Politik Pop

Monday, May 07, 2012

Perempuan nan berjuang

Majalah Foreign Policy terbaharu menjadikan isu wanita sebagai fokusnya, tetapi dengan memilih tajuk "The Sex Issue," dan dengan fokus utama pada dunia Muslim.

Pada masa sama mungkin memberi gambaran fetish aneh redaksi majalah tersebut, gambar muka depannya juga memberi implikasi yang luas terhadap imej dan persepsi berkaitan isu wanita dalam Islam.

Gambar tersebut menunjukkan wanita tanpa pakaian, tetapi dicat dengan warna hitam seperti pakaian hijab, imej yang menggambarkan satu ide stereotaip Barat berkaitan wanita dalam Islam.

Majalah Foreign Policy, dalam hal ini, mengeksploit seksualiti wanita (melalui tajuk dan imej muka depan majalah) dan pada masa sama cuba memperjuangkannya melalui isu-isu yang diketengahkan.

Tidak keterlaluan dikatakan tujuan memilih tajuk "sex" dan bukan "women" didasarkan atas keperluan pasaran.

Hal ini dijelas dengan lebih panjang dalam satu tulisan oleh dua orang wanita di majalah Jadaliyya. Apa yang memperlihatkan stereotaip pemikiran dan sikap selektif Barat dalam hal ini termasuklah tulisan aktivis liberal Mesir, Mona El Tahawy yang dangkal.

Tanpa menafikan kewujudan masalah melibatkan layanan terhadap wanita di dunia Arab dan Muslim,  masyarakat ini juga mempunyai contoh-contoh peranan wanita yang bukan sahaja menafikan stereotaip tetapi juga berpotensi memalukan dunia Barat.

Satu contoh dimuatkan dalam buku The Enchanted Modern: Gender and Public Piety in Shi'i Lebanon, hasil kajian terhadap satu kumpulan masyarakat Muslim di selatan Lubnan, yang disifatkan oleh seorang pengulas sebagai "adds to the increasingly voluminous literature in anthropology, history, and women's studies that has demonstrated the absurdity and conceit of Western notions of the subordinated Arab and/or Muslim woman as the passive victim in need of liberation by Western feminism."

Semasa era yang boleh disifatkan sebagai "age of terror" yang sebenar (bukan yang seperti didakwa bermulapada 11 September, 2001), seorang wanita, Leila Khaled, muncul sebagai satu personaliti dan imej pejuang wanita, yang imejnya masih kekal hingga ke hari ini.

Fokus oleh majalah Foreign Policy itu menambahkan lagi wacana yang mengukuhkan stereotaip berhubung wanita dan masyarakat Muslim, dengan mengambil gambaran karikatur dan tidak mewakili semua malah sebahagian besar dunia Islam.

Barat dan Amerika Syarikat khususnya, sebenarnya perlu memerhatikan dengan lebih mendalam kepelbagaian masyarakat lain, terutama Muslim, dalam menangani wacana ini.


Labels: , , , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home