Politik Pop

Friday, March 04, 2011

Hubungan keluarga Saud-Khalifah dan politik Syiah Bahrain-Saudi

Protes melibatkan masyarakat Syiah di timur Arab Saudi yang baru bermula meningkatkan lagi profil komuniti itu di sekitar Teluk Parsi, selepas protes besar-besaran di Bahrain menjadikan mereka semakin mudah diperhatikan.

Tunjuk perasaan di Awwamiya dan Qatif, sebuah bandar utama masyarakat Syiah di Arab Saudi menampakkan satu kaitan komuniti itu di Bahrain dan timur Arab Saudi.

Mereka menuntut pembebasan ahli komuniti mereka yang didakwa ditahan tanpa bicara, terbaharu seorang alim, Tawfiq al-Amir pada 1 Mac lalu di bandar al-Hufuf, selepas memberi ucapan menggesa penubuhan negara raja berpelembagaan dan menghapuskan diskriminasi.

Ekoran penahanan itu, demonstrasi besar-besaran dijadual diadakan selepas solat Jumaat pada 11 Mac nanti, menuntut pembebasan beliau dan dijangka turut akan mengutarakan isu-isu lain melibatkan komuniti Syiah.

Di Arab Saudi, Syiah dianggar berjumlah 10 peratus daripada populasi seramai 18 juta orang. Di Bahrain, Syiah merupakan majoriti melebihi 60 peratus daripada populasi seramai 800,000.

Apa yang dibimbangi pemerintah Saudi, protes di Bahrain mempengaruhi komuniti Syiah di timur Arab Saudi kini sudah berlaku dan bakal meningkat lagi.

Syiah di Bahrain dan wilayah timur Arab Saudi mempunyai hubungan dalam satu sejarah yang panjang, begitu juga keluarga al-Saud dan al-Khalifah.

Kedua-duanya terlibat dalam satu persaingan naratif sejarah kawasan terbabit, yang sering dikemukakan dalam bentuk persaingan Arab dengan Parsi, Syiah dengan Sunni dan sebagainya.

Masyarakat Syiah Bahrain menegaskan identiti Arab mereka dan sejarah panjang mereka di kawasan Teluk Parsi.

Di seberang yang lain, keluarga al-Saud dan al-Khalifah sehingga kini masih membawa naratif hubungan Syiah terbabit sebagai orang asing dan alat kepada Parsi dan Syiah.

Nama Bahrain, yang kini dikhaskan untuk sebuah negara, pada zaman awal sejarah Islam meliputi kawasan timur Arab Saudi, bandar Hasa dan Qatif, dan pulau yang menjadi negara Bahrain kini.

Satu hujah yang dikemukakan oleh masyarakat Syiah timur Arab Saudi dan Bahrain untuk menegaskan kedudukan sejarah mereka ialah sokongan puak Abdul Qais yang mendiami kawasan Bahrain, Hasa dan Qatif di timur Arab Saudi sebagai penyokong Ali bin Abi Talib untuk menjawat jawatan khalifah selepas kewafatan Nabi Muhammad saw.

Menurut mereka, keturunan ini masih merupakan satu bahagian besar masyarakat di kawasan terbabit.

Kedudukan Bahrain sebagai wilayah di bawah penguasaan Parsi sebelum era penubuhan negara bangsa mengukuhkan kedudukan Syiah di pulau itu.

Keluarga al-Saud dan al-Khalifah yang masing-masing kini menguasai Arab Saudi dan Bahrain juga mempunyai sejarah yang panjang.

Kedua-dua keluarga berasal dari Najd di semenangjung Arab, daripada konfederasi puak yang sama. Sebelum sampai dan terus menetap dan menguasai Bahrain, keluarga al-Khalifah pernah singgah di Kuwait dan Qatar.

Hubungan sejarah ini, yang melibatkan kesetiaan puak, aliran politik dan pelbagai kepentingan lain menjelaskan sokongan kuat Riyadh kepada keluarga al-Khalifah di Bahrain.

Kedua-dua keluarga al-Saud dan al-Khalifah menggunakan bahasa pertentangan antara Arab dengan Parsi dan Sunni dengan Syiah untuk menjelaskan penaklukan mereka ke atas Hasa dan Qatif dan Bahrain.

Keluarga al-Khalifah menakluk Bahrain selepas menewaskan kekuasaan Parsi di pulau itu.

Hasa dan Qatif di timur Arab Saudi pula akhirnya menjadi sebahagian negara dikuasai dinasti itu selepas ditakluk keluarga al-Saud daripada penguasaan Turki Uthmaniyyah.

Kedua-dua keluarga melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal populasi Syiah di negara masing-masing, dengan Saudi melaksanakan langkah yang lebih keras di Hasa dan Qatif.

Sepanjang sejarah negara Saudi, pemerintah telah mengambil langkah menghalang aktiviti komuniti Syiah, disebabkan oleh faktor penting Wahabisme sebagai ideologi negara.

Menurut catatan sejarah, langkah itu termasuk menutup pusat pembelajaran, perpustakaan, mengharamkan ibadat di tempat awam dan pelantikan hakim dan imam Sunni dari wilayah lain untuk menguatkuasakan Islam Sunni di Hasa dan Qatif.

Tindakan turut dilakukan untuk menghapuskan kedudukan keluarga Syiah berpengaruh dan dipindahkan ke tempat lain sehingga akhirnya ramai yang melarikan diri ke negara lain, termasuk Iraq dan Iran.

Sehingga kini, tidak banyak yang berubah melibatkan layanan keluarga al-Saud dan al-Khalifah terhadap warga Syiah di Arab Saudi dan Bahrain.

Di Arab Saudi, terbaharu berlaku peningkatan tuntutan oleh komuniti Syiah di Arab Saudi pada awal 1990-an ketika Perang Teluk tercetus, menuntut penglibatan lebih besar masyarakat Syiah di negara itu.

Kerajaan Saudi kemudian mula memulakan hubungan dengan pemimpin-pemimpin Syiah.

Kemudian, kerajaan Saudi di bawah Raja Abdullah yang mula memerintah sejak 2005 turut melaksanakan beberapa perubahan yang mengurangkan peminggiran terhadap komuniti Syiah.

Bahrain memperlihatkan lebih kebebasan melalui dewan rendah parlimen yang menyaksikan 18 daripada 40 kerusi dipegang oleh wakil Syiah, walaupun dewan itu secara praktiknya tidak mempunyai kuasa sebenar.

Dewan tinggi dikenali Majlis Syura memiliki kuasa sebenar, dan wakil-wakilnya dilantik oleh raja.

Protes komuniti Syiah di kedua-dua negara mempunyai satu akar sejarah yang jelas, sesuatu yang menjadikan protes di Arab Saudi kini menimbulkan pelbagai tanggapan dan jangkaan.

Hak komuniti tersebut di kedua-dua Bahrain dan Arab Saudi telah lama dinafikan, mendorong kemunculan manifestasi penentangan secara terbuka yang lebih besar.

Walau bagaimanapun, tanpa menafikan peranan oleh komuniti Syiah di kedua-dua negara, tuntutan untuk kebebasan dan partisipasi lebih luas bukan hanya melibatkan masyarakat Syiah, terutama di Arab Saudi.

Labels: , ,

Thursday, March 03, 2011

Ikhwan al-Muslimin dalam proses demokratik Mesir

"First, Brotherhood leaders have repeatedly declared that they have no immediate interest in ruling Egypt. Mohamed Badie, the Brotherhood's supreme guide, as well as Brotherhood spokesmen have clearly stated that they want no part in a transitional government, that they will not run a candidate for the presidency and that they will not compete for a majority of parliamentary seats. These are not the actions of a power-hungry, totalitarian movement." 

Demikian menurut Zack Gold dalam tulisan di World Politics Review bertajuk Muslim Brotherhood Deserves a Chance in Democratic Egypt. Rencana itu ialah sedutan tesis master beliau bertajuk The Egyptian Muslim Brotherhood: Moderate Islamists, Moderate Democrats

Tajuk tesis tersebut memberi gambaran sikap "moderat" sebagai demokrat, yang mungkin menegaskan penulis itu menganggap Ikhwan tidak sepenuhnya demokratik.

Walau bagaimanapun, tidak ada satu pandangan diterima semua berhubung Ikhwan di Barat, malah di seluruh Asia Barat. 

Labels: ,

Wednesday, March 02, 2011

Erbakan, Islamis yang menggugat sekularisme Turki

Necmettin Erbakan, tokoh gerakan Islam Turki yang meninggal dunia pada Ahad, 27 Februari lalu merupakan seorang yang telah mencatat sejarah penting politik Islam di negara sekular itu.

Turki secara rasmi menjadi republik pada 1923 dan menegaskan identiti sekular berasaskan ide Mustafa Kamal Ataturk pada 1928 dengan klausa Islam sebagai agama negara dipadamkan daripada perlembagaan.

Sejak itu, Kamalisme menjadi satu tunjang penting republik Turki, menegaskan identiti sekular Turki yang memisahkan agama daripada ruang politik.

Erbakan mencatat sejarah sebagai pemimpin parti Islam yang pertama berjaya membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri, walaupun untuk satu tempoh yang singkat.

Erbakan menyaksikan laluan sukar sejak terlibat secara aktif dalam politik pada 1969, apabila memenangi wakil bebas untuk Konya di Parlimen Turki.

Pada 1970, beliau menubuhkan Parti Orde Nasional, yang diharamkan pada tahun berikutnya kerana didakwa menentang asas sekular negara Turki.

Pada 1972, Erbakan menubuhkan Parti Penyelamat Nasional dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pilihan raya 1973 dan 1977. Beliau malah pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dalam tiga kerajaan pakatan bersama parti lain.

Parti itu turut diharamkan pada 1980 dan Erbakan dipenjarakan, ekoran satu rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Erbakan dan beberapa ahli politik lain diharamkan daripada terlibat dalam politik, sehingga larangan itu ditamatkan pada 1987.

Pada 1983, Parti Kebajikan (Refah) ditubuhkan dan Erbakan mula memimpin Refah pada 1987 selepas pengharaman penglibatannya dalam politik ditarik balik.

Refah berjaya meletakkan 40 orang wakil di Parlimen Turki dengan pakatan bersama Parti Rakyat.

Kemudian, Parti Kebajikan menyaksikan kemenangan terbesarnya pada 1995 apabila menjadi parti pertama mendapat 21 peratus undi, menjadi kumpulan terbesar dalam parlimen.

Dengan pakatan bersama parti pimpinan Tansu Ciller, sebuah kerajaan ditubuhkan pada 1996 dengan Erbakan menjadi perdana menteri Islamis pertama Turki.

Erbakan hanya menjadi perdana menteri selama setahun, bermula Jun 1996 hingga Jun 1997.

Kemunculan parti Islam pimpinan Erbakan mencetuskan satu debat hangat di Turki yang sekular itu, debat yang masih berjalan sehingga ke hari ini, walaupun selepas parti yang lebih sekular mengetuai kerajaan.

Pihak tentera, penjaga sekularisme Turki kemudian bertindak sekali lagi terhadap parti pimpinan Erbakan dan memaksanya meletak jawatan.

Parti Kebajikan kemudian diharamkan pada 1998 dan Erbakan diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun.

Erbakan menamatkan hayatnya sebagai pemimpin sebuah parti Islam, mencatat sejarah tersendiri sebagai Islamis Turki dan dalam perjuangan Islam di negara yang paling fanatik dalam mempertahankan apa yang ditafsir sebagai sekularisme, lebih daripada apa yang dilihat di Eropah.

Oktober tahun lalu, Parti Kebahagiaan (Saadet) melantik Erbakan sebagai pemimpin parti dalam satu konvensyen diadakan untuk memilih pimpinan baru.

Kepimpinan Erbakan dalam Parti Kebahagiaan mencatatkan parti keempat yang dipimpin beliau selama hayatnya.

Episod perjuangan Erbakan menyaksikan satu persaingan sengit merentasi tekanan sekularisme yang kuat di Turki, sehingga asas-asas demokratik dilanggar untuk memenangkan sekularisme.

Sejarah penglibatan Erbakan dalam politik telah menyaksikan kemampuan parti Islam untuk terus terlibat dan menerima sokongan, termasuk pada masa ini ketika parti pasca-Islamis pimpinan Recep Tayyip Erdogan memimpin Turki.

Kes Islamis di Turki telah mengukuhkan hujah untuk menyokong pilihan fasa pasca-Islamisme dalam perjuangan parti-parti Islam.

Parti Erbakan dilihat sebagai tidak berupaya meneruskan perjuangan di Turki dengan wajah Islamis, berbanding Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP.

AKP muncul dengan lebih berupaya bercakap dalam bahasa semasa, menyentuh isu-isu yang mudah diterima ramai.

Walaupun sentiasa diberi amaran supaya tidak mengulangi sikap dan tindakan Islamis di Turki, AKP diterima Barat sebagai model bagi gerakan Islam dan peranan Islam dalam politik.

Di peringkat antarabangsa, usaha AKP mendekatkan Turki dengan Kesatuan Eropah dengan tindakan-tindakan yang menyelaraskan amalan di Turki dengan Eropah menerima pujian dari Barat.

Terbaru, tindakan melibatkan Israel melonjakkan lagi nama AKP dan Turki, menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan kedudukan Turki sebagai kuasa serantau di Timur Tengah.

Erbakan, di penghujung hayatnya memperlihatkan sikap kritikal terhadap AKP dan kepimpinan Erdogan.

Ekoran episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara, Erbakan mengkritik keras kerajaan Erdogan yang didakwa bersikap hipokrit apabila mengamalkan dua amalan berbeza dalam urusan melibatkan Israel.

Menurut Erbakan, Turki terus berurusan berbilion dolar melibatkan senjata dengan Israel, walaupun apa yang terjadi di Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada 2009 melibatkan Erdogan dengan Shimon Peres memperlihatkan hal yang berbeza.

Dalam konvensyen yang menyaksikan pemilihannya sebagai pemimpin parti barunya, Erbakan turut mengkritik AKP dan menyatakan Parti Kebahagiaan sebagai parti Islam sebenar.

Menjelang pilihan raya Turki akan datang pertengahan tahun ini, parti Islam pimpinan Erbakan dijangka mengadakan aliansi dengan parti Islam lain.

Parti Kebahagiaan yang ditinggalkan Erbakan akan meneruskan perjuangan Islamis Turki, yang kini menjadi satu legasi penting tokoh yang dianggap “guru gerakan Islam” itu.

Dalam suasana pasca-Islamisme dilihat sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi untuk gerakan Islam, Erbakan telah memperlihatkan kelangsungan hidup Islamis, yang terus mengambil bahagian dalam politik Turki.

Perjuangan panjang politik Erbakan telah mencatat sejarah dalam perjuangan Islamis menghadapi sekularisme Turki.

Erbakan telah mencatat sejarah sebagai Islamis yang terus menjadi pencabar utama fahaman Kamalisme Turki yang meletakkan sekularisme sebagai asas utama negara.

Labels: , ,