak mendapat kemenangan seperti yang dijangka. Bagaimanapun, berdasarkan beberapa tanda yang diperhatikan sejak sebelum pilihan raya, dapat diperhatikan apa yang dilihat kesilapan langkah Hizbullah yang memungkinkan kumpulan 8 Mac tidak mendapat undi seperti disebut-sebut sebelum pilihan raya.

Sebelum pilihan raya, ada laporan berita dan analisis menyebut Hizbullah mahukan kemenangan bagi kerusi yang ditandingi, tetapi tidak mahu sehingga menguasai kerajaan untuk mengelakkan reaksi keras negara-negara penentang.

Menurut Paul Salem, pengarah Pusat Carnegie Timur Tengah dalam satu analisisnya bertajuk Why Hezbollah Doesn’t Really Want to Win yang diterbitkan sebelum pilihan raya lalu, Hizbullah lebih selesa dengan kedudukannya hari ini yang mempunyai pengaruh tersendiri tanpa perlu terlibat dalam kerajaan. Gerakan Hizbullah sendiri, dengan kumpulan militia dan pelbagai sokongan sosial, sudahpun wujud sebagai sebuah negara dalam negara.

Menurutnya lagi, sekiranya kumpulan Hizbullah menguasai kerajaan, sokongan kewangan dan politik akan merosot. Hizbullah juga dilihat mengambil kira potensi serangan Israel ke atas Lubnan yang pemerintahannya dikuasai Hizbullah. Dalam hal ini, Lubnan kemungkinan akan lebih sukar mendapat sokongan negara-negara Barat yang menyokong kumpulan 14 Mac.

Pemimpin Hizbullah sendiri, Syaikh Hassan Nasrallah memberi ucapan ringkas menerima keputusan pilihan raya itu, tanpa menyebut dan mengkritik campurtangan AS dan kuasa-kuasa asing lain. Hal ini pasti tidak terlepas daripada perhatian Hizbullah ekoran lawatan berprofil tinggi pemimpin-pemimpin AS ke Beirut.

Kesan perang musim panas 2006 masih dirasakan penduduk Lubnan. Tindakan hampir sama dengan dilakukan ke atas Gaza ekoran kemenangan Hamas akan membawa kesan buruk kepada Lubnan yang berdepan kematian lebih 1,000 orang dan 15,000 kehilangan tempat tinggal serta kos pembangunan semula bernilai AS$4 bilion akibat perang 2006. Kemenangan kumpulan pro-Barat dari satu sudut telah mengelakkan Lubnan daripada berdepan masalah tambahan.

Lawatan pemimpin AS

Setiausaha Negara AS Hillary Clinton dan kemudian Naib Presiden Joseph Biden melawat Beirut menunjukkan sokongan berlapik terhadap kumpulan pro-Barat. Biden dalam lawatannya menyebut bantuan kepada Lubnan pada masa akan datang akan bergantung kepada bentuk kerajaan yang memerintah negara kecil itu selepas pilihan raya nanti.

Lawatan ini pasti memberi kesan kepada pengundi-pengundi yang mahukan Lubnan mempunyai hubungan baik dengan negara-negara maju yang memberi bantuan. Kemudian, ucapan Presiden Barack Obama di Kaherah pada 4 Jun juga mungkin memberi impak dengan menunjukkan kesediaan AS untuk berbaik-baik dengan dunia Muslim. Ucapan Obama ini diatur dengan tepat sekali untuk memberi kesan kepada pilihan raya di Lubnan dan juga Iran.

Akhbar Washington Post dalam lidah pengarangnya memuji tindakan Obama itu, yang disifatkan sebagai usaha untuk “mengalih pendapat di negara-negara Muslim daripada ekstremis seperti Nasrallah, Osama bin Laden dan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad.”

Walaupun Syria dan Iran memberikan sokongan kuat kepada Hizbullah, Syria kini terpaksa lebih berhati-hati kerana ia dalam proses memulihkan hubungan dengan AS. Sokongan kuat kepada Hizbullah boleh mengganggu proses itu, walaupun sokongan masih diberikan untuk digunakan sebagai alat menangani pengaruh Israel, sesuatu yang juga dilakukan oleh Iran.

Iran walau bagaimanapun tidak mempengaruhi politik Hizbullah seperti yang digambarkan. Hubungan kedua-dua negara berkaitan dengan agama dan Israel yang menjadi ancaman kepada keselamatan Asia Barat.

Kepentingan Syria

Syria menyedari kepentingan kumpulan seperti Hizbullah dan Amal, sebuah kumpulan Syiah Lubnan diasaskan Musa al-Sadr pada 1970-an. Kumpulan ini bersaing dan pernah terlibat dalam konflik dalam usaha mereka membina pengaruh dalam kalangan Syiah di Lubnan, terutama di selatan.

Syria menjalin hubungan strategik dengan kedua-dua kumpulan yang kubu kuatnya ialah di selatan Lubnan, kawasan bersempadan dengan Israel dan wilayah Syria yang diduduki Israel.

Syria memberi bantuan kepada Hizbullah dan Amal hanya untuk kepentingannya, dan tidak mahu mana-mana kumpulan ini menguasai kerajaan Lubnan. Kedua-dua Hizbullah dan Amal menyedari sikap Syria ini.

Syria juga, terutama semasa pemerintahan Hafez al-Assad, menggunakan Hizbullah sebagai alat politik dengan Israel dan bertindak keras terhadap Hizbullah apabila kumpulan itu tidak bertindak menurut kehendak Damsyik. Pada 1987, 32 pejuang Hizbullah dibunuh oleh tentera Syria selepas Hizbullah enggan menyerahkan pangkalan-pangkalannya di Beirut kepada Syria.

Hal ini menjadikan label pro-Syria dan pro-Iran yang diletakkan pada Hizbullah dan rakan-rakan dalam pakatan 8 Mac tidak tepat, kerana mereka juga tidak senang dengan dominasi Syria ke atas Lubnan. Pembahagian pro-Barat dan pro-Syria tidak menjelaskan dengan tepat sikap politik kumpulan-kumpulan terbabit.

Syria juga kini di ambang memulihkan hubungan dengan AS, dengan kepimpinan baharu AS menunjukkan sikap yang jauh berbeza berbanding pentadbiran Republikan sebelum ini. Hal ini berpotensi memberi kesan besar kepada hubungan Syria dengan Hizbullah.

Kepentingan Arab Saudi dan Mesir

Dua negara serantau yang mungkin paling mendapat manfaat ialah Arab Saudi dan Mesir yang tidak mahu kemenangan pembangkang di Lubnan melimpahkan semangat kepembangkangan ke dalam wilayah mereka, selain persaingan berzaman Sunni dengan Syiah.

Arab Saudi dan Mesir ialah penjaga dominasi Arab dan Sunni di Asia Barat dan tidak mahu pengaruh Iran dan Syiah menggugat pengaruh mereka. Hariri ialah keluarga berasal Arab Saudi.

Arab Saudi dan Mesir merasai pengaruh Hizbullah ekoran perang musim panas 2006. Sentimen penyatuan umat Muslim tercetus ekoran apa yang dilihat sebagai kejayaan Hizbullah berdepan tentera Israel.

Ketika negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Mesir dilihat tidak bertindak serius menangani keganasan Israel, tindakan Hizbullah itu meningkatkan moral Muslim seluruh Asia Barat dan menyaksikan isu Sunni-Syiah diabaikan.

Sokongan meluas itu telah memaksa pihak berkuasa Arab Saudi, Mesir dan juga Jordan mengubah sikap daripada mengkritik Hizbullah kerana menyebabkan perang kepada menunjukkan solidariti dan mengkritik tindakan berlebihan Israel.

Di Mesir, perhimpunan dilakukan oleh Ikhwan al-Muslimin menunjukkan sokongan kepada Hizbullah. Implikasi inilah yang mencetuskan kebimbangan Riyadh dan Kaherah terhadap kemenangan Hizbullah di Lubnan. Politik serantau memainkan peranan yang besar dalam hubungan Arab Saudi dan Mesir dengan Lubnan.

Usaha membentuk kerajaan di Lubnan masih berlangsung dan mampu berlarutan sehingga berminggu. Realiti kompleks negara bekas jajahan Perancis yang menyaksikan populasi Muslimnya semakin meningkat dan kepentingan banyak negara asing menambahkan lagi kerumitan politik negara itu.

Hal inilah yang menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan pengaruh Hizbullah di negara itu. Disebabkan kepentingan kuasa-kuasa Barat, Hizbullah akan terus berperanan dan mendapat sokongan terutama daripada masyarakat Syiah.

Kejayaan utama Hizbullah ialah menjadikan gerakannya gerakan masa yang bebas dan popular, tanpa meletakkan kepentingan yang terlalu besar pada politik pilihan raya. Hizbullah berperanan bukan melalui mendapatkan dominasi, tetapi dengan cara menjadikan dirinya indispensable dalam politik Lubnan, walau siapapun yang mendapat majoriti.

Fakta politik dan pilihan raya Lubnan

  • Sistem pembahagian berdasarkan agama menetapkan presiden dipegang oleh Kristian Maronite, perdana menteri Muslim Sunni dan speaker Parlimen Muslim Syiah. Semua kumpulan agama turut diberikan kedudukan tertentu dalam kerajaan tetapi yang paling jelas ialah presiden, perdana menteri dan speaker. Pembahagian ini dibuat berdasarkan bancian pada 1932 yang dipertikaikan.

  • Parlimen Lubnan mempunyai 128 kerusi yang dibahagikan kepada kumpulan agama yang diiktiraf.

  • Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat diketuai Saad al-Hariri dengan partinya Gerakan Masa Depan memenangi sekitar 68 hingga 71 kerusi. Jumlah sebenar sukar dipastikan kerana ada kumpulan dalam blok ini tidak bersetuju sepenuhnya dengan agenda 14 Mac.

  • Nama 14 Mac diambil sempena perhimpunan besar-besaran kumpulan pro-Barat dan anti-Syria ekoran pembunuhan Perdana Menteri Rafiq al-Hariri pada 14 Februari, 2005.

  • Kumpulan pembangkang 8 Mac diketuai Hizbullah pula memenangi 57 kerusi. Hizbullah yang bertanding hanya 11 kerusi dalam pilihan raya kali ini memenangi semua kerusi ditandingi.

  • Nama 8 Mac pula diambil daripada perhimpunan diketuai Hizbullah untuk menunjukkan reaksi kepada kumpulan pro-Barat.

  • Jumlah keluar mengundi tahun ini mencapai 54.8 peratus, jauh mengatasi jumlah pada 2005, sebanyak 28 peratus.

  • Pembahagian kerusi Parlimen pula ialah 27 kerusi Sunni, 27 kerusi Syiah, Druze lapan kerusi dan Alawi dua. Kumpulan-kumpulan ini dikategorikan sebagai Muslim dan berjumlah 64 kerusi.

  • Kristian juga diberikan 64 kerusi. Kelompok terbesar, Krisitan Maronite diperuntukkan 34 kerusi, Ortodoks Greek 14, Katolik lapan, Ortodoks Armenia enam dan dua untuk kumpulan-kumpulan Krisitan kecil yang dikira sebagai satu kumpulan.

  • Sebanyak 18 kumpulan agama diiktiraf di Lubnan. Kumpulan tersebut terdiri daripada empat aliran Islam: Sunni, Syiah, Alawi dan Druze. Manakala 13 kumpulan Kristian pula terdiri daripada: Maronite, Ortodoks Greek, Ortodoks Armenia, Assyria, Katolik Syria, Ortodoks Syria, Chaldea, Katolik Roma, Katolik Greek, Katolik Armenia, kumpulan-kumpulan evangelis, dan kumpulan-kumpulan Krisitan kecil, Koptic dan Yahudi. - 10 Jun, 2009
Nota: Artikel ini ialah lanjutan daripada tulisan sebelum ini, Hizbullah dan Politik Kuasa Asing

Labels: ,

Friday, June 12, 2009

PAS Hadapi Cabaran Kukuhkan Perpaduan Parti

Muktamar PAS ke-55 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada 5 hingga 7 Jun lalu ialah satu kemuncak persaingan kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan digelar promuqabalah. Persaingan jawatan timbalan presiden melibatkan penyandang Nasharudin Mat Isa dengan Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu boleh dilihat sebagai penentu kepada masa depan yang lebih mudah bagi Erdogan dalam parti sekiranya calon mereka, Husam, menang.

Walau bagaimanapun, persaingan kedua-dua kumpulan Erdogan dan promuqabalah tidak berakhir dengan kekalahan Husam, dilihat berdasarkan debat sepanjang muktamar dan ceramah Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nasharudin yang mewakili kumpulan promuqabalah menyaksikan undi yang kurang berbanding Husam dan Mohamad yang mewakili kumpulan penentang muqabalah, walaupun Husam dan Mohamad mempunyai agenda yang berbeza.

Mohamad dikritik penyokong Husam kerana dikatakan mengganggu dengan mewujudkan persaingan tiga penjuru yang memberi kelebihan kepada Nasharudin dan menggagalkan Husam. Pandangan yang menafikan hak demokratik Mohamad untuk bertanding ini berdasarkan alasan bahawa Nasharudin yang dilihat tidak menjalankan tugas dengan baik perlu dijatuhkan dan Mohamad perlu memberi laluan kepada Husam untuk bertanding satu lawan satu dengan Nasharudin.

Tetapi Husam tidak boleh dijangka menang sekiranya bertanding satu lawan satu dengan Nasharudin kerana dakwaan persaingan sengit kedua-dua mereka seperti dilaporkan beberapa media pada malam pengundian ternyata salah. Nasharudin meninggalkan Husam dengan jumlah yang agak besar dan undi Husam dengan Mohamad tidak jauh bezanya.

Jalan selamat

Berdasarkan tinjauan, dalam kalangan perwakilan yang mahu mengundi Mohamad gagal berbuat demikian kerana bimbang undi yang diberikan kepada Mohamad akan tidak mencukupi dan akan memenangkan Husam. Ramai pengundi bertindak memilih jalan selamat dengan memilih Nasharudin kerana pada pandangan mereka, mereka bersedia menerima kekalahan Mohamad tetapi tidak kemenangan Husam.

Husam boleh disifatkan menerima kesan daripada kempen Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din, terutama kenyataan amarannya dalam kertas kerja Mengukuhkan Kepimpinan Ulama semasa sambutan ulangtahun kepimpinan ulama beberapa minggu sebelum muktamar.

Hal ini juga menjadi satu isu panas dalam muktamar, apabila Husam bertanyakan secara terbuka kepada Haron siapakah “musuh” yang dimaksudkan. Apapun jawapan Haron, jelas bahawa Husam telah menerima kesan daripada kempen itu dan debat mengenai keperluan dua pemimpin tertinggi perlu daripada kalangan “ulama.”

Walau bagaimanapun, kemenangan Nasharudin tidak menghantar signal agar hubungan baik dengan Umno diteruskan, kerana apa yang ditegaskan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah rundingan dan masih belum jelas apa yang bakal dicapai dengan rundingan itu. Malah idea kerajaan perpaduan masih jauh dan tidak semestinya tercapai selepas PAS dan Umno berunding. Kerjasama kedua-dua parti orang Melayu ini tidak semestinya akan menghasilkan kerajaan perpaduan. Dan pembahagian kumpulan Erdogan dengan promuqabalah hanyalah satu pembahagian mudah secara umum dan tidak menjelaskan dengan terperinci perbezaan pandangan dalam PAS.

Dari satu sudut, muktamar ini telah menyelesaikan pertikaian yang berlaku selama ini dengan pengundian yang memperlihatkan tidak ada kumpulan yang ditolak sepenuhnya.

Walaupun muktamar kali ini menyaksikan persaingan yang panas, semuanya masih berlangsung dalam keadaan terkawal, walaupun berlaku kempen yang jauh lebih agresif berbanding pemilihan-pemilihan sebelum ini. Hal ini perlu diberi perhatian oleh PAS, dengan mewujudkan dan mengaktifkan jawatankuasa disiplin untuk mengelakkan kempen dijalankan dengan tidak beretika, sekaligus menjejaskan standard yang telah ditetapkan ahli parti selama ini.

Isu PAS

Sebahagian besar masa dalam muktamar kali ini, terutama semasa penggulungan telah dipenuhi dengan debat mengenai muqabalah dan kerjasama dengan Umno. Walaupun isu ini sebahagian daripada tajuk besar kerjasama PAS dengan komponen lain Pakatan Rakyat, debat yang lebih terperinci seperti pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang tidak dibincangkan.

Walau bagaimanapun, diperhatikan daripada keseluruhan muktamar, PAS menegaskan bahawa ia perlu diberikan lebih suara dalam Pakatan dan juga menuntut peranan kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. Hal ini telahpun berjalan lama sebelum muktamar ini, apabila Abdul Hadi membawa gagasan kerajaan perpaduan sebagai alternatif kepada rancangan 16 September cetusan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dua idea ini bersaing untuk diterima parti-parti komponen Pakatan.

Satu simbol yang dapat diperhatikan ialah kedua-dua pemimpin tertinggi PAS dan PKR saling tidak menghadiri perhimpunan tahunan parti sekutu mereka. Ini jelas menunjukkan hubungan yang semakin renggang antara kedua-dua Abdul Hadi dan Anwar.

Kemudian, kenyataan Abdul Hadi tentang kerajaan perpaduan juga menerima reaksi keras DAP dan PKR. Rakan-rakan dalam Pakatan semakin bersikap kritikal terhadap pendirian PAS ini yang dilihat semakin bimbang dan berasa tidak selamat dengan pengaruhnya sebagai parti yang senior dalam gabungan pembangkang.

Apa yang lebih mengundang reaksi keras ialah usul dikemukakan PAS Shah Alam yang menuntut agar kumpulan bukan kerajaan Sisters in Islam disiasat dan diharamkan. Hal ini menunjukkan pandangan tentang demokrasi masih belum difahami dengan tuntas oleh ramai ahli yang masih bercakap dalam bahasa kuasa. Tuntutan pengharaman ini menunjukkan satu potensi untuk parti ini mengambil sikap yang sama dengan mana-mana pandangan yang bertentangan dengannya.

Berbanding terlibat dengan debat dengan mengemukakan hujah secara sistematik, PAS telah mengambil jalan mudah memilih cara pengharaman yang sama sekali tidak demokratik dan menggambarkan ketidakmampuan untuk terlibat dan bersaing dalam pasaran bebas idea dengan cara yang sewajarnya. PAS perlu menyedari bahawa ia selama ini tidak menumpukan banyak tenaga untuk terlibat dalam wacana nasional dalam pelbagai isu berbanding isu-isu politik kepartian.

Perpaduan parti

Setelah melepasi cabaran getir pemilihan parti yang dibentuk berdasarkan perbezaan pandangan dua kumpulan besar dalam PAS, parti ini perlu bertindak untuk mengukuhkan perpaduan dan tidak mengambil tindakan yang bakal mengundang risiko pada pilihan raya umum akan datang. Walaupun pada satu tahap masalah perbezaan pandangan dua kumpulan besar Erdogan dan promuqabalah telah selesai dengan pemilihan, perbezaan itu tidak berakhir dengan muktamar yang telah berlangsung itu.

Pemimpin-pemimpin baharu parti perlu melaksanakan amanah yang diberikan dengan mengambil kira semua pandangan-pandangan yang rasional dan bernas dalam kalangan ahli parti. Sebagai parti yang beraspirasi untuk berada di posisi kepimpinan negara ini, barisan baharu kepimpinan perlu mula bekerja untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perbezaan pandangan seperti yang diperhatikan dalam muktamar kali ini akan terus wujud dan memberi kesan kepada parti. Komposisi ahli dua kumpulan Erdogan dan promuqabalah yang seimbang dalam kalangan 18 Ahli Jawatankuasa pusat yang dipilih melalui pengundian memberi gambaran persaingan akan terus berlaku, lebih-lebih lagi memandangkan mursyidul am sendiri dilihat agak terpinggir daripada pandangan pimpinan-pimpinan tertinggi.

Dalam jangka masa terdekat ini, pemilihan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan setiausaha agung yang baharu oleh presiden akan memperlihatkan haluan yang bakal diambil PAS dengan kepimpinan baharu selepas muktamar tahun ini. – 10 Jun, 2009

Labels: ,

Tuesday, June 09, 2009

Lubnan dan Politik Kuasa Asing

Kumpulan 14 Mac, diketuai Saad al-Hariri, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Mesir mencapai kemenangan selesa dalam pilihan raya Parlimen Lubnan 7 Jun lalu.

Kumpulan 8 Mac yang mendapat sokongan Syria dan Iran tidak mendapat kemenangan seperti yang dijangka. Ada satu laporan berita tidak lama dulu menyebut Hizbullah mahukan kemenangan bagi kerusi yang ditandingi, tetapi tidak mahu sehingga menguasai kerajaan untuk mengelakkan reaksi keras negara-negara penentang.

Walaupun sokongan Syria dan Iran kuat kepada Hizbullah, Syria kini terpaksa lebih berhati-hati kerana ia dalam proses memulihkan hubungan dengan AS. Sokongan kuat kepada Hizbullah boleh mengganggu proses itu, walaupun sokongan masih diberikan untuk digunakan sebagai alat menangani pengaruh Israel, sesuatu yang juga dilakukan oleh Iran.

Dua negara serantau yang mungkin paling mendapat manfaat ialah Arab Saudi dan Mesir yang tidak mahu kemenangan pembangkang di Lubnan melimpahkan semangat kepembangkangan ke dalam wilayah mereka, selain persaingan berzaman Sunni dengan Syiah. Arab Saudi dan Mesir ialah penjaga dominasi Arab dan Sunni di Asia Barat dan tidak mahu pengaruh Iran dan Syiah menggugat pengaruh mereka. Hariri ialah keluarga berasal Arab Saudi.

Pembahagian pro-Barat dan pro-Syria sebenarnya tidak sepenuhnya tepat dan hanya untuk menunjukkan pembahagian politik secara umum. Menurut Ibrahim Mousawi, jurucakap Hizbullah dalam satu wawancara pada 2007, "Kami tidak akan menerima kedatangan pengaruh AS. Pemergian Syria memberi peluang Lubnan menubuhkan kerajaan dan negara yang bebas, bukan menerima pengaruh AS atau kuasa asing yang ingin mengambil kesempatan menegaskan pengaruh mereka.

"Hari ini pihak asing masih cuba mempengaruhi Lubnan dengan cara mempengaruhi kumpulan-kumpulan yang ingin memegang kuasa dan boleh dipengaruhi."

Hizbullah menerima bantuan Syria dan Iran tetapi tidak mahu Damsyik dan Tehran menentukan tindakan politik Hizbullah dan berperanan besar dalam politik Lubnan. Kejayaan utama Hizbullah ialah menjadikan gerakannya gerakan masa yang bebas dan popular, tanpa meletakkan kepentingan yang terlalu besar pada politik pilihan raya. Hizbullah berperanan bukan melalui mendapatkan dominasi, tetapi dengan cara menjadikan dirinya indispensable dalam politik Lubnan, walau siapapun yang mendapat majoriti.



Labels: ,