Politik Pop

Saturday, May 29, 2010

Anwar dan Barat: Drama atau penilaian semula?

1. Peringatan untuk Anwar Ibrahim


Karisma yang dimiliki ketua Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendatangkan kesan-kesan luar biasa dalam politik Malaysia, sejak sebelum menyertai Umno hingga keluar daripada parti itu dan memimpin PKR.

Dalam sejarah Anwar, beliau mempunyai banyak identiti, iaitu sebagai pemimpin gerakan Islam, Islamis progresif dan juga pemimpin liberal. 

Pendokong Anwar di Barat mengharapkan beliau memperjuangkan agenda liberal dan propasaran bebas, agenda yang sebenarnya menjadi tunjang kepada PKR, walau apapun wajah lain yang dikemukakan kepada umum.

Dalam perkembangan terbaharu, Anwar dikritik dalam sebuah penerbitan konservatif di Amerika Syarikat ekoran manipulasi isu Apco Worldwide yang sangat berbaur anti-Semitik, menurut pandangan Barat. 

Apa yang dilakukan sebenarnya mudah untuk dibaca, iaitu menggunakan sentimen tertentu berkaitan Yahudi untuk memberikan imej buruk kepada pemerintah dan Umno.

Dalam keadaan PKR berdepan persepsi kemerosotan sokongan Melayu dan didakwa meminggirkan isu Melayu, isu seperti itu boleh menarik sentimen Melayu. 

Walau bagaimanapun, serangan menggunakan momokan Yahudi dan Israel itu berlangsung dengan berleluasa sekali, sehingga muncul seperti satu pandangan sebenar Anwar dan PKR. 

Apa yang ditulis Rachel Motte dalam artikel bertajuk The Reversal of Anwar Ibrahim itu juga dapat difahami dalam konteks hubungan Anwar dengan penyokong-penyokongnya di Barat. 

Kempen Apco yang dilakukan memberikan gambaran pelik politik Malaysia apabila Anwar mengepalai satu kempen berbaur anti-Semitik dan pada masa sama pemimpin negara bertemu dengan Presiden AS, Barack Obama. 

Anwar melakukan apa yang biasa dilakukan, iaitu bercakap kepada audien tertentu dengan bahasa yang mudah difahami kelompok sasaran itu. Apa yang disebut tentang Apco di Malaysia tidak akan sama sekali disebut di Washington DC, misalnya. 

Tetapi kempen Apco itu kemudian menjadi terlalu besar dan dilayan sebagai lebih daripada sekadar senjata untuk mengenakan Umno oleh banyak pihak dalam pembangkang. 

Hal ini boleh membawa masalah kepada gerakan liberal dalam pembangkang sekiranya isu “Yahudi dan Israel” itu menjadi satu agenda besar dan bukan lagi satu kempen oportunistik untuk menyerang Umno. 

Dalam konteks ini, artikel Motte itu, paling kuat boleh dibaca sebagai satu peringatan kepada Anwar untuk tidak mengabaikan agenda yang direstui pendokongnya dan mengambil agenda lain yang mungkin lebih dekat dengan kumpulan yang tidak direstui pendokongnya itu. 

Penggunaan perkataan “reversal” dalam tajuk makalah itu menjelaskan pandangan penulisnya tentang tindakan Anwar berundur daripada agenda liberal yang diperjuangkan selama ini. 

Penulis itu walau bagaimanapun agak simplistik apabila membaca tindakan Anwar berhubung Apco sebagai lebih daripada tindakan pragmatik untuk tujuan politik.  

Banyak pihak juga membaca artikel itu sebagai sesuatu yang pasti dan menunjukkan Anwar sememangnya telah mengabaikan rakan-rakannya di Barat, sedangkan tulisan itu dan media yang menyiarkannya tidak mewakili suara-suara paling berpengaruh di AS. 

Anwar dalam banyak kenyataannya sejak bebas pada 2004, termasuk yang diterbitkan di tempat-tempat yang sewajarnya, menunjukkan komitmennya terhadap agenda liberal dan pasaran bebas. 

Sebagai ahli politik yang bijak, Anwar memperlihatkan komitmennya terhadap pelbagai isu, termasuk berhubung ekonomi pasaran bebas dengan menempatkan pandangan dalam penerbitan berpengaruh seperti Asian Wall Street Journal semasa persidangan berprofil tinggi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Apec. 

Tulisan Motte itu bukan pertama kali Anwar diberi peringatan untuk mengikut agenda liberal yang dijanjikan kepada pendokongnya dan diharapkan oleh banyak pihak di dalam dan luar negara. 

Malah, sejak selepas 2008, semakin banyak media Barat menerbitkan tulisan yang kritikal terhadap Anwar. Satu contoh, Ben Bland, wartawan Barat yang menulis tentang Asia mencatakan dalam blognya, bertajuk Foreign Media’s “Love” for Anwar Ibrahim on the Wane, mengulas kritikan yang terbit dalam media seperti New York Times dan Economist.

Pada September 2004, Philip Bowring menulis di akhbar International Herald Tribune, bertanyakan soalan-soalan kritikal dan mendasar dalam artikelnya, “Which Anwar Ibrahim Walks Free? 

Bowring, yang menyifatkan Anwar sebagai “lelaki yang mempunyai lebih daripada satu wajah,” menimbulkan kebimbangan tentang apakah agenda yang bakal dibawa Anwar selepas keluar daripada penjara, adakah terus memperjuangkan agenda liberal atau kembali kepada “satu bentuk populisme berdasarkan fahaman Islam yang idealistik tetapi sempit?” 

Bowring juga bertanya, adakah Anwar akan “mengisytiharkan versi Islam dan Malaysia yang benar-benar inklusif dan liberal?” 

Penulis itu – ketika itu tahun 2004 – melahirkan kebimbangan haluan lain yang dipilih oleh Anwar, seperti menyertai PAS atau Umno, yang dilihat sebagai boleh mendatangkan kesan bertentangan dengan agenda liberal yang diharapkan pada Anwar. 

Selepas itu, Anwar terus menunjukkan komitmennya dalam banyak hal, sehingga baru-baru ini dalam satu majlis tentang pluralisme agama di London.

Apa yang dicetuskan di New Ledger itu tidak boleh dilihat sebagai satu isyarat jelas daripada pendokongnya atau penolakan terhadap Anwar. 

Daripada apa yang ditunjukkan sehingga kini, melalui ucapan-ucapannya di pelbagai majlis dan sebagainya, Anwar tidak berpaling dan menerima “anti-Semitisme.” – 5 Mei, 2010

2. Penilaian semula Anwar Ibrahim?

Daripada petanda-petanda mudah yang dapat diperhatikan di permukaan, sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kepimpinan tertinggi di Washington DC kelihatan semakin ditandai dengan sikap berhati-hati.

Sokongan yang tidak ditunjukkan dengan jelas oleh Rumah Putih telah menimbulkan kritikan oleh akhbar Washington Post, yang menyifatkan tindakan tidak menegur pemimpin Malaysia berhubung isu Anwar sebagai "shameful and shortsighted."

Kritikan ini datang selepas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bertemu Presiden AS, Barack Obama dan dilihat memperlihatkan kerjasama dalam isu nuklear melibatkan Iran yang sedang menjadi agenda besar Washington.

Selepas New Ledger, editorial Washington Post menerbitkan pendirian yang jelas, yang paling jelas selepas laporan sangat positif New York Times mengenai projek 16 September dulu.

Sebelum  Washington Post, satu tulisan seorang penganalisis risiko politik menulis mengkritik sikap Anwar dalam permainan politiknya di Malaysia, sehingga menyamakan Anwar dengan Ahmed Chalabi, tokoh yang pernah sangat diminati oleh seorang penasihat Anwar dulu.

Hakikatnya, agak terlalu naif untuk menyimpulkan secara simplistik bahawa Washington tidak lagi menyokong Anwar. Hubungan Anwar dan pendokongnya lebih kompleks daripada sekadar sokongan untuk merampas kepimpinan Malaysia.

Malah, kritikan-kritikan berhubung Anwar di media Barat boleh membawa manfaat dalam menunjukkan beliau tidak lagi bergantung kepada Barat, walaupun juga menunjukkan implikasi yang kerajaan-kerajaan dan pelbagai kumpulan bukan kerajaan Barat memang pernah menyokong Anwar dalam agendanya di Malaysia.

Parti beliau juga ketika ini mula melihat sokongan orang Melayu, setelah dilihat mengabaikannya sejak menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 lalu. Selepas isu Apco dan Yahudi dan judi bola sepak, perkembangan terkini ini boleh memberi sumbangan positif dalam memenangi sokongan orang Melayu, sekiranya dimainkan dengan menepati strategi yang tepat.

Walau bagaimanapun, pentadbiran Najib boleh menjejaskan sokongan Barat kepada Anwar dengan melaksanakan agenda-agenda liberal termasuk ekonomi yang lebih propasaran bebas yang meminimakan subsidi dan campurtangan kerajaan.
 

Labels: , ,

Sunday, May 23, 2010

Afundi Najib

Selepas prestasi buruk Barisan Nasional pada pilihan raya 1999, Umno menubuhkan Pergerakan Puteri Umno untuk menarik sokongan wanita muda mendekati parti itu.

Selepas ditubuhkan, rata-rata pemimpin pembangkang memandang usaha itu dengan kritikal dan skeptikal. Ada yang melihat puteri Umno hanya disertai wanita muda untuk berseronok.

Tetapi, sejarah mencatatkan pergerakan itu mempunyai kepentingan tersendiri kepada Umno hingga hari ini. Bertentangan dengan PAS, parti ini kurang berjaya menggerakkan pergerakan wanita mudanya dengan berkesan menyamai puteri Umno.

Selepas 1998, Umno berdepan cabaran getir dalam menarik golongan muda untuk menyokongnya, malah mendekatinya. Walau bagaimanapun, parti itu meneruskan usaha menarik golongan muda melalui banyak cara, yang terbaharu dengan menubuhkan Pergerakan Putera Umno.

Dalam dunia siber yang selama ini dikuasai golongan muda yang sejumlah besarnya cenderung kepada parti-parti pembangkang, Umno juga mula menempatkan dirinya dengan lebih berkesan.

Menteri-menteri Umno yang selama ini mungkin tidak menyentuh komputer langsung mula berblog  dan terlibat dengan Facebook, pada masa sama Umno juga mempunyai bahagian untuk menangani persaingan idea di internet.

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menunjukkan perhatian kepada golongan belia, dengan mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia.

Semua ini mengambil kira pilihan raya umum akan datang, memandangkan golongan muda ketika ini kelihatan sangat kuat menyokong atau condong kepada pembangkang, terutama apabila diperhatikan kenyataan-kenyataan di Facebook.

Apapun, usaha Najib ini tidak boleh dipandang rendah, seperti pembangkang memandang rendah usaha menubuhkan puteri Umno dan tindakan-tindakan lain oleh parti pemerintah. Penilaian tentang orang muda sebagai bank undi pembangkang tidak boleh diiterima sebagai fakta yang mutlak.

Satu lagi tindakan berkaitan agenda memenangi hati dan minda golongan muda ialah perlantikan menteri belia dan sukan ekoran rombakan kabinet yang sedang dispekulasi kini. Sekiranya spekulasi menteri sekarang akan digugur benar, ahli Parlimen yang dilantik nanti pasti telah meyakinkan Najib tentang apa yang akan dilakukan nanti, dan apa yang diijangka boleh dicapai.

Dengan menteri-menteri yang semakin savy dengan Facebook, pasukan internet yang semakin berkesan dan kemungkinan menteri belia yang baharu, boleh dijangkakan usaha memenangi sokongan golongan muda oleh parti pemerintah sedang memasuki fasa baharu.
 

Labels: , ,

Friday, May 21, 2010

Iron Dome, Israel dan Hizbullah

Israel yang sedang membangunkan sistem pertahanan roket Iron Dome mendapat bantuan Amerika Syarikat sebanyak AS$205 juta yang diluluskan Kongres AS baru-baru ini.

Bantuan ini menegaskan hubungan baik AS dengan Israel, ketika Lubnan dan Syria bersetuju untuk memberi bantuan kepada Hizbullah.

Perkembangan ini, walaupun berlaku jauh dari Malaysia, mempunyai satu kaitan yang agak signifikan.

Iron Dome ini mempunyai kaitan dengan Singapura yang menyumbang dalam pembangunan sistem pertahanan ini. Dalam hal pertahanan, Singapura mempunyai persamaan dengan Israel dan bekerjasama sejak tertubuhnya Republik Singapura. Singapura turut melihat kemungkinan ancaman serangan roket jarak dekat dari kawasan berdekatan.

Israel terancam oleh serangan roket Katyusha seperti yang berlaku semasa perang musim panas 2006. Dalam kalangan negara-negara berhampiran Singapura, Malaysia memiliki sistem pelancaran roket berganda Astros II buatan Brazil, sistem senjata yang terbukti dalam medan perang. 

Seperti Singapura yang memerhatikan Israel dalam strategi perangnya, Malaysia pula melihat strategi Hizbullah.

Labels: , ,

Turki dan BRIC dalam kuasa baharu diplomasi


Negara kuasa pertengahan Brazil dan Turki kelihatan mencapai satu kejayaan besar dalam usaha diplomasi apabila mencapai perjanjian dengan Iran, yang dilihat mampu mengelakkan Tehran dikenakan sekatan lanjutan yang lebih menyeluruh atau membuka kemungkinan kepada peperangan.

Perjanjian ini masih belum dapat memuaskan hati semua pihak, terutama AS yang masih bimbang dengan pelbagai kemungkinan.

Sehari selepas itu, AS bersama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan mencapai persetujuan untuk sekatan baharu terhadap Iran.

Walau bagaimanapun, perjanjian itu menunjukkan satu perkembangan baharu berhubung kemampuan kuasa yang sedang meningkat naik untuk aktif dalam diplomasi di peringkat antarabangsa, dan melibatkan isu besar nuklear Iran yang sentiasa didepani Washington selama ini.

Turki dalam hal ini meneruskan agenda dasar luar baharunya di rantau Asia Barat, yang dalam hal ini mempunyai implikasi global luas. Haluan baharu dasar luar di bawah Ahmet Davutoglu ini, yang menjadi salah satu berita besar tahun lalu, dipertingkatkan lagi pada tahun ini dengan bergaya.

Brazil pula, salah sebuah negara kumpulan BRIC – bersama Rusia, India dan China – menepati prestij yang diuar-uarkan melalui peningkatan kuasa ekonomi dan politiknya di pentas dunia.

Perjanjian melibatkan Brazil, Iran dan Turki itu bakal menjadikan rundingan isu nuklear Iran ini lebih kompleks dengan semakin ramai pemain berpengaruh mengambil bahagian.

Dalam Majlis Keselamatan PBB, perjanjian itu lebih dekat dengan pendirian Rusia dan China yang lebih cenderung kepada penyelesaian melalui rundingan.

Walau bagaimanapun, perjalanan isu ini masih belum berakhir, dan pengaruh kuasa-kuasa besar – yang turut memberi sokongan kepada Turki pada tahap tertentu – masih tidak boleh dilihat sebagai tercabar. Malah, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu sendiri, dalam tulisannya di majalah Foreign Policy menjelaskan aliansi strategik Turki dengan Barat tidak bertentangan dengan apa yang dilakukan Ankara kini dalam medan politik antarabangsa.

Labels: , , ,

Wednesday, May 12, 2010

Tentang Obama dan serangan dron

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjelaskan lebih daripada apa yang mungkin diniatkan apabila berjenaka tentang serangan dron kepada Jonas Brothers.

Obama memperluaskan serangan dron dengan mensasarkan Taliban dan al-Qaeda semua peringkat, tidak termasuk hanya pemimpin-pemimpin, yang bermaksud pembunuhan yang lebih berleluasa dengan mangsa yang lebih ramai, termasuk orang awam yang boleh didakwa ahli kumpulan militan.

Serangan dron terus meningkat, dengan dua serangan terbaharu dalam tempoh 48 jam di Waziristan Utara, Pakistan.

Menurut laporan media, antara enam hingga 10 orang terbunuh dalam serangan melibatkan jumlah misil yang banyak, dilaporkan antara 11 hingga 18 butir, dan melibatkan hingga lima buah pesawat dron.

Sebelum itu, Ahad lalu, 10 terbunuh dalam serangan di sekitar kawasan yang sama. Berdasarkan kadar jumlah serangan setakat ini pada bulan Mei - sebanyak 35 serangan setakat ini - jumlah serangan boleh mengatasi jumlah tahun lepas sebanyak 53.
 

Labels: , , ,

Monday, May 10, 2010

Rusia, Syria dan Turki

Selepas menerima kehadiran tentera Amerika Syarikat dalam perarakan di Moskow, Presiden Rusia Dmitri Medvedev mengadakan lawatan ke Syria - dan kemudian Turki - buat pertama kali dalam tempoh yang panjang.

Syria ialah sekutu rapat Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, dan menjadi sumber senjata Rusia untuk Iran semasa perang Iran-Iraq.

Syria terus menjadi sekutu rapat Rusia selepas keruntuhan Soviet, dengan perkembangan terbaharu menunjukkan Medvedev datang dengan agenda mengukuhkan kedudukan sebagai pemain penting, kuasa besar di Asia Barat melalui hubungan dengan Syria yang berpengaruh di Lubnan, Iraq dan bekerjasama dengan Iran, satu lagi pemain penting politik Asia Barat.

Dalam keadaan Syria ditekan AS, yang memperbaharui sekatan ke atas Syria baru-baru ini, Moskow menunjukkan kepada dunia isyarat bahawa ia kuasa penting dalam sebarang perkiraan. Perbincangan Medvedev dengan Bashar al-Assad mungkin merangkumi agenda ini, meningkatkan kuasa tawar-menawar kedua-dua Damsyik dan Moskow. 

Moskow mengiktiraf Hamas yang dilabel teroris oleh Washington, dan lawatan ini memberikan petanda prospek kerjasama yang lebih rapat Rusia dengan Syria ekoran ketegangan hubungan Syria dengan AS.  Syria turut menyalurkan senjata Rusia kepada Hizbullah, sebuah lagi kumpulan yang dilabel teroris oleh AS.

Lawatan ke Turki penting bagi Rusia ketika Ankara sedang menggerakkan dasar luar yang lebih bebas dan kekal menjadi laluan penting pengangkutan bahan bakar ke Eropah, pada masa sama juga antara pengimport terbesar bahan itu dari Rusia.

Isu besar politik serantau, senjata dan kerjasama ekonomi bakal meningkatkan hubungan Rusia dengan kedua-dua Syria dengan Turki, kuasa yang semakin penting dalam mencorakkan politik Asia Barat ketika ini, termasuk melalui sokongan mereka kepada Palestin dan Iran.

Peningkatan hubungan ini menjadikan Rusia semakin penting dalam politik Asia Barat.

Labels: , , ,

Thursday, May 06, 2010

Armenia uji hubungan AS-Azerbaijan


Azerbaijan mula menilai semula dengan serius hubungannya dengan Amerika Syarikat, sekutu yang telah membina hubungan baik dengan negara Kaukasus itu sejak keruntuhan Kesatuan Soviet.

Kedudukan Azerbaijan di Kaukasus dekat Laut Kaspia, bersempadan Iran di selatan dan Rusia dan Georgia di Utara menjadikan negara berpopulasi 8.8 juta itu negara yang penting bagi AS disebabkan kedudukan geografinya.

Azerbaijan juga menjadi elemen penting dalam percaturan strategik AS berhubung tenaga di Kaukasus, dalam perkiraan untuk mengatasi Rusia yang menjadi pembekal dan laluan utama sumber tenaga ke Eropah.

Satu kejayaan berprofil tinggi ialah projek saluran minyak Baku-Tbilisi-Ceyhan, legasi pentadbiran Bill Clinton yang tercatat sebagai usaha jelas dalam menjejaskan dominasi Rusia dalam pengangkutan bahan bakar dari timur ke Eropah.

Kebelakangan ini, Azerbaijan dilihat dipinggirkan daripada agenda besar AS. Di Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Azerbaijan tidak dijemput, sedangkan negara seterunya Armenia dan Georgia termasuk dalam senarai jemputan.

Usaha Washington memulihkan hubungan Turki, sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), dengan Armenia telah menjadikan Azerbaijan dipinggirkan.

Dalam rundingan Ankara-Yerevan, isu Nagorno-Karabakh, wilayah Azerbaijan yang diduduki Armenia akibat perang 1992-1994 tidak disertakan sekali dalam rundingan, menimbulkan kemarahan baku terhadap kedua-dua Ankara dan Washington, walaupun Turki di bawah AKP masih berhati-hati dalam menangani Azerbaijan dan turut melihat Nagorno-Karabakh sebagai isu penting.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu dalam kenyataan di Washington selepas bertemu Presiden Armenia Serzh Sarkisian menyatakan ketiadaan wakil Azerbaijan sebagai menjadikan pertemuan tersebut tidak langkap.

Turki melihat Azerbaijan, negara majoriti Muslim Syiah itu sebagai sekutu penting, disebabkan faktor berhubung geografi dan juga faktor rumpun bangsa Turki. Hal ini penting bagi Turki kerana Azerbaijan juga dipengaruhi oleh Iran, yang boleh berperanan sebagai pesaing dalam hal ini.

Walaupun jalan perdamaian Turki-Armenia masih berliku, usaha ini menjadi agenda penting bagi pentadbiran Presiden Barack Obama untuk dicapai. Kesukaran bagi AS ialah mengimbangi kedua-dua Turki dan Armenia, dengan berhati-hati dalam isu genosid dan menjanjikan pengiktirafan itu dalam usaha menarik Armenia daripada pengaruh Rusia.

Lobi Armenia yang kuat di AS dan dalam Parti Demokratik berjaya menjadikan isu pembunuhan etnik Armenia oleh Uthmaniyah Turki sebagai satu isu penting dalam kempen Obama. Obama menjanjikan pengiktirafan itu sejak kempennya pada 2008.

Selepas mendapat sokongan Kongres AS pada 2007, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan pada Mac lalu meluluskan resolusi menggesa AS mengiktiraf pembunuhan era Perang Dunia Pertama isu sebagai genosid, walaupun resolusi ini ditentang secara terbuka oleh Setiausaha Negara Hillary Clinton.

Lobi Armenia - yang aktif di negeri penting politik AS seperti California - dijangka meningkatkan lagi usaha mendapatkan pengiktirafan itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS hujung tahun ini.

Walau bagaimanapun, Ankara dan Yerevan masih berdepan cabaran dalam memulihkan hubungan, termasuk akibat perbezaan pendapat berhubung isu yang ditangani dan tekanan politik dalaman.

Dalam konteks ini, Washington kelihatan mengabaikan Azerbaijan hingga mendorong pemerintah negara itu secara terbuka menyatakan kecenderungan mengekalkan hubungan baik dengan Rusia, yang disifatkan sebagai faktor penting serantau.

Untuk menunjukkan tanda perubahan sikapnya, Baku juga membatalkan satu latihan ketenteraan yang dirancang dengan AS pada 20 April lalu.

Ali Hasanov, ketua jabatan politik Presiden Ilham Aliyev tidak lama dulu mengkritik sikap AS yang disifatkan sebagai semakin pro-Armenia, sehingga menjejaskan kedudukan Washington dalam proses damai melalui Kumpulan Minsk, yang ditubuhkan oleh Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk mencari penyelesaian politik untuk Nagorno-Karabakh.

Ekoran kenyataan itu, pemerintah Azerbaijan turut menunjukkan kesediaan menerima Iran sebagai pendamai dalam pertikaian ini, tindakan yang menyampaikan mesej kepada Washington.

Baku mengkritik usaha AS menggesa Turki membuka sempadan kepada Armenia, yang dilihat sebagai menamatkan hukuman kepada Armenia yang masih lagi menduduki wilayah Azerbaijan, sebelum sebarang persetujuan dicapai.

AS dan Barat dinilai berpihak kepada Armenia sehingga mengabaikan terus tuntutan-tuntutan Azerbaijan. Baku berpendapat ia dikhianati walaupun telah menunjukkan setia kawan kepada Barat.

Tindakan seterusnya pentadbran Obama akan memperlihatkan sejauh mana Washington bersedia meminggirkan satu sekutu penting di Kaukasus, yang kini semakin menghampiri orbit Rusia.

Akibat pelbagai kepentingan, agak sukar dibayangkan AS meninggalkan terus hubungannya dengan Washington, tetapi berdasarkan perkembangan hari ini, Baku mungkin akan lebih menghargai kepentingan hubungannya dengan Ankara dan Moskow. – 28 April, 2010

Labels: , , , ,

Monday, May 03, 2010

Hulu Selangor tuntut penilaian kritikal BN, PR


Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu mendedahkan banyak perkara tentang kelemahan kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, ketika kedua-dua pihak mengharapkan kemenangan untuk membina moral menuju ke Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN, P Kamalanathan mengalahkan calon PR, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Sekurang-kurangnya dua isu besar mendominasi kedua-dua gabungan BN dan PR, isu yang menyentuh asas penting gabungan politik tersebut.

Satu isu besar ialah realiti politik yang menunjukkan projek "politik baharu" yang sering diheboh-hebohkan oleh PR dan projek 1Malaysia cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sukar untuk dijalankan dalam politik yang masih memandang tinggi kaum.

Najib sejak awal lagi memberi petanda yakin untuk menang apabila mengakui Hulu Selangor sebagai referendum untuk 1Malaysia, tetapi keputusan menunjukkan BN masih gagal menarik undi kaum Cina, dengan parti komponen MCA dan MIC menunjukkan kelemahan masing-masing dalam menterjemahkan konsep yang kabur itu.

Agak munasabah untuk disebut bahawa MCA dan MIC semakin menunjukkan kelemahan yang besar dalam sumbangan mereka kepada kerja-kerja pilihan raya BN, malah mempersalahkan pula Perkasa sebagai punca kegagalan menarik undi Cina.

Hakikatnya, undi kaum Cina sudah lama beralih daripada BN, iaitu semasa pilihan raya umum 2008, lama sebelum elemen nasionalis etnik berhaluan kanan menjadi prominen dalam kalangan Umno.

Malah, hakikat bahawa BN memilih calon berbangsa India memberi gambaran keyakinan terhadap undi Melayu, lalu memilih calon bukan Melayu untuk menarik undi bukan Melayu, yang boleh memberikan kredibiliti kepada gagasan 1Malaysia.

BN perlu mengakui kemenangan dengan undi tidak besar di Hulu Selangor yang mempunyai kawasan kampung dan Felda yang besar tidak memberi petunjuk yang positif untuk gabungan parti pemerintah itu, ketika undi orang Melayu sukar diperolehi di kawasan bandar.

Bagi PR pula, persepsi bahawa pemerintahan kumpulan ini mengabaikan sentimen Melayu terus kukuh, dibuktikan dengan undi Melayu yang semakin meningkat bagi BN. Persepsi ini bukanlah sesuatu yang tidak mempunyai merit.

Pemilihan calon berbangsa Melayu (selain Zaid, calon-calon lain disenarai seperti Datuk Dr Halili Rahmat adalah berbangsa Melayu) boleh dinilai sebagai usaha PR dan juga PKR untuk menunjukkan wajah Melayunya, ketika banyak isu bertentangan dengan sentimen Melayu muncul di Selangor.

Dalam kalangan rakyat Selangor, isu babi, sekatan jualan arak di kawasan majoriti Melayu, dan tindakan terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan masih berupaya dijadikan modal oleh Umno untuk memanfaatkan sentimen Melayu untuk undi.

Selepas ini, dapat dijangka isu-isu Melayu akan diberikan lebih sedikit tumpuan oleh PKR dan PAS dalam usaha menangani kemerosotan ini, yang berpunca daripada kekeliruan masing-masing dalam mentafsirkan "politik baharu" dan istilah "perkauman," dan juga keperluan-keperluan pragmatik tertentu.

Sejak Mac 2008, dapat diperhatikan agenda-agenda liberal yang besar dalam PR dikemukakan dengan tergesa-gesa sehingga menyentuh sensitiviti orang Melayu di seluruh negara, sesuatu yang mengundang risiko mewujudkan jurang antara polar bertentangan dalam masyarakat di negara ini.

Dalam hal ini, wajar sekali PR menilai semula projek liberalisasinya agar tidak mengabaikan terus tuntutan-tuntutan konservatif dalam masyarakat negara ini yang merupakan satu jumlah besar penduduk dan pengundi.

Satu lagi isu besar kepada kedua-dua gabungan ialah kerjasama dan semangat setia kawan dalaman yang telah menjejaskan kedua-dua pihak.

Dalam kalangan BN, perebutan kerusi Parlimen Hulu Selangor jelas kelihatan sejak awal, dengan MIC menunjukkan sikap keras terhadap bukan sahaja Umno, tetapi juga ahli-ahli parti sendiri.

Hal ini telah memberi impak besar kepada kerjasama dalaman BN, dan mencetuskan rasa tidak senang yang berpanjangan dalam kalangan Umno yang memberi sumbangan paling besar dalam memenangkan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Satu blog pro-Umno, theunspinners.blogspot.com dalam satu tulisan mengkritik kelemahan parti-parti komponen bukan Melayu dalam kempen Hulu Selangor. Ini bukanlah satu-satunya kritikan terhadap MIC dan MCA, yang dilihat sebagai hanya mengambil faedah daripada kerja-kerja Umno tanpa sumbangan yang sewajarnya.

Sumbangan amat kecil parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN dapat diperhatikan melalui jentera yang hampir semuanya daripada kalangan Umno. Malah, jentera Umno termasuk kumpulan penulis-penulis blog telah menunjukkan keseragaman dan kesatuan yang kukuh dalam kempen ini.

Walau bagaimanapun, BN yang jenteranya juga disumbangkan oleh pelbagai agensi termasuk Felda berjaya dalam kempen di kawasan-kawasan Felda dan kampung-kampung.

Kehadiran komponen bukan Melayu yang kecil di Hulu Selangor telah mendedahkan satu masalah besar dalam penghayatan gagasan 1Malaysia dalam kalangan komponen BN.

Bagi PR pula, politik dalaman sejak usaha melobi untuk pencalonan telah dapat dilihat dengan jelas, sehingga mudah menjadi bahan kecaman parti lawan.

Ini diburukkan lagi oleh kecaman keras pemimpin-pemimpin PR terhadap Halili yang keluar parti, memandangkan kedudukan beliau sebagai tokoh tempatan yang dihormati dan mempunyai hubungan baik dengan ahli-ahli PKR di Hulu Selangor.

Kemudian, satu kenyataan Azmin Ali mencabar Umno membuktikan Zaid minum arak mencetuskan rasa tidak senang ramai dalam kalangan PR, kenyataan yang dibaca sebagai usaha sabotaj kerana respons yang boleh dijangka daripada BN.

Satu laporan laman web yang mempunyai kaitan dengan PKR, freemalaysiatoday.com memetik sumber PKR sebagai berkata Azmin dipercayai terlibat dalam sabotaj terhadap Zaid, sabotaj yang mampu mendatangkan kesan besar memandangkan hubungan Azmin dengan jentera PKR Selangor.

Motif yang boleh dibaca sangat jelas, iaitu Zaid, seorang bekas menteri yang mempunyai tarikan lebih luas dan imej pemimpin dengan credential liberal yang jauh lebih jelas boleh mencabar Azmin dalam kepimpinan parti. Zaid juga menerima sokongan kuat rakan-rakan komponen dalam PR.

Satu lagi isu penting ialah jentera PAS yang telah menunjukkan bukti boleh diharapkan dan penting dalam pilihan raya, tanpa mengira parti mana menguasai kawasan terbabit. Sumbangan besar PAS ini tidak boleh dinafikan dan perlu disesuaikan dengan kedudukan parti Islam itu dalam penentuan hala tuju dan pembentukan sikap gabungan PR.

Krisis yang dihadapi PKR, daripada keluarnya ramai ahli prominen dan perselisihan sehingga menjejaskan pilihan raya Hulu Selangor perlu ditangani untuk tidak menjejaskan kerjasama PR.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor telah mendedahkan kelemahan-kelemahan kedua-dua BN dan PR. Sebaik mana kedua-dua pihak menangani isu tersebut akan menentukan prestasi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. - 28 April, 2010

Labels: ,

Sunday, May 02, 2010

Terminator menyelamatkan ikon Hollywood

Gabenor California, Arnold Schwarzenegger muncul sebagai sebahagian wira-wira yang menyelamatkan papan tanda ikonik Hollywood di Los Angeles.

Schwarzenegger, bersama Hugh Hefner - yang mendermakan AS$900,000 sumbangan yang menyelamatkan tanah menempatkan tanda itu dibangunkan sebuah syarikat - Steven Spielberg dan Tom Hanks berkempen dan menyumbang untuk menyelamatkan papan tanda itu.

Gabenor California itu kini berada dalam satu kedudukan istimewa, sebagai pemimpin daripada Parti Republikan, tetapi mempunyai imej Demokratik dan liberal seperti sebahagian besar dalam arus perdana Hollywood.

Schwarzenegger muncul menjadi popular dalam aliran filem Sinema Reaganite, takrif filem-filem yang membawa tema pertembungan Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet, nilai-nilai konservatif politik dan keutamaan lelaki.

Hampir seluruh kehidupan Schwarzenegger berjalan dalam imej konservatif dan Republikan, selain latar identiti asalnya yang dilahirkan di Austria.

Tetapi beliau menewaskan gabenor Demokratik Gray Davis sebagai calon Republikan dalam pemilihan recall yang akhirnya membolehkan beliau menjadi gabenor pada 2003.

Schwarzenegger kini hampir melenyapkan identiti Republikannya. Daripada apa yang dialami sejak 2003 hingga menyelamatkan ikon impian California itu, identiti yang paling jelas pada gabenor Republikan ini ialah identiti budaya popular dan segala nilainya.

Dan Schwarzenegger dalam kenyataan terbaharunya berkata sekiranya peraturan menghalang mereka yang lahir di luar wilayah AS bertanding presiden dipinda, beliau tidak teragak-agak untuk bertanding.

Sekiranya ada tokoh selain Barack Obama yang mampu mewujudkan mega spectacle dan menyerlahkan lagi elemen pop dalam politik pilihan raya presiden AS, Schwarzenegger boleh dinilai sebagai satu calon utama.

Labels: , ,

Saturday, May 01, 2010

Multilateralisme dalam menghadapi serangan alien

Ahli fizik Stephen Hawking telah menyatakan sesuatu yang dijangka ramai pihak, terutama pembikin filem Hollywood yang sangat suka melihat Manhattan dimusnahkan, iaitu kedatangan makhluk asing mungkin bukan dengan aman.

Siri animasi The Simpsons telah memberi beberapa pengajaran penting tentang menangani makhluk asing seperti yang dibayangkan ramai orang.
Dalam satu episod, impian liberal Lisa untuk melihat semua senjata api dimusnahkan tercapai. Dunia menjadi aman buat beberapa minit, tetapi kemudian makhluk asing datang menyerang. Manusia tidak dapat menentang makhluk asing kerana ketiadaan senjata.

Pengajaran pentingnya ialah persiapan senjata perlu untuk sebarang kemungkinan, yang termasuk serangan makhluk asing, zombie atau makhluk lain yang sedang bersembunyi di sebalik tembok yang dibina Zulqarnain.

Apabila terjadi serangan besar-besaran terhadap manusia, segala sistem dunia mungkin akan musnah. Tiada lagi sempadan, pertubuhan keselamatan kolektif multilateral dan kerjasama melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam hal ini, sangat penting negara mempunyai tentera yang kuat dan mampu bersatu dan bertahan sebagai sebuah pasukan tentera dalam menghadapi serangan itu. 

Labels: , ,