Politik Pop

Saturday, August 08, 2009

My President is Stronger Than Yours

Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin, sejak mengenali kuasa media untuk berkempen seperti rakan-rakan sejawatanya di negara-negara Barat, telah menggunakan alat kempen itu dengan berkesan, malah kelihatan sedikit lebih cool berbanding yang lain.

Pada 2007, Putin mengejutkan dunia dengan kemunculan tidak berbaju, menayangkan tubuh sasa bekas perisik KGB dan pengamal judonya kepada dunia, dalam satu percutian sambil memancing.

Imej Putin tidak berbaju sambil memancing itu kelihatan agak diatur, tetapi memberi kesan yang besar kepada imej Putin dan Rusia. Di dalam negara, Putin tiba-tiba menjadi kegilaan ramai wanita dan lelaki gay.

Kempen media Putin itu mengejutkan kerana Rusia dikenali dengan imej keras, dan gambar tidak berbaju itu memunculkan imej baharu Rusia dan Putin yang lebih kelihatan seperti manusia biasa.

Imej-imej pop seperti itu biasanya hanya muncul di dunia Barat seperti Amerika Syarikat, yang lebih biasa dengan permainan pop dalam politik, seperti bermain saksofon di talk show dan muncul di Saturday Night Live.

Kali ini, Putin sekali lagi menggunakan senjatanya itu, dengan muncul dalam kempen terbaharu, memakai topi koboi, menunggang kuda, berenang, menaiki kapal selam dan menghidupkan api bersama menteri situasi kecemasan Rusia.

Selain imej pop tidak berbaju, siri gambar percutian itu juga mengukuhkan lagi imej tough guy Putin yang memberi kelebihan kepadanya dalam tugasnya sebagai pemimpin sebenar Rusia.

Putin telah menetapkan standard imej tough guy pemimpin dunia dengan kemunculannya melalui kempen gambar bercuti itu. Presiden AS, Barack Obama juga telah muncul dalam keadaan tidak berbaju ketika bercuti di pantai, seperti juga Persiden Perancis Nicolas Sarkozy. Tetapi kedua-duanya tidak menunjukkan imej tough guy seperti Putin.

Kedua-dua Obama dan Sarkozy lebih muncul sebagai lelaki biasa, untuk mengurangkan imej ketua negara dan bagi Obama, imej politikus rock star yang terlekat akibat permainan media yang berjaya.

Putin, walau bagaimanapun memerlukan imej keras, imej pemimpin yang masih menguasai keadaan, yang tahu apa yang dilakukan (seperti yang ditunjukkan dengan menyalakan api), selari dengan peningkatan Rusia sebagai kuasa pesaing AS.

Imej-imej seperti itu mempunyai kesan besar kepada orang ramai, menyebabkan politikus mahu muncul di media bermesra dengan kanak-kanak, merakyat melawat Pudu, membeli kuih di gerai Ramadan, memancing, menggalas senapang untuk menembak tupai dan sebagainya.

Imej-imej pemimpin melakukan aktiviti seperti manusia biasa ini - atau seperti tough guy - akan terus menjadi satu bahagian penting kempen mereka di media, untuk mengukuhkan imej tertentu, untuk mengemukakan imej yang lebih mesra rakyat, supaya dilihat lebih dekat dengan rakyat terbanyak untuk mencapai matlamat utama mengekalkan dan meningkatkan populariti.

Labels: ,

Thursday, August 06, 2009

Artik yang Semakin Panas


Dua isu penting yang dihadapi dunia hari ini, perubahan dramatik iklim dunia dan kos tenaga hidrokarbon yang semakin meningkat bertemu di sebuah kawasan yang sebelum ini jarang menarik perhatian media dunia kerana politiknya: Artik.

Pertemuan ini membawa kepada satu persaingan sengit antara empat negara Artik: Kanada, Rusia, Amerika Syarikat, Denmark dan Norway. Kehangatan persaingan ini kelihatan semakin jelas sehingga negara-negara terbabit, termasuk Kanada, mula memperlihatkan kesediaan untuk bertindak secara ketenteraan bagi menangani pertikaian itu.

Hal ini menambah lagi ancaman selepas ancaman peningkatan paras laut yang bakal menggugat kehidupan ramai manusia di banyak negara akibat pencairan ais di Kutub Utara dan Selatan.

Artik yang semakin panas menyaksikan banyak kawasan yang sebelum ini dilitupi ais sepanjang tahun dan juga kawasan yang cair pada musim panas semakin mengecil. Bagi banyak pihak, ini dilihat sebagai ancaman kepada alam sekitar, kehidupan di kawasan itu dan manusia yang tinggal di kawasan-kawasan rendah seluruh dunia.

Tetapi bagi kuasa-kuasa terbabit, perkembangan itu juga dilihat sebagai peluang untuk memperolehi sumber minyak dan gas di kawasan tersebut, dan membuka ruang bagi laluan kapal di wilayah negara terbabit. Laluan-laluan ini dituntut oleh negara terbabit sebagai wilayah mereka – dengan mendakwa laluan air tersebut bersambung dengan pelantar benua wilayah mereka – yang boleh dikawal.

Negara-negara terbabit, terutama Rusia dan Kanada, menganggap kawasan yang berpotensi menjadi lokasi sumber minyak dan gas dan laluan air tersebut sebagai sebahagian wilayah daratan mereka. Bagi Kanada, satu laluan laut dikenali Laluan Barat Laut didakwa sebagai laut dalam daratan yang sebahagian daripada wilayahnya.

Pada 2008, Kajian Geologi AS dalam satu laporannya menyebut Artik mengandungi sekitar 13 peratus sumber minyak dunia yang belum ditemui dan sekitar 30 peratus gas asli yang belum ditemui.

Laluan laut yang selama ini terhad bakal bertambah apabila laluan-laluan di Artik terbuka apabila kawasan ais di situ cair, membuka persaingan kepada syarikat-syarikat perkapalan. Laluan-laluan terbabit mampu untuk mengurangkan tempoh perjalanan kapal dan mengelak laluan-laluan berisiko.

Menurut undang-undang berkaitan kawalan ke atas wilayah laut dan sumbernya, Konvensyen PBB tentang Undang-Undang Laut (Unclos), sesebuah negara berhak terhadap laut dan sumber di dasarnya sehingga 200 batu nautika ke luar pantai. Unclos menetapkan wilayah dalam linkungan 200 batu nautika itu sebagai zon ekonomi eksklusif negara terbabit. Tetapi negara terbabit boleh menuntut had itu diperluaskan lagi sekiranya dapat membuktikan pelantar benua negara terbabit berlanjutan lebih jauh ke laut.

Unclos kini telah diratifikasikan oleh 155 buah negara. AS, salah sebuah negara yang terlibat dalam persaingan merebut wilayah Artik, tidak meratifikasikan undang-undang ini.

Kanada juga menegaskan akan memulakan rondaan di kawasan tersebut untuk menyokong tuntutan kawalannya ke atas Laluan Barat Laut. Rusia pula pada Ogos 2007 meletakkan bendera yang dibuat dari titanium di dasar laut di Artik, satu tindakan simbolik untuk menegaskan tuntutannya ke atas wilayah Artik terbabit.

Rusia juga telah mewujudkan program dalam dalam perancangan keselamatan negaranya yang memberikan fokus pada kawasan Artik di utara, yang sebahagian besarnya melibatkan peningkatan elemen ketenteraan.

Rusia dalam perancangan 10 tahun berhubung Artik menegaskan keperluan persediaan ketenteraan untuk menjamin keselamatan di bawah pelbagai situasi ketenteraan dan politik.

Kedua-dua Kanada dan Rusia telahpun menempatkan atau menjalankan latihan ketenteraan di wilayah Artik yang mereka tuntut. Kedua-dua pemimpin Kanada dan Rusia telah dengan jelas menyatakan kesediaan mereka untuk mempertahankan wilayah Artik mereka dengan kuasa tentera.

Berdasarkan kuasa, yang dapat menegaskan dan membuktikan kawalan ke atas wilayah dipertikaian itu, Rusia mendahului semua negara Artik, diikuti Kanada disebabkan kuasa ketenteraannya yang terhad.

Undang-undang antarabangsa menunjukkan pentingnya kuasa dalam menentukan hak milik sesebuah kawasan. Menurut Prof Eric Posner, seorang pensyarah undang-undang di Universiti Chicago dalam satu tulisannya, faktor kuasa ini mendorong Rusia mengerahkan kapal-kapalnya ke Artik untuk menunjukkan ia berkuasa ke atas wilayah terbabit. Menurutnya, Rusia menunjukkan ia ialah kuasa yang paling jelas di kawasan Artik terbabit berbanding negara lain.

Disebabkan inilah, Rusia terus meningkatkan kehadiran kuasa ketenteraannya di Artik, untuk menunjukkan Rusia sebagai kuasa semulajadi di kawasan tersebut sehingga menyukarkan sebarang usaha menafikan kawalan Rusia ke atas wilayah terbabit.

Walau bagaimanapun, persaingan ini masih perlu ditadbir oleh Unclos yang menjadi dasar peraturan di lautan. Ini kerana negara-negara terbabit juga sedar beberapa peruntukan Unclos dapat digunakan untuk menyokong hujah mereka.

Kesemua negara terbabit, kecuali AS, melaksanakan kajian mendalam untuk membuktikan hak milik mereka ke atas wilayah yang mereka tuntut. Di Washington, banyak pihak mula mendesak kerajaan AS meratifikasikan Unclos supaya dapat membawa kes tuntutan AS dengan lebih berkesan.

Pentadbiran Presiden Barack Obama telah memulakan langkah untuk mendorong Kongres AS meratifikasi perjanjian yang ditandatangani AS pada 1994 itu, walaupun sekumpulan wakil rakyat konservatif terus menentang tindakan ini yang dilihat sebagai menggadaikan kedaulatan. Tindakan meratifikasikan Unclos akan memberikan Washington lebih suara dalam hal ehwal Artik.

Walau bagaimanapun, negara-negara terbabit mungkin akan terdorong untuk bertindak secara unilateral dalam menangani pertikaian, terutama yang mempunyai kekuatan ketenteraan seperti Rusia dan AS.

Kedua-dua Moscow dan Washington bertindak secara unilateral selama ini dalam mempertahankan hak milik mereka. Rusia bertindak dengan menegaskan kawalannya melalui kuasa ketenteraan manakala AS bertindak berdasarkan pandangan tidak ada pihak boleh menuntut wilayah tersebut dan kawasan itu perlu dijadikan bebas.

Pada masa yang sama, AS juga digesa membina hubungan yang lebih rapat dengan negara jirannya Kanada. Penyokong pendekatan ini melihat AS mampu menjamin keselamatan kawasan terbabit melalui kuasa ketenteraannya yang dilihat diperlukan oleh Kanada.

Mereka yang melihat AS dan Kanada sebagai sekutu semulajadi mahu kerjasama itu diwujudkan supaya kedua-dua pihak akan mendapat manfaat keselamatan dan berkongsi akses kepada laluan dan sumber wilayah terbabit.

Pertikaian ini memperluaskan lagi kawasan-kawasan panas di seluruh dunia yang kini memberi tumpuan pada Afghanistan, Pakistan dan Iraq serta Asia Barat. Hari demi hari, persaingan di Artik mula memperlihatkan potensi sebenarnya. Persaingan itu mula menyaingi perebutan sumber minyak dan gas yang berlaku di Laut Kaspia pada masa ini.

Bagi Malaysia, walaupun terletak jauh dari kawasan tersebut, ia juga perlu memberikan perhatian, antaranya untuk mengenalpasti peluang-peluang seperti eksplorasi minyak dan gas di kawasan itu.

Malaysia juga perlu meningkatkan perhatian kepada kesan-kesan perubahan iklim kepada politik dan sosial Malaysia yang berpotensi terkesan akibat kemasukan pelarian contohnya, yang pasti terhasil akibat peningkatan paras laut yang akan mendorong pergerakan manusia ke negara-negara lain. Hal ini akan memberi kesan pula kepada keselamatan negara dan keselamatan manusia di negara kita.

Hal ini telah menunjukkan pelbagai dimensi pemanasan global dan perubahan iklim, dan menunjukkan pentingnya negara-negara terbabit dan seluruh masyarakat dunia meningkatkan dan memperbaiki mekanisme multilateral untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan perubahan iklim dan segala kesan-kesannya.

Labels: , , ,

Wednesday, August 05, 2009

Ulangtahun


Menjelang beberapa hari ulangtahun perang antara Georgia dengan Rusia pada Ogos tahun lalu, kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh ekoran serangan-serangan di sempadan Georgia dengan Ossetia Selatan, mengulangi keadaan sebelum perang pada 2008.

Menjelang Ogos 2008, serangan roket, pencerobohan pesawat tanpa udara dan lain-lain menghangatkan perang mulut antara Moskow dengan Tbilisi sehigga perang tercetus ketika dunia sedang menumpukan perhatian pada pesta sukan Olimpik di China.

Pemerhati ketenteraan di Moskow, Pavel Felgenhauer mengatakan ada “80 peratus” kemungkinan perang berlaku antara kedua-dua pihak. Felgenhauer telah meramalkan perang sejak beberapa bulan lalu, ketika banyak kawasan di Kaukasus masih dilitupi salji musim dingin. Katanya, perang boleh bermula ketika musim panas, semasa jalan-jalan sudah terbuka.

Rusia kini berada dalam keadaan agak selesa, selepas hubungan dengan Amerika Syarikat pulih dan rejim yang memerintah Georgia pula semakin tidak popular, walaupun Washington melalui lawatan Naib Presiden Joseph Biden, telah berjanji untuk tidak mengabaikan negara sekutunya itu selepas berbaik-baik dengan Moskow.

AS walau bagaimanapun sukar untuk membantu sepenuhnyaGeorgia sekiranya perang berlaku, kerana banyak kepentingan berkaitan dengan Rusia. Georgia dan jugaUkraine tidak begitu popular di Eropah.

Georgia dilihat sebagai beban kepada Eropah dan disebabkan politik kompleksnya dengan Rusia, Eropah tidak mahu negara Kaukasus ini menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.

Ukraine kurang dipercayai oleh Eropah berhubung permainan diplomasi gas dengan Rusia, yang dilihat dipergunakan Ukraine untuk kepentingannya sehingga memberi kesan buruk kepada Eropah (Ukraine juga dituduh mencuri bekalan gas yang melalui wilayahnya).

Rusia kini sedang giat mengukuhkan kawalannya ke atas ruang pengaruhnya, dengan menguatkan pakatan Pertubuhan Perjanjian Pertahanan Kolektif, CSTO yang dapat dilihat melalui usaha menubuhkan sebuah lagi pangkalan udara di Kyrgyzstan.

Kos politik yang besar akan ditanggung oleh Rusia sekiranya berperang sekali lagi dengan Georgia. Tetapi pada masa ini juga Georgia berada dalam keadaan paling lemah.

Labels: , ,