Politik Pop

Tuesday, September 21, 2010

Paksi Parsi, agenda Iran di Asia Tengah

Ketika Turki muncul sebagai kuasa diplomasi baharu di Asia Barat dan berusaha memperluaskan pengaruh di Asia Tengah, Iran cuba menyaingi dengan satu pakatan bersama Afghanistan dan Tajikistan. 

Iran, Afghanistan dan Tajikistan berkongsi budaya dan bahasa Parsi, dengan bahasa yang hampir sama menjadi bahasa utama dituturkan rakyat negara terbabit. Dunia Parsi terdiri daripada lebih 100 juta orang.

Iran melihat dirinya sebagai pemimpin tamadun Parsi, satu lagi elemen penyatuan yang boleh digunakan oleh Tehran untuk kepentingan politik selain aliran Islam Syiah.

Awal Ogos lalu di Tehran, pemimpin ketiga-tiga negara, Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Afghanistan Hamid Karzai dan Presiden Tajikistan Emmomali Rahmon bertemu dan mencapai perjanjian melibatkan tenaga, perdagangan dan pengangkutan melalui projek-projek kerjasama. 

Pada masa sama, Iran turut mencadangkan penubuhan satu aliansi untuk menyaingi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Asia Tengah, sebagai respons kepada kehadiran Amerika Syarikat di rantau tersebut. 

Saranan Tehran ini dilihat sukar dicapai dan agak tidak realistik memandangkan hubungan Kabul dan Dushanbe dengan kuasa-kuasa serantau dan global yang mampu menghadkan tahap kerjasama mereka dengan Tehran. 
 
Ketiga-tiga negara juga tidak mempunyai keupayaan dari segi peralatan ketenteraan tanpa bergantung kepada mana-mana kuasa besar, dan Iran sendiri masih memperolehi sejumlah besar teknologi ketenteraan dari Rusia. 

Rusia memelihara dan memperluaskan pengaruhnya di Asia Tengah melalui Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) – yang turut dikuasai China – dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), yang kedua-duanya disertai Tajikistan sebagai ahli penuh. 

Rusia berusaha memperluaskan ruang operasi CSTO ke Afghanistan untuk menangani pengaruh Nato dan memperluaskan pengaruh Rusia di negara bekas jajahannya itu.

China juga mempunyai agenda tersendiri melibatkan Afghanistan, Tajikistan dan Asia Tengah dan tidak akan membenarkan pengaruhnya dihakis. 

Seperti juga Washington, Beijing mahu memperluaskan dan mengukuhkan pengaruh di Asia Tengah, kawasan bersempadan dengan wilayahnya di barat.

Iran mengharapkan persamaan bahasa dan budaya Parsi membolehkannya memimpin blok yang diidamkan tersebut. 

Dimensi bahasa dan budaya turut menjadi medan bagi Turki memperluaskan pengaruhnya di Asia Tengah, yang sebahagian besarnya rumpun bangsa Turki. 

Turki turut terpaksa bersaing dengan Rusia dan China dalam usahanya meluaskan pengaruh melalui pan-Turkisme itu.

Negara-negara rumpun Turki di Asia Tengah berada dalam pengaruh Rusia dalam pelbagai peringkat, dan pada masa sama China juga turut mahu menggunakan kuasanya ke atas Asia Tengah, seperti yang disaksikan dalam kes Uighur.

Walau bagaimanapun, dalam kes Iran, keupayaannya untuk mengekalkan dan meningkatkan kerjasama ini tidak boleh dinafikan sepenuhnya. 

Tetapi sentimen Parsi dalam keberkesanan pakatan ini boleh dijangka akan terhad, dan bergantung kepada faktor-faktor lain yang lebih material dan berkait dengan kuasa dan kepentingan.

Pragmatisme berpotensi menjadi penentu yang lebih besar berbanding persamaan budaya.

Kedua-dua Afghanistan dan Tajikistan boleh mendapat manfaat besar daripada kerjasama dengan Iran, yang mempunyai keupayaan kewangan untuk membiayai projek-projek pembangunan dan tenaga. 

Afghanistan yang dilanda peperangan memerlukan pembangunan semula dan bekalan tenaga yang boleh dibekalkan oleh Iran. 

Iran juga boleh diharapkan untuk memberi sokongan politik kepada Kabul dalam menghadapi Taliban, musuhnya yang bertentangan ideologi. 

Mei lalu, Iran dan Tajikistan meningkatkan kerjsama dalam bidang ketenteraan. Tajikistan juga mendapat manfaat daripada perdagangan dengan Iran. 

Perkembangan ini menjelaskan lagi cita-cita Iran di Asia Tengah, wilayah yang menjadi persaingan kuasa-kuasa termasuk pesaingnya, Turki dan satu musuh utamanya pada masa ini, AS. - 14 September, 2010

Labels: , ,

Thursday, September 16, 2010

16 September, kuasa dan moral

16 September kini menjadi semakin penting kepada pemain-pemain politik Malaysia, dengan kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang cuba memberi satu makna tersendiri kepada tarikh ini.

Di akhbar-akhbar harian hari ini, iklan satu muka surat bertema 16 September, Hari Malaysia muncul dengan meriah, menunjukkan sambutan yang tidak pernah berlaku berhubung tarikh ini.

Satu tulisan saya tentang isu-isu 16 September yang dicetuskan oleh ketua de facto Pakatan Rakyat telah diterbitkan dalam sebuah buku terbitan Institut Kajian Kontemporari Asia Tenggara (Irasec), sebuah badan Perancis berpejabat di Bangkok, Thailand, bersama Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), badan pemikir di Singapura.

Bertajuk From the Mosque to the Ballot Box: An Introduction to Political Islam in Malaysia, buku ini boleh dimuat turun dalam bentuk pdf.

Buku suntingan pengkaji politik Malaysia dari Perancis, Sophie Lemiere ini memuatkan empat rencana tentang gerakan Islam politik di Malaysia.

Bab bertajuk Moral Politics: Unity Government, September 16 and the Contestation of Ideas in the Malaysian Islamic Party membincangkan isu-isu moral dan implikasi rancangan peralihan kuasa 16 September yang tercetus dan memberi kesan kepada PAS, yang mungkin merupakan pihak yang paling terkesan oleh pelan 16 September.

Klik pautan ini ke laman Irasec dan klik "Download the pdf."

Labels: , ,

Wednesday, September 15, 2010

Sosilawati dan 911, berita dan persepsi


Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya yang berprofil tinggi bersama tiga yang lain telah mencetuskan komentar-komentar politik yang sengit.

Ini tercetus disebabkan suasana politik dalam negara kini yang panas dan sangat partisan, dengan kedua-dua pihak propemerintah dan pembangkang mempolitikkan banyak isu untuk kepentingan masing-masing.

Dalam kes Sosilawati, dapat diperhatikan bagaimana kumpulan pembangkang membina persepsi dengan mengaitkan pembunuhan itu dengan Altantuya Shaariibu, Teoh Beng Hock, dan Kugan, nama-nama yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap pemerintah, terutama Umno.

Dengan meletakkan nama-nama tersebut dalam satu "kotak," perhatian orang ramai akan dengan mudah mengaitkan kes Sosilawati dengan kes-kes lain itu, sekaligus memanjangkan lagi permainan persepsi negatif terhadap pemerintah dan mengalihkan tumpuan daripada hal-hal lain yang berpotensi timbul.

Ini kerana persepsi dalam kes-kes tersebut dalam wacana popular mengaitkan dan memutuskan bahawa pemerintah atau pemimpin tertentu (Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terlibat.

Dengan kaitan ini, persepsi yang terbina akan mengarah ke Umno, dan bukan pihak lain, seperti yang dicetuskan oleh blog-blog pro-Umno yang mengaitkan suspek utama kes itu dengan Majlis Peguam, Hindraf dan DAP.

Satu kenyataan seperti ini, yang kelihatan sangat didasari sentimen politik kepartian dan tanpa pengetahuan lebih mendalam mengenai isu tersebut dibuat oleh Datuk Mahfuz Omar, yang mengaitkannya dengan kes Altantuya.

Hal yang sama berlaku sekitar isu serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, yang terus menjadi topik wacana yang mudah dikaitkan dengan apa sahaja, oleh sesiapa sahaja.

911, nama popular bagi peristiwa itu kini mula menjadi satu industri, dikomodifikasikan untuk menghasilkan tulisan akademik, rencana akhbar, filem dan banyak lagi.

Secara mudahnya, di AS, 911 diletakkan dalam kerangka ancaman asing, dan memerlukan semua pihak bersatu menyokong satu agenda yang diolah persetujuannya.

Kontroversi pusat Islam dekat kawasan serangan menunjukkan bagaimana manipulasi dan kemalasan berfikir ramai rakyat AS mencetuskan kaitan mudah 911 dengan Islam.

Manipulasi yang sama dapat dilihat dilakukan di Malaysia, dalam kempen menentang "negara Islam" yang diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad semasa masih memegang jawatan.

DAP telah meletakkan isu 911 sekali dengan 929 (tarikh Mahathir membuat perisytiharan), tindakan yang boleh membina atau menguatkan persepsi kaitan Islam dengan terorisme.

Kenyataan itu menjelaskan sikap sebenar DAP, yang sukar untuk difikirkan akan terlepas pandang isu tersebut, malah mudah dipercayai kempen itu dilakukan secara sedar.

Dalam satu kenyataan pemimpinnya Lim Kit Siang, 911, negara Islam dan terorisme telah diletakkan sekali, dalam satu ucapan yang dimulakan dengan menyentuh ulangtahun pertama 911.

Dalam kenyataan itu, pemimpin kanan DAP itu menggesa rakyat Malaysia untuk "say 'no' both to the  PAS Islamic State and the  UMNO Islamic State and  to make clear that while Malaysians do not want terrorism or any form of extremism to rear its ugly head in Malaysia.."

Labels: , ,

Monday, September 13, 2010

Perang Azmin-Zaid dan masa depan PKR

Pemilihan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, PKR telah pun mencetuskan drama yang hebat, lebih awal daripada yang dijangka, sebelum calon-calon disempurnakan pencalonan mereka untuk bertanding.

Kenyataan sokongan yang dibuat oleh sekumpulan wakil rakyat PKR baru-baru ini mencetuskan suasana yang tidak menyenangkan, bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga pemerhati politik dan penyokong Pakatan Rakyat.

Kenyataan bersifat preemtif oleh penyokong Azmin Ali terhadap Datuk Zaid Ibrahim itu menunjukkan wujudnya politik kelompok yang kuat dalam PKR, dan keazaman satu kumpulan untuk mentakrif dan menguasai perjuangan dan kepimpinan parti.

Kenyataan kumpulan Azmin itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana hanya mengesahkan lagi apa yang telah diperhatikan sejak sekurang-kurangnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor.
 
Drama yang dicetuskan itu menunjukkan permainan politik seperti yang dikenali dalam politik parti negara ini masih terus hidup, walaupun dalam parti yang mendakwa membawa nilai-nilai yang lebih baik.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan persaingan pemimpin-pemimpin dan kumpulan-kumpulan dalam PKR sentiasa wujud, dan menegaskan lagi peranan penting ideologi dan pendekatan politik dalam parti itu.

Perbezaan-perbezaan melibatkan aliran ideologi dan gaya politik ini membezakan kumpulan-kumpulan dalam PKR, dan menjadi faktor utama dalam pelbagai isu, daripada penyingkiran Zulkifli Noordin hingga pemilihan Zaid untuk bertanding di Hulu Selangor.

Secara umumnya, tiga kumpulan besar bersaing dalam usaha mentakrif dan menguasai perjuangan PKR iaitu kumpulan yang sebahagian besarnya bekas Umno yang diwakili Azmin, kumpulan liberal dan berhaluan kiri diwakili individu seperti Tian Chua, Elizabeth Wong dan juga Zaid dan kumpulan Melayu Muslim diwakili Mustaffa Kamil Ayub.

Persaingan kumpulan ini dapat diperhatikan daripada mereka yang dijangka bertarung untuk jawatan timbalan presiden.

Ketiga-tiga kumpulan berusaha mengukuhkan pengaruh melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin berkuasa dalam PKR yang memutuskan banyak keputusan.

Sejak penubuhan sebagai Parti Keadilan Nasional, persaingan kumpulan berbeza ideologi telah berlaku, dengan kumpulan berlatar belakang gerakan Islam seperti Abim menjadi yang pertama ditolak.

Kelompok berlatar Islam pada masa itu menjadi antara inner circle utama dalam kepimpinan parti itu, tetapi mempunyai perbezaan besar dengan kumpulan berhaluan kiri dan liberal dan sebahagian aktivis reformasi.  

Pada masa kini, persaingan paling sengit melibatkan kelompok yang secara umumnya dipimpin Azmin dengan kumpulan liberal yang berhasrat menaikkan Zaid, tokoh yang menjadi harapan kumpulan liberal untuk memimpin PKR pada masa depan.

Hasil daripada persaingan untuk jawatan timbalan presiden ini akan menentukan bentuk dan perjalanan PKR dalam menghadapi pilihan raya akan datang dan seterusnya menempuh masa depan.  

Kumpulan liberal dilihat mempunyai kekuatan pada masa ini, sebahagiannya disebabkan kejayaan mereka menasihati dan mendesak Anwar dalam beberapa isu, paling berprofil tinggi melibatkan penyingkiran Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Mereka juga mampu membawa perjuangan PKR keluar daripada garisan Anwar, menjadikan PKR parti liberal sebenar, tanpa perlu berselindung atau cuba kelihatan mewakili semua.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang pendirian Anwar sebagai pemimpin PKR, berhubung siapa yang direstuinya untuk menjawat jawatan timbalan presiden. - 6 September, 2010

Labels: ,

Tuesday, September 07, 2010

Rahsia Viktor Bout

Viktor Anatoliyevich Bout, 43, yang kini ditahan di Bangkok, Thailand dan menunggu (serta melawan) ekstradisi ke Amerika Syarikat muncul sebagai wajah perdagangan senjata global, mendedahkan kompleksiti peraturan antarabangsa dan hubungan tiga negara.

Mahkamah rayuan di Thailand telah membenarkan Bout diekstradisi ke AS, membatalkan keputusan sebelum ini yang menghalang tindakan itu.

Bout didakwa menjual senjata kepada teroris, hasil operasi agen AS yang menyamar sebagai gerila FARC Colombia, yang dilabel teroris oleh Washington.

Bout menjadi perhatian selepas dilaporkan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, wartawan investigatif dan menjadi subjek sebuah filem.

Dia didakwa menjual senjata kepada teroris, raja dadah, diktator Afrika yang terlibat dalam berlian konflik, perang saudara, dan pencabulan hak asasi manusia, dan semua pihak yang sedia membayar.

Bout menjual apa sahaja, daripada rifel AK-47 hingga helikopter penggempur dan kelengkapan senjatanya.

Pengetahuannya tentang perdagangan antarabangsa dan peraturan-peraturan terbabit membenarkannya mengeksploit peraturan terbabit dan melepasi pelbagai pihak berkuasa selama lebih daripada sedekad.

Walaupun dikemukakan sebagai pedagang senjata haram yang membekal senjata kepada teroris dan diktator, perkhidmatan Bout juga digunakan oleh kerajaan-kerajaan, termasuk AS.

Pada 2004, kerajaan AS menggunakan khidmat syarikat Moldova yang mempunyai kaitan dengan Bout untuk menghantar senjata rampasan dari Bosnia ke Baghdad, tetapi senjata itu dilaporkan tidak sampai.

Bout muncul dalam buku Douglas Farah dan Stephen Braun, Merchant of Death: Money, Guns, Planes, and the Man Who Makes War Possible terbitan 2007.

Suspek pedagang senjata haram ini juga menjadi inspirasi sebuah filem tahun 2005, Lord of War lakonan Nicolas Cage sebagai Yuri Orlov, pedagang senjata berketurunan Rusia yang mempunyai hubungan dan perlindungan politik.

Sejak ditahan di Bangkok dalam operasi pihak berkuasa AS pada 2008, Bout semakin menjadi perhatian media dan pemerhati, dan kini mempunyai laman web sendiri di viktorbout.com, manakala sebuah lagi laman web ditubuhkan untuk menentangnya, viktorbout.net.

Bekas tentera Rusia Soviet ini dipercayai mempunyai hubungan baik dengan perisikan Rusia dan mendapat perlindungan kerajaan Rusia, satu sebab yang menyebabkan Moskow dilihat tidak mahu Bout dihantar ke AS untuk diadili.

Apa yang telah berlaku sejak dia ditahan menunjukkan kepentingan politik tiga negara: Thailand, AS dan Rusia. Thailand dilihat mahu menjaga hubungan dengan kedua-dua Washington dan Moskow dan tidak mahu dilihat tunduk kepada AS atau mengabaikan kepentingan Rusia.

AS telah menghantar jet peribadi ke Bangkok, disertai 50 pengawal bersenjata untuk membawa Bout ke negara itu untuk diadili.

Apa yang diketahui Bout hasil penglibatannya dalam perdagangan senjata dengan pelbagai jenis kumpulan di seluruh dunia, mungkin rahsia terbesar dimilikinya, dan merupakan satu kepentingan utama yang menjadi perhatian AS dan Rusia.

Kedua-dua kuasa besar mungkin lebih berminat memelihara rahsia itu berbanding menghukum “saudagar maut” ini atau bekerjasama dalam mengekang perdagangan senjata seperti dilakukan Bout. - 31 Ogos, 2010

Labels: , , ,

Thursday, September 02, 2010

Ada apa dengan Imam Muda?

Malaysia menyaksikan peningkatan fenomena Islam pop sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kebanjiran pelbagai produk budaya popular Islam berbentuk novel, rancangan televisyen, muzik dan sebagainya.

Pada penghujung 1990-an, kumpulan nasyid Raihan, dan kemudian diikuti kumpulan-kumpulan lain memenuhi medan budaya popular Malaysia, sehingga menjadi satu bahagian besar dalam muzik Melayu.

Setelah fenomena itu mula menyusut, terbaharu muncul pula novel-novel Islam pop, yang paling mendapat perhatian Ayat-Ayat Cinta, novel dari Indonesia yang kemudian difilemkan dan menjadi ikutan ramai.

Ayat-Ayat Cinta dipuji sebagai karya Islami atau dakwah yang bermutu, dan dijadikan seperti satu pentakrif karya Islam pop, iaitu mampu menarik audiens yang ramai dan berjaya “membawa mesej Islam.”

Penonton televisyen tempatan juga diterujakan oleh siri televisyen Nur Kasih, yang juga menjadi ikutan popular, dengan imej-imej Islami siri tersebut menjadi antara tarikan utama terhadap penonton.

Terbaharu, siri realiti tv Imam Muda mencapai satu status baharu dalam populariti produk budaya popular Islam di negara ini, yang menjadi ikutan popular dan dilihat menetapkan standard baharu Islam pop.

Penentuan kemenangan (dan penyingkiran) yang berdasarkan penilaian “mentor” yang merupakan tokoh agama, tanpa campurtangan undian mesej teks penonton memberi gambaran kredibiliti pemilihan dalam Imam Muda.

Liputan media luar negara dilihat sebagai antara bukti kejayaan rancangan ini, dalam menarik ikutan popular dan standard produk budaya popular.

Akhbar Wall Street Journal, BBC dan New York Times antara media Barat yang membuat liputan rancangan Imam Muda.

Laporan media Barat terbabit walau bagaimanapun mengandungi pelbagai salah faham, seperti menyifatkan peserta sebagai “clerics” (CNN) dan “mullahs” (Wall Steet Journal).

Perkembangan Islam pop di Malaysia ini menjelaskan beberapa perkembangan sosio-ekonomi masyarakat Muslim di negara ini, termasuk reaksi dalam menghadapi globalisasi budaya dan perkembangan Islam.

Produk-produk budaya popular yang muncul ini sebahagian daripada komodifikasi unsur-unsur agama, iaitu satu proses yang menjadikan unsur-unsur tersebut boleh dijadikan objek ekonomi yang boleh diniagakan.

Perkembangan ini menjanjikan masa depan yang berpotensi untuk pasaran yang menguntungkan kepada peniaga-peniaga yang terbabit dalam perniagaan melibatkan unsur-unsur atau simbol-simbol agama Islam.

Selari dengan perkembangan ini ialah populariti gerakan politik Islam PAS dan tokoh seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menjadi simbol paling jelas dan popular gerakan pembangkang Pakatan Rakyat, mengatasi populariti pemimpin de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Potret fotografi Nik Abdul Aziz baru-baru ini terjual dalam satu lelongan sehingga mengumpulkan RM10,000, menunjukkan pemimpin ini menjadi objek komodifikasi utama dalam politik Malaysia.

Selain potret tersebut, peniaga-peniaga di ceramah-ceramah telah lama mendapat keuntungan dengan menjual poster, baju t, pelekat dan pelbagai produk lain yang mendapat nilai ekonominya melalui imej Nik Abdul Aziz.

Nilai ekonomi ini pula bukan dihasilkan semata-mata oleh imej Nik Abdul Aziz sebagai seorang politikus, tetapi didasarkan pada ketokohan agama pemimpin ini.

Pemilikan produk-produk berimej Nik Abdul Aziz itu seolah-olah satu usaha pembeli terbabit untuk mendapatkan unsur keagamaan itu, selain satu penegasan identiti politik.

Ini menunjukkan kaitan perkembangan Islam pop ini turut mempunyai sisi politik. Dari sudut profil pembeli, mereka yang menyukai novel Ayat-Ayat Cinta, rancangan Imam Muda, dan nasyid, mempunyai kebarangkalian yang besar untuk juga menyokong PAS – atau menganggotai kumpulan Islam lain – serta menjadi peminat Nik Abdul Aziz.

Populariti Nik Abdul Aziz ini merapatkan beliau dengan dunia budaya popular. Dalam satu kempen yang didasari kepentingan perniagaan, Nik Abdul Aziz menghadiri sebuah restoran yang antara seorang pemiliknya ialah Amy, bekas penyanyi kumpulan rock popular Search.

Pertemuan dua tokoh itu menjadi satu saat yang mentakrifkan dalam politik dan budaya popular Malaysia, dengan kedua-duanya mendapat manfaat daripada simbol yang dipancarkan melalui pertemuan itu.

Nama Nik Abdul Aziz juga muncul di buku-buku untuk melariskan jualan, dengan dikemukakan melalui variasi “kata pengantar” seperti “pandang sisi.”

Bagi penyanyi rock dan restoran – serta penerbit buku – tersebut, impak yang dibawa Nik Abdul Aziz sangat positif, dan menjelaskan kedudukan tokoh agama itu dalam budaya popular di negara ini.

Hal ini mendorong tanggapan bahawa berleluasanya Islam pop – seperti rancangan Imam Muda – bukan semata-mata melibatkan budaya popular tetapi juga satu bentuk Islamisasi, atau sekurang-kurangnya mampu membawa ke arah itu.

Isu Islamisasi di negara ini sudah muncul lama dalam wacana nasional, sekurang-kurangnya sejak tahun-tahun 1980 yang menyaksikan kegiatan aktif kumpulan-kumpulan Islam dengan parti politik pemerintah.

Tetapi berleluasanya imej-imej Islam, walaupun dalam bentuk yang popular dengan pengenalan mudah, menunjukkan satu usaha umat Muslim mencari alternatif sebagai konsumer budaya popular.

Dalam penggunaan produk harian lain, pengguna Muslim giat mencari produk-produk keluaran Muslim untuk kegunaan seharian mereka, dan hal yang sama berlaku dalam budaya popular.

Dari perspektif pengguna, Islam pop memberi pilihan daripada lambakan tidak berkesudahan produk budaya popular yang membawa nilai-nilai yang tidak selari dan bertentangan dengan pengguna Muslim.

Produk budaya popular Islam termasuk Imam Muda dan rancangan drama televisyen menyertai pasaran yang bergerak atas perkiraan ekonomi, menjadikannya satu saingan kepada produk-produk lain.

Dalam industri budaya yang berasaskan kapitalisme, populariti menjadi satu penentu kuasa. Populariti produk-produk Islam pop ini mampu menjadi sesuatu yang membentuk lanskap industri budaya tempatan, walaupun dalam bentuk yang superfisial.

Unsur-unsur wacana yang lebih mendalam juga berpotensi untuk muncul dalam Islam pop, akibat penegasan identiti yang merupakan reaksi kepada arus globalisasi budaya hari ini, walaupun sukar untuk melihat hal ini turut menjadi popular.

Di negara-negara Eropah, sebahagian belia Muslim menjadikan Islam pop salah satu medan ekspresi budaya dan politik yang dilihat tidak bertentangan dengan agama Islam, di tengah-tengah budaya popular yang tidak mesra dengan Islam.

Walau bagaimanapun, Islam pop tidak sewajarnya dilihat sebagai jawapan kepada persoalan tentang penghayatan Islam atau wacana yang sebenar.

Seperti juga bidang lain seperti alam sekitar, ekonomi dan politik, elemen pop berpotensi menjadikan sesuatu subjek itu popular, tetapi sering terhenti pada tahap itu sahaja, seperti yang dilihat dalam pop environmentalism.

Disebabkan populariti menjadi penggerak budaya popular, elemen yang lebih mendalam dan kritikal sukar untuk diterima industri budaya yang lebih selesa dengan apa yang paling mudah diterima ramai atau lowest common denominator, menyedari wacana yang sukar akan meminggirkan pengguna.

Usaha mengautkan keuntungan daripada Islam pop ini juga berupaya untuk menimbulkan salah faham terhadap beberapa hal dalam Islam, hasil terlalu memudahkan sesuatu isu, akibat penghasilan produk yang tidak bermutu.

Kewujudan produk Islam pop seperti Ayat-Ayat Cinta dan Imam Muda juga berlaku menurut formula biasa budaya popular.

Sukar untuk dibayangkan kemunculan rancangan realiti seperti Imam Muda dan Akademi al-Quran muncul tanpa didahului rancangan seperti American Idol dan Akademi Fantasia atau dalam industri budaya yang tidak didominasi kapitalisme. - 22 Ogos, 2010

Artikel ini, yang tajuk asalnya Islam Pop: Islamisasi atau Komodifikasi? ialah sedutan esei bertajuk Nik Aziz in da House: Religion and Commodification in Malaysian Politics and Popular Culture, dijangka diterbitkan penghujung tahun ini.

Labels: , , , , ,