Politik Pop

Monday, January 31, 2011

Protes Mesir: Beberapa isu utama

1. Presiden Hosni Mubarak tidak nampak lagi boleh mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin Mesir dengan hanya melakukan perubahan-perubahan seperti melantik naib presiden dan melantik kabinet baharu. Sekiranya masih kekal, Hosni akan berdepan masalah yang besar dan bakal kehilangan sokongan kuasa besar dan masyarakat antarabangsa, serta terus berdepan tentangan rakyat.

2. Pelantikan Omar Suleiman yang mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Amerika Syarikat (termasuk berperanan dalam extraordinary rendition) tidak menjanjikan apa-apa yang positif kepada rakyat Mesir melainkan hanya untuk kepentingan kuasa asing dan Hosni sendiri. Pelantikan Omar sama sekali bukan apa yang dituntut dan perlu dilakukan.

3. Mohamed el-Baradei semakin mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemimpin baharu Mesir, sebahagian besarnya kerana sokongan Barat dan popularitinya di Mesir pada masa ini, dan digelar sebagai figur penyatu dalam politik Mesir. Beliau juga merupakan tokoh yang paling banyak menerima liputan positif media asing. Hal ini juga menunjukkan sisi politik domestik bukan satu-satunya naratif yang sepatutnya diterima dalam melihat perkembangan di Mesir dan Asia Barat pada masa ini.

4. Ikhwan al-Muslimin mula menerima serangan mengaitkannya dengan unsur-unsur "militan" dan "teroris," dalam rangka wacana yang kritikal terhadap sebarang elemen Islam dalam politik. Walaupun sejarah menunjukkan rekod yang tidak sepenuhnya baik bagi Ikhwan, kumpulan ini merupakan kuasa politik yang sah di Mesir. Kritikan Ikhwan tidak terlibat dalam penentangan juga menyeleweng kerana kumpulan ini berdepan tekanan dan tangkapan pasukan keselamatan secara agresif, terbaharu sejak 2009.

5. AS telah bertindak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung protes dengan cuba mengimbangi sokongan kepada hak fundamental rakyat dengan desakan perubahan kepada rejim Hosni. Kenyataan Setiausaha Negara Hillary Clinton Jumaat lalu cuba mengimbangi dan menyediakan ruang manuver pada masa depan, apapun kesudahan kepada rejim Hosni. Jelas bahawa Washington masih menyokong rejim sedia ada, tetapi tetap akan meneruskan hubungan baik dengan pemerintah selepas ini sekiranya rejim sekarang tumbang.

6. Kepentingan AS - dan Israel - di Mesir terlalu besar dan tidak terhad kepada rejim Hosni. Selepas Israel, Mesir ialah penerima bantuan ketenteraan terbesar dari AS. Malah, kepentingannya mungkin akan dapat lebih dipelihara dan dicapai di bawah pemerintah baharu. Kedudukan Mesir sebagai negara Arab pertama mengiktiraf Israel dan yang paling berkeupayaan berperang dengan Israel - terutama disebabkan faktor sempadan - menjadikan Mesir tidak boleh dilepaskan oleh Washington. Palestin dan Gaza ialah satu isu yang paling menjadikan Mesir diperlukan oleh Israel untuk bekerjasama dengannya, kerana hanya Mesir negara yang boleh menguatkuasakan kepungan Gaza selain Israel.

7. Perubahan politik di Mesir bakal mencetuskan gelombang yang jauh lebih besar berbanding yang tercetus dari Tunisia. Walaupun tidak semestinya akan membawa kepada perubahan rejim lain, perkembangan di Mesir telah mengubah permainan di Asia Barat. Sekiranya perubahan yang bermakna terlaksana di Mesir, termasuk dalam aliansi dengan Jordan dan Arab Saudi, lanskap politik serantau akan berubah dengan dramatik. Perubahan dalam aliansi Kaherah-Riyadh-Amman secara dramatik mampu menjejaskan pengaruh kuasa-kuasa terbesar dunia Arab itu.

Labels: , , ,

Wednesday, January 26, 2011

Pengajaran revolusi Tunisia

Kebangkitan rakyat Tunisia menumbangkan diktator Zine al-Abidine Ben Ali masih mendapat perhatian dunia, terutama selepas penubuhan kerajaan baharu masih tidak mampu memuaskan hati rakyat.

Walau bagaimanapun, keresahan terhadap parti dominan RDC (Perhimpunan Perlembagaan Demokratik) yang menguasai Tunisia selama ini dapat diperhatikan dengan jelas melalui respons rakyat terhadap individu-individu yang masih dipilih untuk berada dalam kerajaan perpaduan negara itu.

Sentimen marah terhadap kezaliman dan keangkuhan rejim Ben Ali dan partinya selama ini kini menjadi tumpuan utama dalam protes yang terus dijalankan oleh orang ramai.

Perkembangan itu menunjukkan kejatuhan seorang pemimpin masih belum mencukupi untuk membawa perubahan, walaupun tidak boleh ditolak hakikat bahawa perubahan telah dimulakan dengan kejatuhan pemimpin yang dominan itu.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan dan rasionaliti pemimpin-pemimpin yang terlibat untuk membawa negara Tunisia membuka lembaran baharu, tanpa melupakan atau mengabaikan tuntutan-tuntutan terhadap rejim lama.

Sebagai sebuah parti politik yang dominan, RDC telah memiliki struktur yang besar dan mengakar dalam masyarakat dan birokrasi.

Struktur ini bukan sahaja besar tetapi juga mempunyai pusat graviti yang rendah, menjadikannya sukar untuk diruntuhkan dengan satu kebangkitan atau dalam masa yang agak singkat, malah boleh dikatakan mustahil.

Seperti juga pergerakan berasaskan etnik utama seperti Taliban di Afghanistan dan Baath di Iraq, parti utama yang dominan seperti itu mempunyai sokongan yang meluas daripada sejumlah besar rakyat dan pendirian politik yang diterima ramai.

Di Tunisia, parti Ben Ali ialah parti seumpama itu, menerima sokongan meluas dan tidak mudah untuk dihapuskan begitu sahaja seperti dituntut sesetengah pihak.

Seorang akademik pemerhati Tunisia, Christoper Alexander menulis dalam majalah Foreign Policy menegaskan keperluan melaksanakan perubahan secara realistik untuk menghalang muncul sebuah lagi kuasa dominan seperti rejim Ben Ali.

Menurutnya, tuntutan supaya RDC dihapuskan bukan satu langkah yang realistik malah berbahaya.

“Tuntutan-tuntutan ini tidak realistik dan berpotensi mencetuskan bahaya. Bukan semua dalam RDC penjahat yang korup, dan parti-parti pembangkang terlalu kecil dan tidak berpengalaman untuk menguruskan cabaran-cabaran dihadapi Tunisia – termasuk melibatkan usaha menganjurkan pilihan raya yang diyakini.

“Tambahan pula, membubarkan RDC tidak semestinya akan menghapuskannya. Kader-kader parti itu boleh menubuhkan jelmaan baharu parti yang telah memerintah sejak merdeka itu,” tegasnya.

Ini walau bagaimanapun tidak bermakna ahli-ahli rejim lama dan parti dominan yang tidak memberi khidmat sewajarnya kepada rakyat terlepas begitu sahaja.

Sentimen yang ditunjukkan ini wajar menjadi pengajaran kepada rejim-rejim yang telah lama berkuasa, menunjukkan bagaimana kebencian orang ramai mencetuskan reaksi yang sangat keras terhadap semua elemen rejim lama itu.

Ini untuk menegaskan keperluan pembinaan negara memerlukan mereka yang berkebolehan untuk menangani hal yang sepatutnya, dan fokus perlu diberikan kepada pembinaan dan perubahan kritikal institusi negara.

Usaha memberi tumpuan yang berlebihan terhadap rejim lama dan kejahatan mereka berpotensi untuk mewujudkan sentimen yang akan membenarkan sesiapa sahaja menggantikan mereka tanpa mengira kredibiliti dan kemampuan untuk melaksanakan tugas.

Langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bukan hanya untuk menjatuhkan rejim lama tetapi juga membina formula untuk penyertaan semua dalam proses demokrasi negara itu.

Dalam keadaan yang sukar ini, pemimpin-pemimpin terlibat perlu memastikan penglibatan pihak-pihak yang menerima sokongan ramai rakyat Tunisia dan dilihat mempunyai keupayaan untuk menyertai politik Tunisia sebagai pemain penting, termasuk parti Islam, Hizb al-Nahdah.

Kerajaan baharu kini terdedah kepada sentimen kebimbangan pihak asing terhadap penglibatan parti Islam yang dikaitkan dengan pelbagai agenda antidemokratik.

Selepas melepasi halangan pertama dengan menjatuhkan kepimpinan diktator, Tunisia kini berdepan halangan kedua berupa tekanan asing yang tidak mahu melihat gerakan Islam menjadi faktor penting dalam politik Tunisia pasca-Ben Ali.

Haluan yang bakal diambil Tunisia selepas ini perlu dipilih oleh rakyat Tunisia sendiri, melalui proses demokratik yang perlu dilalui dan bukan hasil dokongan dan dorongan kuasa asing.

Hal ini jelas menunjukkan tugas sukar membina negara yang bebas tidak selesai dengan kejatuhan pemimpin lama.

Proses yang juga mencabar dan berpotensi mengambil masa yang lebih panjang bermula sejurus selepas itu. - 25 Januari, 2011

Labels: , ,

Revolusi Tunisia, gerakan Islam dan harapan perubahan dunia Arab

Perubahan politik di Tunisia telah mencetuskan harapan ramai untuk melihat hal yang sama berlaku di negara-negara Arab lain.

Protes yang berlaku ekoran episod di Tunisia di negara-negara lain menambahkan lagi jangkaan untuk melihat pemimpin korup dan zalim di negara Arab lain dijatuhkan.

Selepas Tunisia, antara negara lain yang mempunyai potensi ialah Algeria dan Mesir, yang masing-masing telah menunjukkan perubahan sebenar berlaku – tetapi dihalang dengan kekerasan – dan potensi perubahan menolak rejim lama.

Satu pandangan yang optimis melihat perubahan bersandarkan kes Eropah Timur yang kerajaan-kerajaan Komunis rantau tersebut jatuh dalam masa yang singkat.

Hal tersebut berlaku demikian disebabkan faktor penting ideologi dan negara penaung yang sama iaitu Kesatuan Soviet, yang menjadi faktor utama berdirinya rejim Komunis tersebut.

Pada masa sama, penentang-penentang rejim Komunis turut menerima sokongan daripada kuasa Barat yang bersaing dengan Komunisme.

Di dunia Arab, perkara yang sama tidak kelihatan dan setiap rejim mempunyai ideologi dan pragmatisme tersendiri dalam menghadapi musuh-musuh politik.

Rejim-rejim lama terbabit, yang sudah masak dengan pelbagai cara menyekat dan memerangi penentangan juga boleh dijangka sudah melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk menghalang protes-protes dan pelbagai bentuk penentangan lain.

Rejim-rejim Arab juga masih mendapat sokongan kuat kuasa besar kerana kestabilan dan kepastian yang diberikan sejak sekian lama.

Mereka masih boleh diharapkan untuk mewakili kepentingan Barat dalam banyak hal, seperti usaha memerangi teroris dan militan yang sedang menjadi tumpuan pada masa ini.

Malah, satu pemerhatian awal di media utama Amerika Syarikat behubung “Revolusi Jasmin” turut menyebut “peluang dan risiko” perubahan itu kepada AS.

Kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di negara itu juga telah mula memberi amaran supaya gerakan Islam tidak dibenarkan mengambil kesempatan daripada perkembangan itu.

Di Mesir misalnya, Presiden Hosni Mubarak yang kembali kelihatan sihat kebelakangan ini menjadi sandaran pihak Barat untuk menjaga kepentingan mereka.

Tunisia di bawah pimpinan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali juga mendapat sokongan kuat Barat selama ini, hakikat yang sebahagiannya dijelaskan oleh pemerintahannya yang mencapai 23 tahun.

Kedua-dua pemimpin republik Arab-Afrika tersebut mempunyai satu persamaan dalam menyekat dan menekan gerakan Islam di negara mereka.

Ikhwan al-Muslimin dan gerakan al-Nahdah di Mesir dan Tunisia menjadi musuh politik utama rejim-rejim pemerintah negara masing-masing.

Mesir yang sering menjadi perhatian dalam berita telah menunjukkan bagaimana pelbagai langkah sekatan dikenakan oleh pemerintah terhadap gerakan Islam dan kumpulan-kumpulan pembangkang lain.

Tunisia turut menyaksikan hal yang sama, dengan gerakan Islam ditekan hingga mendorong pemimpinnya meninggalkan negara dan tinggal di Eropah.

Gerakan Islam menjadi musuh kuat rejim lama Tunisia (walaupun perubahan sikap dalam hal ini belum boleh dipastikan dalam kerajaan baharu negara itu) sehingga ada pemerhati berpendapat perubahan di negara Afrika Utara itu boleh berlaku kerana gerakan Islam tidak terlibat.

Penglibatan gerakan Islam yang menjadi musuh utama rejim Ben Ali didakwa akan mengundang respons keras rejim sehingga berupaya menggagalkan sebarang usaha penentangan.

Perubahan politik yang mendadak sentiasa membuka ruang ketidakpastian dan sering perubahan yang berlaku sukar diuruskan sehingga berpotensi mendatangkan kesan berpanjangan.

Potensi ini menjadikan perubahan yang tidak dirancang tidak dikehendaki oleh negara-negara kuasa besar yang menyokong rejim terbabit.

Ketidakpastian dan potensi gerakan Islam mendapat tempat dalam politik baharu negara terbabit menjadikan rejim-rejim lama terus mendapat sokongan.

Malah, seperti disaksikan di Algeria, kuasa Barat boleh menutup mata terhadap pelbagai pencabulan dan jenayah dilakukan untuk menghalang perubahan berlaku.

Perubahan yang berlaku di Tunisia juga masih kelihatan belum selesai walaupun kerajaan baharu telah menunjukkan usaha memisahkan diri daripada rejim lama.

Perdana menteri Mohammed Ghannouchi dan Fouad Mebazaa, speaker dewan rendah dan presiden sementara telah meninggalkan parti Ben Ali untuk memisahkan diri dan membina kredibiliti kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.

Orang ramai juga terdedah kepada kecenderungan melihat simbol-simbol perubahan dan dialihkan tumpuan daripada melihat keperluan perubahan yang lebih bermakna dan mendalam.

Parti Islam masih belum dapat dilihat penglibatan mereka dalam Tunisia baharu yang sedang dibentuk ini, walaupun selama ini menjadi mangsa utama rejim Ben Ali.

Dalam laporan-laporan media Barat tentang Tunisia, penglibatan al-Nahdah dalam politik masih disertai dengan kebimbangan terhadap “politik Islam” di Tunisia, yang terdedah kepada persepsi dikaitkan dengan terorisme dan unsur negatif lain.

Penglibatan al-Nahdah dalam politik negara itu disebut sebagai mencetuskan kebimbangan terhadap pelaksanaan Islam yang didakwa menyekat kebebasan.

Barat masih melihat parti politik Islam sebagai bertentangan dengan demokrasi dan nilai-nilai yang mereka terima.

Kepulangan tokoh al-Nahdah Rachid Ghannouchi dilihat dengan kebimbangan oleh banyak pihak di Barat.

Persepsi ini berupaya untuk memberi kesan kepada rakyat dan kerajaan baharu Tunisia, lebih-lebih lagi melibatkan reaksi negara asing dan kuasa besar.

Perubahan di Tunisia itu tetap tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perkembangan di dunia Arab dan seluruh dunia, ketika kesedaran terhadap penglibatan dalam proses demokrasi semakin menjadi tuntutan.

Istilah Revolusi Jasmin yang digunakan memberi petanda kebangkitan seterusnya di negara lain masih boleh berlaku, tetapi tidak mudah untuk melihatnya berlaku, terutama dalam tempoh yang singkat.

Revolusi warna dan simbol (Ros, Jingga, Tulip) menjadi satu topik khusus dalam politik global hari ini dan memberikan harapan kepada orang ramai.

Seperti yang boleh diperhatikan melalui revolusi seperti itu di Asia Tengah, keputusannya masih bercampur-campur, dengan tidak ada petunjuk jelas perubahan yang bermakna.

Walau bagaimanapun, Revolusi Jasmin di Tunisia telah sekurang-kurangnya mencetuskan harapan dan inspirasi di seluruh dunia Arab. Lembaran baharu ini masih mempunyai potensi untuk rakyat rantau itu tidak melihat perubahan sebagai sesuatu yang mustahil. - 21 Januari, 2011

Labels: , , ,

Friday, January 21, 2011

Revolusi orang muda jatuhkan pemimpin zalim Tunisia

Satu tindakan kerajaan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali dalam menghadapi protes rakyat Tunisia yang tercetus 17 Disember lalu ialah menutup institusi pengajian tinggi, tindakan yang boleh menghalang orang muda berkumpul, dan supaya mereka berada di rumah.

Usaha menghalang orang muda daripada terlibat aktif dalam protes besar-besaran di negara Afrika Utara itu walau bagaimanapun tidak berjaya, dan kini dunia telah menyaksikan kejatuhan seorang pemimpin yang telah memerintah selama 23 tahun.

Masalah pengangguran dan peningkatan kos sara hidup di negara itu menerima reaksi paling keras daripada rakyatnya, dalam protes yang memuncak pada hujung minggu pada 8 dan 9 Januari lalu.

Ben Ali akhirnya melepaskan jawatannya dan melarikan diri bersama keluarga ke Arab Saudi, selepas Perancis dikatakan enggan membenarkan pesawat membawanya mendarat di negara bekas penjajah Tunisia itu.

Orang muda Tunisia – dengan peranan besar pihak tentera juga – yang berdepan tekanan ekonomi hasil dasar kepimpinan Ben Ali, telah berjaya menjatuhkan pemimpin yang telah memerintah sejak 1987 itu.

Respons Ben Ali terhadap protes besar-besaran itu menunjukkan kediktatorannya dan bagaimana dia menggunakan segala alasan yang boleh untuk kekal berkuasa.

Beliau mengaitkan mereka yang terlibat dengan protes sebagai teroris untuk membina sokongan untuk dirinya, menggunakan kedudukan Tunisia sebagai pemain penting memerangi militan di Afrika Utara.

Beliau juga memecat menteri dalam negerinya, mengarahkan pembebasan mereka yang ditahan semasa protes dan menjanjikan peluang pekerjaan, tawaran-tawaran menarik kepada generasi muda.

Tawaran-tawaran itu walau bagaimanapun sudah terlambat. Protes terus dijalankan oleh orang muda Tunisia hingga membawa kepada kejatuhan Ben Ali, selepas puluhan nyawa terkorban.

Episod kebangkitan rakyat di Tunisia ini telah memberi gambaran potensi yang dimiliki belia sesebuah negara.

Apa yang tidak dicapai oleh parti-parti politik – yang banyak daripadanya dikatakan tercalar kredibiliti mereka kerana mempunyai hubungan baik dengan Ben Ali – diselesaikan dengan peranan penting orang muda dalam tempoh sebulan.

Kejatuhan Ben Ali akhirnya membawa kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, yang ditubuhkan di tengah-tengah kekacauan yang masih berterusan.

Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi yang memegang jawatan itu sejak 1999 telah membawa beberapa figur pembangkang ke dalam kerajaan perpaduan itu, dan kini bersedia menghadapi pilihan raya.

Perlembagaan Tunisia menetapkan pilihan raya presiden diadakan dalam tempoh 60 hari.

Kerajaan baharu Tunisa itu menjanjikan media yang bebas dan partisipasi politik yang lebih luas.

Ini walau bagaimanapun perlu diperhatikan dan dinilai dengan lebih kritikal lagi, kerana janji tersebut bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.

Perdana menteri kini juga dikenali sebagai orang Ben Ali dan tidak boleh memisahkan diri daripada segala dasar ekonomi yang membawa kepada situasi yang mencetuskan kebangkitan rakyat itu.

Sebarang kesimpulan masih awal untuk dibuat, kerana proses membina semula kerajaan masih berlangsung di bawah kerajaan perpaduan nasional yang baru ditubuhkan.

Seperti yang mudah berlaku, mereka yang turun memprotes boleh dirampas perjuangan mereka oleh para oportunis yang lebih cekap dan mendapat bantuan pihak-pihak berkepentingan.

Jalan untuk melihat janji-janji manis yang dikemukakan terlaksana masih jauh, walaupun kelihatan sudah hampir.

Permainan politik dalaman tidak dapat dielakkan daripada berlaku dan boleh sahaja terjadi perubahan yang sudah berlaku ini akhirnya tidak menunaikan janjinya.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan membayangkan wujud potensi campur tangan yang boleh merampas dan mengubah haluan yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Tunisia itu.

Beliau menggesa agar pilihan rakyat Tunisia dihormati dalam pilihan raya yang akan diadakan nanti, menggesa supaya kuasa-kuasa Barat “menerima hakikat akan pilihan oleh rakyat Tunisia nanti, dengan tidak memberikan tekanan kepada mana-mana pihak terutamanya terhadap kumpulan Islam yang selama ini menghadapi berbagai tekanan dan tindakan zalim.”

Mengulas hal yang sama, pengerusi Citizens International, S M Mohamed Idris dalam kenyataannya memberi amaran campur tangan asing sehingga perubahan ini akhirnya digantikan oleh mereka yang tidak berbeza dengan Ben Ali.

“Penggerak revolusi Tunisia perlu menyedari bahawa Perancis dan Amerika Syarikat mempunyai ramai penyokong di dalam kerajaan, polis, tentera, kehakiman, media, NGO dan kumpulan perniagaan.

“Kuasa imperialis ini sudah tentu sedang sibuk merancang bagaimana untuk memastikan bahawa kuasa politik dipindahkan kepada mereka yang akan berkhidmat kepada bekas penjajah yang mempunyai agenda anti-Islam itu.

“Janganlah  Tunisia mengalami nasib malang Algeria di mana tentera dengan bantuan AS dan Perancis, membunuh proses demokrasi selepas pergerakan politik Islam FIS [Barisan Pembebasan Islam] memenangi pilihan raya,” tegasnya.

Pemain politik yang lebih licik dan berpengalaman pasti lebih bijak mengatur langkah, memanfaatkan sebarang agenda untuk kepentingan sendiri.

Selepas orang muda Tunisia membuka ruang untuk perubahan ini, pemain-pemain lain yang juga mengimpikan perubahan ke arah kebaikan perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, agar tenaga dan nyawa yang telah dikorbankan generasi muda itu tidak sia-sia.

Dan hal ini bukan hanya tertakluk di Tunisia, tetapi juga di mana-mana negara yang mengharapkan generasi muda menyumbang tenaga untuk melihat perubahan. - 18 Januari, 2011

Labels: , ,

Monday, January 17, 2011

Pakistan, medan perang terorisme dunia

Pakistan, negara jiran Afghanistan di Asia Selatan menjadi salah satu lokasi operasi tentera Amerika Syarikat ekoran serangan 11 September, 2001.
Akibat kedudukannya berkongsi sempadan, kumpulan etnik, bahasa dan medan aktiviti kumpulan al-Qaeda dan Taliban, negara itu diletakkan dalam tajuk yang sama  - disebut sebagai Af-Pak - dengan Afghanistan oleh komuniti dasar luar AS.
Hari ini, hampir 10 tahun operasi tentera Barat di Afghanistan, Pakistan menjadi satu isu tersendiri, dengan masalah yang bukan sahaja berkait dengan Afghanistan tetapi juga politik dalaman dan serantau, melibatkan kuasa-kuasa AS, India dan China.
Penglibatan AS yang boleh menguatkan atau menambahkan peralatan perang Pakistan menarik respons daripada India, dan juga China yang menjadi sekutu rapat Pakistan.
Satu topik besar yang tidak dapat dielakkan apabila berbicara tentang Pakistan ialah serangan dron atau pesawat tanpa juruterbang di negara itu.
Tahun 2010 menyaksikan Pakistan mencatatkan rekod serangan dron kendalian Agensi Perisikan Pusat, CIA, yang meningkat dengan dramatik berbanding tahun sebelumnya.
Sejak dimulakan di bawah Presiden George W Bush – yang memulakan “perang menentang terorisme” pada 2001 – pada 2004, serangan dron di Pakistan dilakukan sebanyak 43 kali, hingga akhir tempoh Bush pada 2008, menurut satu anggaran. Anggaran kematian, termasuk orang awam ialah 405 nyawa.
Apabila Presiden Barack Obama mengambil alih pemerintahan, 53 serangan dron dilakukan pada 2009, menyebabkan lebih 700 kematian, melebihi jumlah serangan dan kematian sepanjang tempoh pentadbiran Bush.
Sepanjang 2010, 117 – atau 118 menurut satu penilaian lain – serangan dron diluluskan Obama, menyaksikan sehingga 938 kematian.
Presiden yang telah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan itu jauh mengatasi Bush dalam meluluskan serangan dron, dan turut meningkatkan kehadiran tentera AS di Afghanistan.
Perkembangan di Pakistan itu, walaupun kurang mendapat perhatian termasuk di dunia Islam – terutama apabila dibandingkan dengan kes kapal Mavi Marmara – merupakan antara isu terbesar pada tahun lalu.
Apa yang berlaku ini menjadikan Pakistan sebagai satu medan perang utama dunia, dengan penglibatan kuasa besar yang mendalam.
Penglibatan kuasa besar AS, China dan India membentuk respons kerajaan Pakistan terhadap pelbagai isu, paling utama kini ialah terorisme.
Hubungan baik Pakistan dengan China turut menjadi faktor AS mendekati Islamabad dan menjadikan negara itu salah satu isu utama dasar luar.
Islamabad menjadi antara penerima terbesar bantuan ketenteraan daripada Washington, berjumlah AS$19 bilion sepanjang dekad lalu.
Pada 2010, AS dilaporkan menyalurkan sebanyak AS$700 juta untuk kelengkapan dan latihan ketenteraan kepada Pakistan, meningkat daripada AS$400 juta tahun sebelumnya.
Dana ini, yang dikhaskan untuk pembelian peralatan memerangi militan, meningkat kepada AS$1.2 bilion tahun ini.
Dengan jumlah sebesar ini, sukar untuk dibayangkan kerajaan Pakistan akan menolak bantuan tersebut.
Kegiatan al-Qaeda dan Taliban di negara itu telah menjadi satu punca utama untuk kerajaan menerima bantuan beratus juta dolar itu.
Islamabad didakwa sesetengah pemerhati sebagai gembira menerima bantuan itu dan akan terus memperbesarkan ancaman militan di negara itu, walaupun serangan dron tersebut mencetuskan implikasi negatif kepada politik dalam negara.
Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan-laporan tentang Pakistan sejak beberapa tahun lalu hingga ke hari ini, tidak banyak yang berubah di negara itu, melibatkan isu-isu asas seperti demokrasi dan juga aktiviti al-Qaeda dan Taliban.
Pakistan menerima lawatan Naib Presiden AS, Joseph Biden minggu lalu, dan isu bantuan untuk memerangi teroris menjadi satu topik yang dibincangkan.
Dalam lawatan singkat itu, Biden menggesa kerajaan Pakistan lebih agresif memerangi militan, mengukuhkan lagi hujah untuk Islamabad terus menerima bantuan beratus juta dolar dari AS. 
Kemudian, dalam lawatan Presiden Pakistan Asif Ali Zardari ke Washington, sokongan AS untuk Pakistan memerangi terorisme turut menjadi satu topik utama.  
Asif dijadual melawat AS beberapa bulan lagi dan Obama juga mempunyai rancangan untuk melawat Pakistan, dalam usaha merapatkan lagi kerjasama kedua-dua negara.
Hubungan baik Islamabad dengan Washington ini memberi impak dalam negara majoriti Muslim itu. Dapat dijangka kumpulan militan tersebut akan memberikan respons yang juga keras terhadap AS dan kerajaan Pakistan pimpinan Presiden Asif Ali Zardari. 
Kitaran ini boleh dijangka akan berterusan, kerana serangan dron dan bantuan AS kepada Pakistan akan terus mencetuskan tindak balas daripada militan dan ekstremis di Pakistan.
Tindak balas itu pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Pakistan sebagai medan utama peperangan terorisme di dunia.

Labels: , ,