Politik Pop

Friday, March 16, 2012

Asia, antara abad Pasifik AS dan kebangkitan China


Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Presiden Barack Obama sejak beberapa tahun lalu kelihatan menumpukan perhatian pada misi ketenteraan di Afghanistan-Pakistan dan menguruskan hal ehwal Iraq pasca-Saddam.

Afghanistan dan Pakistan, yang disebut Af-Pak dalam lingkungan dasar luar di Washington, dan juga Iraq menarik banyak tenaga pentadbiran Obama, sehingga menjadi satu beban politik kepada beliau.

Tumpuan Obama pada kedua-dua medan itu pada masa masa dilihat sebagai menghabiskan sumber dan tumpuan AS di sana, dan mengabaikan Asia Timur yang tidak kurang penting dalam persaingan abad ke-21.

Walau bagaimanapun, pada penghujung 2011, Obama memulakan satu gerak untuk menempatkan semula AS di Asia-Pasifik dengan lebih mendalam, memperlihatkan satu kesungguhan baharu dalam usaha menangani kebangkitan China.

Tindakan terbaharu pentadbiran Obama itu memperlihatkan satu agenda besar yang mahu ditangani oleh Washington di Asia-Pasifik yang semakin menyaksikan kebangkitan ekonomi dan ketenteraan Beijing.

Memberi gambaran agenda besar AS ini, Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, menulis dalam majalah Foreign Policy pada November lalu menegaskan kepentingan Asia sebagai penentu politik global dan peranan AS yang bakal dipastikan dalam menangani perkembangan baharu ini.

Dalam makalah bertajuk America’s Pacific Century itu, Clinton menegaskan Asia-Pasifik kini menjadi penggerak utama politik global, dan AS perlu membuat pelaburan di rantau ini, sebagai sebuah “kuasa Pasifik.”

Dalam satu tempoh yang singkat, AS melaksanakan tiga langkah yang dilihat sebagai tindakan untuk menangani kebangkitan China.

Pertama, ketika sidang kemuncak Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) pertengahan November lalu, Obama mengumumkan rancangan penubuhan Kerjasama Trans-Pasifik (TPP), satu blok ekonomi di rantau Asia-Pasifik yang tidak melibatkan China, sebuah kuasa ekonomi Asia-Pasifik.

Kedua, AS menempatkan tentera di utara Australia bermula tahun 2012, rancangan yang diumumkan Obama ketika lawatan 27 jam ke negara sekutu kuat Washington di Asia-Pasifik itu selepas sidang APEC.

Lawatan Obama ke Australia itu bersempena pakatan ketenteraan 60 tahun AS-Australia yang meliputi kerjasama rapat kedua-dua negara di medan Perang Dunia Kedua hingga ke operasi di Afghanistan.

Ketiga, selepas pertemuan APEC, Obama mengumumkan lawatan bersejarah setiausaha negara AS ke Burma, negara sekutu kuat China di Asia Tenggara.

Agenda-agenda tersebut secara kolektif membina semula kedudukan penting AS di Asia-Pasifik, dalam usahanya menangani kebangkitan China dan mengukuhkan lagi posisi sebagai kuasa besar dunia pada masa ini, walaupun dilihat sebagai mula merosot secara relatif.

Tindakan-tindakan ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai gerakan anti-China, atau sekurang-kurangnya untuk mengimbangi pengaruh China yang sedang meningkat.

Pada 2005, Sidang Kemuncak Asia Timur diadakan buat pertama kali di Kuala Lumpur, melibatkan ahli-ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), China dan beberapa negara sekutu AS tetapi tanpa melibatkan AS.

Pada masa itu, dapat diperhatikan terbit kebimbangan sesetengah pihak, terutama golongan konservatif di AS terhadap apa yang dilihat sebagai peminggiran AS dari Asia-Pasifik itu.

Kali ini, AS membawa pula TPP, kerjasama ekonomi yang meluas di Asia-Pasifik tanpa melibatkan China.

Kerjasama perdagangan bebas ini berpotensi besar untuk merapatkan hubungan ekonomi, malah juga politik, antara negara-negara terbabit dengan AS.

TPP bermakna Washington juga akan dapat memainkan peranan kepimpinan yang lebih berbanding dalam APEC.

APEC telah menunjukkan ekonomi hanya menjadi satu bahagian forum atau kerjasama yang menyaksikan peranan kritikal AS itu.

Sukar untuk membayangkan APEC seperti yang wujud hari ini dilaksanakan tanpa perkiraan geopolitik melibatkan kebangkitan China.

Dimensi politik melibatkan peranan dan kedudukan AS di Asia-Pasifik menjadi satu lagi bahagian penting yang ditangani melalui APEC.

Melalui TPP, kerjasama dan integrasi ekonomi antara negara-negara terlibat mengukuhkan kehadiran dan pengaruh AS di rantau Asia-Pasifik, dan mampu menguatkan sebarang agenda AS melibatkan politik dan ketenteraan di rantau ini.

Komitmen AS untuk terus berperanan penting di Asia-Pasifik bermakna pengaruh China sebagai gergasi ekonomi, terutama di Asia-Pasifik bakal dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Perjanjian-perjanjian yang akan membentuk dan menggerakkan TPP akan lebih mengikat negara-negara rantau Asia-Pasifik dengan AS, menjadikannya negara yang tidak dapat dielakkan daripada dilibatkan dalam sebarang keputusan.

TPP menjadi salah satu komponen yang menjadi tunjang “abad Pasifik AS” yang sedang digerakkan pada masa ini.

Seperti juga APEC, TPP bakal menjamin peranan kepimpinan AS di rantau Asia-Pasifik ditingkatkan lagi, sesuai dengan dasar baharu AS untuk memberi tumpuan pada rantau ini pada abad ke-21.

Selain kerjasama Asia-Pasifik itu, lawatan Clinton ke Burma awal Disember juga membuka ruang dan peluang untuk AS meningkatkan pengaruh di negara autoritarian dinaungi Beijing itu.

Dalam era kebangkitan rakyat ekoran perkembangan di Asia Barat pada masa ini, kempen menyebarkan demokrasi oleh Washington kelihatan mendapat semakin ramai audiens, terutama di negara yang dipimpin kepimpinan kuku besi dan tertutup seperti Burma.

Masih awal untuk menjangkakan perubahan politik yang bermakna di Burma akibat lawatan Clinton itu, tetapi simbol daripada lawatan itu, dan kesannya terhadap kumpulan-kumpulan politik tertentu di Burma tidak boleh dipandang rendah.

Salah satu misi lawatan setiausaha negara AS itu ialah kempen demokrasi, iaitu menggesa kerajaan Burma melaksanakan lebih pembaharuan politik ke arah yang lebih demokratik dan terbuka.

Dalam satu kenyataan selepas bertemu Presiden Thein Sein, Clinton menegaskan janji untuk memulihkan hubungan Washington dengan Naypidaw selari dengan pembaharuan yang dilaksanakan pemerintah Burma.

Perubahan yang dimaksudkan AS itu tidak terlepas daripada persoalan hubungan Burma dengan China, satu faktor yang dikaitkan dengan kepimpinan autoritarian negara dikuasai tentera itu.

Burma ialah sekutu kuat China, dengan hubungan dagang dan ketenteraan yang baik dan bantuan berjuta dolar dari Beijing untuk pelbagai projek pembangunan.

China membekalkan peralatan ketenteraan untuk Burma dan menjadikan negara bersempadan Lautan Hindi itu sebagai akses ke laluan laut di sebelah baratyang dekat dengan China, dan menjadi sebahagian strategi besar maritim Beijing berhubung Lautan Hindi.

Hubungan China dengan Burma dilihat sedikit terjejas kebelakangan ini, lalu membuka peluang kepada AS, walaupun Burma dilihat sukar untuk menggadaikan hubungan dengan negara jiran kuasa serantau itu.

Satu perkembangan yang paling jelas dapat diperhatikan ialah arahan menghentikan pembinaan ampangan Myitsone oleh presiden Burma, tindakan yang mencetuskan kemarahan China.

Projek usahasama Burma-China bernilai AS$3.6 bilion ialah satu projek berprofil tinggi yang bakal menjadi salah satu tanda jelas sumbangan China dalam pembangunan Burma.

Projek Myitsone itu telah mencetuskan penentangan dan menjadi punca pertempuran antara tentera Burma dengan pemberontak etnik Kachin.

Presiden Thein Sein menyebut tuntutan rakyat sebagai alasan menghentikan projek sokongan Beijing itu.

Langkah seperti itu membolehkan kerajaan Burma memulihkan hubungan dengan AS ekoran petanda perubahan ke arah lebih demokratik dan paling utama, mengurangkan pergantungan kepada China.

Semakin rapat hubungan Naypyidaw dengan Washington bermakna Beijing menyaksikan keterhakisan hubungan baik dengan sekutu pentingnya itu, mencetuskan implikasi meluas terhadap geopolitik China.

Perkembangan dan prospek terbaharu ini membimbangkan China, walaupun boleh berlaku turun naik hubungan antara AS dengan Burma.

Sekitar masa yang sama, iaitu pada penghujung November, beberapahari sebelum lawatan Clinton, Naib Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan pemimpin tentera Burma, Min Aung Hlaing di Beijing, menegaskan kepentingan hubungan ketenteraan kedua-dua negara.

Pertemuan itu merupakan tanda jelas reaksi China terhadap perkembangan terbaharu politik Burma, sekutu kuatnya di Asia Tenggara.

Penekanan semula hubungan ketenteraan AS-Australia pula menyambung semula peningkatan hubungan Washington-Canberra yang dilaksanakan pada masa akhir tempoh Perdana Menteri John Howard pada 2007.

Pada masa itu, Presiden AS George W Bush melaksanakan langkah menangani China melalui pengukuhan kerjasama antara AS, India, Australia dan Jepun, kerjasama yang disebut sebagai “Inisiatif Quadrilateral.”

Dalam satu tempoh yang singkat, kedudukan Australia sebagai sekutu penting AS ditingkatkan melalui satu siri perjanjian termasuk membuka akses kepada teknologi senjata AS yang sebelum itu dinafikan.

Pada masa itu juga, dua sekutu utama AS di Asia-Pasifik, Australia dan Jepun mencapai satu perjanjian dua hala melibatkan kerjasama keselamatan 

Dalam tempoh itu, hubungan empat negara terbabit; AS, India, Australia dan Jepun dikukuhkan dalam satu aturan yang jelas ditujukan kepada China, tetapi juga untuk mengawasi rantau Asia Tenggara berdekatan Australia yang dilihat sebagai pusat ancaman “militan Islam.”

Kini, pengukuhan kerjasama empat negara tersebut diulangi lagi, dalam memenuhi agenda baharu AS di Pasifik.

Australia, yang telah berperang bersama AS sejak Perang Dunia Pertama mempunyai kedudukan yang istimewa kepada kuasa besar AS dan kuasa dunia sebelumnya, England.

Australia sentiasa memastikan hubungan baiknya dengan Barat dipelihara, termasuk dengan mengambil peranan sebagai “timbalan sherif” kepada kuasa besar AS di rantau sebelah sini.

Canberra sentiasa menyedari kepentingan untuk terus bersama kuasa besar Barat, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terutama konflik ketenteraan.

Pendirian ini menjadi salah satu asas dalam dasar luar Australia, sebuah negara yang bersifat Barat walaupun berada di dunia Asia.

Penempatan tentera AS di Darwin, utara Australia memperlihatkan peranan negara itu dalam usaha terbaharu menangani kebangkitan China. AS pada masa sama turut meningkat kerjasama dengan dua lagi sekutu penting India dan Jepun.

Kehadiran AS itu membawa mesej ketika China bangkit dan semakin dilihat sebagai ancaman, AS juga turut menunjukkan komitmennya di rantau Asia-Pasifik.

China semakin meningkatkan kemampuan tentera lautnya, dan selari dengan itu, retorik kerasnya seperti diperhatikan dalam kes melibatkan negara serantau yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan.

Malah, Beijing juga secara terbuka memberi amaran kepada Washington supaya tidak campur tangan dalam pertikaian serantau itu.

Tindakan terbaharu AS ini menampakkan kesungguhan untuk menangani China yang semakin meningkat pengaruh di rantau Asia-Pasifik, melalui tiga dimensi ekonomi, politik dan ketenteraan.

Perkembangan ini bakal menjadi cabaran paling getir kepada China dalam menegaskan pengaruhnya di rantau Asia-Pasifik dan menguji negara-negara Asia, termasuk Malaysia, dalam usaha mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua Washington dan Beijing. – 12 Disember, 2011

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home