Politik Pop

Thursday, October 28, 2010

Yuan, dolar dan perang mata wang global

1. Isu nilai rendah yuan dan usaha beberapa negara merendahkan nilai mata wang masing-masing menjadi perhatian pada masa ini, menjelang pilihan raya separuh penggal di Amerika Syarikat dan ketika satu pertemuan negara-negara G 20.

Ramai pihak mula menyuarakan pandangan dan amaran tentang "perang mata wang" yang sedang tercetus, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi AS, negara pemilik mata wang global dunia ketika ini, isu yuan menjadi isu besar, ketika ekonomi berdepan cabaran dan melibatkan sekali soal status sebagai kuasa dominan global.

Hal ini mendorong isu mata wang China kembali hangat diperkatakan, setelah bertahun ditangguhkan sebarang tindakan oleh Kongres AS.

Pilihan raya separuh penggal menyumbang kepada perhatian itu, yang mencetuskan sentimen nasionalisme sedangkan pada masa sama peningkatan nilai yuan dilihat tidak akan memberi kesan besar kepada ekonomi AS. 

Seorang penulis di majalah Foreign Policy menjelaskan kompleksiti isu ini pada masa pusat kuasa dunia semakin berubah: "Some are now calling for a new international agreement to stabilize the current round of depreciation. But, obviously, the world economy has changed quite a bit in the last 25 years. The growing power of emerging economies such as Brazil, China, India, and South Korea make it much harder for a few finance ministers in a hotel room to hammer out a deal."

2. Menjelang pertemuan berprofil tinggi negara G20 di Toronto, Kanada Jun lalu, China membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh Amerika Syarikat dan rakan dagang negara itu, iaitu membenarkan nilai yuan meningkat berbanding dengan mata wang lain.

Amalan China yang mengikat mata wangnya, yuan atau renminbi kepada dolar AS, dan menjadikannya bernilai rendah, dikritik oleh Amerika Syarikat dan negara rakan dagang yang lain kerana menyebabkan nilai barangan negara Asia itu sangat rendah. Keadaan ini seterusnya memberinya kelebihan yang tidak adil dalam perdagangan global.

Tindakan Beijing itu berdasarkan perancangan bank pusat China yang diketuai oleh gabenornya yang berpengaruh, Zhou Xiaochuan. Walaupun tindakan ini dilihat sebagai satu langkah untuk kebaikan ekonomi China, terutamanya dalam mengawal inflasi, tetapi hal ini masih dilihat dengan skeptikal, khususnya Amerika Syarikat.

Sejurus selepas China membuat kenyataan itu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Timothy Geithner, mengambil pendirian berhati-hati dan bersikap tunggu dan lihat. Pengumuman itu dianggap Amerika Syarikat sebagai helah China untuk mendapat berita positif dalam pertemuan G20.

Tahun lalu, China menjadikan G20 sebagai medan untuk menunjukkan pengaruhnya dalam sistem kewangan global apabila menuntut mata wang baharu sebagai rizab global. Kenyataan bank pusat China itu pada bulan lalu, memperlihatkan kemungkinan itu, juga sebagai usaha Beijing untuk mengelak isu Yuan menjadi perhatian dalam mesyuarat G20.

Walau bagaimanapun, tindakan Beijing itu juga menunjukkan kesediaan China untuk menjadikan yuan sebagai mata wang global yang nilainya tertakluk pada sistem yang sedia ada. Tindakan itu menjadi langkah awal bagi memperdagangkan yuan dalam pasaran dunia dan kemudian menjadikannya mata wang rizab dalam perdagangan global.

China mahu yuan menjadi mata wang global seperti dolar dan yen yang diterima dalam urus niaga dan rizab. Namun demikian, dasar yang mengawal yuan dengan ketat selama ini tidak membenarkan hal itu terjadi.

China perlu menjadikan yuan sekurang-kurangnya mata wang pilihan negara yang berdagang dengannya dan membenarkan yuan didagangkan dengan bebas.

Amerika Syarikat, negara rakan dagang terbesar China, berkemungkinan tidak menggunakan yuan disebabkan agenda politik besarnya yang melibatkan dolar, tetapi banyak negara lebih kecil yang lain bersedia menggunakannya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, China sejak tahun 2008 telah mencapai enam persetujuan pertukaran mata wang, iaitu dengan Argentina, Belarus, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan dan Malaysia yang bernilai 650 bilion yuan atau AS$95 bilion.

Selain menjadikan yuan sebagai mata wang perdagangan dengan negara terbabit yang sekali gus mengantarabangsakan yuan, tindakan itu juga menunjukkan keyakinan Beijing dalam menjadikan mata wangnya sebagai mata wang perdagangan global.

Pada masa yang sama, China juga mencapai perjanjian dengan Brazil – sebuah lagi negara pesat membangun digelar BRIC (Brazil, Rusia, India China) oleh firma kewangan gergasi Goldman Sachs – untuk menjelaskan import mereka dengan mata wang masing-masing. China membayar dengan yuan dan Brazil dengan real, bagi mengelakkan penggunaan dolar AS.

Hal ini menunjukkan potensi yuan sebagai mata wang perdagangan global, sekurang-kurangnya dengan negara rakan dagang yang tidak sehaluan dengan Amerika Syarikat.

Banyak negara menyokong peranan mata wang lain, terutama euro sebagai mata wang perdagangan dan rizab, sebagai alternatif dolar AS. Yuan tidak dilihat menjadi pilihan utama bagi negara-negara terbabit termasuk Venezuela, Iran dan Rusia.

Manakala Brazil dan beberapa buah negara lain telah menjadi rakan dagang terbesar China mengatasi Amerika Syarikat. Kepentingan China dalam perdagangan ini berpotensi menjadikan yuan mata wang perdagangan global semakin menarik, walaupun sejauh mana hal ini dapat dilaksanakan, belum mampu disimpulkan lagi.

Selain mata wang perdagangan, Beijing juga berusaha ke arah menjadikan yuan mata wang rizab bagi bank pusat seluruh dunia. Agenda ini jauh lebih sukar berbanding dengan usaha menjadikan yuan sebagai mata wang transaksi perdagangan.

Walaupun kebangkitan China hari ini kelihatan berlaku dengan pantas, diiringi dengan pelbagai potensi, banyak faktor lain perlu diambil kira, termasuklah penerusan kebangkitan itu sendiri. Peranan yuan bergantung pada kedua-dua kekuatan, iaitu politik dan ekonomi.

Jepun, sebagai contoh, menjadikan yen mata wang pilihan pada peringkat global, terutamanya di Asia, ketika zaman kebangkitannya pada dekad 1980-an. Tetapi kemudiannya, peranan yen merosot pada awal dekad 1990-an. Walaupun Jepun menjadi salah sebuah negara gergasi ekonomi dalam G8, keupayaan mata wangnya sebagai mata wang pilihan global, tidak mencapai jangkaan sebagai pencabar dolar AS dan hegemoni politik kuasa besar dunia itu.

Satu tindakan China dalam menegaskan kedudukannya dalam sistem kewangan global hari ini adalah dengan mendesak Tabung Kewangan Dunia (IMF) direformasi, serta menuntut yuan menjadi salah satu mata wang rujukan bagi hak pengeluaran khas atau special drawing rights (SDR). Gabenor bank pusat China, Xiaochuan, pada tahun lalu, mencadangkan mata wang rizab global berdasarkan SDR bagi menggantikan dolar AS, iaitu satu cadangan berdasarkan sikap politik Beijing.

SDR, mata wang artifisial yang memberikan gambaran tentang peranan mata wang utama dunia dicipta oleh IMF dan ditakrifkan berdasarkan dolar, euro, yen dan paun sterling, dengan masing-masing bernilai 41 peratus, 34 peratus, 11 peratus dan 11 peratus. Langkah pertama China untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada SDR dalam bentuk yang dikehendakinya bermula dengan menjadikan yuan sebagai mata wang yang diambil kira dalam SDR.

Penilaian SDR dilakukan setiap lima tahun sekali, dan penilaian terbaharu akan dilakukan pada penghujung tahun ini. China mahu yuan dimasukkan dalam SDR, dan hal ini mendapat dokongan tokoh ekonomi, Robert Mundell.

Pada tahun lalu, Mundell menjelaskan rasional yuan dimasukkan dalam SDR dengan menyatakan bahawa yuan kini menjadi mata wang perdagangan ketiga terpenting. Mei lalu, Mundell mengulangi sokongannya kepada yuan untuk dimasukkan sebagai salah satu mata wang SDR.

Terbaharu, pada akhir Jun lalu, Bank Pembangunan Asia dalam laporannya menyebut bahawa pengantarabangsaan yuan mungkin berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan selama ini, dan berpotensi menjadi alternatif kepada dolar AS.

Perbandingan yuan dengan dolar sering dibuat memandangkan perhatian yang lebih diberikan kepada kedua-dua mata wang ini. Kuasa yang terbabit, serta kemerosotan dolar AS sebagai mata wang pilihan berlaku ketika potensi yuan meningkat.

Kemerosotan dolar AS bukan sahaja diulas oleh penentang politik dan ekonomi Amerika Syarikat, tetapi juga pernah disentuh oleh Robert Zoellick, dalam ucapannya di Sekolah Kajian Antarabangsa Lanjutan Johns Hopkins di Washington DC pada September 2009. Zoellick merupakan presiden Bank Dunia yang pernah berkhidmat dengan Goldman Sachs.

Walaupun Bank Pembangunan Asia tidak memberikan gambaran semasa bahawa hal itu berlaku, laporan itu memberikan gambaran arah pergerakan yuan kini dan menambah keyakinan kepada pemerintah China.

Kajian Bank Pembangunan Asia dengan kerjasama Universiti Columbia itu melibatkan 11 orang tokoh ekonomi dunia, termasuk Barry Eichengreen dan Joseph Stiglitz. Kedua-dua tokoh ini bersikap kritikal terhadap IMF, walaupun Eichengreen pernah menjadi penasihat kepada badan itu.

Dolar AS sebagai mata wang pilihan sememangnya dilihat berada pada zaman kemerosotannya, tetapi kemerosotan ini cenderung diperbesar-besarkan oleh banyak pihak, seperti juga kebangkitan yuan.

Seperti yang dijelaskan oleh pakar mata wang, Benjamin Cohen, dalam tulisannya dalam buku The Future of the Dollar, beliau memberikan penjelasan mudah, iaitu kemerosotan satu mata wang tidak secara automatik menjamin kenaikan satu mata wang lain. Cohen menjangkakan banyak mata wang yang akan bersaing dan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Secara kesimpulannya, yuan mempunyai potensi untuk berperanan lebih besar pada masa akan datang sekiranya trajektori semasa meliputi iltizam politik dan ekonomi dikekalkan. Tawar-menawar politik dengan Amerika Syarikat dan kedudukan kuasa besar itu juga akan menjadi faktor penting dalam kebangkitan pengaruh China dan yuan dalam sistem ekonomi dunia. Berdasarkan banyak faktor geopolitik dan ekonomi, dan peranan Yuan yang lebih besar ini, masih tidak boleh disimpulkan lagi bahawa mata wang itu bakal menggantikan peranan dolar AS. - Julai 2010, dipetik dari Dewan Masyarakat dalam talian Ogos 2010.

Artikel-artikel berkaitan


1. Debat dominasi dolar

2. Politik mata wang China-AS 

3. Pengaruh China dalam sistem kewangan global

Labels: , , ,

Wednesday, October 27, 2010

Sejauh mana pengaruh Iran di Iraq dan Lubnan?


Dua peristiwa di Asia Barat sejak lebih seminggu lalu memberikan tumpuan kepada Iran dan presidennya yang menarik pelbagai jenis perhatian ketika ini.

Pada 13 Oktober lalu, Mahmoud Ahmadinejad melawat Lubnan, mencetuskan pelbagai reaksi dan tafsiran mengenai lawatan berprofil tinggi itu.

Lima hari selepas itu, Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki melawat Tehran, bertemu Mahmoud di Tehran dan Muqtada al-Sadr di Qom, dua individu yang mewakili kumpulan yang boleh membantu perdana menteri Iraq itu mengekalkan kuasa.

Kedua-dua peristiwa mendapat liputan dan komentar yang memberi gambaran pengaruh Iran yang berleluasa di kedua-dua Lubnan dan Iraq.

Di Lubnan, perhatian sebahagian besar media Barat ialah terhadap Hizbullah dan apa yang disebut sebagai provokasi pemimpin Iran itu terhadap Israel dan Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, lawatan presiden Iran itu ialah sebagai memenuhi jemputan Presiden Michel Suleiman, menjadikan lawatan itu sebagai lawatan negara.

Sambutan meriah terutama daripada masyarakat Syiah di selatan Lubnan bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan sokongan Tehran kepada penentangan terhadap Israel yang lokasi utamanya ialah selatan Lubnan, yang menjadi medan perang pada musim panas 2006.

Apa yang sedikit luar biasa ialah sambutan lawatan Mahmoud oleh rakyat Lubnan daripada masyarakat bukan Muslim Syiah, termasuk Samir Geagea daripada kelompok Kristian berhaluan kanan.

Apa yang dijelaskan melalui lawatan itu ialah usaha Lubnan membina hubungan yang baik dengan Iran, negara yang menjadikan Lubnan sebagai satu medan perluasan pengaruhnya.

Lawatan itu juga menunjukkan pengaruh Syria yang masih kukuh di Lubnan, yang digambarkan oleh lawatan Mahmoud ke Damsyik bertemu Presiden Bashar al-Assad sejurus sebelum melawat Lubnan.

Pertemuan Mahmoud dengan Bashar antaranya menunjukkan pengiktirafan Tehran terhadap pengaruh Syria di Lubnan, sambil pada masa sama menegaskan pengaruhnya terutama dalam kalangan penduduk selatan Lubnan.

Hal ini menunjukkan satu kompleksiti kerjasama dan persaingan antara Iran dengan Syria yang melibatkan Lubnan dan juga Iraq.

Iran dan Syria bekerjasama di Lubnan, tetapi masih bersaing kerana tidak sehaluan dalam semua perkara. Satu yang dikongsi ialah penentangan terhadap Israel.

Hal yang sama berlaku di Iraq. Kedua-dua Iran dan Syria mahukan Iraq yang lebih bebas daripada pengaruh AS, tetapi berbeza pandangan dalam komposisi kerajaan yang memerintah.

Lawatan perdana menteri Iraq yang masih gagal membentuk kerajaan selepas tujuh bulan pilihan raya parlimen juga memberi satu petunjuk kepada pengaruh Iran di Iraq.

Iran dilihat hampir berjaya menjadi broker kuasa dalam membentuk kerajaan baharu di Iraq yang pro-Tehran, dengan Nuri al-Maliki terus menjadi perdana menteri dan kumpulan al-Sadr berperanan besar.

Nuri juga boleh diterima oleh AS, tetapi peranan besar al-Sadr dilihat dengan kritikal oleh Washington.

Nuri juga telah berjaya mendapatkan kerjasama dari Damsyik, yang kini dilihat bersikap agak positif terhadap perdana menteri Iraq itu walaupun masih tidak menarik sokongan kepada Iyad Alawi.

Syria mempunyai pengaruh dalam kalangan Baath dan kumpulan-kumpulan Sunni di Iraq, yang berdiri di belakang Iyad.

Syria kelihatan bersikap fleksibel selepas dilobi oleh Tehran, dan setelah melihat kesukaran Iyad menubuhkan kerajaan kerana masih tidak berupaya mendapat 163 kerusi yang diperlukan.

Damsyik walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan kerajaan yang dikuasai kumpulan pro-Iran dan mahukan kerajaan yang lebih mewakili semua kumpulan, disebabkan visi masa depan Iraq berbeza dipegang oleh Syria berbanding Iran.

Setakat ini, pengaruh Iran dapat dilihat di Iraq, walaupun agak diperbesarkan. Pengaruh ini bakal diuji setelah kerajaan berjaya ditubuhkan, dan sejauh mana kerajaan baharu itu dapat memenuhi agenda Tehran. – 19 Oktober, 2010

Labels: , ,

Gay dalam politik dan budaya popular

Isu gay menjadi panas dalam politik negara kita baru-baru ini, apabila artis berorientasi gay, Adam Lambert muncul mengadakan konsert.

Parti konservatif PAS menunjukkan tentangan terhadap kehadiran penyanyi ini, tetapi agak kurang mendapat sambutan dalam Pakatan Rakyat yang liberal.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu gay dan politik dalam budaya popular semakin menjadi isu besar, dengan munculnya pemimpin-pemimpin yang terbuka gay.

Di negara Amerika Syarikat yang wujud pembahagian tajam antara liberal dengan konservatif, isu homoseksualiti menjadi isu yang memanaskan wacana politik melibatkan nilai.

Bandar San Francisco di California menjadi pusat pertembuangan nilai ini, dengan penyokong kedua-dua kumpulan pro dan antigay bergiat memperjuangkan agenda didasari nilai masing-masing.

Dalam satu filem dokumentari tentang ahli politik gay, Outrage, dikemukakan bagaimana orientasi seksual itu mencetuskan pelbagai masalah kompleks.

Sekitar masa yang sama, filem Milk muncul sebagai satu manifesto dan tanda kemunculan yang lebih berani golongan gay dalam politik, mendapat pujian ramai dan memenangi pelbagai anugerah.

Di Iceland, Jóhanna Sigurðardóttir menjadi pemimpin negara pertama yang terbuka sebagai gay, menyertai menteri Australia kelahiran Malaysia, Penny Wong yang juga terbuka sebagai seorang gay.

Malaysia juga hampir mendapat pemimpin-pemimpin gay yang ramai, tetapi tidak terjadi kerana projek 16 September tidak berjaya.

Filem Milk menjadi satu tanda fasa baharu yang dimasuki Hollywood sebagai pembawa nilai-nilai liberal, menunjukkan juga agenda pusat kuasa budaya itu.

Malaysia, sebuah negara konservatif kini semakin terdedah kepada nilai-nilai liberal dengan aktivis-aktivis liberal semakin berani dan terbuka membawa isu seperti ini ke depan dan tengah masyarakat.

Perkembangan ketika ini menunjukkan medan persaingan nilai ini semakin meluas dan sofistikated, dengan pelbagai bahasa berkod yang kurang difahami oleh golongan konservatif.

Dalam persaingan yang penuh dengan bahasa berkod, simbol dan keupayaan berwacana di media dan ruang awam, mereka yang mempunyai kelebihan yang sofistikated bakal mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar.

Pembetulan: Iceland di perenggan ke lapan sebelum ini akibat kesilapan telah ditulis Finland. Pembetulan telah dibuat pada 28 Oktober, 2010. 

Labels: , , , ,

Sunday, October 24, 2010

Perempuan Gila dan cerita-cerita lain

Menurut kamus Merriam-Webster, gaga bermaksud "gila atau bersifat bodoh (foolish)." Artis yang bernama Lady Gaga, kalau diterjemahkan terus ke bahasa Melayu, ialah Perempuan Gila.

Selain pelbagai simbol dan implikasi kemunculan Lady Gaga dalam dunia budaya popular pop corn Amerika Syarikat, kemunculan nama-nama seperti ini menunjukkan keserasian dan penerimaan bahasa mereka sendiri untuk menyatakan apa sahaja, termasuk memberikan nama-nama aneh seperti Lady Gaga.

Ada kumpulan menamakan diri mereka dengan nama yang agak tidak cool seperti Hootie and the Blowfish - tetapi imej anti-cool Hootie ialah satu sisi cool kumpulan itu dan nama agak aneh/cool seperti Death Cab for Cutie.  

Dalam dunia metal, nama-nama berkait dengan kesyaitanan dan seumpamanya ialah sesuatu yang sangat biasa,

Tetapi nama seperti Hootie dan nama-nama bosan dan jahat itu bukanlah sesuatu yang paling teruk, kerana ada artis lain yang namanya Michael Bolton dan Modern Talking tetapi tidak menerima kritikan di akhbar-akhbar seperti artis/budaya metal.

Hal ini masih tidak dapat diperhatikan dalam dunia budaya popular Malaysia. Sejumlah besar nama aneh/kreatif masih dalam bahasa Inggeris. Nama seperti Perempuan Gila misalnya pasti akan mengundang kritikan pelbagai lapisan masyarakat.

Sekiranya ini terjadi, Malaysia akan menyedari bahawa artis lelaki berambut panjang dan "gejala metal" bukanlah masalah akarnya, seperti yang diterima umum sebelum ini. Ini kerana unsur-unsur negatif bukan semestinya datang dalam bentuk mengerikan, dengan rambut panjang, pakaian hitam dan meminum darah kambing (?) ketika persembahan.

Produk budapa popular pop corn, berkualiti rendah yang dimodalkan pengusaha Cina yang tidak memahami budaya Melayu dan hanya mahu terlibat untuk kepentingan perniagaan misalnya, tidak kurang malah mungkin lebih mendatangkan bencana kepada budaya bangsa.

Ketiadaan nama seperti Perempuan Gila dan seumpamanya walau bagaimanapun ialah satu tanda positif, kerana kesediaan menggunakan nama seperti Perempuan Gila di negara kita akan menunjukkan dengan sangat jelas kemerosotan masyarakat negara ini, yang ramai anggotanya, terutama golongan muda, bukan sahaja terlibat dengan gejala sosial seperti zina dan pembuangan bayi, tetapi juga menonton rancangan Kau dan Aku di Astro. 

Labels: , , ,

Monday, October 11, 2010

Nurul Izzah dalam persaingan kuasa PKR

"Fate rarely calls upon us at a moment of our choosing." - Optimus Prime

1. Ketika ini, persaingan jawatan dan kuasa dalam PKR lebih tertumpu pada pesaing-pesaing jawatan timbalan presiden, pertandingan berprofil tinggi yang sudah menarik perhatian sejak awal lagi.

Pertandingan jawatan ketua pemuda parti itu juga mendapat perhatian, walaupun masih tidak sehangat jawatan kedua tertinggi parti.

Secara umumnya, selain pertembungan aliran liberal dengan konservatif dalam parti, persaingan juga melibatkan kumpulan kecil tertentu, dan individu-individu yang dilihat bakal mewarisi kepimpinan parti.

Selain Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim, Mutafa Kamil Ayub dan Tan Sri Khalid Ibrahim, Nurul Izzah Anwar merupakan individu yang banyak mendapat perhatian, kerana pelbagai sebab.

Selain menghadapi takdir dinobatkan sebagai "puteri reformasi" selepas reformasi tahun 1998, Nurul Izzah dilihat tidak dapat mengelakkan daripada terus mengharungi perjuangan politik, walaupun tidak semestinya sehaluan dengan apa yang disusuri bapanya.

Persaingan kuasa dalam PKR ketika ini, selain bakal menetapkan haluan fundamental parti yang bercita-cita menjadi parti liberal sebenar Malaysia itu, juga akan memberi kesan kepada perjalanan politik Nurul Izzah pada masa akan datang.

Siapa yang memenangi jawatan-jawatan tertinggi dalam parti akan secara langsung mendatangkan kesan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Kerana itu, tidak dapat dielakkan lagi beliau mengambil bahagian yang aktif dalam pemilihan kali ini, sehingga mengambil kira kemungkinan bertanding jawatan naib presiden.

Berdasarkan suasana panas persaingan kali ini, usaha Nurul Izzah untuk mencapai kedudukan tinggi dalam parti dapat difahami, tanpa mengira sama ada keputusan beliau ialah keputusan sendiri atau sebaliknya. Selepas pemilihan, kuasa yang menang dijangka menguatkan lagi pengaruh, dan memberi kesan langsung kepada beliau.

Kesan itu berkemungkinan sama ada positif atau negatif, tetapi perkembangan semasa menunjukkan kemungkinan kesan negatif itu agak lebih boleh dijangkakan.

Masa ini dapat dinilai sebagai masa yang kritikal untuk Nurul Izzah membuat keputusan bertanding; menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 di bawah kepimpinan baharu dan kemungkinan-kemungkinan melibatkan bapanya yang berdepan kes mahkamah.

Nurul Izzah juga berdepan cabaran besar melibatkan persepsi terhadap partinya, kerana hubungan kekeluargaannya dan harapan yang diletakkan oleh sesetengah pihak pada bahunya.

Sebagai ahli politik, Nurul Izzah mempunyai credential liberal yang agak boleh dipercayai (seperti juga Zaid, walaupun agak lama dalam Umno), walaupun masih dipengaruhi isu-isu melibatkan keluarganya.

Beliau berkelulusan sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, dan berdasarkan apa yang telah dilalui, jelas beliau sememangnya disiapkan untuk memikul tugas yang lebih besar. 

(Dalam kalangan pemimpin berprofil tinggi dunia yang pro-Barat, bapa beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa persamaan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan. Kedua-dua pemimpin menjadi popular ekoran isu-isu yang hampir sama [dan terlibat dalam isu Israel pada masa yang hampir sama] dan mempunyai anak yang belajar di Universiti Johns Hopkins [anak lelaki Recep, Bilal Erdogan], yang dilihat bakal memainkan peranan penting dalam aliran politik yang dicetuskan oleh kedua-dua bapa terbabit. Pemikir Anwar juga ada menyuarakan pandangan agar Malaysia mencontohi Turki dalam beberapa perkara melibatkan politik.)

Nurul Izzah mempunyai wajah yang lebih mudah diterima rakyat pelbagai lapisan, dan tidak mempunyai bagasi sejarah seperti Azmin dan Zaid dan lain-lain.

Kekurangan ketara beliau ketika ini ialah pengalaman, yang jauh di belakang berbanding Azmin dan Zaid. Tetapi kekurangan ini mungkin boleh mendatangkan kesan persepsi bahawa beliau tidak berambisi besar, dan lebih selamat.

Apa yang paling jelas, kejayaan beliau selama ini bergerak dengan berhati-hati menunjukkan matlamat yang lebih jauh diletakkan, dalam kepimpinan parti dan juga di peringkat nasional.

Semua ini, akhirnya, bakal mendapat kesan yang besar daripada pemegang tampuk kekuasaan parti, selepas pemilihan tidak lama lagi.

2. Sejauh manakah PKR bersedia untuk menjadi sebuah parti liberal? Soal ini masih sukar dijawab, ekoran pragmatisme berlebihan parti itu yang dipandu sepenuhnya oleh seorang pemimpin, Anwar Ibrahim.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-12, kemenangan beberapa orang wakil berhaluan kiri (yang sebenarnya agak sederhana dan pragmatik) memberi persepsi bahawa PKR bakal menerima input daripada pelbagai kumpulan.

Walau bagaimanapun, lama selepas penggabungan dengan PRM, hari ini dapat disaksikan PKR masih dikuasai satu kumpulan kecil, dengan Anwar sebagai ketua.

Kekalahan beberapa pemimpin berhaluan kiri di bahagian dalam pemilihan lalu memberi gambaran peminggiran yang sedang berlaku melibatkan mereka.

Pada masa sama, pemimpin liberal seperti Zaid turut cuba dipinggirkan oleh satu jumlah besar ahli dan pemimpin parti.

Dalam retorik politiknya, PKR masih cuba melayan tuntutan-tuntutan konservatif, dan bercakap dengan pelbagai bahasa kepada kelompok-kelompok berbeza.

Ini bagaimanapun tidak bermakna parti ini bergerak ke kanan. PKR kini menjadi lebih pragmatik dan tidak mahu ditafrifkan oleh mana-mana ideologi selain pasaran bebas dari sudut ekonomi dan pragmatisme dalam politik.

Labels: ,

Friday, October 08, 2010

Penyatuan Yaman dan ancaman pemisahan selatan

Yaman, satu-satunya negara republik dalam kalangan negara-negara jazirah Arab menyambut ulangtahun penyatuan ke-20 antara Yaman Utara dengan Selatan pada Mei lalu, ketika penyatuan itu melalui satu ujian yang getir. 

Tahun 2010 ini menyaksikan peningkatan ketegangan antara kerajaan pusat di Sanaa pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak-pemberontak di selatan yang bergabung secara longgar dalam Pergerakan Selatan.

Kebelakangan ini, pertempuran di selatan meningkat, ditambahkan lagi dengan kompleksiti “perang menentang terorisme” terhadap al-Qaeda yang menyaksikan peranan besar Amerika Syarikat.

Penghujung September lalu, menteri luar Yaman mengakui AS terlibat dalam serangan terhadap al-Qaeda di Yaman, lebih setahun selepas berita itu tersebar tanpa dinafikan atau dibenarkan oleh pemerintah Yaman.

Menteri terbabit, Abu Bakr al-Kurbi dilapor memberitahu akhbar milik Saudi tentang hal itu, dan memberi gambaran kerajaan Yaman tidak bersetuju dengan serangan oleh AS itu.

Kerajaan Yaman di Sanaa mengaitkan Pergerakan Selatan dengan al-Qaeda, dilihat sebagai usaha untuk meletakkan semua penentang dalam kategori teroris untuk tujuan sokongan antarabangsa dan AS.

Perkembangan di selatan yang berlaku sejak sekurang-kurangnya 2008 itu menunjukkan kerapuhan penyatuan kedua-dua Yaman dan menunjukkan satu kesediaan baharu kumpulan-kumpulan selatan untuk bertindak lebih daripada sekadar memprotes.

Di media antarabangsa pada masa ini, berita berhubung pemberontakan selatan dan al-Qaeda saling berganti dan menjadi berita utama dari Yaman, selepas pemberontakan Houthi mula perlahan.

Yaman Selatan wujud sebagai negara merdeka selepas Inggeris berundur pada 1967, sehingga keruntuhan Kesatuan Soviet yang mendukung negara Marxis itu membawa kepada penyatuan dengan Yaman Utara.

Yaman yang baharu dipimpin oleh Ali Abdullah yang telah memerintah Yaman Utara sejak 1978.

Penyatuan itu walau bagaimanapun dilihat tidak membawa sebarang manfaat besar kepada penduduk selatan yang terus terpinggir dari segi pembangunan ekonomi dan penglibatan dalam pentadbiran dan politik nasional.

Parti Sosialis Yaman (YSP) yang berpengaruh di selatan kini mendapat modal politik yang kukuh untuk membina sokongan dalam mendepani kerajaan Ali Abdullah.

Walaupun YSP bukan satu-satunya suara yang mewakili tuntutan rakyat selatan, parti berhaluan kiri itu merupakan kumpulan yang dominan dalam politik selatan.

Pergerakan Selatan terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang pelbagai dengan pelbagai tuntutan dan bukan semuanya mahukan pemisahan.

Tetapi isu sosio-ekonomi meliputi ketidakseimbangan kawasan utara dengan selatan dikongsi semua pihak.

Keresahan yang dirasai pihak selatan menepati naratif Marxis melibatkan pertembungan kelas, memudahkan isu ini dimainkan oleh kumpulan-kumpulan kiri di selatan.

Kira-kira 80 peratus sumber minyak Yaman, yang merupakan lebih 70 peratus sumber pendapatan negara itu diperolehi dari kawasan selatan.

Pendapatan minyak juga merupakan 80 peratus daripada belanjawan nasional Yaman.

Sumber minyak yang semakin merosot ketika ini menjadi faktor besar yang mendorong tuntutan kemerdekaan selatan, disebabkan wilayah itu tidak menyaksikan manfaat daripada pendapatan sumber itu.

Ini diburukkan lagi dengan peningkatan populasi dan peluang pekerjaan yang semakin sukar diperolehi.

Selain sumber minyak, wilayah selatan juga menempatkan pelabuhan Aden dan pantai di Laut Arab bersebelahan Lautan Hindi, menjadikannya lokasi penting dalam ekonomi Yaman.

Selain iltizam politik kerajaan pusat pimpinan Ali Abdullah untuk tidak membenarkan perpecahan Yaman, kuasa-kuasa serantau seperti negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) juga melihat perpecahan Yaman sebagai bertentangan dengan kepentingan mereka melibatkan kestabilan serantau.

Suasana sosio-ekonomi  di Yaman pada masa ini sudah sedia berpotensi untuk mencetuskan masalah serantau, antaranya ekoran pergerakan warganya ke negara-negara sekitar untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Perkembangan politik Yaman melibatkan tuntutan Pergerakan Selatan mencerminkan masalah pentadbiran yang tidak maju di negara itu, akibat dikuasai seorang pemimpin dan amalan yang membenarkan ketidakseimbangan pembangunan berlaku.

Yaman kini memerlukan reformasi menyeluruh melibatkan politik dan ekonomi, bagi memastikan negara itu dapat bergerak seperti negara normal yang bukan dikuasai seorang pemimpin dan puaknya.

Malangnya, kuasa-kuasa asing hanya mengambil kira kepentingan geopolitik masing-masing, yang antara kesan utama yang dapat dilihat ialah pengukuhan kuasa Ali Abdullah, yang terus mendapat bantuan kewangan dan ketenteraan tetapi tidak dapat dipastikan kesediaannya untuk menyelesaikan masalah di selatan dan menangani aktiviti al-Qaeda. – Sept, Okt 2010

Labels: ,