Politik Pop

Wednesday, December 30, 2009

Politik dunia Islam 2009: 10 berita utama

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.

1. Serangan terhadap Gaza, Palestin
Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat
awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki
Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan
pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan.
Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran
Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang
pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden Hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.


6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia
Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.


7. Pilihan raya Lubnan
Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian
lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur
memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kadeer, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.


10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

Labels:

Monday, December 21, 2009

A PR exercise


1. Untuk tujuan photo-op dan eksesais perhubungan awam, konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini telah menunjukkan hasil yang baik. Sekiranya diperhatikan di media, pada masa yang sama, BN berdepan laporan yang kurang menarik, seperti kehilangan enjin jet, tetapi PR memberi peluang kepada laporan yang condong ke arah yang positif.

2. Nama Pakatan Rakyat hampir boleh disebut sebagai Pakatan Putrajaya ekoran rujukan kepada pusat pentadbiran negara ini yang sangat kerap sejak pilihan raya yang lepas, menjelang 16 September tahun lalu dan ketika peristiwa tertentu, seperti konvensyen ini. Fokus kepada rakyat hampir tenggelam akibat rujukan kepada Putrajaya ini.

3. Penilaian lebih kritikal terhadap janji-janji pilihan raya umum lalu di negeri-negeri ditadbir PR perlu dilakukan, agar fokus dan penilaian kepada PR tidak menjadi berat sebelah kepada lebih menilai potensi dan cita-cita berbanding apa yang sebenarnya telah dilakukan.

4. Fokus kepada kuasa dan kesatuan fikrah dalam menuju kepada "sistem dua parti" dalam usaha yang kelihatan agak tergesa-gesa dalam menggabungkan parti-parti pembangkang ini perlu disemak dengan wacana balas, dengan mendapat buah fikiran lebih ramai pihak yang tidak berkepentingan.

5. "Dasar Pakatan Rakyat" yang dikemukakan menunjukkan banyak perkara yang umum dan berpotensi mengundang perbezaan tafsiran, ekoran bacaan yang berbeza setiap pihak terhadap istilah-istilah yang digunakan. Apapun, apa yang terhasil melalui konvensyen ini wajar membawa kepada kerjasama yang lebih realistik dan memberi penekanan kepada istilah "rakyat" yang dikemukakan sebagai satu identiti PR.

Labels: ,

Wednesday, December 16, 2009

Obama dan Wilsonisme abad ke-21


"There will be times when nations -- acting individually or in concert -- will find the use of force not only necessary but morally justified."

"And so, a quarter century after the United States Senate rejected the League of Nations -- an idea for which Woodrow Wilson received this prize -- America led the world in constructing an architecture to keep the peace: A Marshall Plan and a United Nations, mechanisms to govern the waging of war, treaties to protect human rights, prevent genocide, restrict the most dangerous weapons." - Barack Obama, ucapan ketika penerimaan Hadiah Nobel Keamanan


Amerika Syarikat kini berdepan satu tempoh yang sangat menguji kedudukannya sebagai negara pemimpin dalam politik dunia. Dengan kehadiran Presiden Barack Obama, kepimpinan AS di peringkat antarabangsa mampu dipulihkan dengan imej baharu yang lebih mesra kepada seluruh lapisan masyarakat dunia.

Dalam menghadapi proses perubahan ini, Obama berdepan dengan cabaran Afghanistan, yang menjadi salah satu agenda sentral dalam usaha membina semula satu haluan dalam dasar luar kuasa besar itu. Masa semua ini berlaku sangat signifikan kepada sejarah AS sebagai kuasa dunia.

Obama baharu sahaja meluluskan penghantaran 30,000 anggota tentera AS ke Afghanistan, tindakan yang menandakan peranan besar AS - yang memimpin operasi tentera melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) - dalam politik global.

Bulan depan, pada tanggal 8 Januari, genap 92 tahun ucapan Presiden Woodrow Wilson di Kongres AS, menjelaskan Empat Belas Perkara (Fourteen Points) yang terbentuk menjadi perspektif Wilsonisme dalam dasar luar AS.

Antara perkara penting daripada 14 yang disebutkan itu ialah penekanan kepada usaha menyebarkan demokrasi, kapitalisme dan juga keperluan campurtangan untuk keamanan atas dasar kemanusiaan. Sejak itu, selama hampir 100 tahun kini, perspektif ini menjadi rujukan utama dalam tindakan dasar luar presiden-presiden AS.

Sepanjang hampir satu abad, Wilsonisme melalui pelbagai tafsiran melalui pemimpin-pemimpin dan pembuat-pembuat dasar luar AS. Sama ada menepati atau tidak apa yang disebut Wilson pada Januari 1918, misi Wilson dijadikan hujah untuk menegaskan dan mewajarkan dasar yang dilaksanakan.

Selepas tempoh Presiden George W Bush berakhir, Obama kini menduduki tempat utama untuk membina semula Wilsonisme, dengan takrif baharu selepas tempoh Bush yang menjejaskan imej dan autoriti moral AS di mata dunia.

Dalam debat akademik yang dimuatkan dalam buku The Crisis of American Foreign Policy: Wilsonianism in the Twenty-First Century, Bush dipersalahkan kerana menjejaskan kredibiliti AS melalui tindakan seperti perang di Iraq dan mengabaikan institusi multilateral.

Salah seorang akademik yang tulisannya dimuatkan dalam buku ini, Anne-Marie Slaughter menegaskan Bush tidak mewarisi Wilsonisme (dengan tindakan campurtangan dan menyebarkan demokrasi di negara asing), dan menegaskan pada dasarnya, Wilsonisme menekankan usaha multilateral dalam hubungan antarabangsa.

Multilateralisme ini, walau bagaimanapun, diertikan oleh pengkritik ide ini sebagai kata lain kepada hegemoni AS, iaitu masyarakat atau konsert demokrasi yang diketuai AS. Kepimpinan AS di peringkat global ini sememangnya menjadi satu agenda dasar luar Obama.

Slaughter, bekas dekan Sekolah Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa Woodrow Wilson di Universiti Princeton kini menjawat jawatan pengarah di pejabat perancang dasar di Jabatan Negara AS. Beliau kini dalam posisi yang lebih berkesan untuk membentuk haluan baharu dasar luar AS pentadbiran Obama.

Beliau, bersama G John Ikenberry, seorang lagi akademik Princeton, mengetuai projek keselamatan nasional yang dibentangkan di Washington pada akhir 2006, mengusulkan dasar luar baharu yang menegaskan diplomasi lebih daripada kuasa tentera - tetapi kelihatan hanya berbeza dengan apa yang dilakukan Bush - dan menekankan peranan kepimpinan AS di peringkat dunia dan pada masa sama menegaskan kerjasama dengan kerajaan-kerajaan demokratik.

Tetapi ini sama sekali tidak bermakna kuasa ketenteraan AS akan kurang memperlihatkan operasi-operasi besar seperti yang berlaku sepanjang kepimpinan Bush dan sebelumnya. Seperti dilihat di Afghanistan, ketenteraan AS akan terus menjadi satu bahagian penting perlaksanaan dasar luar AS.

Internasionalis liberal dalam dasar luar AS yang dominan dalam Parti Demokratik dan pentadbiran Obama menyokong tindakan ketenteraan di negara asing dengan tujuan-tujuan yang dikaitkan dengan kemanusiaan. Slaughter sendiri menyokong perang terhadap Iraq dilancarkan, pandangan yang dikongsi dengan ketuanya di Jabatan Negara AS, Hillary Clinton.

Cadangan yang mengajak kepada dasar luar yang bipartisan itu, dengan tajuk Forging a World of Liberty Under Law: US National Security in the 21st Century mendapat buah fikiran daripada 400 pakar dan elit dasar luar AS, merentasi garis parti dan kecenderugan ideologi. Saranan ini membawa satu perspektif liberal dalam dasar luar AS, dan dengan munculnya Obama menerajui AS, saranan baharu ini mempunyai satu potensi besar untuk membentuk dasar luar baharu AS dengan signifikan .

Obama kini boleh muncul dengan berkesan untuk mewarisi Wilsonisme, yang dibentuk berdasarkan keperluan semasa dan oleh pakar-pakar tertentu untuk melalui abad ke-21. Obama menerima persetujuan ramai untuk membina semula imej AS, dan mengendalikan dasar luar AS dengan berbeza, sekurang-kurangnya berbanding pentadbiran Bush sebelumnya.

Majalah Foreign Policy, yang meletakkan Obama sebagai tokoh di kedudukan ke-2 dalam senarai 100 pemikir 2009, menyebut: "With his 'smart power' mantra, the man who commands the world's most powerful military has diversified the United States' arsenal of foreign-policy tools by listening. He spoke to the Muslim world from Cairo, smoothed over a rift with Europe, and reached out to recalcitrant rogue states. He might yet fail. But if he succeeds, the sea change in America's relationship with the world could become a tidal wave."

Pemerhatian Foreign Policy ini menjelaskan beberapa perkara penting, seperti mempelbagaikan senjata dasar luar AS dengan berdialog.

Sejak Obama menduduki Rumah Putih pada awal tahun, ucapan dan pertemuan beliau dengan pelajar univeristi terus menjadi satu agenda utama dalam lawatannya di peringkat antarabangsa. Pendekatan mendengar dan dialog yang dibawa Obama dapat dilihat dekat dengan pendekatan Wilsonisme yang dibawa melalui saranan dasar luar bipartisan itu.

Pilihan Obama di Afghanistan, yang menegaskan kerjasama negara anggota Nato, saranan beliau agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu direformasikan dan menekankan kerjasama termasuk dengan China yang sering dilihat sebagai ancaman berdasarkan fahaman yang sama dengan pemikiran dalam projek Princeton dan pemikiran Slaughter, yang bermatlamat menjadikan dunia "selamat untuk demokrasi."

Dalam kenyataan-kenyataan lain Obama juga dapat diperhatikan persamaan dengan idea Wilsonisme abad ke-21. Dalam tulisan mengemukakan garis besar dasar luarnya dalam jurnal Foreign Affairs pada 2007, Obama menulis, "To renew American leadership in the world, I will strengthen our common security by investing in our common humanity. Our global engagement cannot be defined by what we are against; it must be guided by a clear sense of what we stand for. We have a significant stake in ensuring that those who live in fear and want today can live with dignity and opportunity tomorrow."

Di sinilah, Obama menegaskan peranan kepimpinan AS yang perlu diperbaharui, keselamatan bersama dan kemanusiaan bersama yang dapat dilihat persamaannya dengan ide Wilsonisme daripada Slaughter, tanpa mengabaikan keperluan tindakan ketenteraan atas dasar "moral" dan "kemanusiaan."

Usaha mengeksport demokrasi tidak dapat dibayangkan akan dikurangkan, malah AS akan sentiasa berperanan dalam usaha perubahan rejim di banyak negara, seperti yang disaksikan di banyak negara dalam bentuk "revolusi warna" - termasuk di Malaysia dan terbaharu di Iran - melalui kebangkitan digerakkan pelbagai kumpulan politik dan masyarakat sivil. Bahasa baharu dasar luar AS yang lebih mesra dan imej Obama yang lebih mudah untuk menyampaikan mesej berpotensi untuk memudahkan usaha ini.

Usaha mengeksport demokrasi, walaupun dengan cara paksa dengan segala sumber seperti yang biasa dijalankan melalui Endowmen Demokrasi Nasional (NED) tidak dapat dielakkan daripada menjadi sebahagian Wilsonisme, walau apapun hujah dikemukakan penggerak Wilsonisme baharu.

Hal ini juga menunjukkan Doktrin Bush tidak lari daripada Wilsonisme, kerana pelaksanaan dasar luar Bush ialah salah satu tafsiran perspektif ini, dan untuk mencapai perkara-perkara yang dikemukakan Wilson pada 1918 walau apapun akibatnya kemudian.

Obama kini diharapkan untuk meneruskan misi Wilson, menyebarkan demokrasi, kapitalisme dan nilai-nilai lain yang dibawa AS dalam menegaskan peranannya sebagai kuasa dunia. Tempoh sepanjang Obama menduduki Rumah Putih pada masa ini sedang mencatat sejarah peranan Obama mempengaruhi perubahan besar dalam dasar luar AS dan menjelaskan lagi wajah Wilsonisme abad ke-21. - 5 Disember, 2009

Labels: ,