Bahrain dalam percaturan serantau Iran
Menteri Luar Bahrain Sheikh Khalid bin Ahmad al-Khalifah membuat satu pengumuman menegaskan Bahrain tidak akan membenarkan wilayahnya digunakan untuk menyerang Iran atau mana-mana negara lain.
Kenyataan itu muncul ketika spekulasi dan debat tentang serangan ketenteraan terhadap Iran hangat diperkatakan di seluruh dunia, dan menyusuli kenyataan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad bahawa negara “saudara dan sahabat Iran” tidak akan membenarkan wilayah mereka dijadikan pangkalan untuk menyerang Iran.
Bahrain, negara pulau di Teluk Parsi menempatkan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, di posisi kritikal di antara dunia Arab dengan Parsi dan di satu laluan utama eksport minyak dunia.
Bahrain ialah negara berpenduduk 530,000 orang, dengan majoriti rakyat, sebanyak 70 peratus berfahaman Syiah, tetapi pemerintahan dikuasai keluarga Khalifah berfahaman Sunnah.
Perkembangan di Bahrain ini memberi gambaran yang lebih jelas tentang perluasan pengaruh Iran di dunia Arab, yang kini sedang menyaksikan peningkatan pengaruh Syiah dan Iran.
Walau bagaimanapun, kenyataan solidariti menteri Bahrain itu tidak menjelaskan segalanya tentang hubungan Iran dengan negara-negara di Teluk Parsi.
Pertengahan Ogos lalu, pihak berkuasa Bahrain menahan empat orang termasuk dua ulama kerana didakwa menubuhkan rangkaian yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Seorang yang ditahan ialah tokoh penting gerakan pembangkang Haq, sebuah kumpulan Syiah, walaupun pengakapan itu tidak mengaitkan aliran agama mereka yang ditahan.
Tindakan terhadap Syiah di Bahrain ketika ini turut dikaitkan dengan pilihan raya parlimen yang dijadual berlangsung pada Oktober nanti.
Bahrain menyaksikan peningkatan pertembungan terbaharu warga Syiah dengan pasukan keselamatan sejak beberapa minggu lalu, dengan jumlah tangkapan yang terus meningkat.
Pertembungan warga Syiah dengan kerajaan diuasai Sunnah meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan pihak Syiah mendakwa dipinggirkan daripada arus utama ekonomi dan politik di negara kecil itu.
Kontroversi melibatkan warga Syiah ini bukan kali pertama berlaku di Bahrain, dan dikaitkan dengan dakwaan berleluasanya agen Iran di negara-negara Teluk kebelakangan ini, yang mempunyai kaitan dengan rancangan politik serantau Tehran.
Mei lalu, pihak berkuasa Bahrain menahan warganya yang didakwa sebagai sebahagian sel perisik Iran yang ditahan di Kuwait.
Baru-baru ini, sekitar masa yang sama Bahrain membuat kenyataan solidariti terhadap Iran, Kuwait dilaporkan sedang memantau sel tidur pro-Iran yang didakwa berpotensi melakukan keganasan sekiranya Iran diserang.
Mereka yang ditahan ini didakwa bekerja untuk Pengawal Revolusi Iran, dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.
Pada pertengahan 2008, lapan warga Bahrain ditahan di Arab Saudi atas dakwaan menjalankan perisikan untuk Iran, perkembangan yang mencetuskan kebimbangan negara serantau terhadap peningkatan aspirasi Iran.
Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka, perkembangan-perkembangan di Teluk Parsi menunjukkan berlaku tindak balas terhadap satu sama lain.
Bulan Mei lalu, Emiriyah Arab Bersatu membuat penegasan terbaharu berhubung hal milik tiga pulau di Teluk Parsi yang dipertikaikan dengan Iran.
Tindakan UAE itu mendapat sokongan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, yang mengeluarkan kenyataan berhubung hal itu dalam satu mesyuarat di Jeddah, Arab Saudi.
Teluk Parsi tidak dapat mengelak daripada menjadi medan persaingan kuasa-kuasa serantau, terutama Iran dan kuasa besar AS yang berkepentingan di wilayah itu.
Bahrain, negara yang menempatkan sebuah pangkalan tentera asing yang mampu mengancam Iran, dan pada masa sama mempunyai majoriti penduduk Syiah, pasti mempunyai kedudukan penting dalam percaturan kuasa Iran. – 24 Ogos, 2010
Labels: Politik, Timur Tengah









