Politik Pop

Friday, March 16, 2012

Asia, antara abad Pasifik AS dan kebangkitan China


Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Presiden Barack Obama sejak beberapa tahun lalu kelihatan menumpukan perhatian pada misi ketenteraan di Afghanistan-Pakistan dan menguruskan hal ehwal Iraq pasca-Saddam.

Afghanistan dan Pakistan, yang disebut Af-Pak dalam lingkungan dasar luar di Washington, dan juga Iraq menarik banyak tenaga pentadbiran Obama, sehingga menjadi satu beban politik kepada beliau.

Tumpuan Obama pada kedua-dua medan itu pada masa masa dilihat sebagai menghabiskan sumber dan tumpuan AS di sana, dan mengabaikan Asia Timur yang tidak kurang penting dalam persaingan abad ke-21.

Walau bagaimanapun, pada penghujung 2011, Obama memulakan satu gerak untuk menempatkan semula AS di Asia-Pasifik dengan lebih mendalam, memperlihatkan satu kesungguhan baharu dalam usaha menangani kebangkitan China.

Tindakan terbaharu pentadbiran Obama itu memperlihatkan satu agenda besar yang mahu ditangani oleh Washington di Asia-Pasifik yang semakin menyaksikan kebangkitan ekonomi dan ketenteraan Beijing.

Memberi gambaran agenda besar AS ini, Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, menulis dalam majalah Foreign Policy pada November lalu menegaskan kepentingan Asia sebagai penentu politik global dan peranan AS yang bakal dipastikan dalam menangani perkembangan baharu ini.

Dalam makalah bertajuk America’s Pacific Century itu, Clinton menegaskan Asia-Pasifik kini menjadi penggerak utama politik global, dan AS perlu membuat pelaburan di rantau ini, sebagai sebuah “kuasa Pasifik.”

Dalam satu tempoh yang singkat, AS melaksanakan tiga langkah yang dilihat sebagai tindakan untuk menangani kebangkitan China.

Pertama, ketika sidang kemuncak Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) pertengahan November lalu, Obama mengumumkan rancangan penubuhan Kerjasama Trans-Pasifik (TPP), satu blok ekonomi di rantau Asia-Pasifik yang tidak melibatkan China, sebuah kuasa ekonomi Asia-Pasifik.

Kedua, AS menempatkan tentera di utara Australia bermula tahun 2012, rancangan yang diumumkan Obama ketika lawatan 27 jam ke negara sekutu kuat Washington di Asia-Pasifik itu selepas sidang APEC.

Lawatan Obama ke Australia itu bersempena pakatan ketenteraan 60 tahun AS-Australia yang meliputi kerjasama rapat kedua-dua negara di medan Perang Dunia Kedua hingga ke operasi di Afghanistan.

Ketiga, selepas pertemuan APEC, Obama mengumumkan lawatan bersejarah setiausaha negara AS ke Burma, negara sekutu kuat China di Asia Tenggara.

Agenda-agenda tersebut secara kolektif membina semula kedudukan penting AS di Asia-Pasifik, dalam usahanya menangani kebangkitan China dan mengukuhkan lagi posisi sebagai kuasa besar dunia pada masa ini, walaupun dilihat sebagai mula merosot secara relatif.

Tindakan-tindakan ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai gerakan anti-China, atau sekurang-kurangnya untuk mengimbangi pengaruh China yang sedang meningkat.

Pada 2005, Sidang Kemuncak Asia Timur diadakan buat pertama kali di Kuala Lumpur, melibatkan ahli-ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), China dan beberapa negara sekutu AS tetapi tanpa melibatkan AS.

Pada masa itu, dapat diperhatikan terbit kebimbangan sesetengah pihak, terutama golongan konservatif di AS terhadap apa yang dilihat sebagai peminggiran AS dari Asia-Pasifik itu.

Kali ini, AS membawa pula TPP, kerjasama ekonomi yang meluas di Asia-Pasifik tanpa melibatkan China.

Kerjasama perdagangan bebas ini berpotensi besar untuk merapatkan hubungan ekonomi, malah juga politik, antara negara-negara terbabit dengan AS.

TPP bermakna Washington juga akan dapat memainkan peranan kepimpinan yang lebih berbanding dalam APEC.

APEC telah menunjukkan ekonomi hanya menjadi satu bahagian forum atau kerjasama yang menyaksikan peranan kritikal AS itu.

Sukar untuk membayangkan APEC seperti yang wujud hari ini dilaksanakan tanpa perkiraan geopolitik melibatkan kebangkitan China.

Dimensi politik melibatkan peranan dan kedudukan AS di Asia-Pasifik menjadi satu lagi bahagian penting yang ditangani melalui APEC.

Melalui TPP, kerjasama dan integrasi ekonomi antara negara-negara terlibat mengukuhkan kehadiran dan pengaruh AS di rantau Asia-Pasifik, dan mampu menguatkan sebarang agenda AS melibatkan politik dan ketenteraan di rantau ini.

Komitmen AS untuk terus berperanan penting di Asia-Pasifik bermakna pengaruh China sebagai gergasi ekonomi, terutama di Asia-Pasifik bakal dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Perjanjian-perjanjian yang akan membentuk dan menggerakkan TPP akan lebih mengikat negara-negara rantau Asia-Pasifik dengan AS, menjadikannya negara yang tidak dapat dielakkan daripada dilibatkan dalam sebarang keputusan.

TPP menjadi salah satu komponen yang menjadi tunjang “abad Pasifik AS” yang sedang digerakkan pada masa ini.

Seperti juga APEC, TPP bakal menjamin peranan kepimpinan AS di rantau Asia-Pasifik ditingkatkan lagi, sesuai dengan dasar baharu AS untuk memberi tumpuan pada rantau ini pada abad ke-21.

Selain kerjasama Asia-Pasifik itu, lawatan Clinton ke Burma awal Disember juga membuka ruang dan peluang untuk AS meningkatkan pengaruh di negara autoritarian dinaungi Beijing itu.

Dalam era kebangkitan rakyat ekoran perkembangan di Asia Barat pada masa ini, kempen menyebarkan demokrasi oleh Washington kelihatan mendapat semakin ramai audiens, terutama di negara yang dipimpin kepimpinan kuku besi dan tertutup seperti Burma.

Masih awal untuk menjangkakan perubahan politik yang bermakna di Burma akibat lawatan Clinton itu, tetapi simbol daripada lawatan itu, dan kesannya terhadap kumpulan-kumpulan politik tertentu di Burma tidak boleh dipandang rendah.

Salah satu misi lawatan setiausaha negara AS itu ialah kempen demokrasi, iaitu menggesa kerajaan Burma melaksanakan lebih pembaharuan politik ke arah yang lebih demokratik dan terbuka.

Dalam satu kenyataan selepas bertemu Presiden Thein Sein, Clinton menegaskan janji untuk memulihkan hubungan Washington dengan Naypidaw selari dengan pembaharuan yang dilaksanakan pemerintah Burma.

Perubahan yang dimaksudkan AS itu tidak terlepas daripada persoalan hubungan Burma dengan China, satu faktor yang dikaitkan dengan kepimpinan autoritarian negara dikuasai tentera itu.

Burma ialah sekutu kuat China, dengan hubungan dagang dan ketenteraan yang baik dan bantuan berjuta dolar dari Beijing untuk pelbagai projek pembangunan.

China membekalkan peralatan ketenteraan untuk Burma dan menjadikan negara bersempadan Lautan Hindi itu sebagai akses ke laluan laut di sebelah baratyang dekat dengan China, dan menjadi sebahagian strategi besar maritim Beijing berhubung Lautan Hindi.

Hubungan China dengan Burma dilihat sedikit terjejas kebelakangan ini, lalu membuka peluang kepada AS, walaupun Burma dilihat sukar untuk menggadaikan hubungan dengan negara jiran kuasa serantau itu.

Satu perkembangan yang paling jelas dapat diperhatikan ialah arahan menghentikan pembinaan ampangan Myitsone oleh presiden Burma, tindakan yang mencetuskan kemarahan China.

Projek usahasama Burma-China bernilai AS$3.6 bilion ialah satu projek berprofil tinggi yang bakal menjadi salah satu tanda jelas sumbangan China dalam pembangunan Burma.

Projek Myitsone itu telah mencetuskan penentangan dan menjadi punca pertempuran antara tentera Burma dengan pemberontak etnik Kachin.

Presiden Thein Sein menyebut tuntutan rakyat sebagai alasan menghentikan projek sokongan Beijing itu.

Langkah seperti itu membolehkan kerajaan Burma memulihkan hubungan dengan AS ekoran petanda perubahan ke arah lebih demokratik dan paling utama, mengurangkan pergantungan kepada China.

Semakin rapat hubungan Naypyidaw dengan Washington bermakna Beijing menyaksikan keterhakisan hubungan baik dengan sekutu pentingnya itu, mencetuskan implikasi meluas terhadap geopolitik China.

Perkembangan dan prospek terbaharu ini membimbangkan China, walaupun boleh berlaku turun naik hubungan antara AS dengan Burma.

Sekitar masa yang sama, iaitu pada penghujung November, beberapahari sebelum lawatan Clinton, Naib Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan pemimpin tentera Burma, Min Aung Hlaing di Beijing, menegaskan kepentingan hubungan ketenteraan kedua-dua negara.

Pertemuan itu merupakan tanda jelas reaksi China terhadap perkembangan terbaharu politik Burma, sekutu kuatnya di Asia Tenggara.

Penekanan semula hubungan ketenteraan AS-Australia pula menyambung semula peningkatan hubungan Washington-Canberra yang dilaksanakan pada masa akhir tempoh Perdana Menteri John Howard pada 2007.

Pada masa itu, Presiden AS George W Bush melaksanakan langkah menangani China melalui pengukuhan kerjasama antara AS, India, Australia dan Jepun, kerjasama yang disebut sebagai “Inisiatif Quadrilateral.”

Dalam satu tempoh yang singkat, kedudukan Australia sebagai sekutu penting AS ditingkatkan melalui satu siri perjanjian termasuk membuka akses kepada teknologi senjata AS yang sebelum itu dinafikan.

Pada masa itu juga, dua sekutu utama AS di Asia-Pasifik, Australia dan Jepun mencapai satu perjanjian dua hala melibatkan kerjasama keselamatan 

Dalam tempoh itu, hubungan empat negara terbabit; AS, India, Australia dan Jepun dikukuhkan dalam satu aturan yang jelas ditujukan kepada China, tetapi juga untuk mengawasi rantau Asia Tenggara berdekatan Australia yang dilihat sebagai pusat ancaman “militan Islam.”

Kini, pengukuhan kerjasama empat negara tersebut diulangi lagi, dalam memenuhi agenda baharu AS di Pasifik.

Australia, yang telah berperang bersama AS sejak Perang Dunia Pertama mempunyai kedudukan yang istimewa kepada kuasa besar AS dan kuasa dunia sebelumnya, England.

Australia sentiasa memastikan hubungan baiknya dengan Barat dipelihara, termasuk dengan mengambil peranan sebagai “timbalan sherif” kepada kuasa besar AS di rantau sebelah sini.

Canberra sentiasa menyedari kepentingan untuk terus bersama kuasa besar Barat, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terutama konflik ketenteraan.

Pendirian ini menjadi salah satu asas dalam dasar luar Australia, sebuah negara yang bersifat Barat walaupun berada di dunia Asia.

Penempatan tentera AS di Darwin, utara Australia memperlihatkan peranan negara itu dalam usaha terbaharu menangani kebangkitan China. AS pada masa sama turut meningkat kerjasama dengan dua lagi sekutu penting India dan Jepun.

Kehadiran AS itu membawa mesej ketika China bangkit dan semakin dilihat sebagai ancaman, AS juga turut menunjukkan komitmennya di rantau Asia-Pasifik.

China semakin meningkatkan kemampuan tentera lautnya, dan selari dengan itu, retorik kerasnya seperti diperhatikan dalam kes melibatkan negara serantau yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan.

Malah, Beijing juga secara terbuka memberi amaran kepada Washington supaya tidak campur tangan dalam pertikaian serantau itu.

Tindakan terbaharu AS ini menampakkan kesungguhan untuk menangani China yang semakin meningkat pengaruh di rantau Asia-Pasifik, melalui tiga dimensi ekonomi, politik dan ketenteraan.

Perkembangan ini bakal menjadi cabaran paling getir kepada China dalam menegaskan pengaruhnya di rantau Asia-Pasifik dan menguji negara-negara Asia, termasuk Malaysia, dalam usaha mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua Washington dan Beijing. – 12 Disember, 2011

Labels: , ,

Wednesday, March 14, 2012

Syria: Persoalan tentang SNC dan GCC

Minggu lalu, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan, melawat Syria sebagai satu usaha membantu dalam rundingan menamatkan krisis yang telah berpanjangan di negara itu.

Annan hadir sebagai wakil kepada PBB dan Liga Arab. Menjelang lawatan, saranan Annan supaya "penyelesaian politik" diusahakan sebagai satu jawapan kepada krisis itu dikecam hebat oleh SNC, kumpulan pembangkang Syria yang paling menerima liputan media antarabangsa.  

Respons terbaharu SNC itu memberi gambaran pendirian gabungan itu yang kelihatan hanya mahukan satu bentuk penyelesaian iaitu menjatuhkan rejim sedia ada dan menggantikan dengan kepimpinan SNC yang berusaha memonopoli suara pembangkang kini.

Gabungan itu kini kelihatan mahu mengelak daripada sebarang bentuk penyelesaian lain yang tidak menepati matlamat mereka mendapatkan (dan mungkin memonopoli) kuasa, dengan mengetepikan suara penentang-penentang lain rejim Bashar al-Assad.

Kumpulan itu, bersama Tentera Bebas Syria, FSA, dilihat memperjuangkan pilihan konflik bersenjata dengan pemerintah Syria, diperhatikan daripada kenyataan-kenyataan mereka meminta bantuan senjata dari kuasa luar.

Sikap SNC dan sekutunya FSA kini menyimpulkan segala tuntutan penentang rejim Damsyik dengan pendirian mereka sahaja.

Terbaharu, desakan SNC supaya tentera asing masuk campur tangan di Syria, dan perancangannya untuk menguruskan perbekalan senjata kepada kumpulan-kumpulan pemberontak telah menajamkan lagi perselisihan pendapat dalam kalangan pembangkang.

SNC sejak penubuhannya hingga kini tidak menunjukkan kesepakatan, sama ada dalam kalangan mereka atau dengan kumpulan pembangkang lain dalam beberapa isu penting termasuk campur tangan asing.

SNC semakin kelihatan sebagai instrumen kuasa asing yang menjadikan kepentingan politik masing-masing sebagai matlamat utama, dan pada masa sama membelakangi kepentingan rakyat Syria terbanyak. 

Ketua gabungan kumpulan-kumpulan pembangkang itu, Burhan Ghalioun telah mendedahkan menerima bantuan senjata dan kewangan dari negara-negara Arab dan juga bukan Arab, dipercayai merujuk kepada negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, GCC, terutama Qatar dan Arab Saudi dan beberapa negara Barat.

Dalam kalangan negara Liga Arab, GCC sering mengambil pendirian yang selaras antara satu sama lain, termasuk memanggil pulang duta masing-masing dari Damsyik, tindakan yang menutup ruang komunikasi.

SNC dan GCC sejak awal lagi kelihatan selaras segala pendirian mereka berhubung krisis Syria. Kedua-dua menuntut campur tangan ketenteraan asing dan bantuan senjata, yang didakwa untuk digunakan menghadapi rejim Damsyik.

Sejak awal isu Syria menjadi perhatian, GCC jelas kelihatan menunjukkan komitmen dan obsesi yang luar biasa. Walau bagaimanapun, Liga Arab yang dikuasai kuasa-kuasa GCC itu juga telah menunjukkan pendirian tidak konsisten berhubung beberapa hal penting.

Selepas misi pemerhati ke Syria dilaksanakan, misi tersebut dibatalkan dengan alasan halangan akibat keganasan dan dengan segera mengalihkan isu itu ke Majlis Keselamatan PBB.

Selepas episod itu, dalam satu perkembangan yang kurang mendapat liputan antarabangsa, ketua misi tersebut, Jeneral Mohammed al-Dabi dari Sudan yang meletakkan jawatan mendakwa ada yang tidak kena dengan misi Liga Arab itu, dengan mengatakan "situasinya telah dipesongkan." 

Laporan misi pemerhati ke Syria itu, yang diabaikan oleh Liga Arab sendiri kerana kelihatan tidak selari dengan agenda kuasa Arab dan Barat yang bekepentingan, mendedahkan banyak perkara yang tidak selari dengan naratif popular di kebanyakan media, termasuk keganasan oleh kumpulan tidak dikenali terhadap kerajaan dan orang awam dan tindakan membesar-besarkan kejadian dan angka kematian oleh media.

Perkembangan-perkembangan sejak awal tercetus krisis di Syria perlu mendapat penilaian lebih kritikal, supaya dapat menilai dan memberi respons sewajarnya dengan adil dan bukan kerana dipengaruhi propaganda kuasa-kuasa berkepentingan semata-mata. 

Labels: , , ,

Friday, March 09, 2012

Propaganda dan persaingan proksi di Syria


Syria kini sedang menyaksikan persaingan kuasa serantau dan antara proksi kuasa-kuasa serantau di dunia Arab.

Walaupun isu tuntutan rakyat dan demokrasi tidak dapat dinafikan sebagai satu isu penting, kepentingan rakyat Syria kini dikaburi dengan kuat oleh permainan antara kuasa-kuasa berkepentingan.

Isu utama yang dapat diperhatikan dalam persaingan kuasa ialah usaha meleraikan paksi Iran, Syria dan gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Beberapa kuasa utama rantau Asia Barat berkepentingan dalam menjejaskan rejim Bashar al-Assad, terutama Arab Saudi, Qatar, dan Israel. 

Saudi ialah pesaing utama Syria di Lubnan. Saudi dan sekutu Baratnya menyokong penguasaan Rafik dan Saad al-Hariri dan aliansi 14 Mac, manakala Syria menyokong Hizbullah, Amal dan gerakan anti-14 Mac.

Saudi juga ialah musuh tradisi Iran, dan berusaha memastikan kedudukannya sebagai sebuah negara yang menguasai rantau Arab dipelihara.

Qatar bersatu dengan Saudi dalam hal ini, dalam kerjasama yang dapat diperhatikan bermula sejak kebangkitan rakyat di dunia Arab tercetus dan sampai ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, terutama Bahrain.


Qatar juga berkepentingan untuk melonjakkan dirinya dalam politik serantau dan meningkatkan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat.

Kedua-dua negara juga bersatu dari segi aliran agama dalam menangani aliansi Syria-Iran.

Isu aliran Islam Syiah dan Alawi menjadi salah satu isu yang dijadikan tumpuan dalam propaganda anti-Syria, malah dicetuskan dalam banyak isu lain termasuk kebangkitan di Bahrain dan timur Saudi.

Banyak isu seperti kebangkitan di Bahrain dipermudahkan sebagai “ancaman asing” yang bermaksud Iran dan Syiah.

Satu peristiwa yang memberi gambaran aliansi Saudi-Qatar ini ialah penamaan sebuah masjid utama di Doha dengan nama Imam Muhammad Abdul Wahhab, satu perkembangan yang mencerminkan peningkatan hubungan kedua-dua negara.

Israel, musuh utama Iran, Syria dan gerakan Islam di Syam mempunyai kepentingan yang paling jelas tetapi paling kurang mendapat perhatian media.

Israel secara sedar tidak mahu kelihatan secara terang berperanan di Syria, dan sebolehnya mahu isu Syria ditangani oleh kuasa Arab supaya isu tersebut tidak menjadi pertembungan antara Arab dengan Israel.

Paling utama, Zionis mahu melihat paksi Iran-Syria dan gerakan Islam Syam terjejas. Ini dapat dilihat daripada kenyataan beberapa orang tokoh Israel.

Dan Meridor, menteri perisikan Israel dilapor berkata oleh akhbar New York Times: “Iran berusaha keras untuk menyelamatkan rejim Assad. Sekiranya pakatan antara Iran, Syria dan Hizbullah boleh diputuskan, ia sesuatu yang sangat positif."

Bekas pengarah Mossad, Efraim Halevy pula dalam satu tulisannya di akhbar sama menegaskan: "Memastikan Iran dihalau daripada hab serantaunya di Damsyik akan memotong aksesnya kepada proksi (Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza) dan secara terbuka akan menjejaskan prestij Iran di peringkat dalam negara dan antarabangsa, dan mungkin memaksa rejim yang lemah di Tehran menghentikan program nuklearnya."

Kuasa serantau paling berprofil tinggi dalam persaingan ini ialah Qatar, yang bersama sekutunya dalam GCC, Arab Saudi, kini menguasai Liga Arab.

Qatar kini mengulangi peranannya dalam menjatuhkan Muammar Gaddafi di Libya dengan pelbagai usaha menekan rejim Bashar di Syria.

Secara agresif, Qatar bersama Saudi menyokong pemberontak Majlis Nasional Syria, SNC termasuk secara terbuka menyokong pembekalan senjata kepada Tentera Bebas Syria, FSA, rakan SNC dalam usaha menjatuhkan rejim Damsyik.

SNC, gabungan yang memonopoli suara pembangkang dalam kalangan media antarabangsa dan kuasa tertentu itu sendiri mempunyai banyak isu yang perlu dipersoalkan dari segi kredibilitinya.

Satu isu yang kini semakin mendapat perhatian ialah peranan al-Jazeera milik Qatar dalam melaporkan perkembangan di Syria.

Al-Jazeera ialah pemain media utama dalam kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak lebih setahun lalu, dan terlibat secara mendalam dalam perang media kuasa-kuasa serantau.

Satu isu terkini yang menjejaskan al-Jazeera ialah pendedahan tentang bias stesen itu dalam melaporkan kebangkitan di Syria, sehingga dilaporkan menyebabkan wartawannya meletak jawatan sebagai protes.

Pandangan kritikal terhadap liputan dan rakaman krisis di Syria telah dikemukakan banyak pihak, termasuk terhadap rakaman-rakaman persendirian yang dipersoalkan kesahihan dan agendanya.

Kecondongan laporan dan komentar kepada sebelah pihak ini dijadikan hujah pihak berkepentingan untuk menuntut campur tangan asing dan bantuan senjata.

Kes di Syria – dan sebelum itu Libya – menyediakan banyak pengajaran dalam isu propaganda dan permainan politik kuasa-kuasa tertentu yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Kempen propaganda yang menjadikan isu agama sebagai asas rujukan dilihat mudah untuk menarik ramai pihak memberikan sokongan untuk kepentingan yang sebenarnya mewakili agenda sempit kuasa-kuasa tertentu. 

Sebahagian umat Muslim di Malaysia yang turut termakan kempen propaganda terhadap Iran dan Syria, menerima bulat-bulat kempen propaganda yang kelihatan dicetuskan oleh musuh politik negara tersebut.

Sentimen mazhab kelihatan terlalu mudah dipergunakan dan mudah memancing sentimen yang menjurus kepada perpecahan. 

Satu kempen di Facebook dilihat dibuat semata-mata atas sentimen anti-Syria dan tanpa sebarang rujukan lain yang lebih bebas.

Kenaifan yang diperhatikan ini mencetuskan persoalan tentang kemampuan mereka yang terlibat itu dalam menangani isu-isu yang menguji itu sekiranya berlaku di negara ini, yang wacana politiknya semakin dikuasai emosi dan sentimen.

Labels: ,

Tuesday, March 06, 2012

Agenda kuasa kaburi isu sebenar di Syria



Sejak tercetus kebangkitan di Syria setahun lalu, satu versi utama naratif mendominasi laporan dan komentar perkembangan di negara itu.

Hampir keseluruhan rujukan utama media dan masyarakat antarabangsa ialah Majlis Nasional Syria, SNC, tentera yang berpaling tadah (dikenali Tentera Bebas Syria, FSA), kumpulan-kumpulan hak asasi Syria dan aktivis-aktivis yang sering tidak dinamakan.

Walau bagaimanapun, realiti di lapangan jauh berbeza berbanding apa yang muncul di permukaan dalam banyak laporan berita tentang perkembangan di Syria.  

SNC ditubuhkan di Istanbul, Turki pada September 2011. Diketuai oleh Burhan Ghalioun yang tinggal di Paris, Perancis dan Muhammad Riyadh al-Shaqfa, pemimpin Ikhwan al-Muslimin Syria yang tinggal di Arab Saudi.

SNC menjadi gabungan kumpulan pembangkang yang diiktiraf Barat dan negara-negara Arab serantau yang berkepentingan dalam krisis di Syria. SNC mendominasi suara penentangan terhadap rejim Bashar al-Assad, walaupun wujud perbezaan pandangan yang ketara dalam SNC.

Sebuah lagi kumpulan gabungan, dikuasai kumpulan berhaluan kiri, Jawatankuasa Koordinasi Nasional, NCC, diketuai Haytham al-Manna dan berbeza pendapat dengan SNC berhubung isu kritikal termasuk campur tangan ketenteraan asing, yang diterima oleh SNC.

NCC walau bagaimanapun menerima kehadiran tentera dari negara Arab seperti Mesir, Tunisia dan Maghribi (yang bukan dari kalangan Negara Arab Teluk yang didakwa tidak neutral) untuk melindungi orang awam.

NCC menjustifikasikannya dengan alasan Syria ialah ahli Liga Arab, dan negara Arab tertentu seperti Tunisia dan Maghribi misalnya, tidak mempunyai agenda menguasai Syria.

FSA yang dilihat sebagai cadang ketenteraan gabungan NSC lebih menampakkan pendirian menyokong campur tangan ketenteraan asing dan bantuan persenjataan, mengikuti model tindakan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Arab dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, di Libya.

SNC dan NCC pernah mencapai perjanjian pada Disember 2011 untuk menolak campur tangan asing dan menggariskan pelan transisi selepas pengunduran Bashar, tetapi SNC menarik balik persetujuan itu tidak lama selepas persetujuan dicapai.

NCC memboikot pertemuan negara-negara “Sahabat Syria” di Tunis, ibu negara Tunisia hujung Februari lalu yang bertujuan membincangkan tindakan menangani krisis Syria.

Pertemuan di Tunis itu menjadi satu medan untuk SNC meningkatkan lagi profilnya dan menegaskan pakatan itu sebagai wakil utama pembangkang Syria, seperti yang dicapai Majlis Transisi Nasional di Libya.

Selain SNC, satu lagi badan yang sering menjadi rujukan ialah Pemerhati Hak Asasi Syria yang diwakili individu dikenali Rami Abdul Rahman berpangkalan di London.

Sebuah lagi badan yang juga bernama Pemerhati Hak Asasi Syria – di laman www.syriahr.com – bersaing sengit dengan badan diketuai Rami yang beralamat www.syriahr.org di internet.

Identiti dan aktiviti pertubuhan ini yang tidak telus dikritik banyak pihak dan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai salah satu sumber angka kematian dalam pemberontakan di Syria.

Kedua-dua pertubuhan mendakwa mereka sebagai Pemerhati Hak Asasi Syria yang sebenar.

Dilihat dari konteks persaingan kuasa serantau, SNC kelihatan menjadi alat kepada negara Arab berkepentingan seperti Arab Saudi dan Qatar, yang kedua-duanya telah menyatakan sokongan kepada pemberian bantuan senjata kepada penentang pemerintah Syria.

Qatar berperanan penting dalam memberi bantuan kepada penentang Muammar Gaddafi di Libya, termasuk memberi bantuan kewangan dan peralatan ketenteraan, dan dilihat mahu mengulangi apa yang dilakukan di Libya sebelum ini di Syria.

Perdana Menteri Qatar Syeikh Hamad bin Jassim al-Thani dalam kenyataan di Oslo, Norway hujung Februari lalu menegaskan sokongan terhadap tindakan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.

Awal Mac, Menteri luar Arab Saudi, Saud al-Faisal dalam satu kenyataan di televisyen berkata penentang pemerintah Syria berhak untuk menggunakan senjata untuk menentang rejim Bashar.

Doha dan Riyadh mendepani usaha Liga Arab untuk menangani keganasan di Syria sejak beberapa bulan lalu.

Dua kuasa serantau yang kini menguasai Liga Arab itu bertindak agresif dalam usaha menekan pemerintah Syria, tindakan yang telah menumpukan perhatian ke Syria dan menenggelamkan protes rakyat di tempat lain terutama di timur Arab Saudi dan Bahrain, negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan jiran kepada Saudi dan Qatar.

Tekanan ke atas Damsyik ditingkatkan selepas pembatalan misi pemerhati Liga Arab ke Syria beberapa bulan lalu, yang dilaporkan dapatannya termasuk dakwaan pihak penentang kerajaan melakukan keganasan terhadap orang awam, dan wujudnya elemen provokasi pihak tertentu yang memburukkan keadaan.

Banyak isu yang terpendam berhubung pemberontakan di Syria menyukarkan penyelesaian krisis yang telah berlanjutan hampir setahun ini.

Apa yang jelas kelihatan ialah percaturan kuasa-kuasa dalam perkembangan ini menjadikan agenda membebaskan Syria menurut erti yang sebenar semakin kabur dan dibayangi kepentingan-kepentingan asing. – 6 Mac, 2012

Labels: ,

Monday, March 05, 2012

Hamas dalam percaturan politik serantau Asia Barat


Tekanan dihadapi rejim Bashar al-Assad dan percaturan Qatar dalam politik serantau dunia Arab mula menampakkan kesannya terhadap Hamas, gerakan Islam yang semakin menghadapi ujian getir sejak menyertai pentadbiran Palestin ekoran kemenangan besar dalam pilihan raya 2006.

Tekanan hebat dihadapi rejim Bashar di Syria mula menjejaskan perlindungan yang diperolehi Hamas di Damsyik, satu-satunya kawasan selamat bagi gerakan Islam Palestin itu.

Akibat tekanan kuat ke atas Damsyik oleh kuasa-kuasa serantau diketuai Arab Saudi dan Qatar dengan sokongan kuasa Barat, pangkalan Hamas itu kini menyaksikan perpindahan keluar pemimpindan biro politik pergerakan itu.

Khaled Mishaal, ketua biro politik yang juga bertanggungjawab terhadap dasar luar Hamas itu kini telah berpindah ke Doha, Qatar, negara kaya yang menjadi pemain penting dalam politik serantau pada masa ini.

Pada masa sama, Moussa Abu Marzouk, timbalan ketua politik Hamas pula kini berpangkalan di Kaherah, Mesir.

Perubahan ini memberi implikasi yang besar kepada haluan Hamas dalam era politik yang mencabar kini.

Di Damsyik, Hamas mendapat sokongan dan bantuan daripada Syria dan Iran, dua sekutu kuat yang membina paksi antara Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Walaupun bantuan Damsyik itu turut ditentukan oleh perkiraan realpolitik, kedudukan Hamas – dan gerakan Islam lain Jihad Islami dan Hizbullah – di Damsyik selama ini menjadi faktor penting yang membantu perjuangan gerakan Islam itu.

Tekanan terhadap pemerintah Syria kini sedang merungkai dan menjejaskan kelebihan yang dinikmati Hamas selama ini.


Kedudukan geografi Syria yang menyempadani wilayah ditakluk Zionis Israel dan Lubnan memberikan kemudahan dalam banyak perkara, terutama logistik.

Perpindahan keluar kepimpinan Hamas dari Damsyik bermakna Hamas yang ruang pergerakannya terhad itu memerlukan penaung dan pelindung baharu.

Qatar yang kini sedang aktif menggerakkan dasar luarnya untuk mendapat manfaat daripada kebangkitan rakyat melanda dunia Arab sejak lebih setahun lalu sedang menuai hasil daripada tekanan yang dihadapi Syria.

Selepas peranannya di Libya yang membawa kepada kejatuhan Muammar Gaddafi dan penguasaan kumpulan disokong Barat, Doha kini memainkan peranan aktif untuk mengubah rejim di Syria.

Perpindahan kepimpinan Hamas ke Doha dan kelemahan rejim Bashar – yang sekaligus memutuskan atau menjejaskan hubungan Damsyik dengan Tehran – membolehkan Qatar mengambil peranan sebagai pelindung dan pembiaya Hamas.

Peranan ini bakal meningkatkan lagi prestij Qatar di dunia Arab dan juga seluruh dunia Islam.

Doha, pemain penting dalam Liga Arab dan pertubuhan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, kini telahpun memiliki satu kelebihan dalam dunia Islam melalui kedudukan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi di sana.

Perbezaan sikap negara-negara tertentu seperti Qatar dan Saudi dapat diperhatikan sejak awal tercetus kebangkitan di dunia Arab.

Qatar, Saudi dan pertubuhan serantau Liga Arab dan GCC menunjukkan sikap berbeza dalam kes kebangkitan di Mesir, Yaman, Bahrain, Libya dan Syria.

Doha menunjukkan sikap yang agresif menangani Libya dan Syria, termasuk menyokong danmemberi bantuan senjata dan kewangan.

Qatar menjadi negara Arab pertama menyokong campur tangan di Libya dan juga Syria.

Dalam kes Hamas, bantuan yang mampu diberikan kepada Hamas – dan potensi bantuan pihak lain seperti Syria dan Iran tersekat - mampu mengukuhkan hubungan pemerintah Qatar dengan Hamas.

Dalam politik serantau berkaitan Palestin, pihak yang berperanan menjadi penyokong dan pembiaya Palestin mendapat satu imej positif yang besar, seperti yang pernah dimiliki oleh Presiden Saddam Hussein di Iraq.

Palestin, pada tahap tertentu, dijadikan modal politik untuk membina kedudukan dan meluaskan pengaruh dalam politik serantau dunia Arab.

Tanpa mengira populariti dan rekod pemerintahan dalam negara, imej sebagai pembantu Palestin memberi satu kedudukan moral yang tinggi kepada negara yang terbabit.

Pada masa sama, negara penyokong itu juga memiliki pengaruh tersendiri terhadap Hamas dan politik gerakan Islam Syam.

Sekiranya Qatar berjaya dalam menonjolkan dirinya sebagai pembela Palestin, peranan yang dimainkan oleh Iran dan Syria selama ini akan tenggelam, bermakna pengaruh Syria-Iran di Syam juga terjejas.

Pengaruh Qatar telah dilihat dengan jelas melalui perjanjian membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dengan Fatah yang dicapai Februari lalu di negara Arab Teluk Parsi itu.

Perjanjian itu walau bagaimanapun dikritik Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan Mahmoud al-Zahar, kepimpinan Hamas di Gaza, Palestin.

Perpecahan dalam Hamas ini, yang tidak pernah terzahir seperti ini ialah salah satu kesan awal daripada percaturan politik serantau kini.

Dengan sokongan kuat Qatar, haluan bersama Fatah berpotensi dikemukakan sebagai pilihan yang perlu diambil, lalu meminggirkan kelompok yang menentang kerjasama kerajaan perpaduan dengan Fatah itu.

Kepimpinan Hamas di Gaza berdepan pilihan bersetuju dengan perjanjian di Doha itu ataupun berdepan risiko terpinggir, lebih-lebih lagi sekiranya sokongan dan bantuan Syria-Iran seperti dinikmati selama ini terjejas.

Satu perubahan nada telah berlaku baru-baru ini apabila Haniyeh dalam satu kenyataan di Mesir menegaskansokongan kepada pemberontak Syria.

Haniyeh ketika sambutan ulangtahun revolusi Iran Februari lalu melawat Tehran dan memberi ucapan menyatakan sokongan kepada Iran dan menolak sebarang usaha mengiktiraf Israel.

Kenyataan terbaharu beliau menunjukkan satu perubahan dalam nada Hamas di Gaza berhubung Damsyik dan kepimpinan Bashar.

Qatar dan Arab Saudi, sekutu dalam persaingan dengan paksi Iran di dunia Arab kini telah menampakkan tanda-tanda kejayaan dalam melemahkan pengaruh Syria-Iran di wilayah Syam.

Malangnya, percaturan politik serantau yang turut dikemukakan sebagai satu persaingan mazhab ini juga telah memperlihatkan implikasi negatifnya kepada gerakan Islam serantau.

Selain kepentingan Qatar dan Saudi, pada masa sama Israel turut berpotensi menerima manfaat besar daripada apa yang berlaku di Syria kini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu tulisan panjangnya baru-baru ini mengingatkantentang agenda-agenda lain yang turut digerakkan oleh pihak berkepentingan termasuk Israel dalam menangani isu Syria.

Pada masa sama, perbezaan mazhab turut diperbesarkan dengan tujuan membakar sentimen dan mengaburi daripada isu sebenar.

Abdul Hadi mengemukakan penegasan mendesak langkah sewajarnya daripada pemerintah Syria, tetapi pada masa sama mengingatkan agar umat tidak diperangkap oleh agenda musuh Islam.

Menurutnya, apa yang digerakkan dalam menangani isu Syria oleh pihak tertentu “bukan untuk menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah serta Iran.”

Di Syria, Ikhwan al-Muslimin yang bersama dalam Majlis Nasional Syria telah menunjukkan pendirian yang bertentangan dengan kepentingan rakyat Syria secara keseluruhan, dan menjadi alat kuasa-kuasa tertentu mencapai agenda kuasa mereka.

Di seluruh dunia Arab dan Islam, banyak gerakan Islam menerima satu versi cerita di Syria tanpa melihat dengan lebih kritikal dan membawa cadangan yang lebih adil.

Episod terbaharu ini mendedahkan bagaimana percaturan kuasa-kuasa menjadikan gerakan Islam terperangkap dan dipergunakan, dengan menjadikan sentimen politik – dan juga perbezaan aliran agama – sebagai senjata.

Gerakan Islam perlu segera mengambil pelajaran daripada banyak peristiwa global supaya tidak mudah diperdaya dan terperangkap akibat sentimen dan kenaifan.

Labels: , ,