Politik Pop

Friday, April 01, 2011

Krisis Asia Barat dan potensi pan-Arabisme baharu


Dunia umat Muslim di rantau Asia Barat kini menyaksikan satu tragedi besar, yang berpunca salah satunya daripada kekosongan kepimpinan umat dalam semua bidang utama.

Di Libya, dunia Barat sedang melakukan penguasaan terbaharu melalui kuasa ketenteraan ke atas sebuah negara umat Muslim, dengan alasan yang mudah diterima dan disokong masyarakat dunia.

Di sebelah timur rantau Asia Barat, negara kecil Bahrain pula berdepan hal yang bertentangan dengan Libya, apabila tentera asing masuk mempertahankan rejim yang ditentang rakyat.

Kedua-dua negara menerima kemasukan kuasa asing, satu menyebelahi penentang rejim dan satu lagi untuk mempertahankan rejim. Kedua-duanya mengemukakan pihak yang diperangi sebagai satu kejahatan dan ancaman besar yang perlu ditangani oleh kuasa tentera dengan segera.

Walaupun dalam hal Libya tindakan Muammar Gaddafi memang menuntut satu tindakan tegas negara serantau, pilihan tidak sepatutnya hanya terhad kepada tindakan ketenteraan seperti dilakukan sekarang, yang mempunyai implikasi mendalam terhadap negara itu dan rantau keseluruhan.

Penguasaan kuasa asing pasti tidak akan berakhir dengan mudah dan segera, tanpa kedaulatan dan hala tuju negara menjadi sasaran terkesan dengan mendalam.

Perkembangan ini mendedahkan pelbagai kelemahan dalam kalangan umat, yang bertindak berdasarkan kepentingan sempit masing-masing, berdasarkan standard yang ditentukan menurut kepentingan masing-masing.

Ahli-ahli dominan Liga Arab - dalam kalangan kurang daripada separuh ahli yang hadir mesyuarat - menyokong tindakan ke atas Libya, pada masa sama negara terbabit menghantar tentera untuk berhadapan orang awam tidak bersenjata di Bahrain.

Selain sikap selektif dan hipokrasi dalam hal serantau ini, tindakan berhubung Libya dan Bahrain itu juga mendedahkan sikap yang jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Gaza, Palestin sejak dua tahun lalu.

Satu tragedi yang dapat diperhatikan dalam episod terbaharu politik serantau Asia Barat itu ialah kekosongan dan kelemahan kepimpinan di wilayah penting dunia Islam itu.

Liga Arab dikuasai negara-negara yang mahu mengekalkan status quo sejak penubuhan negara-bangsa dan selepas Perang Dunia ke-2 di Asia Barat.

Di kawasan Teluk Parsi, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) turut didasari kepentingan yang sama, yang diperkuatkan lagi oleh kebimbangan perluasan pengaruh sebuah kuasa asing, Iran.

Era hari ini menyaksikan kelompongan jelas kepimpinan dalam dunia Islam, tanpa rujukan utama dipersetujui semua dalam hal termasuk politik dan keilmuan.

Perpecahan Sunni dengan Syiah memburukkan kemelut melanda dunia Islam ini, menjadi sebab yang mudah untuk mencetus dan meningkatkan lagi sebab-sebab untuk berbeza berbanding bersatu.

Dunia Islam sejak bermula dominasi kuasa-kuasa Barat mudah ditakrifkan dan ditentukan hala tuju mereka oleh kuasa terbabit.

Semasa era Perang Dingin, persaingan dua kutub politik dominan mentakrif politik dunia Islam, walaupun melibatkan negara-negara yang mengaku berkecuali.

Kemudian, wacana menyusuli 11 September, 2001 meletakkan dunia Islam lebih dalam lagi dalam posisi defensif, meningkatkan lagi kepentingan label moderat, progresif, demokratik dalam kalangan negara-negara Islam.

Rejim-rejim Arab seluruh Asia Barat dan Afrika Utara menjadikan alasan terorisme seperti ditakrif oleh Barat untuk menarik sokongan dan dalam tindakan oportunis mengukuhkan kuasa dan kekayaan melalui bantuan.

Rejim Presiden Ali Abdullah Saleh di Yaman, rejim Hosni Mubarak di Mesir dan banyak lagi menerima bantuan berbilion dolar dengan alasan memerangi terorisme, tetapi sebahagian besarnya untuk kepentingan sendiri dan memerangi pembangkang yang sah daripada kalangan gerakan Islam. 

Usaha yang dikatakan memerangi terorisme menjadi satu modal yang membolehkan rejim-rejim di Asia Barat dapat meneruskan kezaliman masing-masing.

Tanpa sebarang kepimpinan negara sentral atau kumpulan negara-negara Islam yang bebas dan berintegriti, dunia Islam dengan mudah dipecahkan kepada negara-negara kecil di seluruh dunia Arab.

Pan-Arabisme yang dibawa Jamal Abdel Nasser di Mesir berakhir sebahagian besarnya bersama hayat pemimpin itu.

Pan-Arabisme dalam sejarah singkat pelaksanaannya berjaya membawa ide perpaduan ke tengah-tengah arus perdana dunia Arab.

Pemimpin-pemimpin yang menyeru atau cenderung kepada penyatuan dunia Arab, atau sekurang-kurangnya berseberangan dengan kuasa besar, sentiasa berhadapan tekanan.

Saddam Hussein, pemimpin diktator Iraq yang mempunyai sedikit agenda penyatuan dunia Arab berlandaskan ideologi Baath turut dihabisi oleh kuasa luar, dengan sokongan pihak berkepentingan di dunia Arab.

Baathisme, fahaman berhaluan kiri nasionalisme Arab sekurang-kurangnya mendasari dua negara – yang kini hanya tinggal satu – iaitu Iraq dan Syria yang mempunyai keberanian untuk tidak sehaluan dengan kuasa dominan Arab dan kuasa besar dunia.

Gaddafi, apapun kelemahannya, juga salah seorang pemimpin yang menunjukkan kecenderungan untuk bersikap bertentangan dengan kuasa-kuasa Barat, walaupun lebih dipengaruhi pragmatisme.

Kepimpinan dunia Arab jelas tidak dapat dipisahkan daripada kuasa dominan yang direstui kuasa asing, dan tidak meletakkan penyatuan dunia Arab dan umat Muslim sebagai agenda teratas.

Liga Arab, dan juga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) masih tidak menampakkan sebarang pendirian yang tegas ketika dunia Arab berada di persimpangan yang kritikal kali ini.

Faham-faham pan-Arabisme Nasser dan Baath walau bagaimanapun dicemari kecacatan dan rejim-rejim zalim yang menjadi penyakit umat, mendedahkan dunia Islam kepada tekanan politik luaran dan dalaman.

Seluruh dunia Arab dan Islam kini perlu menyediakan dan memilih kepimpinan baharu, yang sebahagiannya telah dibuka oleh kebangkitan rakyat yang bermula akhir tahun lalu.

Sekiranya kebangkitan rakyat di dunia Arab kini berhasil membawa perubahan bermakna secara meluas, satu pan-Arabisme baharu boleh dibina, dengan takrif baharu tanpa kecacatan-kecacatan ketara pan-Arabisme lama yang diterajui rejim-rejim zalim.

Pan-Arabisme baharu perlu dibina daripada runtuhan pan-Arabisme lama, tanpa fanatisme kaum dan puak yang mendasari kemelut seperti disaksikan di Bahrain hari ini, dan tanpa pengaruh kuasa-kuasa asing yang berkepentingan.

Dalam hal ini, gerakan-gerakan Islam menjadi antara calon paling berpotensi meneruskan agenda perpaduan umat ini.

Gerakan Islam wajar sekali meneruskan dan mengukuhkan agenda perpaduan ini sebagai sebahagian usaha menyatukan dan menguatkan suara umat rantau Arab yang selama ini didominasi kuasa asing.

Maka peluang untuk membina kepimpinan baharu yang lebih sesuai dengan semangat zaman dan keperluan umat yang mendesak ini tidak wajar dibiarkan berlalu, atau dirampas oleh pihak oportunis yang hanya akan mengulangi kemelut yang telah dilalui selama berdekad lalu. - Mac 20, 2011

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home