Politik Pop

Tuesday, November 30, 2010

Senarai pemikir dan hala tuju global

Majalah berpengaruh Foreign Policy menerbitkan untuk kali kedua senarai 100 pemikir utama global tahun ini.

Penyenaraian beberapa tokoh dalam dunia kewangan dan ekonomi seperti Zhou Xiaochuan, Robert Zoellick, Dominique Strauss-Kahn, dan Martin Wolf menjelaskan perkembangan sejak setahun lalu yang terfokus pada isu-isu mata wang dan perdagangan.

Pada masa sama, isu dasar luar juga menjadi perhatian dengan kedudukan tinggi Ahmet Davutoglu, menteri luar Turki yang dapat dikaitkan dengan program Turki di Gaza yang berprofil tinggi.

Pada masa sama, tokoh dasar luar Henry Kissinger turut tersenarai. Shivshanker Menon, penasihat keselamatan nasional India disenarai berdasarkan pencapaian membawa India ke satu kem (Amerika Syarikat), meninggalkan ketidaktentuan yang sering dikritik sebelum ini.

Penyenaraian tokoh-tokoh ini menjelaskan perkembangan dramatik dasar luar negara terbabit, yang memberi kesan kepada rantaunya dan politik global.

Satu yang menarik ialah penyenaraian Anne-Marie Slaughter dari Jabatan Negara Amerika Syarikat, salah seorang pemikir yang menyumbang kepada bentuk dasar luar Presiden Barack Obama.

Juga tersenarai sebagai pemikir melibatkan ide demokrasi dan hak asasi dalam dunia Islam ialah Tariq Ramadan, Abdul Karim Soroush, Mohamed el-Baradei dan pengkritik kontroversi Ayaan Hirsi Ali.

Berkaitan dengan ide tersebut, dalam dasar luar dan politik antarabangsa, usaha perubahan rejim juga mendapat perhatian dengan kedudukan Aung San Suu Kyi dan Mehdi Karroubi dalam senarai, walaupun jauh berbanding seorang arkitek "revolusi hijau" Iran, dan pemimpin de facto "revolusi kuning" Malaysia pada tahun lalu, yang tidak tersenarai pada tahun ini kerana tahun ini dia berada dalam senarai Tuhan.

Penerbitan senarai ini kelihatan semakin mengambil kira pelbagai bidang yang kurang diberi perhatian sebelum ini, dan memberikan sedikit profil berbentuk pop tokoh-tokoh terbabit, seperti lebih menyukai iPad atau Kindle.

Labels: , , , , ,

Monday, November 29, 2010

Anwar, masa lalu dan masa depan PKR

Kongres Parti Keadilan Rakyat yang baru berakhir menegaskan lagi hubungan parti dengan personaliti Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin berkarisma yang menyebabkan tertubuhnya parti ini sebagai Parti Keadilan Nasional selepas dipecat pada 1998.

Tindakan mengikat parti dengan Anwar ini menjadikan tokoh itu sebagai penentu hayat PKR.

Dari satu sudut, tindakan mengaitkan Tuhan dengan kepimpinan Anwar boleh menguatkan semangat ahli dan penyokong tegar, tetapi pada masa sama juga mendedahkan parti kepada pandangan negatif orang ramai.

Walaupun seorang pemimpin pusat yang juga anak Anwar sendiri, Nurul Izzah Anwar menegaskan prinsip yang perlu diinstitusikan dan bukan personaliti, ini bukan realiti PKR.

Realiti PKR ialah pengkultusan pemimpin agungnya, dan wacana yang semakin kelihatan didasari satu perasaan benar keterlaluan yang boleh membunuh (fatal conceit).

Sejurus selepas 1998, hubungan Anwar dengan parti memberi kelebihan kepada parti. Sehingga beberapa tahun selepas itu, hubungan ini terbukti bermanfaat besar kepada PKN dan PKR.

Tetapi Anwar semakin tidak dikaitkan, disinonimkan atau didefinisikan dengan agenda-agenda perubahan ke arah kebaikan yang disebut-sebut sejak sebelum 1998 lagi.

Hujah menuntut PKR bergerak melepasi personaliti Anwar kepada prinsip dan nilai-nilai sebenarnya bukan hanya untuk meluaskan sokongan, tetapi juga akan menentukan survival PKR.

PKR yang diikat kemas dengan Anwar akan menjadikan Anwar sebagai penentu segalanya. Dan dalam keadaan Anwar dan orang yang rapat dengannya semakin kurang diyakini dan dilemparkan pelbagai kritikan, wajar sekali parti tidak terus meletakkan nasibnya pada seorang pemimpin.

Labels: , ,

Wednesday, November 24, 2010

Sejarah sosial rock kapak

Sepanjang sejarah terkini dunia Barat - dan seluruh dunia yang menerima produk-produk budaya tersebut - muzik-muzik popular muncul dalam keadaan sosio-ekonomi dan politik yang menarik.

Muzik dan gerakan punk muncul ketika empayar Inggeris semakin merosot dan keadaan dalam negara yang membenarkan munculnya bentuk sub budaya itu.

Semasa perang di Vietnam, muzik-muzik rock ketika itu menjadi penanda era politik dan protes ketika itu, dan menjadi bunyi yang sering digunakan dalam filem--filem untuk mengambalikan ingatan ramai kepada zaman itu.

Filem The Runaways, lakonan gadis-gadis yang beberapa hari tahun lalu masih kelihatan di bawah umur, membawa penonton kepada satu era awal kemeriahan rock kapak yang turut pernah mendominasi Malaysia pada tahun-tahun 1980-an.

Filem ini, yang merakamkan perjalanan singkat kumpulan The Runaways, kelihatan hampir sama dengan banyak filem tentang budaya popular ini, seperti The Doors, tetapi agak terlalu tidak mendalam dan tidak sampai mendalami banyak isu.

Hubungan Joan Jett dan Cherie Currie merupakan bahagian yang menerima layanan yang paling mendalam, tidak seperti ahli-ahli lain kumpulan dan hubungan mereka dengan pengurus.

Filem ini boleh menjadi satu rujukan sebagai salah sebuah filem yang dapat memaparkan zaman yang menjadi subjeknya dengan realistik.

Mungkin disebabkan hayat pendek kumpulan The Runaways, filem ini tidak memaparkan perkembangan hubungan dan watak dalam filem ini dengan lebih berkesan. Perjalanan dari The Runaways ke Joan Jett and the Blackhearts kelihatan agak pantas.

Walau bagaimanapun, realiti sosial aktiviti wanita dalam industri budaya popular, lebih-lebih lagi sebagai kumpulan rock kelihatan lebih realistik.

Seperti filem Detroit Rock City, filem The Runaways memaparkan sebahagian besarnya cerita remaja, dengan pelbagai konflik kehidupan yang mendorong dan membenarkan mereka mencari identiti protes dalam budaya rock.

Labels: , , , ,

Thursday, November 11, 2010

Life after people turned zombies

The Walking Dead setakat ini menjadi cerita zombie yang paling realistik dari sudut sebab, impak dan reaksi manusia menghadapi fenomena seperti itu.

Siri ini, yang ditayangkan di satu saluran definisi tinggi, menunjukkan dengan lebih jelas wajah-wajah zombie.

Dalam cerita-cerita zombie terbaharu, seperti  Zombieland dan The Crazies, kejadian zombie berpunca daripada virus, satu perspektif baharu dalam kesusasteraan zombie sejak karya popular pertama George Romero.

The Walking Dead walau bagaimanapun, masih memaparkan zombie biasa berbentuk mayat berjalan, tidak seperti zombia yang lebih cerdik dalam The Crazies.

Serangan zombie menjadi satu gambaran keadaan pascaapokalips, satu gambaran terkait eskatologi yang diceritakan dengan subjek dan formula budaya popular.

Senario serangan zombie diperlihatkan mengakibatkan keadaan yang amat dahsyat, meneruskan ramalan dan jangkaan senario sekiranya berlaku serangan zombie.

Senario serangan zombie menjadi satu senario yang menarik untuk dibayangkan, sealiran dengan jangkaan senario selepas serangan nuklear, "kiamat 2012" dan pelbagai lagi yang menarik kepada Hollywood dan komuniti saintis dunia.

Senario ini bukan sahaja menjadi subjek budaya popular, tetapi juga menarik perhatian profesor hubungan antarabangsa dari Universiti Tufts, yang menghasilkan buku mengenai keadaan hubungan antarabangsa berdepan serangan zombie.

Zombie seperti yang diketahui hari ini tercetus daripada pemahaman manusia tentang dunia bukan fizik, alam lain yang tidak kelihatan kepada manusia.

Sehingga kini, pemahaman tentang zombie masih didominasi dunia Barat yang memberi gambaran berterusan tentang satu topik berkait alam lain ini dalam bentuk yang masih mudah diterima, tanpa memberitahu dengan jelas kaitan eskatologinya.

Perubahan kepada faktor virus sebagai penyebab kejadian zombie menunjukkan satu perubahan perspektif dalam zombie dalam budaya popular berbanding sebab super natural yang biasa sebelum ini.

Labels: , , , ,

Monday, November 08, 2010

Zaid Ibrahim, sertai PAS atau DAP?

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan penarikan diri daripada persaingan merebut jawatan timbalan presiden PKR telah mencetuskan satu kegemparan, yang berdasarkan sifat PKR dan ahli-ahlinya sebenarnya tidak mengejutkan.

Tindakan yang dibuat susulan kekecohan berhubung pertikaian pengundian dalam pemilihan PKR dan selepas peguam Haris Ibrahim mendakwa berlaku kepincangan dalam proses pengundian itu merupakan satu tamparan kepada PKR.

Sikap tokoh-tokoh parti jelas tidak mahu Zaid menjawat jawatan tinggi dalam parti itu, yang masih dikuasai inner circle Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan ini juga menunjukkan PKR masih belum mampu bergerak melepasi agenda Anwar dan menjadi parti seperti yang dijanjikan, melalui namanya dan juga retorik-retorik sejak penubuhan.

Kenyataan Zaid sendiri mengaitkan pimpinan tertinggi dengan kepincangan itu, meletakkan beliau dalam posisi bertentangan dengan Anwar dan ramai pemimpin lain dengan lebih jelas lagi.

Zaid, ekoran persaingannya dengan Azmin Ali telah mengambil posisi mengkritik Anwar, tindakan yang belum pernah dilakukan oleh pemimpin tinggi PKR sebelum ini, terutama semasa sedang dalam persaingan merebut jawatan.

Seperti yang dilakukan kepada pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa meninggalkan jawatannya di Jabatan Perdana Menteri, tindakan Zaid dalam PKR ini memberi impak negatif yang berpanjangan kepada pihak yang ditinggalkannya, sekurang-kurangnya dari segi imej.

Walau bagaimanapun, imej dan kredibiliti Zaid sendiri terjejas dengan tindakannya kali ini yang sudah tidak lagi mempunyai elemen mengejutkan. Sebelum ini, Zaid disifatkan bersifat tidak matang, dan ingin segera menjawat jawatan tinggi dalam PKR walaupun masih baru.

Bagi PKR, proses pengundiannya terus menjadi perhatian, termasuk sokongan Anwar kepada tokoh tertentu yang boleh dibaca sebagai usaha memastikan hanya tokoh-tokoh yang mendengar kata sahaja dibenarkan memegang jawatan terbabit.

Satu lagi persoalan besar ialah ke mana Zaid selepas ini. Adakah beliau akan terus dalam PKR dan menunggu masa merebut jawatan nombor dua atau presiden atau terus meninggalkan PKR?

Disebabkan sifat liberal beliau, Zaid juga dijangka menyertai DAP, dan berpotensi menjadi menteri besar atau ketua menteri Melayu bagi parti Cina itu.

DAP sejak kemenangan di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dilihat mencari tokoh Melayu untuk dijadikan menteri besar atau ketua menteri di negeri yang bakal dimenangi ekoran kesukaran meletakkan calon bukan Melayu di posisi itu.

Tindakan beliau menjual bangunan Umno Kota Bharu kepada PAS di Kelantan telah menimbulkan spekulasi tentang urusan dan perjanjian tertentu melibatkan beliau dengan PAS, yang dibantu dengan hubungan baiknya dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan yang juga pesuruh jaya PAS Kelantan dan mursyidul am PAS.

Zaid terus mengekalkan hubungan baik dengan Nik Abdul Aziz dan PAS walaupun pernah terlibat dalam tindakan undang-undang terhadap PAS dan berpendirian liberal. Hubungan baik ini mampu membantu Zaid dalam meneruskan perjalanan karier politiknya, walaupun tidak menyertai parti Islam konservatif itu.

Dalam hal ini, Zaid masih mempunyai beberapa pilihan dan disebabkan kedudukannya sebelum ini dalam politik nasional, masih dilihat sebagai tokoh yang berpotensi memimpin, pada kedudukan sama dengan Anwar dan tokoh-tokoh lain.

Apapun pilihan Zaid, matlamat jangka pendek beliau boleh dijangka melibatkan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang. Kedudukan sebagai Ahli Parlimen akan memberikannya nilai yang lebih besar.

Penyertaannya ke mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat akan mencetuskan rasa kurang senang PKR, dan mudah untuk dilihat sebagai tidak berprinsip dan hanya mencari tempat untuk meneruskan survival politik.

Labels: ,

Tuesday, November 02, 2010

Hillary Clinton dan politikus wanita

Daisy: How'd it play? Wasn't she fantastic?
Henry: Yeah, great. But they'd like to see her hair a little longer.

Dialog di atas, dalam filem Primary Colors, menjelaskan sesuatu yang penting dalam kedudukan wanita dalam politik.

Selain tugas menjadi diplomat tertinggi sebuah negara misalnya, seorang wanita tetap akan mendapat penilaian berhubung isu-isu wanitanya.

Pagi ini, di Istac, dalam program dialog Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton, isu wanita menjadi salah satu topik utama yang dibincangkan.

Sejak awal hingga akhir dialog, isu wanita mendapat penjelasan panjang Clinton, menceritakan kehidupannya sebagai isteri, ibu dan ibu mertua, dan wanita yang muncul di media, sebagai ahli politik dan kini pegawai kerajaan yang berprofil tinggi.

Tegas Clinton, jangan jadi ahli politik wanita dan kemudian merungut. Katanya, kerja sebagai ahli politik memang sukar, terdedah kepada penilaian terhadap kualiti-kualiti wanita oleh media, "daripada media besar hingga kepada sesiapa sahaja yang mempunyai telefon selular berkamera."

Clinton, yang pernah berdepan masa sukar suaminya didedahkan skandal, berkempen untuk menjadi senator di New York, berkempen untuk menjadi calon presiden Parti Demokratik dan kini sebagai setiausaha negara, mempunyai pengalaman yang cukup untuk bercerita tentang isu wanita dalam politik.

Beliau juga, hasil pengalaman dan pendedahan di media, tidak dapat mengelak daripada mendapat perhatian wanita-wanita muda terutamanya, sebagai inspirasi.

Tidak dapat dinafikan, apa yang telah beliau lalui memberikan credential yang cukup untuk bercakap tentang hal-hal wanita.

Kualiti-kualiti wanita ini, walaupun adakalanya menjengkelkan apabila mendapat perhatian berlebihan, turut boleh dijadikan senjata dalam kempen-kempen, dengan memberikan sisi kemanusiaan yang lebih memberikan impak, sesuatu yang agak sukar diperolehi tokoh-tokoh lelaki.

Semasa kempen pemilihan awal 2008, semasa bersaing dengan Barack Obama, satu tindakan beliau mengalirkan air mata mendapat perhatian ramai, daripada penonton biasa hingga ke penganalisis bahasa tubuh.

Peristiwa itu dinilai sebagai telah memberikan satu kelebihan besar kepada beliau, meningkatkan sokongan daripada kalangan pengundi wanita.

Dan dalam majlis di Istac itu, cerita-cerita peribadi sebagai isteri kepada Bill Clinton, ibu dan ibu mertua menjadi cerita yang paling mencetuskan minat dan reaksi feel good audiens.

Kualiti-kualiti wanita, seperti warna dan kesesuaian warna dan pakaian, berat badan, rambut dan sebagainya mempunyai peranan yang besar - mampu memberikan kesan negatif dan merendahkan, tetapi pada masa-masa tertentu, isu remeh seperti itu boleh mendatangkan kelebihan.

Labels: , , , ,

Monday, November 01, 2010

Soccer War: Kelantan PAS atau Kelantan Umno?

Pasukan bola sepak Kelantan memenangi Piala Malaysia baru-baru ini selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-1.

Sejurus kedua-dua pasukan ditetapkan bertemu di perlawanan akhir, simbol dan kod berkaitan kedua-dua pasukan mula dicetus dan disebarkan oleh penyokong kedua-dua pasukan, dan tidak terkecuali ahli-ahli politik.

Hal ini sememangnya dijangka disebabkan hubungan rapat sukan dengan aktiviti politik, sama ada secara nyata atau tersirat.

Kelantan, berdasarkan pemerhatian di laman-laman blog dan sosial, menjadi kod bagi PAS, dan Negeri Sembilan pula Umno. Tetapi, perebutan modal hasil kemenangan pasukan terbabit telah mencetuskan beberapa tindakan bijak berdasarkan politik oleh pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas di Gua Musang, Kelantan.

Kedua-dua pihak telah menanamkan kepentingan masing-masing, untuk dituai sekiranya Kelantan mencapai kemenangan. PAS dengan mudah boleh menggunakan simbol PAS sebagai negeri melambangkan parti itu, tetapi Umno juga tidak ketinggalan apabila menunjukkan secara jelas peranannya membantu dan memberi sokongan kepada pasukan dan penyokong Kelantan, termasuk menyediakan pengangkutan dan layar-layar televisyen besar untuk tontonan di Kelantan.

Menjelang perlawanan akhir, berita elektronik memainkan peranan memasukkan kod-kod politik dalam perlawanan itu, dengan melaporkan sumbangan Umno.

Dalam satu tindakan yang mungkin tidak disengajakan, naib ketua pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim - yang berasal dari Johor - menyatakan sokongan kepada Kelantan, memberikan Umno satu lagi saham dalam kemenangan Kelantan.

Selepas kemenangan, sebuah akhbar Melayu pro-Umno turut menjadikan penyediaan layar besar oleh Umno sebagai satu berita yang agak besar, menunjukkan satu usaha secara sedar untuk mengaitkan juga Umno dengan kemenangan Kelantan, selepas presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaitkan kemenangan itu dengan ulang tahun ke-20 pemerintahan PAS Kelantan.

Tidak seperti tahun lalu, pasukan Kelantan menjadi perhatian penting Umno, dan mungkin, dengan pelaburan-pelaburan yang telah dibuat oleh pemuda parti itu terutamanya, Umno kali ini turut dapat berkongsi sedikit kesan-kesan positif kemenangan "negeri PAS" itu. 

Artikel ulasan perlawanan Kelantan dengan Negeri Sembilan di Politik Pop tahun lalu, bertarikh 10 November, 2009:

Kekalahan pasukan bola sepak Kelantan dan kekacauan yang tercetus semasa dan selepas perlawanan pasukan itu dengan Negeri Sembilan beberapa hari lalu terus menghasilkan simbol-simbol politik di media negara ini.

Dalam media dikuasai parti pemerintah, Kelantan telah lama menjadi kod kepada PAS. Berita mengenai AIDS di Kelantan, gejala seks bebas di Kelantan, dadah di Kelantan dan sebagainya biasanya disusun untuk mencapai kesan-kesan tertentu, termasuk memburukkan imej PAS sebagai parti yang sangat dikaitkan dengan Kelantan.

Kekalahan Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia beberapa hari lalu membawa implikasi dan simbol-simbolnya yang tersendiri. Laporan dan gambar di akhbar-akhbar menjelaskan perkara ini dengan mudah.

Dalam hal ini, kaitan PAS dengan Kelantan (yang dalam banyak kes disengajakan oleh kumpulan tertentu dalam PAS) tidak membawa kesan-kesan yang positif, kerana dieksploit dengan berkesan oleh media tertentu.

Walaupun kekecohan yang tercetus daripada perlawanan Kelantan dengan Negeri Sembilan jauh daripada konflik El Salvador dan Honduras pada 1969, perlawanan akhir itu berlaku pada satu masa yang tepat dalam permainan politik negara, seperti juga perlawanan Amerika Syarikat dengan Iran dalam Piala Dunia satu masa dulu.

Dalam pemahaman banyak pihak, Kelantan mewakili PAS dan Negeri Sembilan mewakili Umno.

Pasti, kemenangan Kelantan disambut dengan bahasa yang jelas sifat politiknya, dan pasti juga, banyak pihak sudah menyediakan laungan-laungan sambutan itu untuk diletakkan di blog, Facebook dan sebagainya.

Mungkin ada baiknya pihak pembangkang tidak diberikan hadiah yang terlalu besar ini.
Hal ini demikian kerana sukan ialah salah satu medan utama atau lanjutan politik (seperti juga perang ialah lanjutan kepada politik) dalam aktiviti manusia, dan bola sepak ialah salah satu simbol paling penting politik dalam lapangan sukan.

Politik akan sentiasa terkesan dan memberi kesan kepada bola sepak, dan begitu juga sebaliknya.

Labels: , , , ,