Politik Pop

Thursday, September 17, 2009

Turki tingkat pengaruh serantau melalui diplomasi


1. Recep Tayyip Erdogan, perdana menteri Turki yang popular meningkatkan lagi popularitinya apabila bertindak berkonfrontasi dengan Shimon Peres, presiden Israel, dalam satu majlis dialog di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland Januari lalu.

Walaupun tindakan itu dilihat mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya tempatan yang bakal berlangsung tidak lama selepas itu, imej Recep meningkat dalam kalangan negara Islam.

Ketika itu, dunia Islam baharu sahaja menyaksikan wilayah Gaza diserang dengan kejam oleh tentera Zionis, tanpa mendapat pembelaan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa dan dunia Islam sendiri.

Turki yang sedang meningkat kedudukannya sebagai kuasa berpengaruh serantau dan dunia menerima nilai tambahan melalui apa yang dilihat sebagai keberanian untuk bertindak secara bebas di peringkat antarabangsa.

Tindakan Recep itu membawa simbol yang terang berhubung isu Palestin yang merupakan isu sentral dalam politik dunia Islam, dan beliau terus diraikan di Turki dan seluruh dunia Islam sebagai wira.

Tindakan itu bukan sesuatu yang rambang dan berakhir di Davos, tetapi memberi signifikan besar kepada usaha Turki untuk mengambil peranan sebagai kuasa diplomasi serantau di rantau Asia Barat.

Pada 12 dan 13 September lalu, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu melawat Tehran dalam usaha terbaharu Turki untuk membina pengaruh dalam diplomasi di Asia Barat.

Ankara mahu menjadi orang tengah dalam rundingan negara-negara Barat dengan Iran berhubung isu nuklear yang terus menjadi titik pertembungan Iran dengan Barat terutama Amerika Syarikat.

Lawatan menteri luar Turki itu memperlihatkan keseriusan kedua-dua pihak dan potensi dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Iran ditemui Ahmet, termasuk Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Menteri Luar Manouchehr Mottaki, Speaker Parlimen Ali Larijani dan ketua perunding nuklear Iran, Saeed Jalili.

Pertemuan peringkat tinggi itu menunjukkan kepentingan besar usaha ini kepada kedua-dua pihak, iaitu Iran yang mahu memperlihatkan sokongan pihak ketiga yang berpengaruh terhadap program nuklearnya dan Turki yang sedang meningkatkan peranan sebagai jambatan antara Timur dan Barat dari semua sudut.

Turki mahu mengambil peranan diplomasi untuk meningkatkan prestij di peringkat antarabangsa, yang boleh membantunya dalam hubungan dengan dunia Barat, terutama hubungan dengan Kesatuan Eropah yang kompleks dan juga dalam dunia Islam yang dikuasai negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Mesir melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab.

Turki telahpun berperanan dalam rundingan melibatkan Syria, Iraq dan Israel dan kini meletakkan Iran sebagai matlamat seterusnya.

Kerana peranan besar yang inngin digalas ini, Turki meningkatkan usaha memulihkan hubungan dengan etnik Kurdis dalam negaranya dengan cuba berdamai dengan kumpulan pemberontak Kurdis dan dengan Armenia, yang telah menunjukkan hasil positif sejak beberapa minggu lalu.

Turki berhati-hati dalam melaksanakan usaha ini kerana perlu mengimbangi keperluan mengekalkan kerjasama dengan AS dan Israel dengan keperluan mendapat kepercayaan Tehran.

Iran dilihat menggunakan pertemuan dengan Turki untuk memperlihatkan ia menerima sokongan dan mendapatkan sokongan Turki yang sedang berada dalam Majlis Keselamatan PBB sebagai ahli tidak tetap.

Kedua-dua pihak juga sangat menyedari potensi ekonomi yang boleh ditingkatkan, memandangkan kedua-dua pihak saling memerlukan terutama dalam perdagangan tenaga, walaupun terus bersaing dalam mengukuhkan pengaruh dalam kalangan negara Islam rantau Asia Barat dan Tengah.

Pada masa sama, sempadan yang dikongsi kedua-dua Turki dan Iran juga bermakna pemberontakan Kurdis dihadapi kedua-dua negara. Hal ini juga menjadi satu kepentingan yang boleh membuka ruang untuk bekerjasama.

Ankara dan Tehran berkongsi satu kepentingan yang berpotensi menggerakkan kerjasama, iaitu kepentingan perdagangan gas yang mampu meningkatkan pengaruh kedua-dua negara.

Turki sentiasa berusaha meningkatkan peranannya sebagai hab bekalan gas dan minyak kepada Eropah, kedudukan yang membantu Turki dalam hubungannya dengan Eropah dan AS.

Turki kini termasuk dalam perancangan pembinaan saluran tenaga ke Eropah yang dikritik sesetengah pihak sebagai menyediakan saluran gas sebelum mendapat kepastian bekalan.

Iran berpotensi menjadi salah satu pembekal gas untuk saluran yang dirancang membekalkan gas kepada Turki dan Eropah itu, projek yang disokong AS dan Eropah sebagai pelan mengurangkan pengaruh Rusia dengan mengelak daripada melalui wilayah negara itu.

Iran memerlukan pelaburan untuk merealisasikan potensi simpanan tenaganya manakala Turki memerlukan pengaruh sebagai negara kritikal dalam strategi keselamatan tenaga Eropah.

Walau bagaimanapun, potensi ini tertakluk kepada pertimbangan politik lain, termasuk sokongan daripada AS yang masih meneruskan dasar meminggirkan Iran tambahan pula, peningkatan pengaruh Turki dan Iran yang mendadak tidak selari dengan kepentingan AS dan Eropah.

Berakhirnya peminggiran terhadap Turki boleh mendatangkan manfaat kepada Turki sebagai hab bekalan tenaga, dan peranan Ankara dalam mencapai kejayaan itu akan membolehkannya mendapat kepercayaan Tehran.

Walaupun agenda itu agak masih jauh berbanding isu rundingan Barat dengan Iran, langkah itu sudahpun dimulakan dengan lawatan menteri luar Turki itu ke Tehran.

Turki kini berada dalam kedudukan paling bersedia untuk mengambil peranan dalam diplomasi serantau di Asia Barat. Populariti Turki di bawah pimpinan Presiden Recep dan AKP di peringkat global memberi modal untuk Turki meneruskan agenda yang berpotensi meningkatkan lagi pengaruhnya.

Sejauh mana kejayaannya dalam hal ini akan bergantung kepada kemampuannya mengimbangi perbezaan-perbezaan kuasa-kuasa terbabit. - 16 September, 2009

2.
Berhubung isu nuklear Iran, tindakan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menghentikan rancangan pembinaan sebahagian sistem pertahanan peluru berpandu di Eropah Timur menimbulkan persoalan tentang tawar-menawar yang dipercayai dilakukan dengan Moskow.

Hal ini demikian kerana perkembangan ini berlaku ketika rundingan dengan Iran semakin hampir, dengan tanda-tanda Washington sedia berunding.

Pada masa sama Turki - sekutu penting ASyang terlibat dalam politik Asia Barat dan Eropah - memainkan peranan diplomasinya, Obama dilihat melakukan tindakan berhubung pertahanan peluru berpandu untuk mendapatkan balasan Rusia.

Sekiranya Washington mahu berunding dengan Iran, ia memerlukan sokongan daripada kuasa-kuasa berkaitan yang penting untuk mencapai agendanya, dan potensi kerjasama Moskow akan menjadi bargaining chip yang penting untuk mencapai matlamatnya.

Perkembangan ini juga menunjukkan usaha menekan "butang reset" bukan tidak mendatangkan mendatangkan sebarang hasil, sekiranya Moskow sedia memberi kerjasama.

Walau bagaimanapun, isu lain seperti kebolehlaksanaan projek mahal itu juga mungkin menjadi faktor penting rancangan itu dihentikan, kerana pertahanan peluru berpandu terutama sejak pentadbiran George W Bush telah tidak menunjukkan tanda-tanda sebagai teknologi yang boleh diharapkan.

Tindakan Obama itu mungkin berjaya mendapatkan kerjasama Rusia, tetapi potensi kerjasama Rusia dengan Barat ini akan mencetus pula reaksi Iran dan China yang berasa terpinggir, lebih-lebih lagi China yang merupakan "sekutu strategik" Rusia dalam Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO.

Iran kini terpaksa mencari kelebihan lain untuk digunakan menghadapi manuver daripada AS ini, seperti sumber tenaga dan politik Laut Kaspia dan rantau Asia Tengah.

Perkembangan ini menunjukkan, dalam keadaan yang sukar dan keupayaan yang terbatas, Rusia masih lagi kuasa penting dunia yang tidak boleh diketepikan mana-mana pihak.




Labels: , , , , , ,

16 September: Satu penilaian semula


Menjelang tarikh 16 September setahun lalu, ketika kejayaan besar gabungan parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada bulan Mac masih dirayakan, kemaraan gabungan Pakatan Rakyat untuk merampas tampuk kekuasaan kelihatan tidak dapat disekat lagi.

PAS, PKR dan DAP ketika itu, sama ada secara bersendirian atau bergabung, merampas kerajaan negeri Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, dan mengekalkan kemenangan di Kelantan.

Kejayaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah terkini negara ini memberikan momentum yang kuat - yang masih dapat dirasai hingga hari ini - kepada gabungan pembangkang yang kemudian dinamakan Pakatan Rakyat, aliansi yang walaupun kelihatan formal, masih belum diinstitusikan seperti Barisan Nasional.

16 September dirancang sebagai tarikh perubahan kerajaan pusat, dengan kerajaan BN dijatuhkan dan Pakatan mengambil alih melalui kemasukan beramai-ramai anggota parlimen BN ke dalam Pakatan.

Perincian rancangan menggemparkan ini tidak diketahui oleh semua anggota Pakatan Rakyat, tetapi secara kasarnya melibatkan lompat parti, iaitu ahli-ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat untuk membolehkan Pakatan mendapat majoriti.

Pencetus idea ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika 16 September, 2008 semakin hampir, memberitahu 30 ahli parlimen BN akan melompat ke Pakatan untuk membolehkan gabungan pembangkang mempunyai ahli parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Pada 16 September tahun ini, setahun selepas tarikh itu, banyak pihak semakin berupaya untuk menilai semula rancangan itu dengan lebih kritikal, dengan setiap kumpulan mempunyai tafsiran tersendiri mengenai apa yang dibawa kepada negara ini.

Bagi pihak pembangkang dan penentang-penentang kerajaan BN yang telah terlalu lama berkuasa, 16 September memberikan satu harapan baharu untuk meruntuhkan dominasi politik rejim lama itu.

Walau bagaimanapun, sukar untuk diterima oportunisme politik berhubung usaha penubuhan kerajaan pusat melalui tindakan melompat parti dan mengalih sokongan kepada parti lawan.

Ketika 16 September tahun lalu semakin hampir, idea ini diterima sebagai satu-satunya cara untuk bergerak, sebagai satu-satunya pilihan yang perlu dilaksanakan dengan segera.

Pada masa itu, sebarang kritikan atau persoalan tentang rancangan ini dilihat seperti satu pengkhianatan, atau sekurang-kurangnya sebagai tidak mahu bersama pasukan dan tidak memberi sumbangan.

Walaupun perlu diakui sangat sukar untuk menerima kerajaan BN terus berkuasa, 16 September ketika itu semakin kelihatan sebagai satu usaha merampas kuasa semata-mata, tanpa melihat dengan lebih dalam moral tindakan itu.

Pihak yang sebelum itu kuat menentang tindakan lompat parti menjelang 16 September tahun lalu mengalu-alukannya, dengan alasan tindakan itu perlu untuk kebaikan negara secara keseluruhan.

Tiba tarikh 16 September, 2008, apa yang digembar-gemburkan itu tidak menjadi kenyataan, tetapi mereka yang telah meletakkan harapan yang besar terus mengharapkan perubahan itu berlaku pada tarikh lain.

Kemudian, pihak BN melakukan tindakan sama di negeri Perak, mengejutkan dan mengecewakan Pakatan yang baharu beberapa bulan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu.

Tindakan itu juga tidak bermoral dan mencabul hak rakyat Perak yang telah memilih Pakatan Rakyat, tetapi sukar untuk Pakatan berhujah dengan hujah moral selepas mereka sendiri mencuba tindakan yang sama, tetapi dalam skala yang lebih besar.

Hari ini, selepas setahun 16 September, 2008, rakyat Malaysia - terutama yang menyokong agenda itu - sepatutnya dapat menilai dengan lebih kritikal implikasi idea 16 September itu.

Malaysia perlukan politik baharu yang tidak dipandu emosi semata-mata - sama ada suka atau benci - dan tidak melihat kumpulan-kumpulan yang berpartisipasi dalam proses politik negara ini dengan pertimbangan hitam putih semata-mata.

Pemain-pemain politik perlu membenarkan rakyat menerima pendidikan politik dan tidak bersikap selektif kepada moral dan peraturan demi kepentingan masing-masing.

Sikap politik boleh berubah mengikut kepentingan-kepentingan tertentu, dan tindakan dan dasar yang salah juga boleh dihasilkan walaupun berlandaskan niat yang baik, kerana banyak sebab yang tidak dapat dielakkan dalam politik.

Kerana ini, permainan politik melibatkan pelbagai kumpulan dengan pelbagai kepentingan perlu dilihat dengan lebih kritikal, tanpa membina garisan bayangan yang memisahkan baik dan jahat secara simplistik.

Malaysia tidak boleh lagi meneruskan politik lama yang dikuasai emosi berlebihan - yang dimanifestasikan melalui pemujaan tokoh - dan ketetapan pemilikan kuasa sebagai parti pemerintah sebagai segala-galanya.

Politik baharu Malaysia, yang diisytiharkan banyak pihak sebagai cara berpolitik baharu yang lebih matang dan berlandaskan pengetahuan, perlu dibuktikan oleh semua yang terlibat dalam proses politik negara ini, dan politik baharu Malaysia perlu memenangkan rasionaliti. - 16 September, 2009

Pautan artikel berkaitan: Runtuhnya moral demokrasi




Labels: ,

Thursday, September 10, 2009

Pada Ulangtahun 11 September, Afghanistan Semakin Jejaskan Populariti Obama


Dunia Islam menyaksikan tragedi terbaharu bulan Ramadhan ini, apabila puluhan rakyat awam Afghanistan terkorban dalam satu serangan bom oleh pasukan tentera diketuai Amerika Syarikat minggu lalu.

Serangan yang berlaku tidak jauh dari bandar Kunduz di utara Afghanistan itu berlaku pada masa yang sangat sukar bagi semua pihak, ketika kematian orang awam semakin meningkatkan kemarahan rakyat negara itu terhadap pasukan asing diketuai AS, menyukarkan usaha memenangi hati dan minda masyarakat negara itu.

Operasi tentera Barat di Afghanistan bermula pada era Presiden George W Bush sebagai respons kepada serangan 11 September, 2001, yang dipertanggungjawabkan kepada Taliban yang menguasai Afghanistan ketika itu.

Kini, pada ulangtahun kelapan serangan itu, presiden popular AS, Barack Obama terpaksa menanggung kosnya.

Operasi ketenteraan di Afghanistan dan kawasan berkaitan di Pakistan telah mengundang banyak kritikan kepada Presiden Obama kebelakangan ini akibat kematian orang awam.

Ada pengkritik mula menggelar tindakan-tindakan yang diteruskan beliau sebagai gambaran penggal ketiga Bush.

Pada masa sama, dakwaan penipuan pilihan raya oleh pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai menambahkan kos politik kepada Washington yang dituduh menyokong pemimpin yang semakin tidak popular itu.

Jumlah kematian dalam tragedi berdekatan Kunduz itu berbeza mengikut beberapa laporan, dengan kebanyakan media melaporkan lebih 90 orang terkorban.

Sejak Obama memegang jawatan presiden AS pada Januari 2009, tragedi dekat Kunduz itu ialah serangan kedua yang melibatkan kematian ramai orang awam.

Mei lalu, satu kawasan perkampungan di wilayah Farah diserang pesawat-pesawat AS, mengorban 140 orang menurut kerajaan Afghanistan.

Serangan terbaharu itu berlaku tidak lama selepas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates dan Jeneral Mike Mullen, pengerusi ketua turus bersama bercakap tentang usaha mengelakkan kematian orang awam.

Gates pada masa sama menjawab kritikan dengan menegaskan pentadbiran Obama tidak hilang fokus terhadap perang itu, dan menolak gesaan menarik keluar anggota tentera AS.

Sehingga kini, sebanyak 68,000 anggota tentera AS dijadual dikerahkan ke Afghanistan sehingga hujung tahun ini, agenda dasar luar utama pentadbiran Obama pada masa ini.

Pada masa sama, Obama sedang mempertimbangkan tambahan sehingga 40,000 anggota tentera AS ke Afghanistan, katanya untuk membantu melindungi orang awam dan mengelakkan daripada taliban dan al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan 11 September, 2001mendapat kubu kuat di negara.

Ketua operasi tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, di Afghanistan, Jeneral Stanley McChrystal sudahpun menyiapkan penilaian semula strategi operasi tentera di Afghanistan.

Obama kini dijangka menghasilkan keputusan baharu tentang perang yang semakin menyaksikan perbezaan pendapat dalam kalangan pegawai pentadbirannya.

Naib Presiden Joseph Biden sendiri telah mempersoalkan keberkesanan tindakan meningkatkan jumlah tentera Barat di Afghanistan.

Sebuah akhbar AS melaporkan, operasi Afghanistan kini semakin kehilangan sokongan Demokrat, sehingga menuntut Obama bergantung pada sokongan pihak Republikan, yang masih kuat menyokong operasi tentera yang dimulakan oleh Bush itu.

Seorang Demokrat, Senator Russell Feingold, salah seorang daripada kem liberal dalam Parti Demokratik menentang peningkatan anggota tentera di Afghanistan dan menggesa pengunduran tentera AS secara berperingkat dari wilayah konflik itu.

Laporan akhbar itu juga menyebut, hasil satu tinjauan pendapat, berbanding beberapa bulan lalu, semakin ramai rakyat AS mahu jumlah tentera AS di Afghanistan dikurangkan.

Satu lagi tinjauan pendapat menunjukkan kini 57 peratus rakyat AS menentang perang di Afghanistan.

Obama dilihat telah mengambil tindakan yang salah apabila memilih untuk menumpukan operasi tentera AS di Afghanistan.

Tambahan pula, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan semua pihak terbabit sama ada untuk menjadikan misi itu menumpukan pada usaha pembinaan semula Afghanistan atau operasi ketenteraan untuk memerangi Taliban dan teroris.

Berdasarkan serangan terbaharu itu, kelihatan tumpuan utama ialah operasi ketenteraan, yang semakin mengundang kritikan kepada Obama akibat semakin dilihat sebagai operasi ketenteraan yang tidak boleh dimenangi.

Kesan serangan di Kunduz itu sendiri telah memperlihatkan perbezaan pendapat ketara dalam kalangan sekutu Eropah.

Secara teknikal, serangan oleh pesawat AS itu diperintahkan oleh pasukan tentera Jerman, yang mendakwa tangki minyak yang ditawan Taliban itu mendedahkan tentera Jerman berhampiran kepada bahaya.

Menteri Pertahanan Jerman, Franz Josef Jung mempertahankan tindakan itu, yang dikritik Menteri Luar Perancis Bernard Kouchner sebagai satu tragedi dan kesalahan besar.

Sokongan dari Eropah untuk operasi di Afghanistan semakin merosot, dengan Perdana Menteri Inggeris Gordon Brown terpaksa berdepan kritikan rakyatnya terhadap perang itu, menyifatkan rancangan Inggeris di Afghanistan sebagai realistik.

Ketika tuntutan politik domestik akibat krisis ekonomi memerlukan tumpuan, perang di Afghanistan menambahkan beban kepada kerajaan-kerajaan sekutu Eropah.

Pada ulangtahun kelapan serangan 11 September, 2001 yang menyatukan seluruh dunia Barat untuk menghadapi ancaman terorisme, kesatuan itu kelihatan tergugat akibat operasi Afghanistan yang telah menelan pelbagai kos untuk semua pihak.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan usaha yang semakin sukar bagi Obama untuk memenangi perang di Afghanistan, dengan dua medan penting, sokongan dari dalam AS sendiri dan sekutu-sekutu Nato di Eropah semakin merosot. - 9 September, 2009





Labels: , , ,

Friday, September 04, 2009

Konflik Yaman dan Persaingan Kuasa Serantau

Konflik di Yaman yang menyaksikan pertempuran terbaharu kerajaan negara Arab itu dengan kumpulan pemberontak di utara kelihatan tidak mudah untuk diselesaikan dalam masa terdekat ini, apabila kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dan pemberontak Houthi pimpinan Abdul Malik al-Houthi gagal mencapai persetujuan untuk berdamai.

Kerajaan Ali Abdullah menolak syarat perdamaian kumpulan Houthi yang mahukan kuasa yang lebih di wilayah mereka dan lebih kebebasan, mendorong kumpulan Houthi mengeluarkan amaran “perang yang berpanjangan” akibat penolakan peluang perdamaian itu.

Kerajaan Ali Abdullah berkata tawaran itu bukan sesuatu yang baharu dan menuduh kumpulan Houthi cuba melengahkan peperangan untuk mengambil masa membina semula kekuatan selepas serangan panjang tentera Yaman.

Ali Abdullah kini berdepan usaha sukar menangani konflik dalaman dan mengimbangi hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan menjaga hubungan dengan Arab Saudi, dan pada masa sama mengawal usaha Saudi untuk mendominasi.

Hubungan baik kerajaan Ali Abdullah – yang juga seorang Syiah Zaidiyah - dengan Arab Saudi dan AS menjadi satu rungutan utama pihak Syiah Yaman, yang menuduh wujud kerjasama kuasa-kuasa terbabit untuk memerangi minoriti Syiah di Yaman.

Tiga kumpulan sekaligus terlibat dalam konflik dengan kerajaan Yaman, konflik yang semakin meningkat dan menarik perhatian dunia sejak beberapa bulan lalu. Di sebelah selatan, pemberontak pemisah menjadikan suasana tegang, memperlihatkan sentimen anti-penyatuan lama selepas Yaman Utara dan Selatan bersatu.

Pada masa sama, Yaman yang menjadi sekutu Washington dalam “perang menentang terorisme” juga mengawasi pengaruh al-Qaeda yang dilihat mengambil kesempatan daripada kekacauan untuk menjadikan negara bersempadan Laut Merah dan Teluk Aden itu sebagai pusat aktiviti mereka.

Konflik paling hebat melibatkan kerajaan Ali Abdullah dengan kumpulan Syiah Zaidiyah di utara, menyaksikan pertempuran yang meningkat ketika Muslim seluruh dunia menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan.

Pertempuran ini ialah yang keenam dan terbaharu sejak kempen terhadap Houthi bermula pada 2004. Dengan liputan berita yang terhad, banyak yang dilaporkan masih kurang jelas, dengan kedua-dua pihak kerajaan dan Houthi mendakwa mempunyai kelebihan dalam konflik tersebut.

Menurut laporan media Yaman, sekitar 5,000 orang telah terkorban dan 200,000 menjadi pelarian akibat konflik kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi yang kubu kuatnya terletak di Saada, utara negara itu.

Konflik melibatkan kumpulan Syiah Zaidiyah mempunyai sejarah yang panjang dan dimensi domestik dan serantau. Kumpulan Syiah Zaidiyah menyimpan rasa kesal sejak kejatuhan kepimpinan panjang mereka di Yaman pada 1962, kejatuhan yang menjadikan mereka terpinggir.

Dua kuasa serantau, Arab Saudi - yang didokong AS - dan Iran dinilai pemerhati terlibat dalam konflik ini dan menjadikan kedua-dua pihak bertentangan sebagai proksi untuk mengukuhkan pengaruh mereka.

Hal ini tidak mengejutkan memandangkan persaingan berzaman kedua-dua negara yang berpegang pada aliran Islam yang bertentangan. Kedua-dua negara telah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap situasi Yaman sejak konflik terbaharu tercetus.

Saudi telah menunjukkan rasa kurang senang dengan laporan media Iran dan menuduh Iran membantu kumpulan Syiah Zaidiyah, manakala Iran menuduh Arab Saudi membantu tentera Yaman.

Laporan media Iran dikatakan berat sebelah kepada kumpulan Houthi dalam laporan mereka manakala Arab Saudi dituduh membekalkan senjata, termasuk untuk serangan udara ke atas kawasan utara didiami penduduk Syiah.

Arab Saudi didakwa memberi sokongan kepada beberapa kumpulan di Yaman untuk meluaskan dan mengukuhkan pengaruhnya yang mula tertanam sejak memberi bantuan kepada kerajaan Yaman menghadapi perang saudara dengan kumpulan selatan pada 1994.

Kumpulan Syiah Yaman mendakwa Arab Saudi meluaskan pengaruh fahaman Wahabi di Yaman - terutama ekoran pengukuhan pengaruh Saudi selepas 1994 - fahaman yang menolak aliran Syiah sehingga menyifatkannya sebagai keluar daripada Islam.

Pihak Houthi mendakwa Riyadh mahu kerajaan Ali Abdullah kekal berkuasa kerana beliau memenuhi kehendak Arab Saudi dalam rancangan dominasi serantaunya.

Iran pula dipercayai memberi sokongan kepada kumpulan Syiah Zaidiyah di utara walaupun mereka daripada aliran Syiah yang berbeza. Sokongan ini mampu memberikannya pengaruh di kawasan-kawasan penting di rantau Asia Barat dan pada masa sama mempunyai proksi untuk mengimbangi pengaruh Arab Saudi, seperti dilakukan di wilayah timur Arab Saudi.

Yaman dalam hal ini tidak mendapat banyak manfaat, malah konflik dihadapi ini, menurut pemerhati, hampir menjerumuskannya menjadi sebuah negara yang gagal seperti Somalia, negara jirannya di seberang Teluk Aden.

Yaman sedang menyaksikan sumber hidro karbon semulajadinya semakin berkurangan dan pada masa sama juga berdepan risiko kekurangan sumber air. Konflik bersenjata hanya akan menjadikan keadaan lebih parah.

Arab Saudi berkepentingan untuk melihat kumpulan Houthi tidak berpengaruh, antaranya disebabkan kedudukannya bersempadan dengan wilayah Najran di sempadan Arab Saudi-Yaman. Najran dan sebuah lagi wilayah, Asir, ditakluk Arab Saudi ekoran konflik kedua-dua negara yang berakhir pada 1934.

Najran yang mempunyai jumlah penduduk Syiah Ismailiyah yang agak besar pernah menyaksikan konflik minoriti Syiah dengan pasukan keselamatan Arab Saudi. Dasar Arab Saudi terhadap Yaman dilihat memberi kesan kepada pengikut Syiah terbabit, yang berkongsi sentimen dengan penduduk Syiah Zaidiyah di Yaman.

Kumpulan-kumpulan Syiah berbeza aliran terbabit berkongsi sentimen yang hampir sama terhadap Arab Saudi, yang mempunyai rekod buruk berhubung minoriti Syiah di negara itu, terutama golongan majoriti kalangan mereka, Ismailiyah.

Walaupun sokongan Iran lebih kuat dilihat di wilayah timur Arab Saudi, Syiah Zaidiyah Yaman juga dikatakan mula lebih rapat dengan Tehran ekoran tekanan yang dikenakan, termasuk pengaruh Saudi yang semakin kuat di Yaman.

Kumpulan Syiah Yaman dikatakan telah membina hubungan baik dengan Tehran dan juga Hizbullah di Lubnan dalam usaha berdepan tekanan. Sentimen kebangkitan Syiah seluruh Asia Barat kebelakangan ini mampu menyumbang kepada kerjasama itu.

Yaman mempunyai hubungan sukar dengan jirannya di utara itu. Menjelang Perang Teluk pertama pada awal 1990-an, Yaman dihukum keras Saudi dan sekutu Baratnya kerana tidak menyokong agenda menyerang Iraq.

Sempadan Arab Saudi dengan Yaman pula sentiasa tegang, dengan beberapa pertempuran kecil pernah berlaku melibatkan kedua-dua negara. Prospek untuk konflik lebih besar berlaku sentiasa wujud, dan ini membuka peluang kepada Iran untuk membina pengaruh, mendedahkan rantau Asia Barat dan dunia Muslim kepada satu lagi kemungkinan konflik berdarah yang berpanjangan. – 1 September, 2009

Pautan ke artikel berkaitan:

1. Houthi tuduh Saudi bantu kerajaan Yaman

2. Yaman tuduh media Iran berat sebelah

3. Arab Saudi digesa tidak diskriminasi Syiah



Labels: , ,