Burma, antara demokrasi dan medan persaingan geopolitik
Pejuang demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi dibebaskan daripada tahanan tidak lama dulu kini muncul lagi sebagai satu berita berkaitan proses demokrasi di negara Asia Tenggara itu.
Suu Kyi, walaupun tanpa harapan untuk mengubah rejim yang memerintah Burma, terus mendapat sokongan dan perhatian Amerika Syarikat dan Barat sebagai harapan demokrasi di negara ahli Asean itu.
Walau bagaimanapun, sejauh manakah boleh diharapkan sokongan AS dan Barat kepada demokrasi di Burma? Selain sokongan kepada Suu Kyi dan gerakan demokrasi di Burma, bersediakah kuasa-kuasa besar dunia untuk demokrasi yang sebenar di Burma?
Berdasarkan perkembangan terkini, selain kempen untuk dimainkan di peringkat global, sekatan-sekatan dan bantuan-bantuan untuk kumpulan tertentu, keperluan geopolitik di kawasan sekitar Burma menunjukkan kemungkinan yang agak kecil untuk kuasa-kuasa serantau dan global - yang terdiri daripada Asean, India dan AS – untuk mahukan demokrasi sebenar terlaksana di Burma.
Suu Kyi, walaupun mendapat liputan meluas media Barat, hanya satu bahagian kecil daripada persaingan geopolitik melibatkan Burma, yang kekuatan sokongan kepadanya tetap bergantung kepada perkiraan realpolitik kuasa-kuasa terbabit.
Tindakan kerajaan tentera Burma membebaskan Suu Kyi juga belum dapat disimpulkan sebagai satu langkah yang mendasar dalam perkembangan demokrasi di negara itu.
Kerajaan tentera Burma boleh menjadikan pembebasan itu untuk menunjukkan satu tindakan baik yang boleh diuar-uarkan lebih daripada yang sepatutnya, tetapi tidak mengubah keadaan sebenar di dalam negara Burma.
Peristiwa itu boleh menjadi sebahagian kempen untuk membersihkan sedikit imej junta tentera dan menarik pelabur-pelabur asing dan mengurangkan kritikan-kritikan terhadap pemerintah negara itu.
Kepelbagaian etnik yang boleh membawa kepada perkembangan yang di luar jangkaan mungkin menjadi satu sebab usaha-usaha membantu kumpulan lain untuk mengambil alih pemerintahan dilakukan dengan berhati-hati.
Rejim tentera mampu bertindak di luar jangkaan dan mengabaikan segala standard hak asasi manusia, seperti yang telah sedia digambarkan selama ini.
Isu demokrasi di Burma sehingga kini lebih berkesan dalam menjadi bahan untuk permainan retorik dan persaingan moral Barat dengan Burma dan negara yang menyokongnya, China.
AS sebagai contoh menjadikan Burma sebagai satu kes untuk menunjukkan keprihatinannya dalam perjuangan demokrasi, dan juga oleh pihak-pihak tertentu dalam politik dalaman.
Demokrasi yang terlaksana dengan bebas tanpa sekatan di Burma akan membuka kepada ketidaktentuan dan perubahan yang boleh berlaku dan berubah-ubah bergantung kepada pemain-pemain dalam negara.
Walaupun jelas bahawa rejim di Rangoon lebih cenderung kepada China, rejim itu lebih stabil dan setakat ini, dapat mengekalkan situasi semasa tanpa membawa kepada keadaan yang tidak menentu.
Walaupun Barat dan kuasa serantau tidak setuju dengan haluan itu, kestabilan dan kemungkinan lain yang masih sukar dipastikan menjadikan mereka membenarkan keadaan itu terus kekal.
Kemungkinan seperti rejim baharu yang bebas dan tidak mahu tunduk kepada mana-mana kuasa asing ialah satu senario yang tidak diingini kuasa-kuasa besar, sama ada Barat atau China.
Syarikat-syarikat dari AS dan Asia Tenggara sendiri masih terus menjalankan perniagaan dengan Burma di bawah rejim tidak demokratik itu. Syarikat dari AS, India, Thailand dan Singapura antara pelabur terbesar dalam ekonomi Burma, dalam pelbagai bidang dari minyak dan gas ke telekomunikasi.
Barat boleh dijangka mempunyai ide tentang kerajaan yang mereka inginkan, tetapi keperluan untuk mengubah rejim belum benar-benar mendesak, tambahan pula rejim tersebut dinaungi kuasa besar serantau.
Perkembangan terbaharu melibatkan India, sekutu kuat baharu AS, menjelaskan lagi kedudukan isu Burma dalam geopolitik Asia.
Menurut Dr Jason Abbott, penyandang Kursi Aung San Suu Kyi di Pusat Demokrasi Asia di Universiti Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat, India sedang “meningkatkan hubungan baik dengan Burma dalam usaha menangani kebangkitan China dan meningkatkan kedudukannya sendiri di rantau Asia.”
Jelas Abbott, hal ini dapat diperhatikan dengan jelas dalam bidang ekonomi, dengan penglibatan dua syarikat milik negara India dalam projek minyak dan gas di Teluk Bengal, melibatkan cari gali hingga pembinaan saluran paip pengangkutan.
Abbott menjangkakan projek itu akan menjadi satu sumber pendapatan terbesar junta tentera Burma, dengan jumlah sekitar AS$580 juta setahun.
Dengan wujudnya kerjasama ini, boleh dijangka India, yang menerima lawatan Presiden AS Barack Obama tidak lama dulu, berkepentingan untuk rejim yang ada kini meneruskan pemerintahan.
Burma yang terletak di pesisir Teluk Bengal merupakan satu laluan ke Lautan Hindi, sesuatu yang sedang dimanfaatkan oleh China.
Dalam strategi “rantaian mutiara” China, negara seperti Burma dan Pakistan dimanfaatkan melalui pembinaan pelabuhan untuk perdagangan dan ketenteraan bagi menampung kekurangannya yang tidak menguasai laluan perdagangan Selat Melaka.
Berdasarkan strategi ini, China membantu negara terbabit dan mendapat akses ke Lautan Hindi melalui Laut Arab dan Teluk Bengal, yang boleh membantu sekiranya laluan Selat Melaka yang membawa 80 peratus import tenaganya disekat.
Berdasarkan hal ini, kepentingan Burma menjadi semakin kritikal, sehingga mampu menolak isu-isu seperti demokrasi ke kedudukan tidak penting atau boleh diabaikan.
Kepentingan realpolitik yang kritikal itu menjadikan rejim tentera yang memerintah dibiarkan dan tidak dikecam secara terbuka. India, yang berbangga dengan demokrasinya juga terlibat dalam melanjutkan dan mengukuhkan junta tentera Burma.
Dalam era kebangkitan China pada masa ini, AS dan sekutunya India bergerak dengan agenda menangani kebangkitan itu sebagai salah satu agenda teratas. Hal ini menjadikan Burma dan rejim tentera yang memerintah negara Asia Tenggara itu penting.
Selain untuk menangani China, kerjasama Burma juga diperlukan dalam menangani pemberontak di sempadan kedua-dua negara yang poros.
Burma menerima sokongan dan pelbagai bentuk bantuan termasuk ketenteraan dari China, menjadikannya sekutu kuat Beijing. India terpaksa membina hubungan berterusan dengan Burma demi kepentingan keselamatan melibatkan peningkatan kuasa China.
Asean sendiri telah menunjukkan kesukaran menangani isu Burma sejak kemasukan sebagai ahli pada 1997. Tindakan atau kenyataan keras terhadap Burma sukar dihasilkan ekoran beberapa sebab, termasuk kepentingan perniagaan dan pendirian Asean untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara ahli.
Politik antarabangsa memang dipenuhi dengan kisah rejim-rejim autoritarian bergerak dan condong ke mana sahaja pihak yang menawarkan habuan lumayan, tanpa bersyarah tentang hak asasi manusia dan demokrasi.
Sekiranya rejim tentera dapat memelihara kepentingan kuasa-kuasa tertentu di Burma, dan pada masa sama menyesuaikan diri dengan beberapa kehendak kuasa terbabit, tidak ada keperluan untuk kuasa-kuasa tersebut mendesak perubahan rejim, sama ada digantikan oleh aktivis seperti Suu Kyi atau yang seumpamanya. - Disember, 2010

Labels: Amerika, Asia Pasifik, Asia Timur, Ekonomi Politik, Globalisasi, Politik