Budaya popular semakin berjaya menggabungkan semakin banyak bidang-bidang dalam kehidupan manusia. Satu yang paling mudah diperhatikan ialah politik, akibat kaitan rapat dan pendedahan meluas bidang ini kepada rakyat, walaupun sebahagian besarnya lebih melibatkan aspek-aspek luaran yang tidak dijelaskan maknanya.
Dalam buku Elections as Popular Culture in Asia yang disunting oleh Chua Beng Huat, tulisan-tulisan menjelaskan bagaimana pilihan raya ditanganii sebagai satu ekspresi budaya popular, sebagai contoh, artikel mengenai Malaysia yang menjelaskan bagaimana ceramah dan akhbar-akhbar berperanan menyampai mesej-mesej politik dengan mudah kepada orang ramai.
Walau bagaimanapun, saya melihat artikel mengenai Indonesia - berbanding Malaysia - lebih seronok untuk dibaca, dengan pemerhatian yang lebih kepada lebih banyak elemen budaya popular, melibatkan aktor-aktor budaya popular terlibat dalam ruang politik dan aktor politik dalam budaya popular, termasuk Susilo Bambang Yudhoyono, presiden Indonesia yang telah melancarkan sebuah album baru-baru ini.
Saya berpendapat, satu kajian yang lebih menyeluruh diperlukan untuk menjelaskan budaya popular dan politik di Malaysia. Artikel tentang Malaysia yang menumpukan pada pilihan raya 2004 kurang memerhatikan aktor-aktor budaya popular yang muncul dengan prominen dalam kempen-kempen pilihan raya pada tahun itu.
Sejak beberapa tahun lalu, politik Malaysia semakin menampakkan pertemuannya dan saling berkait dengan budaya popular, antaranya melalui poster, kartun dan pelbagai lukisan dalam pilihan raya dan kemunculan aktor budaya popular dalam arena politik.
Pilihan raya yang lepas telah memunculkan artis seperti Siti Nurhaliza, Mawi, dan Camelia dalam kempen-kempen pilihan raya, ekoran kesedaran yang meningkat dalam kalangan parti-parti politik untuk menyampaikan mesej melalui medium yang lebih mudah diterima orang ramai.
Sejak beberapa tahun lalu juga, aktor-aktor budaya popular semakin sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin parti-parti politik dalam pengurusan imej mereka. Hal ini mampu meningkat lagi menjelang pilihan raya akan datang. Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai contoh baru-baru ini berjaya memanfaatkan Facebook beliau untuk membina kelompok peminat daripada kalangan orang muda.
Najib kelihatan agak berjaya dalam menangani penglibatannya dalam Facebook dengan menjadikannya berita, walaupun pemimpin lain yang lebih popular telah lama terlibat dalam laman rangkaian sosial ini.
Dalam soal jawab dalam pertemuan dengan "rakan-rakannya," Najib berjaya menangani satu isu yang berpotensi menimbulkan rasa tidak selesa dengan tidak menunjukkan sokongan yang kuat kepada pasukan bola sepak Manchester United, tetapi juga pasukan-pasukan popular lain yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia.
Hal ini penting kerana sokongan terlalu jelas kepada satu pasukan boleh menyebabkan terjejasnya sokongan sebahagian audiens. Ini kerana satu peraturan dalam budaya popular ialah, jelas sekali, populariti.
Kumpulan-kumpulan konservatif pernah terjejas akibat sikap yang bertentangan dengan sentimen popular, seperti Dan Quayle, tokoh Republikan di Amerika Syarikat yang mengkritik siri komedi televisyen Murphy Brown kerana isu moralnya dan PAS pra-Mawi di Malaysia yang sebelum ini lebih banyak meminggirkan ruang seni kerana implikasi moralnya.
Satu contoh bagaimana seorang politikus menarik perhatian ramai ialah menunjukkan minat terhadap sesuatu yang popular (artis, siri tv, filem) dalam budaya popular untuk berhubung dengan orang ramai. Dia mungkin berkata meminati tiga artis daripada genre yang berbeza untuk mendapat manfaat daripada peminat-peminat artis tersebut daripada kalangan masing-masing.
Perkembangan ini memberi implikasi yang luas kepada proses politik, kerana potensinya memisahkan orang ramai daripada isu sebenar politik, dengan memudahkan isu-isu besar seperti ideologi, dasar dan sebagainya kepada sensasi dan spectacle.
1. Filem Food Inc ini mungkin sebahagian kempen Whole Foods dan/atau Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Tani SeAmerika Syarikat dalam usaha memerangi gergasi korporat makanan seperti Monsanto, McDonald's dan Jamba Juice.
2. Persembahan mengenai kilang menyembelih binatang dan reban ayam industri mengejutkan dan boleh mendorong kepada satu penilaian semula dari sudut spiritual dalam menyikapi industri makanan hari ini.
3. Penglibatan penulis buku The Omnivore's Dilemma: A Natural History of Four Meals, Michael Pollan berjaya memberikan konteks yang jelas tentang industri makanan di Amerika Syarikat.
4. Satu lagi rujukan yang boleh menjelaskan lagi politik makanan di AS ialah buku tulisan Marion Nestle, Food Politics: How the Food Industry Influences Nutrition and Health, yang gambar kulit bukunya hampir sama temanya dengan poster Food Inc.
5. Filem ini boleh menjadi satu rujukan penting dalam usaha mengurangkan dan menolak pengaruh syarikat-syarikat besar yang dengan wang lobi berjuta ringgit dan kempen melalui budaya popular membentuk tabiat dan selera pemakanan msyarakat, sekaligus mengurangkan kemungkinan orang ramai menjadi seperti peserta The Biggest Loser.
6. Filem Food Inc walau bagaimanapun tidak mendedahkan eksploitasi dihadapi pekerja,pembekal komoditi di negara mundur/membangun dan kesan pelaburan syarikat seperti Coca-Cola dan McDonald's di negara terbabit.
7. Satu lagi ketidakadilan yang diakibatkan sistem ekonomi politik global ialah harga ais krim Ben & Jerry's yang sangat mahal di negara luar AS, dan juga kerepek kentang Lay's yang bukan sahaja mahal tetapi juga agak kurang sedap berbanding Lay's di AS, selain rasanya yang agak terlebih masin.
Miss California: Yes. My favorite is Chocolate Cherry Garcia... except technically I think it's frozen yogurt.
Filem Little Miss Sunshine sejurus dilancarkan pada 2006 mendapat sambutan yang agak mengejutkan oleh pengkritik, dan menjadi sebutan di media, dan mempopularkan Marcel Proust, seorang penulis gay.
Ini menjadikan filem ini boleh dikategorikan sebagai filem gay, atau sekurang-kurangnya boleh ditonton beramai-ramai di Annexe Central Market.
Proust ialah penulis asal Perancis, negara yang melahirkan banyak penulis dan ahli falsafah gay yang tidak suka dengan kekuasaan dan peraturan, yang semuanya tidak sehebat filusuf Frankfurt School.
Little Miss Sunshine membawa cerita yang menarik, satira yang tajam dan komentar tentang budaya popular yang profound.
Filem ini dipenuhi dengan banyak adegan berkaitan keluarga yang heart warming dan menyayat hati, di tengah-tengah komedi slapstik dan outrageous.
Rujukan terhadap budaya - termasuk budaya pop - dan falsafah juga memenuhi filem ini, daripada Thus Spoke Zarathustra oleh Friedrich Nietzsche dan dunia palsu pertandingan ratu cantik kanak-kanak yang menarik kehadiran pervert.
Selari dengan pandangan Proust, budaya popular dikemukakan sebagai benda-benda yang membosankan dan menipu dengan imej yang ditonjolkan.
Pada permulaan filem, ditunjukkan tarikan dunia ratu cantik kepada seorang budak yang innocent, dan kemudian makan malam ayam goreng yang membosankan, dua simbol jelas budaya popular.
Kritikan terhadap budaya popular semakin jelas menjelang hujung cerita, tetapi bukan tanpa adegan-adegan kelakar yang outrageous dan jujur.
Filem ini membawa pelbagai lapis untuk dinikmati atau ditekuni, seperti Billy Elliot yang membawa kisah keluarga melalui saat suka duka dengan latar Thatchernomics yang memusnahkan kehidupan penduduk pelombong arang batu sehingga menjadikan abang Billy aktivis berhaluan kiri seperti Aru dan berkejaran dengan polis berlatarkan runut bunyi lagu The Clash.
Kesimpulannya, filem ini menarik sebagai satu komedi keluarga dan juga kritikan terhadap budaya popular Barat yang kini semakin universal kerana dipopularkan sangat oleh media dan budak-budak Akademi Fantasia.
Tetapi, selain membawa kritikan Proust, filem ini juga ironinya mempopularkan Proust dan mendedahkan beliau kepada eksploitasi sebagai produk budaya popular, seperti cetakan kata-kata pada t-shirt dan komodifikasi lain.
The Lovely Bones, filem arahan Peter Jackson berdasarkan novel ini agak susah untuk ditonton tanpa turut sama sedih kerana ia mengisahkan pembunuhan seorang budak kecil.
Naratifnya diceritakan oleh watak budak yang mati itu, Susie Salmon yang sedang dalam perjalanan ke syurga pluralisme agama/perennial yang menerima sesiapa sahaja.
Filem ini dan novel yang menjadi asasnya sangat popular dan menjadi satu produk budaya popular yang cool kerana disebut oleh Liz Lemon (lakonan Tina Fey) dalam 30 Rock.
Sebagai sebuah filem, The Lovely Bones mempunyai cerita yang menarik dan mudah dan mempunyai happy ending, walaupun novelnya lebih kompleks.
Apapun kelemahan filem ini, ia boleh menyumbang kepada membuatkan ibu bapa lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang lebih ketat.
Filem ini memberi gambaran pentingnya undang-undang Megan's Law di Amerika Syarikat, iaitu undang-undang yang memerintahkan pihak berkuasa menyediakan maklumat mengenai pesalah seks di sesuatu kawasan.
Mungkin negara kita juga perlu undang-undang seperti ini, supaya rakyat yang sering tidak hirau anak jiran mereka didera hingga mati boleh lebih berwaspada.
Pendedahan ini boleh menjadikan penduduk lebih berhati-hati, walaupun dalam filem ini, penjahat itu tidak mempunyai rekod yang membolehkan orang lain tahu tentang kegiatannya.
Dalam filem ini, gambaran yang diberikan agak realistik, iaitu perwatakan yang biasa boleh menyembunyikan kehidupan pervert seseorang yang kelihatan baik dan pandai menanam bunga.
Syria, pada masa sama sedang memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat, menerima lawatan berprofil tinggi Presiden Mahmoud Ahmadinejad dari Iran dan setiausaha agung Hizbullah dari Lubnan, Hassan Nasrallah, dalam satu majlis makan malam rasmi kerajaan menemukan kedua-dua tokoh itu dengan Presiden Bashar al-Assad.
Dalam pertemuan yang dilihat media Asia Barat sebagai pertemuan untuk persediaan konflik baharu dalam tempoh beberapa bulan lagi, Damsyik menunjukkan pengaruhnya dalam kerjasama politik melibatkan Iran dan Lubnan.
Peristiwa menarik perhatian itu berlaku lapan hari selepas William Burns, Setiausaha Rendah Negara AS bagi Hal Ehwal Politik melawat Damsyik bertemu Bashar, dan sehari selepas Setiausaha Negara Hillary Clinton menggesa Syria menjauhkan diri daripada Iran serta menghentikan bantuan kepada Hizbullah yang dinilai sebagai kumpulan pengganas.
Pertemuan itu menunjukkan Syria masih belum menerima sepenuhnya tawaran-tawaran Washington untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara dan memberi sokongan kepada AS dan rancangannya di Asia Barat.
Syria bukan sahaja secara menunjuk-nunjuk mengadakan pertemuan yang menunjukkan keingkarannya terhadap pengaruh AS tetapi juga menyindir Clinton dalam satu ucapannya, selepas Syria dan Iran menandatangani perjanjian membatalkan visa antara kedua-dua negara.
Di dunia Arab, ada pihak mengkritik pertemuan itu, yang kelihatan diatur untuk tujuan politik serantau kuasa-kuasa terbabit. Mesir mengkritik pertemuan itu sebagai tidak selari dengan kepentingan dunia Arab dan menunjukkan Syria didominasi Iran.
Pertemuan itu selain menemukan pemimpin Hizbullah dengan presiden Iran juga melibatkan Khalid Mishaal, ketua politik Hamas yang berpejabat di Damsyik dan juga pertemuan Mahmoud dengan kumpulan-kumpulan Palestin selain Hamas, termasuk kumpulan berhaluan kiri. Iran ialah sebuah lagi negara yang memberi bantuan kepada Hamas dan Hizbullah.
Pertemuan itu selain menunjukkan pengaruh Syria di Asia Barat dan persaingan antara Washington dengan Tehran untuk memegang Damsyik, yang mempunyai hubungan baik dengan Iran tetapi pada masa sama mula terlibat dalam pemulihan hubungan dengan AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
AS melihat Syria sebagai negara yang boleh dijalankan rundingan kerana dilihat sebagai paling mampu untuk mengubah pendirian daripada berhubungan baik dengan Iran kepada AS, walaupun tahap hubungan baik dengan AS itu masih menjadi subjek tawar-menawar kedua-dua pihak.
Syria kelihatan sukar untuk mengurangkan bantuannya kepada Hizbullah kerana sokongan itu membolehkannya membina dan mengukuhkan pengaruh dalam politik Lubnan, negara yang dikuasai sejak kemasukan tenteranya ke negara kecil itu untuk membantu dalam perang saudara sehingga didesak berundur ekoran pembunuhan bekas perdana menteri Lubnan, Rafik al-Hariri pada Februari 2005.
Syria dituduh bertanggungjawab dan ekoran itu, hasil sokongan AS terutamanya, tenteranya yang menguasai Lubnan diundurkan daripada wilayah negara itu. Pengaruh Damsyik ke atas Lubnan merosot sejak itu tetapi ia meneruskan sokongan kepada Hizbullah dan bekerjasama dengan Iran.
Sepanjang sejarah, Syria sentiasa campur tangan dalam politik Lubnan. Sebelum Hizbullah ditubuhkan dan muncul sebagai satu entiti politik yang kredibel dan berpengaruh, Syria memberi sokongan kepada Amal, kumpulan Syiah yang muncul hasil kepimpinan politik Imam Musa al-Sadr, tokoh yang menggerakkan politik Syiah di Lubnan. (Walaupun sebelum ini bersaing menarik sokongan penduduk Syiah di selatan Lubnan, Amal kini bekerjasama dalam banyak hal dengan Hizbullah.)
Dalam hal ini, Syria kemungkinan melihat kerjasama dengan Hizbullah, Hamas dan Iran sebagai sesuatu yang penting dalam mengekalkan pengaruhnya di Asia Barat. Kepentingan politik serantau ini menjadikan kerjasama dan hubungan baik dengan kumpulan-kumpulan itu dan Iran sebagai sesuatu yang sukar untuk dikorbankan.
AS juga belum memberikan tawaran yang benar-benar menarik kepada Syria, seperti melibatkan isu-isu wilayah dengan Israel, sekutu kuat AS. Syria dilaporkan mahu hubungan yang lebih istimewa dengan AS dan bukan sekadar hubungan yang baik.
Hubungan baik Washington dengan rejim Zionis itu menjadi satu penghalang kepada Syria untuk menerima tawaran-tawaran AS. Dalam hal ini, penting bagi Syria meneruskan hubungan dengan musuh Israel; Hizbullah, Hamas dan Iran.
Washington sukar untuk menjejaskan hubungannya dengan Israel, sama seperti sukar untuk Damsyik menamakan hubungan baik dengan Iran dan sokongan kepada kumpulan-kumpulan yang menentang Israel.
AS sejak beberapa minggu lalu meningkatkan desakannya kepada Syria untuk mengubah pendirian dalam beberapa isu termasuk membekalkan senjata kepada Hizbullah. Beberapa lawatan dan pertemuan diadakan untuk mencapai tujuan itu, termasuk lawatan Senator John Kerry, pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat ke Damsyik 21 Februari lalu.
Satu lagi pertemuan menarik ialah antara Penolong Setiausaha Negara Jeffrey Feltman - bekas duta AS di Beirut semasa pentadbiran Presiden George W Bush - dengan Duta Syria ke Washington, Emad Mustafa. Dilaporkan antara yang disampaikan dalam pertemuan itu ialah desakan agar Syria menghentikan campurtangan dalam politik Lubnan.
Feltman ialah tokoh penting dalam pelaksanaan dasar luar AS di Asia Barat terutama melibatkan Lubnan dan kini Syria. Beliau menjadi pemain penting dalam politik Lubnan semasa perkhidmatanya di Beirut.
Walau bagaimanapun, proses tawar-menawar masih diteruskan, dan pertemuan berprofil tinggi itu tidak mustahil ialah satu isyarat daripada Damsyik agar AS memberikan tawaran yang lebih menarik.
Tekanan dalam negara di AS juga berpotensi menyumbang kepada proses rundingan Washington dengan Damsyik ini. Baru-baru ini, lapan Senator Republikan mengutus surat kepada Clinton mendesaknya membatalkan penghantaran duta ke Damsyik ekoran pertemuan Bashar dengan pemimpin Iran dan Hizbullah.
Kumpulan senator itu mengkritik tindakan menghantar duta ke Damsyik itu sebagai memberikan keabsahan kepada Syria dalam politik antarabangsa, dan merugikan AS. Hal ini menunjukkan percaturan dengan Syria ini bakal mendatangkan kesan kepada pentadbiran Obama.
Perkembangan melibatkan Syria selepas ini akan menunjukkan sejauh mana kejayaan AS dalam proses tawar-menawarnya dengan kerajaan Bashar, dan menunjukkan juga kebijaksanaan Damsyik menangani tekanan AS dan menjaga hubunganya dengan Iran dan kumpulan Hizbullah dan Hamas yang penting kepada agendanya di rantau Asia Barat. – 9 Mac, 2009
Dua tahun lalu, parti-parti yang membina gabungan Pakatan Rakyat mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac, 2008, mengubah wajah dan permainan politik negara ini.
Kemenangan besar itu dicapai berdasarkan janji-janji dan harapan yang tinggi sejumlah besar rakyat. Kemenangan besar itu juga telah membina keyakinan sekumpulan pemimpin PR dan sejumlah rakyat untuk mencapai matlamat rancangan 16 September, 2008, rancangan yang telah buat pertama kali meletakkan parti pemerintah dalam keadaan bimbang.
Kemenangan besar PR itu pasti sudah sempurna sekiranya perjalanan sejarah terhenti pada kemenangan besar yang mengubah lanskap politik negara itu. Tetapi, kemenangan itu hanya satu permulaan kepada satu lagi perjuangan panjang.
Walaupun tidak berjaya merampas pemerintahan pusat, kemenangan yang kekal di empat negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor - membawa ujian lain untuk gabungan parti dalam PR.
PR berdepan isu-isu seharian dalam pentadbiran kerajaan negeri, isu-isu yang jauh lebih sukar daripada retorik politik dan janji-janji dalam manifesto pilihan raya.
Setiap negeri ditadbir parti-parti PR mempunyai karekter tersendiri yang jauh berbeza. Setiap negeri juga dikuasai oleh sebuah parti anggota PR, walaupun dikemukakan sebagai kerajaan PR.
Dalam hal ini, dapat diperhatikan perbezaan-perbezaan parti-parti dalam pakatan ini, pada PAS di Kelantan dan Kedah, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor.
Satu contoh ialah pilihan raya kerajaan tempatan yang tidak dipersetujui oleh semua parti dalam PR, malah dalam kalangan ahli parti secara dasar menyokong pengundian ini.
Hal praktikal seperti ini menjadikan amat penting bagi PR untuk tidak terlalu ke hadapan dengan menyimpulkan sebarang pendirian sebagai "dasar Pakatan Rakyat."
Pengajaran boleh diperolehi daripada Barisan Alternatif (BA) yang menyatukan parti-parti pembangkang yang sama selepas reformasi pada penghujung 1998 ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno.
BA ketika itu retak ekoran perdebatan terbuka berhubung isu ideologi melibatkan DAP dan PAS. Kedua-dua parti ketika itu memberikan fokus kepada ideologi, sedangkan persefahaman yang masih muda itu paling utama berdasarkan pembahagian dalam pilihan raya untuk memastikan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.
Pada peringkat awal pembinaan satu pakatan politik, BA telah terjerumus dalam pertikaian mengenai ideologi yang mustahil diselesaikan, sedangkan hal itu tidak sepatutnya menjadi isu.
BA telah bersetuju dengan beberapa prinsip dasar ketika memasuki pilihan raya pada 1999. Pakatan yang longgar dan baharu ketika itu sewajarnya menumpukan pada apa yang dipersetujui dan bukan apa yang tidak dapat diubah.
Dalam beberapa hal, PR kelihatan tergesa-gesa untuk mengikat parti-parti komponen untuk memilih satu haluan, seperti 16 September dan "sistem dua parti."
Hari ini, PR perlu menyedari tahap persefahaman yang telah dicapai, dan ruang-ruang yang boleh diadakan kerjasama, tanpa memutuskan sebarang isu yang masih boleh diperdebatkan sebagai pendirian PR.
PR mampu bergerak dengan lebih berkesan dengan menyedari tahap kerjasama yang boleh dicapai, dan memberi kebebasan kepada parti ahli membuat keputusan berdasarkan dasar parti masing-masing. - 10 Mac, 2010
Kepentingan wakil bebas dan kumpulan pendesak Melayu
Perkembangan politik mutakhir hari ini secara dramatik dan mungkin juga kontroversi memunculkan beberapa wakil rakyat bebas atau tidak berparti.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas.
Dengan latar politik tindakan Zahrain itu, kedudukannya sebagai bebas boleh dilihat sebagai sekadar tindakan protesnya terhadap PKR yang menganggotai Pakatan Rakyat bersama DAP dan PAS.
Berdasarkan apa yang telah berlaku melibatkan PKR sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, wakil-wakil bebas daripada parti itu masih terlibat dalam politik kepartian melibatkan dua pakatan politik utama negara ini, PR dan Barisan Nasional.
Di Perak sebagai contoh, wakil bebas yang keluar daripada PKR memberi sokongan kepada Umno sehingga membolehkan Umno kembali menguasai Perak.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang bertindak sebagai calon bebas sejak pilihan raya lalu dalam hal ini menunjukkan sedikit kebebasan dalam tindakannya, walaupun masih kelihatan selari dengan Umno.
Hal yang sama juga dapat diperhatikan berhubung peranan beliau sebagai pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), kumpulan pendesak Melayu yang paling vokal ketika ini.
Walau bagaimanapun, wakil-wakil bebas boleh menjadi sesuatu yang penting dalam politik negara ini yang hampir semuanya ditakrifkan oleh dua kumpulan yang berseberangan iaitu PR dan BN.
Dengan polar yang jauh berbeza dan hampir bertentangan dalam setiap isu, wakil bebas boleh memainkan peranan semak dan imbang dalam arena politik, daripada melibatkan persaingan pendapat dalam pelbagai isu dan juga tindakan-tindakan di Parlimen.
Disebabkan budaya politik yang hampir tidak membenarkan tindakan bipartisan dalam pelbagai isu.
Kedua-dua pihak sama ada PR atau BN menjangkakan sokongan penuh daripada setiap ahli mewakili mereka dalam setiap hal.
Di sinilah wakil-wakil bebas boleh menampakkan sumbangan mereka dalam amalan politik kita.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna secara automatik wakil-wakil bebas memiliki merit ini. Kebebasan mereka hanya dapat dinilai melalui tindakan-tindakan mereka.
Ini berpotensi menjadi sesuatu yang sukar disebabkan kemungkinan kekurangan dari segi kejelasan ideologi yang lebih mudah diperolehi daripada parti-parti politik.
Wakil-wakil bebas mungkin mudah untuk bertindak berdasarkan pragmatisme politik akibat tidak terikat kepada mana-mana parti.
Penghalang ideal ini dicapai ialah politik kepartian yang sangat mendominasi sehingga sehingga kini, ramai wakil rakyat bebas masih perlu bersandarkan parti-parti yang dominan.
Keperluan wakil bebas dalam politik ini mungkin agak terlalu ideal tetapi kepentingannya sangat jelas kepada politik negara kita.
Dalam isu yang hampir sama, kumpulan pendesak Melayu juga semakin jelas keperluannya dalam realiti hari ini.
Orang Melayu yang jauh kurang berorganisasi (selain dalam parti politik) berbanding kaum-kaum lain berada dalam keadaan kekurangan melibatkan tawar-menawar dalam banyak hal.
Orang Melayu juga agak kurang pemimpin dan penggerak pendapat dalam banyak bidang, yang diburukkan lagi oleh ketaksuban pada politik kepartian.
Sebahagian besar media berbahasa Melayu juga masih sangat kurang mengemukakan buah fikiran ilmuan-ilmuan Melayu yang menyentuh isu-isu dasar dan penting melibatkan orang Melayu, kerana perkiraan politik yang masih dominan.
Isu besar Melayu masih belum dapat diwakili dengan benar-benar berkesan oleh mana-mana parti Melayu.
Kerana inilah tidak wajar parti-parti Melayu atau mana-mana parti sekalipun mentakrifkan kepentingan Melayu.
Satu contoh yang jelas ialah penolakan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperjuangkan secara berkesan oleh kumpulan ilmuan Melayu yang berada di luar kerangka politik.
Parti-parti politik hanya menyertai perjuangan ini di peringkat akhir, mungkin setelah melihat potensi mileage politik yang boleh diperolehi, walaupun peranan parti politik seperti PAS dalam hal ini tidak boleh dinafikan sepenuhnya.
Politik hanya satu medan aktiviti masyarkat, dan kerana ini, kumpulan pendesak Melayu perlu bergerak di medan-medan lain juga, tanpa mengkesampingkan kepentingan politik dalam perjuangan ini, sesuatu yang amat jelas realitinya.
Dalam hal ini, peranan yang telah ditunjukkan oleh sebahagian besar penggiat Gerakan Mansuhkan PPSMI ialah sesuatu yang boleh dicontohi.
Penentangan terhadap PPSMI telah menunjukkan wujudnya satu kekuatan dalam kalangan orang Melayu yang mampu bergerak dengan berkesan dan dengan asas intelektual dan moral yang kukuh.
Apa yang telah dicapai kumpulan ini menunjukkan keperluan wujudnya kumpulan-kumpulan pendesak Melayu yang tersusun dan berdiri di atas asas yang kukuh, dan menunjukkan gerakan pendesak Melayu bukan sesuatu yang mustahil digerakkan. - 17 Februari, 2010
Pada hari Isnin, ketika 99 peratus undi dikira dalam pilihan raya presiden Ukraine, Viktor Yanukovych, pemimpin pro-Moskow yang ditolak dan dimalukan ketika Revolusi Oren lima tahun lalu, mendahului dengan lebih tiga peratus undi mengatasi Yulia Tymoshenko.
Malah Yanukovych, sebelum pengumuman rasmi pada Isnin lalu telah mengisytiharkan kemenangan pada Ahad, sambil menggesa Tymoshenko mengaku kalah.
Tymoshenko enggan dan terus menentang keputusan itu, tetapi sokongan yang bakal ditunjukkan rakyat, dan juga negara-negara Barat, kelihatan jauh daripada yang diperolehi pada 2004.
Pada Selasa, kumpulan Tymoshenko mengumumkan untuk menentang keputusan itu di mahkamah.
Malah pemerhati Barat sendiri, Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, OSCE, memuji pilihan raya ini sebagai bersih.
Ketika pengumuman rasmi dibuat, bagi penyokong Yanukovych, Revolusi Oren telah gagal dan kini ditolak rakyat. Kembalinya tokoh pro-Rusia ini disambut dengan gemilang oleh para penyokongnya.
Tymoshenko, yang memimpin kumpulan oren pro-Barat bersama Viktor Yuschenko pada 2004 sejurus menang telah terlibat dan sibuk dengan masalah dalaman dan persengketaan politik sesama sendiri sehingga hampir melumpuhkan kerajaan.
Tymoshenko yang menjawat jawatan perdana menteri dalam kerajaan oren sentiasa tidak sehaluan dengan Presiden Yuschenko, sehingga melumpuhkan kerajaan seketika setahun selepas Revolusi Oren.
Hal ini dilihat pemerhati sebagai satu sebab penting yang menyumbang kepada kekalahan kumpulan oren dalam pilihan raya kali ini.
Undi yang tipis ini, walau bagaimanapun, tetap mencatatkan satu keputusan Yanukovych menang, menjejaskan gelombang Revolusi Oren yang bergerak di atas platform antirasuah dan nilai-nilai demokrasi Barat.
Menampakkan terus haluan bertentangan dengan Rusia, Ukraine di bawah pimpinan kumpulan Revolusi Oren menunjukkan minat menjadi ahli pakatan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato dan Kesatuan Eropah (EU).
Tetapi pada masa sama, persaingan dalaman telah membenarkan Rusia ketika di bawah Presiden Vladimir Putin kembali mengukuhkan pengaruh.
Di bawah Presiden Dmitri Medvedev, tidak ada tanda menunjukkan Ukraine terlepas daripada pemerhatian Moskow, terutama selepas Georgia berdepan tindakan ketenteraan.
Rusia sedang meneruskan agendanya kembali menjadi pemain penting, salah satu kuasa utama dunia. Disebabkan agenda ini, kawasan yang dilihat sebagai ruang pengaruhnya perlu ditangani selari dengan agenda ini.
Tymoshenko sendiri menunjukkan hubungan yang baik dengan Putin, terutama ketika berunding untuk menyelesaikan isu gas beberapa tahun lalu, menimbulkan spekulasi beliau beralih kiblat ke Moskow.
Hal ini turut menyumbang kepada imej negatif Tymoshenko, yang boleh dinilai sebagai orang Moskow atau oportunis.
Agenda yang diuar-uarkan semasa Revolusi Oren tidak tercapai. Tahun lalu, menurut Transparensi Antarabangsa, Ukraine menduduki tempat ke-146 dalam Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan sama dengan Rusia (dan negara bermasalah seperti Zimbabwe dan Sierra Leone) yang dikutuk hebat kumpulan Oren.
Apa yang jelas kelihatan daripada episod ini ialah janji yang tidak ditunaikan dan bagaimana kuasa luar, dalam kes ini Rusia, dipandang rendah kebolehannya untuk terus memberikan kesan.
Ukraine ialah laluan utama eksport gas Rusia ke Eropah, menjadikannya penting kepada Rusia tetapi juga terdedah kepada manipulasi dan tindakan keras Rusia.
Semenanjung Crimea di Laut Hitam menempatkan pangkalan tentera laut di Sevastopol, tempat strategik yang sukar untuk dilepaskan oleh Rusia, walaupun perjanjian bakal memaksa Rusia melepaskannya.
Separuh sebelah timur Ukraine, termasuk Crimea, didominasi etnik Rusia yang berkiblat ke Moskow, menjadikan pengaruh Rusia sentiasa kuat.
Dari segi sokongan Barat, Ukraine di bawah kumpulan Revolusi Oren juga masih banyak menunjukkan masalah dan keterbatasan yang menyukarkan Barat menerima negara di sempadan ruang pengaruh Rusia dengan Eropah itu sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, sekiranya menubuhkan kerajaan nanti, dasar luar Yanukovych akan menunjukkan sejauh mana beliau bersikap pro-Moskow.
Dalam keadaan yang sukar bagi Ukraine, walaupun bakal lebih cenderung kepada Moskow, beliau mungkin akan lebih banyak mengimbangi kedua-dua Rusia dan Barat, menyedari pengaruh Rusia yang kuat dan pentingnya kerjasama Barat dalam menangani pengaruh Rusia. - 9 Februari, 2010