Kebangkitan dunia Arab: Kuasa besar dan kepentingan serantau kini faktor utama
Kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat kini telah memasuki bulan ke lapan, dengan momentum yang semakin lemah dan permainan politik untuk kepentingan tertentu memberi kesan kepada perkembangan yang berlaku.
Perubahan rejim di Mesir yang menjadi tumpuan utama media global tidak menyaksikan perubahan bermakna seperti yang diharapkan, dan pada masa sama, tentera sebagai pemegang kuasa utama mula kehilangan sentimen sokongan yang disaksikan pada awal kebangkitan.
Negara-negara Arab lain juga menyaksikan usaha menggerak perubahan rejim dihentikan dengan keras oleh pemerintah, seperti yang berlaku di Bahrain, kebangkitan yang paling sedikit mendapat perhatian masyarakat dunia.
Selepas memasuki separuh kedua tahun 2011, dapat diperhatikan beberapa isu yang diabaikan selama ini mula muncul di permukaan.
Sentimen sokongan terhadap kebangkitan di Libya mula dinilai semula, selepas operasi tentera yang dipimpin Barat semakin menyaksikan ketidakupayaannya mencapai matlamat awalnya menjatuhkan Muammar Gaddafi dengan segera.
Malah, agenda Barat dalam hal Libya semakin menjadi persoalan, ekoran sokongan kuat kerajaan Inggeris, terutama William Hague, menteri luar negara itu terhadap penentang Gaddafi.
Inggeris juga, dalam kes Lockerbie terutamanya, kelihatan mempunyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Libya, yang boleh menjadi faktor dalam mendorong tindakan dasar luarnya kini.
Operasi tentera di Libya yang kini berlangsung lebih lama berbanding yang dijangkakan pada masa resolusi membenarkannya diluluskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan korban yang semakin meningkat membuka isu Libya untuk dinilai dengan lebih kritikal.
Fokus awal yang diberikan pada rakyat kini teralih pada kuasa-kuasa serantau dan dunia, termasuk bekas kuasa penjajah, Inggeris dan kuasa serantau negara monarki Arab.
Kes Libya mengundang persoalan terhadap agenda kuasa-kuasa asing, ekoran tumpuan yang diberikan khusus pada negara Afrika Utara itu dan tidak pada kebangkitan lain yang juga mendapat sokongan rakyat.
Tanpa menafikan kekejaman rejim seperti Tripoli dan Damsyik, dapat diperhatikan bahawa tindakan dijalankan secara selektif dan berdasarkan kepentingan tertentu.
Di Bahrain, kekejaman meluas terhadap rakyat negara itu kini semakin dilupakan oleh dunia, termasuk oleh dunia Islam sendiri.
Bahrain ialah satu contoh bagaimana kepentingan kuasa serantau terutama Arab Saudi dan Qatar berjaya mengatasi kebangkitan rakyat di negara kecil Teluk Parsi itu.
Kepentingan politik yang mendasari sikap dan tindakan berhubung negara-negara terbabit telah saya tulis April lalu:
“Qatar menjadi negara Arab pertama mengiktiraf pemberontak Libya dan menyertai misi ketenteraan pimpinan Barat di ruang udara Libya, dan pada masa sama menyokong bantuan Saudi dan GCC [Majlis Kerjasama Teluk] mempertahankan rejim Bahrain.
“Sikap pemerintah Qatar ini turut mendapat sokongan ilmuan Islam berpengaruh yang menetap di negara itu, Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dilapor berkata kebangkitan di Bahrain bersifat sektarian dan sebelum itu membenarkan Kolonel Muammar Gaddafi dibunuh.
“Pendirian tokoh agama ini berhubung Syria juga menimbulkan persoalan tentang konteks politiknya.
“Beliau baru-baru ini dilapor mengecam pemerintah Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad kerana tindakannya terhadap protes rakyat di negara itu.
“Syria, bersama Algeria ialah dua negara ahli Liga Arab yang menentang dalam undian untuk zon larangan terbang di Libya. (Hanya 11 daripada 22 negara ahli hadir dalam undian itu).
“Pendirian itu bertentangan dengan sikap GCC, termasuk Qatar yang menyokong serangan ke atas Libya.”
Syria kini berdepan potensi tindakan yang hampir sama seperti yang dikenakan ke atas Libya, tindakan yang matlamat utamanya bukan kepentingan rakyat negara terbabit.
Tempoh agak panjang selepas euphoria awal kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sewajarnya telah memberi peluang kepada masyarakat dunia menilai dengan lebih kritikal apa yang berlaku.- 11 Ogos, 2011
Artikel berkaitan:
Labels: Amerika, Eropah, Politik, Timur Tengah


0 Comments:
Post a Comment
<< Home