Politik Pop

Thursday, June 07, 2012

SCO dan peluang kebangkitan semula Pan-Turkisme

Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO, organisasi mutilateral paling berpengaruh di dunia Timur telah menerima Turki sebagai rakan dialog dalam sidang kemuncak di Beijing bermula semalam.

Perkembangan ini berlaku dalam tempoh kritikal semasa kebangkitan rakyat masih berlangsung di dunia Arab dan Turki sedang meningkatkan pengaruh di kedua-dua rantau Asia Barat dan Asia Tengah.

Penerimaan Turki, sebuah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, sebagai rakan dialog SCO yang ditunjangi China dan Rusia menandakan kepentingan negara itu yang semakin dirasakan oleh semua.

Kazakhstan (yang dilawati Erdogan dalam satu misi yang dinilai sebagai berjaya merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara hujung Mei lalu), Uzbekistan dan Kyrgyzstan ialah tiga negara Asia Tengah didiami bangsa Turkik yang menjadi anggota SCO.

SCO, pertubuhan yang sering dilihat dengan amat kritikal oleh Barat kini menampakkan satu petanda keterbukaan dan melunakkan dakwaan anti-Barat apabila menerima ahli Nato dan sekutu kuat Amerika Syarikat itu sebagai rakan dialog.

Di pihak Turki, perkembangan ini menampakkan dengan lebih jelas perluasan pengaruhnya di rantau Asia Tengah, dunia rumpun Turki yang dalam perspektif pan-Turkisme dilihat sebagai satu identiti yang perlu ditegaskan semula, dan dimanfaatkan untuk strategi dasar luar Turki memperluaskan pengaruh.

Fahaman supranasionalisme ini telah digunakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan ketika tercetus protes oleh warga Uyghur di Xinjiang pada 2009, sehingga mencetuskan ketegangan hubungan Ankara-Beijing.

Presiden Abdullah Gul, walaupun dalam satu acara yang tidak menampakkan elemen politik dengan jelas, turut pernah menyuarakan ide pan-Turkisme ini secara terbuka.

Dari sudut persaingan di rantau Eurasia, pan-Turkisme berupaya menjadi ancaman kepada kedua-dua China dan Rusia, dua kuasa utama yang sentiasa berkepentingan untuk mengekalkan dan meningkatkan pengaruh di Asia Tengah.

Pergerakan pengaruh Turki melalui dasar luar yang agresif memperluaskan pengaruh kini menyaksikan peningkatan yang nyata dalam perluasan pengaruh Turki, di dunia Arab yang kini sedang berubah dan juga Asia Tengah.

Labels: , , ,