Politik Pop

Friday, December 30, 2011

Politik dunia Islam 2011: 10 isu utama


Tahun 2011 ialah tahun yang padat dengan peristiwa politik yang menjadi pencetus perubahan. Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, dunia Islam terus rancak dengan pelbagai peristiwa politik yang memperlihatkan kepentingannya dalam politik dunia, terutama kepada kuasa-kuasa besar. Berikut 10 isu politik utama sepanjang 2011.
10. Muslim di Amerika Syarikat
Menurut Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR), 2011 - 10 tahun selepas peristiwa 11 September, 2001 - menyaksikan peningkatan mendadak serangan retorik dan fizikal ke atas Muslim di Amerika Syarikat. Di televisyen, rancangan All-American Muslim, tentang komuniti Muslim di Michigan, menjadi perhatian ekoran protes sekumpulan konservatif Kristian yang mendakwa rancangan itu sebagai propaganda Islam, dan mengajak pengiklan memboikot rancangan itu. Seorang pesaing calon presiden Republikan, Newt Gingrich pula menyifatkan bangsa Palestin sebagai "bangsa yang dicipta," dalam usaha membina sokongan kelompok pro-Zionis. Islam menjadi isu dipergunakan dalam kempen pilihan raya oleh pesaing-pesaing Republikan untuk menarik sokongan konservatif terutama di negeri-negeri selatan.
9. Pengiktirafan Palestin
Menjelang hujung tahun 2011, lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia telah mengiktiraf Palestin. Terbaharu, Iceland menjadi negara Eropah Barat pertama mengiktiraf Palestin, berdasarkan sempadan 1967 sebelum perang. Pada September, Presiden Mahmoud Abbas memohon keahlian penuh sebagai sebuah negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Palestin diberi keahlian penuh dalam agensi kebudayaan PBB, Unesco pada Oktober, mencetuskan reaksi keras daripada AS dan Israel. Pengiktirafan walau bagaimanapun melibatkan peranan wakil yang diiktiraf Barat, dan berdepan halangan daripada Washington, walaupun Presiden Barack Obama pernah memperlihatkan pendirian pro-Palestin.
8. Hubungan Pakistan-AS dan Afghanistan
Awal Mei 2011, AS mengumumkan berjaya membunuh Osama bin Laden di sebuah kawasan persembunyiannya di Pakistan, tanpa pengetahuan pihak berkuasa Islamabad. Pada masa sama, serangan dron di negara Asia Selatan ini diteruskan. Di negara bersebelahan, Afghanistan, kumpulan dinamakan Jaringan Haqqani meningkatkan serangan ke atas kehadiran asing, termasuk bangunan kedutaan AS di Kabul. AS mendakwa Haqqani mendapat sokongan Pakistan. Pada November, 24 tentera Pakistan mati akibat serangan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dekat sempadan Pakistan-Afghanistan. Hubungan Pakistan-AS merosot dengan teruk, menyaksikan ujian paling getir kedua-dua sekutu dalam "perang menentang terorisme."
7. Kebangkitan rakyat Tunisia
Pada 17 Disember, 2010, Mohamed Bouazizi dilapor membakar dirinya sebagai protes kekejaman dilakukan oleh kakitangan kerajaan terhadapnya. Tindakannya dikaitkan sebagai pencetus kebangkitan di Tunisia dan seluruh dunia Arab yang berterusan hingga menuju ke tahun 2012. Kebangkitan rakyat Tunisia menjatuhkan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali pada 14 Januari, 2011. Selepas kebangkitan di Tunisia, sejarah baharu mula dicatatkan di seluruh dunia Arab. Parti Islam al-Nahdah pimpinan tokoh popular Rachid Ghannouchi mengetuai pembentukan kerajaan selepas menang dalam pilihan raya pada Oktober, memenangi lebih 40 peratus undi.
6. Iran menghadapi tekanan
Tentera Iran menamatkan tahun 2011 dengan latihan ketenteraan dinamakan Velayat 90 sekitar Selat Hormuz, dan pada masa sama mengugut untuk menutup laluan sempit eksport minyak itu sekiranya negara itu dikenakan sekatan menjual minyak dan sebagai reaksi sekatan antarabangsa yang meningkat terhadap republik itu. Eksesais ketenteraan itu juga satu reaksi kepada retorik menyerang Iran yang kembali berleluasa di AS dan Israel, dengan alasan menyekat usaha Iran membina senjata nuklear. AS juga pada masa sama merancang meningkat kehadiran tentera di kawasan Teluk Parsi, sambil meningkatkan jualan senjata canggih kepada sekutu di kawasan terbabit, terutama Arab Saudi.
5. Kejatuhan Hosni Mubarak
Penghujung Januari 2011, ratusan ribu rakyat Mesir berkumpul di Medan Tahrir di tengah-tengah bandar Kaherah menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur. Selepas harapan demokrasi pudar ekoran kemenangan besar parti Mubarak dalam pilihan raya terakhir. Mubarak juga kelihatan mengukuhkan pengaruh keluarganya melalui anaknya Jamal Mubarak yang disebut-sebut bakal menggantikannya. Pada 11 Februari, Mubarak berundur, dan perjuangan untuk melihat Mesir yang lebih baik masih diteruskan. Kejatuhan Mubarak meningkatkan lagi sentimen perubahan di seluruh dunia Arab. Kejatuhan rejim Mubarak juga bermakna Arab Saudi yang menguasai politik Arab kehilangan sekutu penting.
4. Peningkatan pengaruh Turki
Selepas jatuh pemimpin-pemimpin diktator Tunisia dan Mesir, dan kelihatan prospek perubahan di negara-negara serantau, nama Turki dan parti pemerintah Turki menjadi sebutan. Turki disebut-sebut sebagai model baharu bagi demokrasi dan gerakan Islam, yang kini dikatakan perlu memasuki fasa pasca-Islamisme, iaitu tidak lagi dibelenggu bahasa dan simbol lama gerakan Islam yang menuntut banyak tenaga. Pada masa sama, populariti Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meningkat. Dengan keadaan dunia Arab yang menguasai suara dunia Islam masih tidak stabil dan pusat kuasa yang tergugat, Turki mendapat peluang melebarkan lagi pengaruh, mengulangi satu aspek era Uthmaniyyah dahulu.
3. Dasar luar Qatar dan politik GCC
Qatar menjadi pemain aktif dalam politik serantau pada 2011. Dengan stesen berita satelit al-Jazeera – dalam dua bahasa; Arab dan Inggeris - dan ilmuan Islam dihormati Dr Yusuf al-Qaradawi, pemerintah Qatar menggerakkan agenda dasar luarnya dengan yakin, meningkatkan kepentingannya kepada kuasa besar. Pemulihan hubungan Qatar dengan negara dominan serantau, Arab Saudi dan pengukuhan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), memudahkan negara-terbabit melindungi diri masing-masing - termasuk mengekang dengan keras kebangkitan di Bahrain tetapi menyokong kumpulan antikerajaan di Libya dan Syria - daripada gelombang kebangkitan rakyat, dan buat masa ini, berjaya meningkatkan pengaruh serantau.
2. Konflik Syria
Selepas usaha Washington menjarakkan hubungan Damsyik dengan Tehran tidak mendatangkan hasil diharapkan, Syria mula berdepan tekanan perubahan rejim. Pemerintahan kuku besi rejim Presiden Bashar al-Assad menjadi perhatian dunia ekoran kematian ribuan penentang kerajaan di tangan pasukan keselamatan Syria. Kuasa dominan dunia Arab melalui Liga Arab paling lantang dan agresif menekan rejim al-Assad. Syria walau bagaimanapun masih menerima sokongan Rusia, sekutu utamanya dalam kalangan kuasa besar, dan China dalam menolak sekatan dan tindakan lebih keras dikenakan. Selepas Libya, Syria paling banyak diberi perhatian oleh kuasa-kuasa Barat dan Arab, dan berpotensi menjadi sasaran seterusnya.
1. Serangan ke atas Libya dan pembunuhan Gaddafi
Selepas Tunisia dan Mesir, Libya menjadi negara seterusnya menyaksikan perubahan rejim. Tetapi, tidak seperti negara lain, Libya menyaksikan penglibatan kuasa asing secara langsung di wilayahnya. Libya memperlihatkan dengan jelas agenda kuasa-kuasa besar dan dalam kalangan dunia Arab, dengan menjadikan kebangkitan rakyat dan demokrasi sebagai alasan. Salah satunya, Qatar, mengambil peluang dengan menyokong dan menyertai usaha Nato menyerang Libya, termasuk dengan memberi bantuan senjata kepada pemberontak yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Muammar Gaddafi. Libya menjadi negara majoriti Muslim terbaharu menerima kemasukan pasukan tentera asing di wilayahnya.

Labels: , , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home