Politik Pop

Wednesday, February 10, 2010

Drama Revolusi Oren


Bagi kumpulan penentang Revolusi Oren di Ukraine, kejayaan dalam pilihan raya presiden Ahad lalu ingin sangat dibaca sebagai berakhirnya revolusi itu. 

Ketika tumpuan dunia lebih kepada Revolusi Hijau di Iran, Revolusi Oren semakin pudar.

Tempoh lima tahun penuh drama terhenti seketika dengan kejayaan pemimpin pro-Moskow, Viktor Yanukovych memenangi pilihan raya, walaupun dengan amat tipis.

Lima tahun sejak 2004, ketika kumpulan Revolusi Oren mendapat kuasa, dipenuhi drama. 

Daripada cerita Viktor Yushchenko diracun arsenik oleh musuh politiknya hingga kepada usaha mengurangkan kuasa presiden kumpulan oren oleh kalangan kem oren sendiri.
 
Banyak pandangan boleh disampaikan mengenai perkembangan terbaharu ini, tetapi kebangkitan rakyat tidak sepatutnya dipermudahkan dan dihadkan hanya kepada Revolusi Oren, dan tokohnya bukan hanya mesti Yulia Tymoshenko.

Kekalahan kem oren dalam pilihan raya ini juga tidak wajar dibaca sebagai kegagalan projek pendemokrasian pro-Barat itu, kerana sejarah masih terus berjalan. Mungkin kumpulan oren memerlukan pemimpin-pemimpin yang lebih berkemampuan dan tidak sibuk dengan politik sesama sendiri.

Agenda antirasuah dan kronisme yang menjadi platform kumpulan Revolusi Oren juga tidak terlaksana sebahagian besarnya. Menurut seorang penulis di akhbar Inggeris, Guardian: "She also mounted a populist campaign against Ukraine's business elite known as the 'the war on oligarchs,' while still fostering business interests in her own party."

Satu pengajaran penting episod ini ialah perlunya membezakan retorik politik dengan amalan dan dasar sebenar yang dilaksanakan.

Labels: ,

Tuesday, February 09, 2010

Michelle Obama menangani obesiti kanak-kanak

Michelle Obama, wanita pertama Amerika Syarikat kini menggerakkan satu program kesihatan besar-besaran di AS, dengan matlamat menghapuskan obesiti kanak-kanak dalam tempoh satu generasi.

Program ini, dinamakan Let's Move, sangat bercita-cita besar.

Tetapi, dengan kedudukan beliau sebagai wanita bekerjaya dengan dua anak untuk dibesarkan dalam dunia konsumer yang sarat dengan makanan tidak sihat, kempen ini mudah untuk diterima ramai kerana ramai berkongsi perasaan yang sama.

Program ini secara default sudah pun memiliki wajah kempen yang menarik, iaitu Michelle Obama. Secara konsisten, isu pemakanan dibawa ke mana-mana, termasuk rancangan Sesame Street.  

Program ini juga sesuatu yang muat dengan sempurna dalam agenda kesihatan suaminya, Presiden Barack Obama.

Program ini menyampaikan mesej pentingnya penjagaan kesihatan kepada rakyat AS. Secara tidak langsung, perasaan yang dicetuskan kempen melibatkan kanak-kanak ini mampu memberi kesan positif kepada plan kesihatan pentadbiran Obama.

Kempen Michelle Obama ini mampu memberi kesan politik ketika pada masa sama bergerak tanpa ciri politik yang jelas.  


Artikel berkaitan:

Michelle Obama di Sesame Street



Labels: , ,

Tuesday, February 02, 2010

Halo effect, in picture


Gambar Presiden Barack Obama ini diambil oleh sebuah agensi berita. Pemilihan sudut pandangan ini boleh memberi pelbagai bacaan, termasuk kelihatan seperti halo.

Ini memberikan satu implikasi positif kepada Obama, sekiranya imej ini terlekat pada ingatan sesetengah orang, tanpa melihatnya secara kritikal.

Obama, sehingga kini, masih menikmati halo effect yang terbina sejak pilihan raya primary beberapa tahun lalu.

Artikel berkaitan:

'So help me God'

Labels: , ,

Monday, February 01, 2010

Zulkifli Noordin dan dilema kepimpinan PKR

Zulkifli Noordin, ahli PKR yang dikenal lantang bersuara dalam isu-isu melibatkan Melayu dan Islam walaupun tidak sehaluan dengan parti meningkatkan lagi kontroversinya dalam parti dan kalangan Pakatan Rakyat melalui laporan polis terhadap Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Shah Alam.

Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu secara konsisten mengeluarkan pandangan yang tidak sehaluan dengan parti sehingga dilabel sebagai suara Umno dalam PKR oleh pengkritik-pengkritiknya.

Beliau sebelum ini telah beberapa kali diberi peringatan tentang tindakan-tindakannya, tetapi tindakan kali ini membuka kepada kemungkinan dipecat daripada parti, walaupun sehingga kini beliau masih dilihat sesetengah pihak sebagai tidak boleh disentuh.

Terbaharu, ekoran laporan polis ke atas Khalid daripada PAS berhubung isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik, pergeseran lebih hebat tercetus dalam PKR apabila Datuk Zaid Ibrahim, ahli biro politik PKR secara terbuka menggesa Zulkifli dipecat daripada parti.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua umum PKR juga telah membuat kenyataan mengulas kes Zulkifli, tetapi kelihatan berhati-hati dengan isu ini dan tidak menggesa satu tindakan yang segera.

Episod terbaharu ini juga memperlihatkan perdebatan secara lebih terbuka, ketika parti itu berdepan pelbagai krisis termasuk perletakan jawatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail sebagai timbalan pengerusi PKR Pahang dan pengerusi biro keahlian.

Awal bulan ini, Datuk Salehuddin Hashim meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung, menjadikan beliau setiuasah ketiga meletakkan jawatan, tindakan yang disebut sebagai dipengaruhi pergolakan dalaman parti.

Zaid, pemimpin yang dilihat sesetengah pihak sebagai pembawa standard liberal PKR mengkritik parti itu yang dilihat "tidak serius" untuk mengambil tindakan dan menimbulkan persoalan tentang Zulkifli yang kelihatan tidak boleh disentuh.

"Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut 'due process' atau proses keadilan dalam undang undang. Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untuk mengambil tindakan," tulis Zaid dalam blognya.

"Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut. Sementara itu Zulkifli Nordin setiap minit akan terus menghina pendirian Pakatan dalam tv Umno dan surat khabar Umno dan tidak akan peduli arahan parti, sama seperti yang telah dia lakukan pada masa-masa yang lepas."

"Hairan juga keadaan ini, seolah-olah Zulkifli Nordin adalah seorang manusia yang tidak boleh disentuh oleh parti; entah mengapa ada keistimewaan itu."

Pertembungan Zulkifli dengan PKR ini menjelaskan perbezaan besar aliran ideologi dalam PKR yang dikuasai golongan liberal tetapi juga mempunyai ahli konservatif politik yang hampir dengan pendirian Umno dalam banyak hal.

Peristiwa terbaharu ini juga bakal menunjukkan haluan sebenar yang ingin diambil PKR dan sama ada politik pragmatik akan tetap menjadi faktor penting dalam parti liberal ini.

Dilihat dari sudut praktikal, Zulkifli mampu membawa credential Melayu Muslim untuk PKR yang dalam kempen Umno dikemukakan sebagai parti yang bertentangan dengan kepentingan Melayu.

Daripada isu melibatkan tulisan Mohd Ridhuan Tee di Mingguan Malaysia hingga nama Allah, Zulkifli telah menunjukkan beliau satu-satunya wakil PKR yang pandangan dikongsi ramai orang Melayu. Malah, beberapa pandangan Zulkifli tidak selari dengan pandangan PAS sendiri, satu lagi parti konservatif mewakili Melayu Muslim.

Dalam politik pilihan raya, lebih-lebih lagi ketika jumlah wakil di Parlimen menjadi sangat penting dalam usaha menubuhkan kerajaan pusat, hal ini menjadi sangat penting juga.

Ketika PKR dikecam sebagai anti-Melayu, Zulkifli mampu memperlihatkan bahawa isu-isu Melayu Muslim masih disuarakan dengan lantang oleh wakil rakyat PKR. Zulkifli memperlihatkan sikap ini apabila bertindak hingga membuat laporan polis dalam isu yang melibatkan pendiriannya sendiri yang tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian Katolik.

Tetapi, tindakan mengimbang kehendak bertentangan yang sukar ini pasti lambat laun akan mendatangkan kos politik juga, lebih-lebih lagi kerana memperlihatkan PKR tidak konsisten dengan prinsip dan ideologi.

Dalam hal ini, PKR perlu membuat satu pilihan yang sukar. Sebagai parti, ia perlu memperlihatkan tidak ada mana-mana ahli yang lebih besar daripada parti itu sendiri, walau mempunyai hubungan peribadi yang rapat dengan pimpinan utama parti.

Sekurang-kurangnya, ia dapat menunjukkan keteguhan fahaman liberal yang dibawa, tanpa perlu cuba mengimbangi dua kumpulan yang bertentangan, dan tidak boleh dikompromi dengan politik pragmatik dan oportunis pilihan raya. - 27 Januari, 2010

Labels: ,