Politik Pop

Wednesday, September 28, 2011

Charlie Sheen, Two and a Half Men dan 911

Pada 1986, Charlie Sheen muncul dalam filem Platoon, mendedahkan politik dalaman tentera Amerika Syarikat dalam operasi tentera di Vietnam.

Tahun 1987, Sheen dalam Wall Street mendedahkan bagaimana sifat tamak menguasai aktiviti di pusat kewangan dan pasaran saham AS itu.

Kemudian, bermula 2006, Sheen menangani satu lagi isu politik yang besar, kali ini dalam kehidupan sebenar, iaitu isu serangan 11 September, 2001 di New York dan Washington.

Sheen dengan terbuka dan lantang mula mempersoalkan versi kerajaan tentang peristiwa yang mengubah politik AS itu.

Pelakon yang popular dengan siri sitkom Two and a Half Men itu mendakwa wujud usaha kerajaan AS menutup cerita sebenar peristiwa itu.

Sheen menimbulkan pelbagai persoalan, daripada kemampuan mereka yang didakwa terlibat merampas pesawat dan berjaya menepati sebahagian besar sasaran hingga kepada runtuhan bangunan yang dilihat sukar diterima akal ekoran dakwaan pergerakan api ke bawah dan meruntuhkan menara tinggi terbabit.

Pendirian politik Sheen mencetus kontroversi berpanjangan di AS, tetapi jauh kurang mendapat liputan media berbanding, misalnya, pertembungan kumpulan muzik country Dixie Chicks dengan golongan konservatif akibat komen berhubung tindakan George W Bush.

Malah, dapat diperhatikan bahawa episod pertembungan politik dan budaya popular melibatkan Sheen merupakan paling kurang mendapat liputan walaupun siri Two and a Half Men ialah salah satu sitkom paling popular.

Sheen terus berpegang dengan pandangannya yang kontroversi di AS itu, dan pada masa sama muncul setiap minggu di televisyen dalam siri popular itu.

Menurutnya dalam satu wawancara, beliau bukan pembawa teori konspirasi, tetapi mereka yang membawa versi rasmi peristiwa itu sebenarnya pembawa teori konspirasi.

Beliau malah menyampaikan satu mesej kepada Presiden Barack Obama melalui video menuntut siasatan baharu untuk peristiwa itu.

Berita berkaitan Sheen di media AS walau bagaimanapun lebih tertumpu pada isu peribadinya, sehingga tercetus masalah dengan studio Warner Bros dan pencipta bersama siri itu, Chuck Lorre, sehingga menyebabkan Sheen dipecat (Sheen, Warner Bros dan Lorre dilapor menyelesaikan pertikaian mereka berikutan pemecatan pelakon itu baru-baru ini).

Sheen dikenali sebagai pelakon yang selalu berdepan masalah peribadi, dan sering muncul dalam laporan berita hiburan berhubung skandalnya.

Dalam laporan-laporan melibatkan pertikaian Sheen dengan studio dan Lorre, serta laporan perkembangan siri Two and a Half Men hingga ulasan episod pertama musim baharu siri itu bersama pelakon baharu Ashton Kucher, cerita pandangan politik Sheen berhubung 911 hampir pasti tidak disebut.

Hal ini demikian sehingga timbul kritikan bahawa wujud usaha untuk menutup perhatian ramai daripada pandangan kontroversi Sheen itu, dengan cara menggelapkan isu itu.

Wujud kebimbangan bahawa populariti Sheen yang membintangi sitkom popular Two and a Half Men ditonton jutaan audiens itu boleh memberi impak kepada orang ramai.

Bersama Kucher, Two and a Half Men kembali untuk musim kesembilan 20 September lalu, sekitar masa yang sama sambutan 10 tahun peristiwa serangan 11 September, 2001.

Musim baharu sitkom itu dengan Kucher mendapat ulasan bercampur-campur, dengan tumpuan pada Kucher yang menggantikan Sheen yang dimatikan wataknya.

Kematian watak Sheen dalam sitkom Two and a Half Men, sebagai menamatkan peranannya dalam siri popular itu mungkin berjaya mengurangkan perhatian kepada pelakon kontroversi dengan pandangan politik yang kontroversi itu.

Sheen walau bagaimanapun telah meningkatkan lagi perhatian terhadap isu kontroversi peristiwa 11 September, 2001, sebahagiannya disebabkan populariti beliau, mencatat satu lagi episod penting dalam hubungan politik dengan budaya popular.

Labels: , ,